saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/11/2001

Putih - Kesegaran baru dalam animasi


ERRA FAZIRA.


SKRIN
Tajuk: Putih
Arahan: Rashid Sibir
Lakon Layar: Azlina Din
Pelakon (suara): Erra Fazira, M. Nasir, Raja Azura, Wan Maimunah, Noraini Hashim, Mustapha Maarof, Jalaluddin Hassan dan lain-lain.
Animasi sering memberikan kita fantasi antara dunia nyata dengan dunia imaginasi yang hanya terhad oleh kemampuan kreativiti manusia.

Filem animasi tidak hanya hiburan untuk kanak-kanak semata-mata, tetapi juga orang dewasa.

Persoalannya tidak hanya fantasi dongengan, tetapi membawa kepada kritikan sosial dan politik.

Hari ini, filem animasi sudah semakin maju, daripada animasi tradisi dua dimensi yang menggunakan sel kepada animasi tiga dimensi dalam teknologi grafik digital komputer terkini.

Filem animasi juga menghasilkan industri yang bukan kecil, daripada filem ke taman tema dan barangan francais bernilai billion ringgit.

Keuntungan besar daripada industri ini menjadi antara sebab persaingan hebat antara studio Disney yang sekian lama mendominasi filem animasi dengan Pixar Animation Studio dan Dreamworks.

Sungguhpun dunia filem menyaksikan keunggulan baru animasi tiga dimensi yang dirintis oleh Pixar menerusi filem Toy Story, tetapi filem-filem animasi tradisi dua dimensi masih tetap penting.

Cuma untuk lebih unggul, ia memerlukan pendekatan baru dalam konteks cerita dan perwatakan untuk bersiang dengan kehebatan animasi tiga dimensi.

Menghasilkan filem animasi sebenarnya jauh lebih rumit dan kompleks daripada menghasilkan filem lakonan hidup.

Tetapi kemajuan teknologi animasi telah memberikan ruang kepada pembikin filem tempatan.

Filem animasi yang dimulakan dengan naifnya oleh Filem Negara Malaysia (FNM) telah mula memberikan impaknya dengan kemunculan filem animasi tempatan pertama iaitu Silat Lagenda arahan Hassan Mutalib, bekas pakar animasi daripada FNM.

Animasi tempatan kemudian berkembang dalam penghasilan produk televisyen. Filem animasi yang baru ditayangkan, Ceritera yang diterbitkan oleh Anwardi Jamil lebih layak dianggap filem animasi Indonesia.

Jadi, kemunculan Putih seharusnya memberikan kesegaran baru kepada industri filem animasi tempatan.

Putih arahan Rashid Sibir daripada skrip Azlina Din mengambil cerita rakyat Bawang Putih dan Bawang Merah sebagai dasarnya dengan memberikan pendekatan yang baru.

Paling jelas, watak Bawang Putih yang asalnya jahat telah ditukar menjadi watak baik dan watak Bawang Merah menjadi watak Jahat. Keseluruhan jalan cerita asal masih kekal.

Memang kebanyakan filem animasi cenderung mengambil cerita tradisi sebagai bahan adaptasi kerana antara faktornya adalah ia telah lama dikenali.

Sebenarnya bukan bahan ceritanya sahaja penting, tetapi keupayaan filem animasi terletak pada keupayaan memberi pelbagai pendekatan dan stail dalam menyalurkan emosi dan pemikiran yang terkandung dalam cerita itu.

Oleh itu, filem animasi perlu menciptakan mood baru daripada naratif tersebut. Ini kerana kunci utama dalam filem animasi adalah pendekatan yang tepat dalam mementaskan sekuel peristiwa daripada naratifnya.

Kemajuan yang jelas dalam Putih adalah daripada aspek pengarahan animasi yang berjaya dilakukan dengan cukup baik oleh pengarah seninya Ahmad Jamil.

Dalam filem animasi, konstruksi pergerakan yang memberikan penekanan kepada aspek berat, ruang, masa dan aliran adalah cukup penting.

Pergerakan membawakan objektif tertentu watak dan dalam animasi naratif selalunya dihasilkan menerusi pergerakan tubuh yang dihasilkan.

Selain itu, filem animasi juga menuntut ketepatan ilustrasi perwatakan daripada ekspresi fizikal yang nyata hingga kepada aksi yang dilebih-lebihkan.

Putih mengambil bentuk realisme dan watak-wataknya bergerak secara realistik.

Tetapi ini tidak menghalangnya untuk dipelbagai atau dilebihkan pergerakannya.

Kemunculan watak Gomel (kucing) dan Mikus (tikus) membenarkan manipulasi pergerakan yang dilebih-lebihkan (Hyper-real).

Hasilnya, watak-watak ini begitu memikat dan mampu menghasilkan aksi komik yang cukup menghiburkan biarpun tanpa dialog.

Dan akhirnya yang penting bagaimana semua aspek lakonan dan pergerakan ini dikareografikan.

Keupayaan kareografi yang menghasilkan dinamika pergerakan adalah prinsip naratif yang utama dalam filem animasi.

Dalam Putih, pergerakan watak-watak telah dihasilkan dengan cukup baik, halus dan lebih terperinci.

Hasilnya, ia mampu memberikan mood aksi yang diharapkan. Watak-watak Putih (Erra Fazira), Mak Kundur (Wan Maimunah), Merah (Raja Azura) dan Mak Labu (Noraini Hashim) muncul hidup dan berkesan kerana keupayaan animatornya memberi ketepatan pada kareografi lakonan, perwatakan, pergerakan dan perincian mood setiap watak.

Malah untuk watak Mak Kundur bukan sahaja menuntut ketepatan fizikal dan pergerakan animasi, malah ia diperkuatkan dengan kehebatan Wan Maimunah memberikan mimik dan karikatur suara wataknya.

Malah secara keseluruhan penciptaan bunyi dan muzik di dalam Putih wajar dipuji.

Rekaan bunyi dan muzik yang baik sangat penting dalam animasi kerana ia akan menghidupkan mood, suasana, tempo dan penekanan yang akan membantu memberikan kod visual dalam keseluruhan cerita.

Cuma filem ini belum berupaya menghidupkan adegan pertempuran perang yang ramai secara dramatik dan berkesan.

Kelemahan ini juga dikesan dalam adegan yang melibatkan watak-watak yang ramai dalam pelbagai ragam.

Keseluruhan dari segi arahan seni animasi, Putih cukup membanggakan, bagaimanapun, kelemahan olahan ceritanya wajar diberi perhatian.

Masa yang panjang dan adegan yang tidak begitu perlu dalam Putih menganggu kesan dramatik filem ini.

Pengarah dan penulis skrip perlu memadatkan cerita ini dengan mengambil kira aspek masa dan dramatik.

Pengolahan dan pengawalan naratif yang bijaksana pasti akan menjadikan Putih sebuah filem animasi yang hebat. Ini kerana Putih mempunyai nilai cerita yang universal dan arahan animasi yang baik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.