saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/11/2001

MCA semakin panas

Oleh MOHD. NOR AB. SAMAD
(WARTAWAN UTUSAN
KEMELUT politik MCA yang berterusan selepas isu `kepala ikan busuk' dan pembelian Nanyang Siang Pau memberi petanda dan isyarat cukup jelas bahawa pemilihan Ogos tahun depan paling sengit dan mendebarkan.

Jika pergolakan terkini dalam parti itu terutama adegan tuduh-menuduh sesama pemimpin utama mereka dijadikan ukuran, maka pertembungan antara Kumpulan A diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan Kumpulan B oleh Timbalannya, Datuk Lim Ah Lek sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Tanda-tanda ke arah menyaksikan pertandingan di antara dua kumpulan itu, semakin hari semakin jelas. Meskipun kempen pemilihan belum lagi bermula, tetapi berdasarkan perkembangan senario politik semasa, ia diramalkan semakin `panas' menjelang Perhimpunan Agung MCA tahun depan.

Apatah lagi, banyak insiden `panas' yang belum lagi diselesaikan oleh Dr. Ling boleh digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghangatkan lagi keadaan.

Memburukkan lagi situasi, lahirnya Kumpulan 10, selepas Kumpulan Lapan. Kumpulan 10 yang terdiri daripada 10 Ketua Pemuda negeri menentang Ketua Pemudanya, Datuk Ong Tee Keat dan mahu dia melepaskan jawatan Ahli Jawatankuasa Disiplin parti.

Kumpulan 10 terdiri daripada Ketua Pemuda MCA Johor, Hoo Seong Chan; Datuk Ho Cheng Wang (Perak), Datuk Chong Toh Eng (Selangor), Lau Chek Tuan (Pulau Pinang), Senator Yew Teong Look (Wilayah Persekutuan), Datuk Soon Tian Szu (Melaka), Yip Chee Kiong (Negeri Sembilan), Tan Ken Ten (Kelantan), Toh Chin Yau (Terengganu) dan Chew Kok Woh (Sabah).

Desakan itu terkandung dalam kenyataan kedua yang dikeluarkan oleh kumpulan tersebut. Yang pertama, mereka menuntut Ong meminta maaf kepada 900,000 ahli MCA kerana bersikap `kurang ajar' terhadap Dr. Ling.

Kumpulan itu menentang Ketua Pemuda mereka ekoran tindak-tanduk Ong yang didakwa bercanggah dengan disiplin parti apabila meminta Dr. Ling menarik balik sokongannya kepada dua pemimpin Pemuda yang dipecat semasa Perhimpunan Agung Pemuda 3 Ogos lalu.

Dua pemimpin Pemuda yang pro-Dr. Ling itu ialah Setiausaha Agung, Yew Teong Look dan Naib Ketua Pemuda, Loh Seng Kok. Kesan daripada sokongan Presiden itu kepada dua orang yang dipecat itu menyebabkan sudah lebih tiga bulan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) Pemuda tidak dapat diadakan.

Kata Ong: ``Mesyuarat itu akan hanya diadakan selepas Dr. Ling menarik balik sokongan itu.

``Antara sokongan presiden dan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda, saya patuh pada ketetapan Pemuda.''

Ong bukan takut sebagaimana yang didakwa oleh kebanyakan pemimpin MCA, tetapi mahu mengelakkan kejadian buruk berlaku apabila mesyuarat CC diadakan.

``Bayangkan senario yang akan berlaku, sekiranya dua pemimpin yang dipecat itu hadir dalam mesyuarat CC atas alasan disokong oleh presiden,'' kata Ong.

Kumpulan Lapan pula mula menyerlah `kegarangannya' ketika isu pembelian Nanyang Siang Pau.

Kumpulan itu dikepalai oleh Ah Lek bersama-sama Naib Presiden, Datuk Chua Jui Meng; Pengerusi MCA Pahang, Datuk Chan Kong Choy; Ketua Pemuda, Ong; Timbalan Ketua Wanita, Datin Paduka Dr. Tan Yew Kew; Exco Selangor, Datuk See Hang; Ahli Parlimen Mentakab, Datuk Fu Ah Kiow dan peguam, Datuk Wong Mook Leong.

Sekiranya jalan penyelesaian masih kabur dan semua kumpulan tidak mahu mengalah dan bertolak ansur, kemungkinan berulang pertandingan seperti Team A (Dr. Mahathir Mohamad, Ghafar Baba) dan Team B (Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam) dalam UMNO kepada pemilihan MCA tahun depan.

Jika ini berlaku, apa yang pasti, MCA akan kehilangan pemimpin terbaik mereka sama ada dari Kumpulan A atau Kumpulan B. Ini sudah tentu akan memberi bonus atau kelebihan kepada pembangkang semasa menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004. Bagaimanapun melihat pada perkembangan terbaru, para penyokong Ah Lek dan Chua mahu mereka meneruskan `kemaraan'.

Sehubungan itu, pemimpin negeri-negeri yang menyebelahi mereka merestui apa jua keputusan kedua-dua pemimpin itu untuk bertanding dalam sebarang jawatan tertinggi parti.

Sehingga hari ini, hanya Dr. Ling yang mengesahkan akan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak 1986.

Bagaimanapun, Dr. Ling berkata: ``Keputusan saya bergantung kepada hasil jelajah saya ke seluruh negara. Jika ahli masih memerlukan khidmat saya, saya akan bertanding.''

Chua sebelum ini dikatakan akan menentang Dr. Ling ekoran ada sokongan. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian Chua melenyapkan spekulasi itu dan berkata: ``Saya tidak pernah mengumumkan akan menentang Dr. Ling.''

Seperti Dr. Ling, Chua berkata: ``Saya tidak ada masa untuk itu (komen isu parti). Banyak kerja yang perlu saya buat.''

Pemerhati politik menjangkakan kemungkinan jawatan presiden akan menyaksikan pertandingan meskipun belum ada lagi pengesahan mahupun bayangan kenyataan daripada Kumpulan Lapan.

Pada pemilihan MCA tahun 1996 dan 1999, jawatan naib presiden menjadi rebutan dan tumpuan. Jawatan presiden dan timbalan menang tanpa bertanding.

Pada tahun depan pula, ramai yang meramalkan tumpuan jawatan tertinggi parti daripada presiden, timbalan presiden dan naib presiden, selain ketua pemuda dan ketua wanita.

Sikap Dr. Ling yang suka `membisu' dan hanya membalas kritikan sekiranya dibawa dalam mesyuarat CC dilihat banyak mengundang masalah.

Sejak kebelakangan ini, yang paling lantang bersuara ialah Ong dari Kumpulan Lapan yang yakin dia berada di pihak yang benar.

Kepada Dr. Ling, krisis dalam MCA sekarang bermula apabila beliau tidak dapat memenuhi permintaan timbalannya, Ah Lek supaya memberi tempat kepada Datuk Chan Kong Choy sebagai menteri penuh pada 1999.

Bagi Dr. Ling, keputusan tidak melantik Kong Choy menyebabkan MCA berpecah kepada dua kumpulan.

``Saya percaya sebab utama krisis antara Datuk Lim Ah Lek dan saya berpunca hasil pilihan raya umum 1999,'' kata Dr. Ling.

Lanjutan daripada itu satu demi satu kes timbul yang menegangkan lagi hubungan kedua-dua pemimpin itu.

Selepas isu pembelian Nanyang Siang Pau selesai melalui mesyuarat agung luar biasa, kemelut tercetus ekoran pergaduhan baling kerusi ketika Perhimpunan Pemuda 3 Ogos lalu.

Kumpulan Lapan termasuk Ong menolak penubuhan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh Majlis Presiden untuk menyiasat punca pergaduhan itu.

Sebelum itu, Ah Lek juga menolak kewujudan Jawatankuasa Khas.

Keadaan menjadi tegang apabila mesyuarat Majlis Presiden pula menolak beberapa nama veteran MCA yang termasuk Lee Kim Sai yang dicadangkan oleh Ah Lek untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Ini mencetuskan semula bibit-bibit ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu, Dr. Ling dan Ah Lek.

Paling terbaru dalam drama politik MCA alaf baru ini ialah kenyataan Ong yang beliau mempunyai pita rakaman sebagai bukti wujud perancangan tersusun pihak-pihak tertentu yang mahu menggulingkannya dan mengganggu perjalanan Perhimpunan Pemuda Ogos lalu.

Isu pita rakaman ini tidak pernah timbul sehinggalah didedahkan sendiri oleh Ong beberapa hari lalu di Dewan Rakyat.

Kini, hasil siasatan polis berhubung pergaduhan itu sudah di peringkat terakhir. Mengikut laporan, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa.

Hasil siasatan polis dan Jawatankuasa Khas paling dinanti-nantikan. Kita terpaksa menerima hakikat, hasil siasatan itu akan mengubah senario politik MCA.

Berdasarkan pada keputusan mesyuarat agung luar biasa anjuran MCA dan Pemuda beberapa bulan lalu bagi menyelesaikan isu Nanyang, sekiranya ada pertandingan antara Kumpulan A dan B, ia pasti sengit.

Oleh kerana itu, terpulang kepada kebijaksanaan semua pemimpin MCA untuk mencari jalan keluar terbaik atau sekurang-kurang memastikan pemilihan tidak sampai merosakkan nama parti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.