saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/11/2001

Transformasi hidup Orang Asli - perkampungan banglo Bukit Lanjan ubah peta sosial Damansara

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
LEBIH lima tahun lalu, sebahagian besar daripada kira-kira 800 Orang Asli yang tinggal di Kampung Bukit Lanjan, Damansara hidup dengan penuh kedaifan dan serba kekurangan.

Mereka dari suku Temuan begitu bergantung kepada sumber hutan, dusun buah-buahan dan rezeki dari sungai atau kolam ikan kecil-kecilan.

Kebanyakan anak muda di kampung itu pula ketika itu masih mengikuti jejak langkah orang tua mereka. Hanya segelintir daripada mereka terdedah dengan pekerjaan `makan gaji' di luar dunia kehidupan kampung mereka.

Ini termasuklah beberapa anak muda yang bekerja di kilang-kilang di Petaling Jaya dan Shah Alam.

Dari segi statistiknya, tiada seorang pun anak-anak Orang Asli kampung itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Kalau ada pun yang agak cemerlang dalam pendidikan di kalangan anak Orang Asli Kampung Bukit Lanjan, mereka kurang berminat untuk meneruskan pengajian.

Gambaran perkampungan mereka ketika itu termasuklah keadaan rumah-rumah kecil beratap nipah atau zink yang buruk dan usang. Dinding kebanyakan rumah bocor di sana sini manakala penghuninya tinggal berasak-asak.

Bagaimanapun itu senario dan tradisi mereka sebelum ini. Segala-galanya berubah mendadak apabila Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1995 merancang untuk membangunkan kawasan rizab Orang Asli Bukit Lanjan yang terletak dalam mukim Sungai Buloh di daerah Petaling.

Ketika melawat kawasan itu baru-baru ini, penulis sendiri berasa begitu `terpukau' melihat penempatan baru mereka. Tanah rizab Orang Asli Bukit Lanjan seluas 256.44 hektar telah pun bertukar wajah.

Kini kawasan itu sedang pesat membangun sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan penempatan moden di pinggir Kuala Lumpur.

Tidak jauh dari satu projek kondominium mewah dalam pembinaan di cerun bukit yang dikelilingi kompleks perniagaan di Damansara Perdana, di bawahnya terletak kawasan lot-lot banglo mewah milik Orang Asli Bukit Lanjan.

Pemandangan latarnya amat menarik, banglo-banglo itu bukan saja menghadap hutan simpan berhampiran malah berada di tepi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Menjenguk dari jauh, penulis menyangka banglo-banglo itu yang dianggarkan nilainya tidak kurang RM500,000 pastinya bakal muncul kawasan perumahan bagi golongan mewah dan elit.

Namun penulis terkejut apabila wakil syarikat pemaju kawasan itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat MK Land Holdings Berhad, Roslan Ali memberitahu:

``Semua rumah banglo itulah yang bakal mengubah kehidupan dan budaya 147 keluarga Orang Asli yang dulunya tinggal di Kampung Bukit Lanjan.

``Itulah cara Kumpulan EMKAY memajukan kehidupan mereka. Anda tentu tidak pernah dengar Orang Asli diberi banglo sebagai pampasan pengambilan tanah mereka.''

Majlis penyerahan kunci rumah banglo tersebut kepada 141 daripada 147 ketua keluarga Orang Asli akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 16 November ini.

Kelewatan pemindahan enam pemilik lagi ialah berikutan tapak rumah banglo yang bakal mereka duduki terletak di atas tanah yang kini digunakan untuk rumah panjang yang dijadikan penempatan sementara.

Menerusi persetujuan semua pihak, termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Lembaga Adat Orang Asli Kampung Bukit Lanjan, setiap keluarga menerima `durian runtuh' atau pampasan tinggi yang tidak pernah mereka jangka sebelumnya.

Kumpulan EMKAY menerusi anak syarikatnya, Saujana Triangle Sdn. Bhd. disyaratkan oleh Kerajaan Negeri Selangor supaya memperuntukkan pampasan keseluruhan RM91.8 juta bagi pembangunan penempatan Orang Asli kawasan itu.

Orang Asli terbabit sememangnya bertuah! Semua 147 ketua keluarga bukan saja mendapat seunit rumah banglo empat atau lima bilik di atas tanah lot 7,275 hingga 10,000 kaki persegi (675.85 hingga 929 meter persegi).

Malah, Pengurus Pembangunan Hal Ehwal Orang Asli Saujana Triangle, Wan Rashdi Wan Ibrahim memberitahu, setiap ketua keluarga juga diberi sebuah rumah teres dua tingkat bernilai kira-kira RM150,000 di Damansara Damai, Sungai Buloh.

Katanya, anak bujang dan remaja yang berumur 15 tahun semasa bancian pada 1995 pula setiap seorang mendapat sebuah rumah pangsa bernilai RM50,000 bersebelahan rumah banglo bapa mereka.

``Ketua keluarga terbabit telah dicadangkan supaya menyewakan rumah teres di Damansara Damai untuk membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetap.

``Dan yang paling menarik, buat pertama kalinya mereka menjadi kumpulan Orang Asli pertama di negara ini yang diberi hak milik tanah bagi tanah rumah mereka,'' tambah Wan Rashdi.

Lain-lain pampasan dan faedah yang mereka peroleh ialah pampasan pokok-pokok dan kegiatan ekonomi lain yang melibatkan RM8.6 juta.

Mereka juga diberikan sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM45,000 yang matang tahun depan, elaun perpindahan dan elaun sara hidup bulanan sehingga berpindah ke rumah baru.

Wan Rashdi menambah, Saujana Triangle juga memperuntukkan RM7.9 juta untuk Tabung Pendidikan Anak-Anak Orang Asli Bukit Lanjan.

Katanya, Saujana Triangle turut menyediakan sebuah dewan serba guna, surau, taman bimbingan kanak-kanak dan muzium atau balai adat Orang Asli.

Tambah beliau, tiga unit rumah kedai dua tingkat diperuntukkan secara percuma untuk manfaat ekonomi masyarakat Orang Asli Bukit Lanjan menerusi persatuan penduduk yang baru ditubuhkan.

Sementara itu, Tok Batin Orang Asli Bukit Lanjan, Ismael Chat, 52, memberitahu, anak-anak buahnya telah bersiap sedia menghadapi perubahan budaya, tradisi dan gaya hidup ekoran perpindahan ke rumah-rumah banglo tersebut.

``Anak-anak buah sekarang sudah `tak tentu arah' (tidak sabar-sabar) hendak pindah, tiap-tiap petang mereka keluar dari rumah panjang dan bawa anak tengok rumah baru.

``Kami tahu lepas duduk banglo semua kena bayar, duit api (elektrik), duit air dan cukai pintu... lepas itu ada pula IWK (Indah Water Konsortium), telefon dan telefon bimbit.

``Bila kami sudah terima tawaran, kami kena hadapi apa saja keadaan selepas ini... kalau dulu masa kami jual rotan, buah dan ikan mungkin tidak mampu tetapi sekarang kami ada simpanan ASB dan pampasan kerugian pokok dusun,'' ujar Ismael.

Tok batin tersebut juga yakin budaya asal Orang Asli termasuk bahasa ibunda dan tradisi kemasyarakatan mereka tidak akan pupus ekoran kemajuan yang mereka nikmati.

Sesungguhnya, EMKAY bolehlah dijadikan pemaju contoh kerana menitikberatkan kebajikan dan kepentingan masa depan Orang Asli.

Pada masa yang sama, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi tertentu sewajarnya sudah mula mendekati penduduk terlibat bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan yang jauh lebih mewah dan begitu mencabar berbanding dulu.

Orang Asli Bukit Lanjan tidak boleh dibiarkan sebagai kumpulan `eksperimen' dalam proses asimilasi Orang Asli kepada pembangunan.

Rumah-rumah banglo mewah dan pampasan wang tunai mungkin tidak akan bererti jika mereka tidak diberi sokongan dan bimbingan mengenai pengurusan kehidupan baru.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.