saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/02/2002

Perginya seniman berwatak bengis

Belasungkawa
Oleh ROSLI MANAH
(WARTAWAN UTUSAN)
WATAK pembengis, dengki dan jahat yang dilakonkan oleh seniman Datuk Mahmud June cukup sinonim dan berkesan sehingga dia dibenci di luar filem.

Mimik wajahnya yang garang, cara ketawa dan dialog sombong yang dilakonkan olehnya, membuatkan Mahmud dibenci oleh peminat pelakon watak hero dalam filem.

Kini, wajah dan lakonannya di dalam filem-filem Melayu lama tinggal menjadi nostalgia apabila seniman itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selangor, kira-kira pukul 5.50 petang semalam kerana menghidap penyakit asma.

Mahmud June atau nama sebenarnya Mahmud Junit Derani, 81, adalah seorang pelakon yang mengabdikan diri dalam seni sehingga ke akhir hayat.

Allahyarham muncul sebagai pelakon undangan khas walaupun kesihatannya tidak begitu baik sekitar empat tahun lalu.

Antara drama terakhir Allahyarham ialah Sementara Masih Ada Kasih, Hadiah, Dunia Syukri dan Amanah Kasih sekitar tahun 1997.

Filem Layar Lara arahan Shuhaimi Baba pada tahun 1996, mengisahkan nasib pelakon pada masa tua mereka, adalah filem terakhir lakonan Allahyarham.

``Saya memenuhi permintaan pengarah yang masih memerlukan khidmat saya,'' kata Allahyarham semasa ditemui sebelum jatuh sakit tidak lama dulu.

Malah, Allahyarham pernah menyatakan yang dia ingin berlakon sehingga ke akhir hayat dan tidak ada istilah bersara baginya sebagai pelakon.

Allahyarham semasa sihatnya akan berasa bosan sekiranya tidak berlakon dan membuatkan dia jatuh demam.

``Lakonan telah sebati dengan jiwa saya dan saya tidak selesa kalau tidak berlakon,'' kata Allahyarham pada satu temu ramah lain, tidak lama dahulu.

Allahyarham juga menghabiskan sisa kehidupan hari tuanya dengan aktiviti amal dengan mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran di rumahnya di Kampung Laksamana, Selayang, Selangor.

Mengimbas pembabitannya, Allahyarham sebenarnya menjadi pelakon tanpa disengajakan kerana semasa melangkah keluar dari rumahnya di Alur Ganu, Alor Setar, Kedah, dia sebenarnya ingin mempelajari agama di Batu Kurau, Perak.

Apabila singgah di Ipoh, dia berkenalan dengan ketua stesen kereta api Ipoh dan menjadi anak angkat lelaki itu seterusnya bekerja di situ.

Kedatangan kumpulan bangsawan terkenal pada masa itu, Grand Nooran Opera, membuatkan dia mengikut rombongan bangsawan itu. Mahmud bekerja sebagai tukang sapu. Pada masa yang sama, Allahyarham belajar menari, menyanyi dan berlakon dan akhirnya berlakon bangsawan bersama kumpulan itu.

Apabila aktiviti bangsawan merosot setelah filem semakin banyak diterbitkan, Allahyarham juga sebagaimana pelakon bangsawan lain memilih berlakon filem.

Allahyarham berlakon dengan studio Cathay Keris dan berhijrah ke Singapura.

Filem pertama lakonan Allahyarham berjudul Orang Licin pada tahun 1957.

Sepanjang kerjayanya, Mahmud berlakon lebih 100 buah filem. Kebanyakannya membawakan watak jahat.

Antara filem lakonannya ialah Orang Licin, Raden Mas, Orang Minyak, Seri Mersing, Jalak Lenteng, Keris Sempena Riau, Selendang Merah, Siti Payung, Dajal Suci dan banyak lagi.

Antara penghargaan yang diterima oleh Allahyarham semasa hayatnya ialah Pelakon Terbaik-Anugerah Seniman (1974), Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Pertama (1980) melalui filem Sumber Ilhamku.

Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-2 (1982) menerusi filem Langit Petang dan Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia Ke-6.

Walaupun lakonannya sering menampilkan dirinya sebagai seorang pembengis, namun Allahyarham sebenarnya seorang yang suka berjenaka.

Malah, cara dia ketawa juga boleh membuatkan penonton tercuit hati. Kini, Mahmud meninggalkan dunia lakonan buat selama-lamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.