saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 03/11/2001

Berakhirnya episod pembunuhan paling ngeri

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hukuman gantung yang dijalankan ke atas tiga orang di Penjara Kajang dekat sini pada subuh hari ini kerana membunuh ahli politik Datuk Mazlan Idris lapan tahun lepas akhirnya menutup tirai pembunuhan yang boleh dianggap paling ngeri dalam sejarah jenayah Malaysia.

Pembunuhan yang memeranjatkan negara itu berikutan penemuan tubuh Mazlan yang telah dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam menggunakan simen, mempunyai ciri-ciri pemujaan.

Perbicaraan selama 69 hari pada 1994 mendengar cerita sensasi berhubung ilmu hitam, wang dan politik.

Jika tidak kerana kecekapan polis, pembunuhan yang dirancang rapi oleh pasangan Mohamed Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail (lebih dikenali sebagai Mona Fandey) serta dilakukan oleh pembantu mereka, Juraimi Husin, mungkin terlepas sebagai jenayah sempurna.

Kehilangan Mazlan, ketika itu anggota Dewan Undangan Negeri Pahang berusia 49 tahun, pada awalnya tidak banyak menimbulkan syak wasangka tetapi apabila beliau gagal dihubungi oleh anggota keluarga lebih seminggu, polis mula bertindak.

Sebelas hari selepas pembunuhan itu yang terjadi antara 10 malam dan tengah malam 13 Julai 1993, polis menahan Juraimi tetapi hanya kerana dia disyaki penagih dadah.

Tetapi Juraimi kemudian membawa polis ke penemuan ngeri bahagian tubuh Mazlan yang dikorek keluar dari bawah lantai simen dalam bilik stor dekat sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, daerah Raub, Pahang.

Tidak kurang sensasinya ialah gambar di akhbar-akhbar menunjukkan Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Khalil Yaakob, mengeluarkan kepala Mazlan dari lubang itu selepas polis menemuinya.

Perbicaraan diberitahu bagaimana pasangan bomoh itu telah merancang pembunuhan itu sebulan sebelumnya dan arahan kepada Juraimi beberapa hari sebelum pembunuhan itu antara lain ialah untuk mengasah kapak bagi memancung kepala Mazlan dan menggali lubang besar.

Affandi dan Mona juga mengasah sebilah pisau yang digunakan untuk memotong tubuh Mazlan kepada 18 bahagian.

Wang dikatakan sebagai motif pembunuhan itu. Beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 di beberapa bank di sini dengan alasan pasangan itu boleh menggandakan jumlah wang itu selepas Mazlan menjalani upacara `mandi bunga'.

Kisah di mahkamah mengenai pembunuhan itu sungguh menyeramkan - Mazlan disuruh baring sebelum Juraimi menetak lehernya dengan kapak selepas diberi jaminan oleh Affandi bahawa `duit yang banyak akan jatuh dari atap'.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Mazlan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bukan untuk tujuan memberikannya kepada penyokongnya tetapi kerana dia percaya kepada tipu helah `wang buat wang' pasangan itu kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi tujuan politik.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pada masa itu bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian UMNO.

Juraimi hanya diberikan RM180 bagi menanam tubuh itu sebaik saja selepas pembunuhan oleh pasangan itu yang kemudian bergegas ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel.

Lapan jam selepas pembunuhan itu, Affandi dan Mona mula membeli-belah menggunakan wang Mazlan. Seawal 7.30 pagi keesokannya, mereka telah berada di bilik pameran kereta di Melaka untuk membeli sebuah kereta Mercedes Benz 280 walaupun kedai itu belum dibuka untuk perniagaan pada hari itu.

Sehari sahaja selepas pembunuhan itu, mereka membelanjakan lebih RM160,000 untuk membeli kereta, telefon bimbit dan barang kemas.

Beberapa hari selepas itu, pasangan itu, yang digambarkan di mahkamah sebagai kesempitan wang sebelum pembunuhan itu, membelanjakan lebih RM20,000 bagi barang kemas dan perabot.

Mona, yang pernah menjadi penyanyi, juga membayar RM13,000 untuk pembedahan plastik dua minggu selepas pembunuhan itu manakala suaminya menubuhkan beberapa syarikat.

Keseluruhannya, pasangan itu membelanjakan kira-kira RM300,000 dalam masa 10 hari membeli-belah sebelum penahanan mereka, satu jumlah yang sama dengan apa yang dikeluarkan oleh Mazlan dari akaun banknya.

Cerita yang diberitahu dalam pembelaan mereka juga tidak kurang sensasinya tetapi semua tidak dipercayai oleh hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Affandi, misalnya, memberitahu mahkamah bahawa Mazlan berhutang RM2.5 juta kepadanya sebagai pertukaran kepada tiga barang yang menurutnya pernah menjadi milik Allahyarham Presiden Sukarno - tongkat, tangkal dan songkok.

Lembaga Pengampunan Pahang pada 4 Mac lalu turut menolak permohonan mereka untuk mendapat pengampunan diraja. - Bernama

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.