saya nak baca ..

PENDIDIKAN


ARKIB : 08/03/2002

SK Batu Lima - Amal pendekatan keluarga

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
SEKOLAH Kebangsaan Batu Lima (SKBL) di daerah Sik memiliki keunikan tersendiri jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah luar bandar lain di Negeri Kedah.

Bangunannya dicat dengan warna terang dan lembut serta dihiasi lukisan-lukisan mural dan pemandangan.

Seni taman dan pokok menghijau menceriakan persekitaran sekolah, sekali gus meletakkan SKBL yang berlatar belakangkan bukit itu bertambah menarik.

Walaupun merupakan sekolah luar bandar dan hanya dikelilingi kebun-kebun getah, SKBL yang diterajui oleh Zainol Abidin Abd. Rahim beruntung kerana hampir semua guru yang bertugas terdiri daripada anak tempatan.

Sebagai anak tempatan, tentunya mereka lebih mudah berinteraksi dengan penduduk sekitar selain mengetahui sejauhmana kekurangan atau keperluan anak-anak waris yang menimba ilmu pengetahuan di sekolah berkenaan.

Dengan tenaga pengajar hanya 26 orang, guru-guru ini gigih berusaha bagi membentuk 572 pelajarnya menjadi insan yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

``Kami di SKBL mengamalkan pendekatan kekeluargaan terutamanya antara waris dan guru-guru bagi menyedarkan mereka tentang pentingnya ilmu pengetahuan dalam mengubah nasib dan masa depan,'' katanya ketika ditemui Pendidikan, di sini.

Hakikatnya, rata-rata penjaga atau waris pelajar di SKBL hanya bekerja sebagai penoreh getah.

Apa yang menarik, kedudukan sekolah yang terletak di pinggir bukit, banyak membantu mewujudkan persekitaran segar dan indah.

Ia sekali gus menjadi daya tarikan semula jadi kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ.

Zainol Abidin, berkata, agenda utama pihak sekolah ialah melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang terutamanya di kalangan calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

``Misi kami ialah menyediakan pendidikan berkualiti serta mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif bagi merangsang proses pembelajaran,'' kata beliau.

Katanya, Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K) anjuran Kementerian Pendidikan sebenarnya banyak membantu usaha yang sedang mereka jalankan.

``Program 3K secara tidak langsung mengeratkan pemuafakatan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi-agensi kerajaan dan pihak-pihak swasta.

``Ini memberi kebaikan kepada pihak sekolah,'' jelas Zainol Abidin.

Selain itu, katanya, kesan daripada pertandingan 3K turut membuka ruang dan kesempatan kepada semua pihak yang terlibat memberi pelbagai idea dalam usaha meningkatkan nama sekolah.

Hasil daripada sumbangan wang, masa, tenaga dan buah fikiran keseluruhan pihak, SKBL yang dahulunya kurang menyerlah, kini menjadi semakin indah.

Tidak dinafikan gabungan warna yang dicernakan melalui lukisan serta landskap yang cukup sesuai dengan dunia pendidikan kanak-kanak mewujudkan keceriaan di seluruh persekitaran sekolah.

Seperkara lagi yang menarik, SKBL juga mempunyai dusun buah- buahan yang berupaya mendatangkan pendapatannya sendiri.

Walaupun mempunyai keluasan kurang setengah hektar, hasilnya sedikit sebanyak dapat membantu proses penyelenggaraan sekolah.

Terdapat tiga bangunan utama yang mengandungi 14 bilik darjah di SKBL iaitu Gemala Sari, Serendah Kasturi dan Indah Jaya.

Selain itu, makmal komputer dan makmal kemahiran hidup juga disediakan bagi memenuhi tuntutan pembelajaran.

Menurut Zainol Abidin lagi, pihak sekolah juga amat menitikberatkan faktor disiplin kerana menyedari ia penting sebagai pemangkin kepada pencapaian keseluruhan sekolah.

``Guru-guru dinasihatkan supaya menggunakan pendekatan terbaik dalam usaha menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

``Penekanan konsep `Anak Muridku, Anakku' adalah antara kaedah terbaik diharap dapat menyelesaikan apa juga masalah yang timbul,'' katanya.

Malah untuk memastikan hasrat tersebut tercapai, tiga bangunan utama yang ada telah diletakkan di bawah pengawasan tiga penolong kanan sekolah berkenaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.