saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/12/2001

Syed Faizuddin timba pengalaman pada usia muda

Pemangku Raja Perlis Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin ialah seorang yang aktif dalam kariernya di bidang pemasaran sewaktu berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS).

Melalui kerjaya yang diminatinya itu, baginda menimba banyak pengalaman dengan merantau ke segenap pelosok dunia dalam usia yang muda.

Baginda yang akan genap berusia 34 tahun pada 30 Disember ini adalah putera sulung Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang pada Rabu lalu dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Baginda diputerakan pada 30 Disember 1967 dan dilantik sebagai Raja Muda Perlis pada 12 Oktober tahun lepas bagi menggantikan ayahandanya yang telah bergelar Raja Perlis.

Syed Faizuddin memulakan pengajian di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar pada 1974 hingga 1979 sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Derma juga di Kangar antara tahun 1980 dan 1982.

Mulai 1983, baginda meneruskan pengajian di Penang Free School sebelum berangkat ke Australia untuk melanjutkan pelajaran di Carey Grammar School, Melbourne sehingga 1985.

Pada 1989, Syed Faizuddin memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi selepas menamatkan pengajian empat tahun di Universiti La Trobe di Melbourne.

Tidak seperti ayahandanya yang memulakan kerjaya dalam bidang ketenteraan, Syed Faizuddin menyertai sektor swasta dengan berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia selama lebih 10 tahun sejak 1990.

Baginda hanya bertugas sebagai eksekutif muda pada 1990 sebelum menjadi eksekutif pemasaran dan jualan antarabangsa bagi pasaran Australia, Eropah, Asia Barat dan India pada 1992-1993.

Pada 1994, baginda diberi tambahan tugas untuk menguruskan pemasaran di kawasan yang lebih luas membabitkan kawasan Asia dan Afrika.

Karier baginda dalam MAS kian cemerlang apabila mulai 1995, baginda dilantik sebagai pengurus kawasan untuk Sepanyol dan Portugal yang berpejabat di Madrid. mulai 1998 hingga akhir tahun ini baginda menjadi pengurus kawasan bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah dengan berpejabat di Zurich.

Antara kegiatan yang digemari oleh Syed Faizuddin ialah melancong. Baginda juga menggemari sukan bola sepak, sepak takraw serta badminton dan sedang berjinak dengan golf.

Syed Faizuddin bertemu jodoh dengan Lailatul Shahreen Datuk Khalil pada 9 Mei 1994. Mereka berdua sama-sama menuntut di Melbourne.

Lailatul Shahreen, 31, yang kini bergelar Raja Puan Muda Perlis, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang kemanusiaan dan kini menjadi Presiden Persatuan Alumni La Trobe (PALTUM).

Mereka dikurniakan dua puteri, Syarifah Khatreena Nuraniah yang kini berusia enam tahun dan Syarifah Farah Adriana yang dilahirkan 4 Mac lepas.

Sempena ulang tahun keputeraan Almarhum Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Jamalullail pada tahun 1998, baginda dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain negara-negara maju di Eropah termasuk di Eropah Barat dan Skandinavia, benua Asia seperti Jepun, Hong Kong dan Arab Saudi, pantai barat dan timur Amerika Syarikat dan Afrika Selatan, baginda juga pernah berangkat ke negara membangun seperti Argentina, Brazil, Chile, Mexico, Romania, Hungary, Slovakia, Bangladesh, Sri Lanka, Mesir dan Maghribi, antara lain sama ada untuk mengiringi Tuanku Raja Perlis sekeluarga ataupun oleh kerana keperluan pekerjaan di MAS.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perlis pada 1 Ogos 2000.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.