saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 01/12/2001

Novel Malaysia - Catatan sejarah awal

Bahagian Satu
Oleh Dr. Syed Othman Syed Omar
KAJIAN terbaru mendapati novel terawal di Malaysia ialah Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kesenangan (Hikayat Panglima Nikosa atau HPN) oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid. Ia tercetak di Bukit Persinggahan, Kuching, Sarawak pada 8 Jamadil Akhir tahun 1293 Hijrah, bersamaan 30 Jun 1876 Masehi.

Novel ini ditulis dalam tulisan Jawi sebanyak 29 halaman. Keseluruhannya menepati ciri-ciri novel moden. Walaupun novel pendek ini menggunakan judul hikayat tetapi unsur dalaman seperti tema, latar, perwatakan, teknik penceritaan dan sudut pandangan, berbeza sama sekali daripada hikayat atau romance. Kebanyakan novel awal, termasuk novel 1920-an, memakai judul hikayat.

Secara ringkas novel HPN menampilkan Nikosa, berusia 18. Kisahnya dikatakan berlaku ``pada zaman ini'' latar yang disebut ``di dalam negeri yang di sebelah Timur''. Negeri ini menjadi huru-hara kerana kedatangan perompak dan penyamun, yang disebut sebagai ``musuh itu makin menjadi berani setiap tahun''.

Mereka mencuri, menyamun dan merompak hasil tanaman anak negeri, menyebabkan ``sekalian orang-orang perempuan dan anak-anak kecil berteriak-teriak di dalam tidurnya sebab di dalam tidurnya adalah termimpi-mimpi musuh datang hendak melanggar rumah, demikian siang dan malam.''

Nikosa mengumpulkan 300 pemuda yang sanggup membenteras kejahatan di tanah airnya. Penonjolan 300 pemuda menjadi watak tipa induk, yang mengingatkan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan 313 tentera yang mengalahkan musuh kaum musyrikin Arab dalam Perang Badar. Bersama pemuda gigih dan berani ini, Nikosa berjuang selama 10 tahun dan berjaya mengalahkan empat negeri.

Dua tahun kemudian beliau kembali dan diberi gelaran Panglima Nikosa. Waktu itu Nikosa berusia 30 tahun, beristerikan gadis Jalila dan mendapat dua anak. Bersama kawan-kawannya, Nikosa telah membuka sebuah negeri Jalanan Baharu. Waktu negeri itu baru dibuka dan sedang makmur, seorang pemuda miskin dari Sungai Tuku bernama Pilina, 25, menemui Panglima Nikosa.

Pertemuan Pilina dengan panglima Nikosa inilah tema utama novel ini. Panglima Nikosa telah memberi ``nasihat pertanian'' kepada pemuda itu sehingga 12 tahun kemudiannya Pilina menjadi kaya raya.

Dalam ``nasihat pertanian'' itu, Panglima Nikosa menekankan pentingnya tanah diusahakan dengan teratur dan menggunakan ilmu pertanian yang tinggi. ``Nasihat pertanian'' ini adalah sindiran pengarang kepada penjajah Inggeris yang tidak mempedulikan tanah subur Sarawak supaya diusahakan oleh bumiputera.

Sebanyak 14 halaman menerangkan belok dan ilmu pertanian, 11 halaman untuk gambaran perjuangan dan dua halaman untuk gambaran kemakmuran negeri Jalanan Baharu. Seluruhnya bersifat realistik dan memenuhi ciri-ciri novel moden hari ini.

Selepas 48 tahun HPN diterbitkan muncul novel bersifat saduran, Kecurian Lima Million Ringgit oleh Muhammad Muhammad Said di Kelantan pada 1922. Kemudian novel Syair Cerita Bijaksana oleh Abdul Rahman Daud al-Makki dan Hassan Omar pada 1923, Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh Ahmad al-Hadi pada 1925/26 yang juga novel saduran, Kawan Benar (1927) dan Iakah Salmah (1928) kedua-duanya oleh Muhammad Rashid Talu.

Kemudian diterbitkan Hikayat Percintaan Kemudaan (1927) oleh Ahmad Kontot dan Mencari Isteri (1928/29) oleh Muhammad Yusof Ahmad.

Kecurian Lima Million Ringgit mengisahkan kelicikan dan kepintaran John Sinclair (pencuri di Eropah), Jack Hocker (penipu yang pintar di Amerika), Nicholes Carter (detektif yang terkenal di Amerika) dan Mr. Baxter (ketua polis yang mashyur kerana ketajamannya mencium dan memahami segala tipu helah penjahat termasuk pencuri dan penipu).

Penduduk di kota London dan Amerika bimbang kerana penipuan dan kecurian berleluasa. Bagaimanapun, tindakan bijak detektif Nicholes Carter Baxter menjadikan kawasan itu aman.

Persoalan emansipasi wanita diketengahkan dalam Hikayat Faridah Hanum dan Iakah Salmah?. Faridah Hanum seorang gadis terpelajar di Mesir dan Salmah gadis terpelajar di Pulau Pinang walaupun mempunyai latar yang berbeza tetapi memperjuangkan kebebasan wanita dalam masyarakat.

Oleh kerana penulis Hikayat Faridah Hanum seorang reformasi Islam yang terkenal, perwatakan Faridah Hanum banyak menekankan soal agama Islam. Iakah Salmah pula banyak memperkatakan soal adat dalam masyarakat Melayu. Soal Islam yang disentuh secara tidak langsung.

Mencari Isteri mengisahkan Mahmud dan Adnan yang terdidik di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Mereka menjadi pegawai dan menyanjung penjajah Inggeris. Dalam rumah mereka hanya ada buku dan akhbar berbahasa Inggeris. Mereka bercakap menggunakan kalimat ``tuan'' antara satu sama lain. Mereka gemar mencemikkan aturan dan kezaliman Melayu dulu.

Sebagai orang moden Mahmud membela anjing dalam rumah. Ini sesuai dengan sikapnya yang mencintai Miss Yap Ah Moi seorang gadis Cina anak tauke lombong bijih timah. Kedua-dua mereka mengangap gadis Melayu bodoh dan tidak tahu bergaul. Kerana itu mereka tidak mahu beristerikan gadis Melayu tetapi mereka gagal dan akhirnya berkawin dengan gadis pilihan keluarga.

Ini adalah novel pertama membawa tema asimilasi kaum. Percintaan Mahmud dengan Miss Yap Ah Moi merupakan bibit perpaduan antara dua keturunan yang berbeza adat, budaya dan agama. Kegagalan percintaan mereka menggambarkan bahawa setiap orang Melayu tidak mungkin terpisah dengan adat, budaya dan agamanya, Begitu juga kaum Cina yang akhirnya kembali kepada adat Cinanya.

Bersambung...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.