saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/03/2002

Format baru THR.fm - Tidak berniat bersaing dengan radio ERA

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
([email protected])

SUATU masa dahulu, pada awal penyiarannya, stesen radio Time Highway Radio (THR) merupakan antara radio swasta yang begitu berpengaruh di negara ini.

Populariti yang dicapainya menyebabkan stesen tersebut mendominasi hampir keseluruhan pendengar radio tempatan.

THR pada ketika itu juga dilihat menyuntik angin baru dalam dunia penyiaran, khususnya radio.

Peralihan masa bagaimanapun menyebabkan stesen yang mula beroperasi sejak 1996 itu berdepan dengan satu demi satu persaingan sehingga menyebabkan popularitinya mula pudar.

Dalam konteks ini, THR tidak dapat menolak hakikat bahawa kemunculan stesen radio yang paling popular masa kini, ERA sedikit sebanyak menggugat kedudukannya.

Biarpun begitu, THR tidak melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, THR atau dikenali sebagai THR.fm, yang kini diterajui oleh ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Abdul Aziz Hamdan mengakui inilah masa terbaik untuk stesen yang dikemudinya itu disuntik dengan pelbagai perubahan dan idea baru yang lebih segar.

Ketika ditemui Mingguan di pejabatnya di Tingkat 10, Wisma TIME, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Aziz optimis THR.fm di bawah penyeliaannya akan mencapai sasaran dalam tempoh terdekat.

``Saya tidak berniat untuk bersaing dengan mana-mana stesen radio khususnya ERA seperti yang disangkakan oleh banyak pihak,'' jelas Aziz mengenai kekeliruan sesetengah pihak mengenai pelantikannya ke jawatan CEO di stesen radio tersebut.

Aziz bagaimanapun berikrar untuk meletakkan THR.fm sebagai sebuah stesen radio yang tulen serta mempunyai identiti tersendiri.

``Dalam dunia penyiaran yang semakin kompetitif, saya harus memastikan THR.fm memiliki karisma dan konsep yang tersendiri.

``Justeru, pelbagai perubahan telah saya dan warga kerja di THR.fm lakukan semata-mata untuk memulihkan kembali kedudukannya,'' kata Aziz.

Sebelum menduduki kerusi CEO THR.fm, Aziz merupakan seorang veteran dalam pemasaran waktu siaran. Beliau memiliki pengalaman selama 13 tahun di TV3 - stesen televisyen swasta pertama negara.

Aziz kemudian berhijrah ke agensi pemasaran waktu siaran komersial bagi TV2 - Radio Televisyen Malaysia (RTM), Commercial Airtime Marketing (Commark) dengan menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) selama empat tahun.

Ketika berkhidmat di TV3, Aziz juga salah seorang anggota pasukan khas yang terbabit dalam proses penubuhan stesen televisyen swasta di Ghana.

Berusia 41 tahun, Aziz pernah terbabit dengan penganjuran Holiday On Ice oleh Warner Bros. selain persembahan Walt Disney - Toy Story di ibu negara, sebelum ini.

Menjelas lanjut perubahan di THR.fm, Aziz berkata, perubahan yang dilakukan itu selaras dengan matlamat stesen swasta itu yang ingin memberi pendidikan dan hiburan kepada para pendengar.

Perubahan paling drastik yang diatur oleh Aziz yang turut dikenali sebagai `The Chief' di kalangan kakitangannya ialah meletakkan sasaran pendengar THR.fm kepada hanya dua kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu dan Tamil.

THR.fm, kata Aziz, memperuntukkan 60 pe-ratus masa siaran radio tersebut dalam bahasa Melayu dan selebihnya pula siaran bahasa Tamil.

Pengenalan sasaran ini menurut Aziz, dilakukannya bersandarkan kepada formula Unit Selling Point (USP) yang pada pendapatnya akan mengukuhkan lagi strategi dalam bidang pemasaran.

``Saya harus mengakui, saluran bahasa Inggeris yang dikendalikan di THR sebelum ini gagal berfungsi dengan baik, justeru saya membuat keputusan mematikan sahaja saluran tersebut dan memberi laluan kepada siaran bahasa Tamil,'' jelasnya.

Rasional mematikan siaran bahasa Inggeris dan memberi tambahan masa siaran 40 peratus kepada bahasa Tamil kata Aziz, bersandarkan kepada formula USP.

Siaran untuk bahasa Inggeris kata beliau, terpaksa dikurangkan kerana di negara ini sudah terlalu banyak saluran radio yang menggunakan bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, Aziz memberitahu, orang Tamil di negara ini pula ketandusan saluran radio yang menampilkan kelainan serta menampilkan konsep kontemporari yang boleh menarik minat mereka.

``Bertitik tolak daripada hasil kajian itulah saya memberanikan diri mengubah konsep penyiaran di THR.fm,'' terang Aziz lagi.

Keberaniannya melakukan perubahan itu nyata menyebelahinya, apabila pendengar bagi siaran kedua-dua bahasa tersebut mula menunjukkan pertambahan jumlah pendengar.

Tiga slot di THR.fm yang mempunyai pengikut yang setia ialah Gegar, Raaga dan Hindi Power.

THR yang dipancarkan menerusi gelombang siaran 99.3FM (bagi Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya) beroperasi 24 jam sehari.

Ekuiti THR.fm dikuasai oleh tiga pihak iaitu Anaza Sdn. Bhd., yang menguasai 60 peratus, Kementerian Kewangan (30 peratus) dan Bernama (10 peratus).

Stesen tersebut mempunyai barisan penyampai terkenal seperti Nasa, Andy Hakim, Richie Rachman, Helmi Gimmik, Aby Fana, Isma Halil, Din Murai dan Nani yang mengelolakan slot Gegar.

Sementara sembilan lagi penyampai yang menjadi tonggak kekuatan slot Raaga ialah Indhran, Selvi, Maran, Ram, Gheeta, Ananda, Priya, Uthaya dan Premi.

Aziz juga tidak menolak hakikat bahawa angin perubahan yang dibawa ke THR.fm juga seiring dengan matlamatnya untuk menampilkan kelainan selain mewujudkan radio mesra pendengar.

Sebaik memiliki pendengar sasarannya, tugas THR.fm untuk merangka dan memenuhi tuntutan pendengar menjadi lebih mudah.

``Pada awalnya tugas menjadi begitu sukar kerana saya dan warga kerja di THR.fm sukar meramal apa tuntutan pendengar. Bagaimanapun, senario itu berubah apabila kami mempunyai jawapannya,'' kata Aziz lagi.

Berikutan THR.fm cuba menjadi stesen radio yang mesra pendengar, Aziz bersikap terbuka dan diberi kebebasan menggunakan bahasa pertuturan seharian bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pendengar.

``Biarpun begitu, semuanya tertakluk kepada garis panduan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,'' katanya lagi.

Menurut Aziz lagi, meskipun kebanyakan penyampai THR.fm dikenali umum dan mampu mencipta nama sebagai celebrity namun mereka tidak digalakkan berbuat begitu.

``Syarikat tidak mahu menampilkan penyiar dengan cerita-cerita sensasi melainkan cerita yang berkaitan dengan tugas mereka sahaja.

``Kita mahu penyiar THR dikenali kerana kerja mereka yang menceriakan pendengar dan bukan cerita murahan,'' tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi yang tercetus tidak lama dahulu mengenai program terbitan THR.fm yang begitu daring, Aziz memberitahu, beliau bersikap terbuka bila berdepan dengan kritikan.

Kritikan itu juga kata Aziz, tidak pernah mematikan usaha dan cita-citanya untuk memperkenalkan program yang lebih berani dalam membicara dan mengupas hal-hal yang selama ini dianggap sebagai rahsia rumah tangga.

``Kini program Nostalgia Malam Pertama diperkenalkan dan sambutan daripada pendengar cukup baik.

``Kami tidak melihat penerbitan program-program seperti ini cenderung ke arah keruntuhan moral, sebaliknya, melalui program ini pendengar terdedah kepada pelbagai perkara yang boleh dijadikan panduan,'' Aziz mempertahankan stesennya.

Aziz memberitahu, matlamat penerbitan program Nostalgia Malam Pertama bukan bermotif untuk mendidik pendengar hal-hal mengenai seks.

Sebelum ini, THR.fm dikritik hebat berikutan program Kontroversi yang dikelolakan oleh Richie Rachman bebas berbicara mengenai hal-hal rumah tangga sehingga dibawa ke kabinet.

Pengenalan program sebegini juga kata Aziz, seiring dengan usaha mereka untuk menjadikan THR.fm sebagai new thinking radio.

Yang pasti, jauh di sudut hati Aziz setidak-tidaknya sudah boleh mengakui THR.fm kini sedang melangkah penuh bergaya dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah stesen radio swasta yang disegani.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.