saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/11/2001

``Selamat tinggal ayahandaku''

ANTARA foto terakhir yang sempat dirakamkan ketika Almarhum di katil Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Turut serta Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah, Ku Yah dan Tengku Irina (isteri Tengku Ahmad Shah).


MUKADIMAH
RAKYAT daripada pelbagai lapisan di seluruh negara bersedih dengan kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-11, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pagi Rabu lalu.

Pemergian Raja Berjiwa Rakyat pada usia 75 tahun itu dianggap suatu kehilangan besar kepada negara kerana Almarhum begitu mesra dengan rakyat.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Almarhum menjalani rawatan selama dua bulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan kembali ke tanah air pada 18 November lalu.

Sepanjang di Singapura, ahli keluarga Almarhum yang hampir setiap masa setia menemani baginda di wad hospital itu ialah puteri keduanya, Datin Paduka Tengku Puteri Zahariah.

Tengku Puteri Zahariah, 50, atau lebih dikenali sebagai Ku Yah juga satu-satunya ahli keluarga yang sempat berbicara dengan Almarhum sebelum baginda dimasukkan ke Unit Rawatan Kardiologi (CCU) hospital itu.

``Dari wadnya di tingkat enam, kemudian ditolak ke lif dan sampai ke CCU, Almarhum tidak lepaskan tangannya yang menggenggam erat tangan saya.

``Saya cuma diberi masa dua minit bercakap dengan Almarhum. Tiada kegembiraan lain pada masa itu selain dapat memeluknya seerat mungkin dan mengajar Almarhum mengucap serta menyebut nama Allah,'' ujar Ku Yah.

Kepada wartawan FARIDAH HITAM, RAMLI ABDUL KARIM dan SAHARUDIN MUSTHAFA serta jurugambar HANAFI KHAMIS, Ku Yah yang ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur, menceritakan detik-detik terakhir beliau bersama ayahanda tersayangnya.

MINGGUAN: Tengku merupakan antara ahli keluarga diraja yang lama berada di sisi Almarhum Tuanku ketika di Singapura. Boleh Tengku ceritakan keadaan di sana ketika itu?

KU YAH: Almarhum tenat pada hari Sabtu 17 Ogos iaitu pada hari pertama berpuasa. Selepas berbuka puasa di hotel saya tergerak hati untuk berjumpa dengan Tuanku. Saya sampai lima minit sebelum pukul 8 malam.

Saya mahu lihat Tuanku sihat dan stabil kerana keesokannya iaitu hari Ahad, kami akan berlepas pulang dari Hospital Mount Elizabeth pukul 9.30 pagi ke Kuala Lumpur.

Persiapan untuk keberangkatan pulang itu sudahpun diuruskan. Rombongan Tuanku untuk pulang termasuklah sembilan doktor dan empat jururawat.

Tetapi segala perancangan berubah apabila keadaan Tuanku tidak menentu dan semakin tenat. Ia bermula selepas santapan malam baginda kira-kira pukul 8.30 malam.

Saya masih ingat, Almarhum meminta nasi goreng udang dan sup jernih. Itulah kali terakhir baginda bersantap. Tetapi baginda cuma makan empat suap nasi goreng dan beberapa hirup sup. Selepas itu baginda tolak pinggan, tidak mahu makan lagi.

Setengah jam selepas bersantap, tiba-tiba saja baginda sesak nafas dan tercungap-cungap.

Siapa ahli keluarga lain yang ada bersama-sama Tengku pada masa itu?

KU YAH: Semasa itu, cuma saya seorang yang ada. Tuanku Permaisuri Agong ketika itu masih berada di penginapannya di Hotel Shangri-La.

Selain saya, ada seorang jururawat bernama Siti Zanariah dan pembantu Istana Negara, Akram, orang yang Tuanku selesa dengannya. Seorang lagi ialah Sulaiman, pembantu khas untuk hal ehwal pakaian Tuanku.

Boleh jelaskan bagaimana keadaan Almarhum yang tenat ketika itu?

KU YAH: Almarhum nampak begitu gelisah. Ada sajalah yang tidak kena dan tidak selesa. Tuanku hendak bergerak dan betulkan kedudukan badannya. Suara Tuanku semasa itu sudah jadi garau, masuk ke dalam.

Saya sendiri menyedari kelainan pada Almarhum. Setiap seminit, beritahu bantalnya tidak letak betul. Kemudian saya rasa kakinya sejuk panas, sejuk panas.

Ketika itu, Almarhum tidak benarkan saya berenggang dengannya. Tuanku asyik genggam tangan saya, tidak lepas-lepas.

Dengan keadaan menggigil dan tercungap-cungap Almarhum berkata: ``Sempat tak, sempat tak hajat aku hendak balik ke Malaysia ni?'' Tuanku sedar Tuanku akan pulang pada keesokannya tetapi bertanya demikian memandangkan keadaannya yang terlalu tenat.

Berkali-kali Tuanku ulangi pertanyaan sama ada baginda sempat pulang atau sebaliknya.

Saya kata: ``Ini perjanjian Yah dengan ayah. Yah akan pastikan ayah sempat balik. Yah janji ayah akan balik esok.''

Dalam tercungap-cungap Tuanku menyambung: ``Aku tak nak mati di sini. Aku nak habis (mangkat) di sana. Rakyat tak bersalah, rakyat tak berdosa, ayah yang lambat-lambatkan tak mahu balik.''

Berkali-kali Tuanku ulang. Ini mungkin kerana Tuanku tersentuh hati apabila semua pemimpin yang menziarahinya menyampaikan berita bahawa rakyat di Malaysia sedang menantikan kepulangan Tuanku.

Maknanya, rakyat minta Tuanku pulang cepat. Sebab itu Tuanku menyalahkan dirinya sendiri.

Antara titah Tuanku berkenaan rakyat ialah: ``Ayah tahu rakyat semua tunggu kepulangan ayah. Ayah nak tunjukkan yang ayah sudah baik. Ayah hendak tunjuk pada rakyat ayah turun kapal terbang, ayah sudah boleh berjalan.''

Selepas itu Almarhum tiba-tiba banyak menyebut nama Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

``Mahathir suruh ayah pulang tetapi ayah tidak buat apa-apa keputusan. Sekarang ayah sudah baik. Mahathir hendak tengok ayah berjalan bila sampai.''

Kemudian saya terkejut apabila tiba-tiba Almarhum bertanya: ``Mahathir tadi ada di sini, ayah nampak, mana dia?''

Apa reaksi Tengku pada masa itu?

KU YAH: Saya rasa pelik. Sebab Dr. Mahathir memang tiada di situ, Perdana Menteri ada di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya sedar inilah tanda-tanda akhir hayat Almarhum.

Tuanku melenting sambil berkata: ``Awak tengok kan, ayah cakap dengan Mahathir tadi. Mana dia, pergi panggil dia?''

Apabila saya kata Dr. Mahathir sudah keluar, Tuanku bertanya lagi: ``Kenapa dia pergi cepat, panggil dia sekarang?''

Akhirnya, saya terpaksa berbohong menyatakan Dr. Mahathir pergi sembahyang demi untuk memastikan Almarhum senang hati.

Kemudian Tuanku bercakap lagi dan terus bercakap yang kadang-kadang saya sendiri tidak tahu buah butir percakapannya. Tuanku seolah-olah tidak sabar hendak pulang.

Apa tindakan Tengku selepas melihat keadaan Almarhum?

KU YAH: Apabila berjumpa dengan Datuk Dr. Zainal, doktor peribadi Perdana Menteri, saya beritahu dan merayu kepadanya supaya bawa balik Tuanku ke Kuala Lumpur secepat mungkin.

Dr. Zainal segera membuat persiapan termasuk jet peribadi untuk menerbangkan Almarhum Tuanku.

Dr. Zainal beritahu bahawa kami akan pulang antara pukul 2.30 dan 3.30 pagi.

Sebelum itu, kira-kira pukul 11.00 malam keadaan Tuanku menjadi semakin tenat sehingga menyebabkan sepasukan doktor yang merawat Almarhum membuat keputusan untuk memasukkannya ke CCU.

Ekoran itu, Tuanku terpaksa dipindahkan dari wad diraja di tingkat enam ke CCU di tingkat tiga.

Semasa di dalam lif juga, tangan Tuanku terus menggenggam saya seperti tidak mahu dilepaskannya. Ketika keluar dari lif, Almarhum sekali lagi meracau-racau bertanyakan saya dan Akram ke mana baginda mahu dibawa.

Sekali lagi, saya terpaksa berbohong mengatakan kami hendak membawanya bersiar-siar. Almarhum bertambah gelisah.

Tuanku memandang muka Akram sambil memberitahu baginda hendak bangun dan mahu berjalan.

Saya dan Akram terus memegang dan menghalang baginda daripada bangun.

Doktor yang melihat kami terus memberi isyarat supaya cepat, lalu kami berlari membawa baginda masuk ke CCU.

Dr. Rosli dari IJN yang saya temui di situ berbisik ke telinga saya sambil berkata: ``Tengku, inilah masanya kalau Tengku nak cakap apa-apa dengan Tuanku... saya benarkan hanya dua minit. Lepas itu, your father (Almarhum) tidak boleh lagi bercakap.

Saya kemudian bertanya kepada Dr. Rosli, adakah nanti balik ke Kuala Lumpur Tuanku boleh bercakap.

Jawapan Dr. Rosli: ``Minta maaf. Selepas semua peralatan dipasang, Tuanku tidak boleh bercakap lagi.''

Bagi saya dua minit itu terlalu singkat. Tetapi saya terpaksa terima kenyataan dan hakikat. Dua minit itulah masa keemasan saya yang tidak ternilai.

Seminit pertama saya gunakan kesempatan itu memeluk Tuanku seerat-eratnya. Dan memohon ampun maaf atas kesilapan saya.

Keadaan baginda ketika itu tercungap-cungap dan saya lihat baginda terangguk-angguk seolah-olah mengampunkan saya.

Seminit lagi saya bercakap di telinga dan mengajar Almarhum untuk mengucap dan menyebut nama Allah beberapa kali.

Saya dengar baginda menyebut beberapa kali nama Allah dalam suara yang dalam. Jururawat Siti Zanariah juga membantu saya mengajar Almarhum mengucap.

Selepas itu, doktor sudah memberi isyarat dari jauh kepada saya bahawa masa dua minit sudah pun tamat.

Saya tidak boleh lagi bercakap dan Siti Zanariah serta doktor menarik saya daripada terus memeluk Almarhum.

Saya tidak mampu untuk lepaskan Tuanku kerana ketika itu tangan baginda dan saya masih erat bergenggaman.

Dalam `dua minit emas' itu saya bercakap dengannya sebelum melihat sendiri Tuanku menutup mata setelah dibius. Walaupun singkat, saya tetap bersyukur.

Selepas itu saya tidak lagi mendengar suara-suara Almarhum. Itulah yang berlaku pada 17 November sejurus sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Selepas keluar dari CCU, saya telefon abang saya (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) memberitahu Almarhum semakin tenat.

Saya beritahu abang saya supaya tunggu kami di KLIA pukul 6 pagi dan juga sampaikan berita kepada semua adik-beradik dan saudara-mara yang lain.

Saya bersyukur kerana akhirnya janji kepada Tuanku saya tunaikan dan saya menadah tangan kepada Allah. Biarpun Tuanku tidak sedar, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah memenuhi janji. Tuanku selamat tiba di Kuala Lumpur.

Apa yang berlaku sewaktu di Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur?

KU YAH: Semua orang yang ada termasuk doktor-doktor yang mengiringi Tuanku cuba memberitahu Almarhum bahawa baginda sudah selamat tiba di Kuala Lumpur.

Saya masih ingat apabila Dr. Mahathir pada hari pertama datang menziarahi Almarhum dan berkata: ``Tuanku, tuanku... ini Mahathir dengan Hasmah. Tuanku sekarang sudah ada di Kuala Lumpur.''

Saya bersyukur. Pada hari kedua Dr. Mahathir datang lagi ziarah Almarhum selepas sembahyang tarawih.

Dr. Mahathir berpuluh kali cuba memberitahu: ``Tuanku, tuanku, ini Mahathir, Hasmah ada sama.''

Perdana Menteri mengulangi perkataan yang sama walaupun Almarhum tidak sedar ketika itu. Malah anggota tubuhnya juga langsung tidak ada pergerakan.

Beliau berada di hospital itu kira-kira sejam.

Akhirnya, selepas 25 minit Dr. Mahathir keluar masuk bilik dan mengulangi perkataan sama, Almarhum menunjukkan respons dengan sedikit pergerakan badannya seperti menggigil. Manakala bibirnya terbuka dan terkumat-kamit perlahan seakan-akan mahu memberitahu sesuatu kepada Perdana Menteri.

Tuanku macam hendak bercakap tetapi tidak terkeluar suaranya. Air mata Tuanku pada masa itu berlinangan keluar. Dr. Siti Hasmah mengambil tisu dan mengelap air mata di kelopak mata Tuanku. Mungkin Almarhum menangis kerana hajatnya untuk memberitahu sesuatu kepada Dr. Mahathir tidak tercapai.

Saya bersyukur kerana akhirnya permintaannya untuk Dr. Mahathir berada di sisinya telah tercapai. Ia berlaku selepas Tuanku ``hendak sangat berjumpa Mahathir'' dan terkilan ``kenapa Mahathir cepat keluar'' pada malam Almarhum dimasukkan ke CCU (Sabtu) di Singapura.

Saya tahu Tuanku sangat sayangkan Dr. Mahathir. Apa-apa hal pun, Tuanku akan cari Dr. Mahathir untuk meluahkan perasaannya atau mengadu sesuatu. Selama ini Dr. Mahathirlah tempatnya mengadu.

Adakah Tengku ada di sisi Almarhum sebelum kemangkatannya?

KU YAH: Ya. Anak saya, Syed Budriz panggil saya dari hospital beritahu Almarhum yang dipanggilnya Atuk Tan sedang nazak. Tanpa berlengah-lengah saya pandu sendiri kereta berkejar ke hospital.

Apabila sampai, saya tengok bibir Almarhum telah pun lebam. Masa itu, Datuk Abu Hassan Din minta saya ajarkan Almarhum mengucap sepanjang masa.

Adik-beradik saya juga ada di sisi Tuanku ketika itu. Ketika itu, masanya sudah hampir tiba apabila mesin penyambung hayat menunjukkan bacaan melompat dari atas ke bawah. Daripada 34 ke 90, daripada 90 ke 20 dan 20 ke 102.

Ketika itu, apa yang boleh kami lakukan hanyalah berpelukan sesama adik-beradik di samping membacakan ayat-ayat suci yang didahului oleh Datuk Abu Hassan Din.

Apabila Almarhum mangkat, apakah perasaan Tengku selepas itu?

KU YAH: Saya rasa Tuanku seperti masih ada lagi. Sebab selama dua bulan saya jaga dia, siang malam 24 jam. Itulah rutin saya selama dua bulan itu. Datang 9.45 pagi hingga ke malam. Selepas Tuanku bersantap malam kira-kira pukul 9 malam, barulah saya pulang ke hotel.

Saya juga sudah seperti press secretary (setiausaha akhbar) kepada Almarhum. Tiap-tiap hari saya kena baca suratkhabar. Tuanku suka baca akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia. Hari-hari mesti saya bacakan laporan akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu kepadanya.

Sepanjang dua bulan itu, antara berita yang mesti saya laporkan kepada Almarhum ialah mengenai Dr. Mahathir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo dan berita mengenai Taliban serta Osama bin Laden.

Anak saya sendiri Budriz tidur di wad selama sebulan di hujung kaki Almarhum semata-mata untuk memastikan Tuanku ditemani dan gembira.

Semasa Budriz di sana, dia ada bawa isterinya sesekali. Selain itu, Budriz juga bawa anaknya, Syed Aqil Harryth kerana Almarhum teringin sangat hendak jumpa dengan cicit sulungnya itu.

Kad berserta gambar anak Budriz sentiasa diletakkan di sebelah katil Tuanku.

Sebab itu, apabila begitu lama iaitu dua bulan menjaga Tuanku terus-menerus, saya rasakan Almarhum seperti masih ada bersama saya. Suara-suara Almarhum masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Saya sedar dan akur bahawa yang pergi tetap pergi. Cuma, perasaan saya seperti menganggap Almarhum masih hidup di samping saya.

Sebelum mangkat, apakah pesanan-pesanan lain Almarhum berkaitan negeri Selangor?

KU YAH: Tuanku hendak Selangor mesti aman, tidak mahu ada huru-hara. Tidak mahu orang mencerca, mengata, mengejek dan memperkecilkan Menteri Besar Selangor.

Almarhum juga ada kata: ``Rakyat Selangor sayang aku. Aku mesti sayangkan rakyat. Rakyat juga mesti sayang Sultan Selangor yang baru jika aku sudah tidak ada.''

Apa yang Almarhum paling tidak suka anak-anaknya lakukan?

KU YAH: Yang paling tidak disukainya ialah apabila anak-anaknya melakukan perkara-perkara boleh memalukan Tuanku dan istana. Tuanku begitu pentingkan soal maruah keluarga dan istana.

Apakah kenangan Tengku bersama Almarhum sebagai anak dan ayah yang paling sukar dilupakan?

KU YAH: Kenangan paling sukar saya lupakan ialah apabila Almarhum menerima saya kembali sebagai anaknya selepas murka setelah perkahwinan saya dengan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Waktu itu, Almarhum memeluk dan mencium saya selepas saya berlutut memegang kaki dan memohon ampun atas kesilapan saya.

Almarhum berkata pada saya, kemarahannya adalah kemarahan seorang bapa kepada anaknya: ``Walau apa sekalipun berlaku, kau tetap anak aku. Aku nak kau bahagia dan tak mahu kau tercampak.''

Saat Almarhum Tuanku menerima saya kembali sebagai anaknya itu benar-benar membuatkan saya begitu terharu.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan saya jika Almarhum masih tidak maafkan saya sehingga kini. Tentu saya akan kecewa seumur hidup.

Alhamdulillah, kemaafan yang diberikan oleh Tuanku benar-benar membuatkan saya bahagia.

Apakah pesanan terakhir Tengku kepada rakyat jelata?

KU YAH: Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada sekalian rakyat yang memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Terima kasih juga kepada semua yang mengadakan bacaan tahlil di masjid-masjid dan surau serta menghadiahkan al-Fatihah kepada Almarhum.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Almarhum diletakkan dalam golongan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.