saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/04/2002

Le Pen ancam institusi Presiden Perancis

REPUBLIK Kelima Perancis (sistem pemerintahan yang bermula pada 1958 dengan perlembagaan yang memberi kuasa meluas kepada Presiden) menerima tamparan hebat daripada para pengundi dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden pada Ahad lalu.

Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah sama ada perkembangan itu akhirnya akan membawa kepada keruntuhan sistem tersebut.

Jawatan Presiden yang menjadi tunjang kepada sistem yang diperkenalkan oleh Jeneral Charles de Gaulle pada 1958 sudah pun goyah sebelum pilihan raya Ahad lalu yang berakhir dengan pemimpin pelampau berhaluan kanan, Jean-Marie Le Pen mengetepikan Perdana Menteri Sosialis, Lionel Jospin daripada pertandingan seterusnya.

Kini kemungkinan pertandingan berat sebelah dalam pusingan kedua pada 5 Mei ini antara Presiden Jacques Chirac, yang hampir pasti menang kerana rakyat rata-rata membenci sikap Le Pen yang suka mengapi-apikan sentimen perkauman, bermakna ketua negara akan menjadi tokoh yang digambarkan oleh pengkritik sebagai `Presiden paling teruk pernah dipilih.'

Tanpa calon yang benar-benar berwibawa untuk dipilih dalam pusingan kedua, pengundi dalam pilihan raya Parlimen pada Jun depan mungkin mahu mengimbangi kuasa Chirac dengan memilih sebuah kerajaan berhaluan kiri.

Jika itu berlaku, Republik Kelima yang melambangkan keunggulan jawatan Presiden mungkin berkubur dalam perkembangan yang memperolok-olokkan seluruh sistem politik Perancis.

``Masalah yang dihadapi oleh kem kiri dan kanan mungkin untuk mencipta sebuah Republik Keenam selepas Republik Kelima diporak-perandakan,'' kata pengulas LCI TV, Pierre-Luc Seguillon.

``Sebuah masyarakat politik, baru sahaja memusnahkan dirinya sendiri,'' kata penganalisis radio RTL, Alain Duhamel.

``Kita perlu membina sebuah masyarakat baru tetapi bukanlah mudah untuk menjadi arkiteknya.''

Chirac, tokoh konservatif yang bertanding untuk menduduki penggal kedua, mendapat kurang daripada 20 peratus undi, paling rendah bagi mana-mana calon utama dalam sejarah Republik Kelima.

Le Pen memenangi 17 peratus, satu mata mengatasi Jospin dalam pertandingan yang disertai oleh 16 calon, paling ramai dalam sejarah.

Republik Kelima - diwujudkan semasa krisis Algeria yang melumpuhkan sistem Parlimen Republik Keempat - merupakan `monarki republikan' berasaskan seorang Presiden yang memiliki kuasa meluas, sebuah parlimen yang biasanya akur kepada kehendak beliau dan sebuah negara yang dikuasai kerajaan pusat.

Sistem sedemikian sangat berkesan bagi de Gaulle, seorang pemimpin unggul sewaktu negara bangsa masih memainkan pengaruh besar, tetapi dibelenggu oleh semakin banyak masalah apabila para pengganti beliau bergelut dengan pelbagai percanggahan yang menjadikannya makin sukar diurus.

Tamparan pertama berlaku pada 1986 apabila Presiden Sosialis, Francois Mitterrand terpaksa melantik Chirac sebagai Perdana Menteri kerajaannya kerana puak konservatif memenangi pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen).

Gandingan yang tidak secocok itu berlaku kerana mandat parlimen dan Presiden tidak selari - lima tahun untuk Perhimpunan Kebangsaan dan tujuh tahun bagi Presiden. Mitterrand terpaksa mempersetujui dua tempoh perkongsian kuasa selama empat tahun dalam tempoh 14 tahun beliau memerintah.

Perkongsian kuasa itu menjadi kelaziman pada 1997 apabila Chirac, selepas baru dua tahun berkuasa, menggunakan kuasanya sebagai Presiden untuk membubarkan Perhimpunan Kebangsaan dan mengadakan pilihan raya awal yang tanpa dijangka dimenangi oleh puak kiri pimpinan Jospin.

Bagi tempoh lima tahun kemudian, Presiden diketepikan dalam penggubalan dasar domestik oleh kerajaan sayap kiri yang memperkenalkan pembaharuan seperti waktu kerja 35 jam seminggu yang tidak dapat disekat oleh Chirac.

Kecenderungan Perancis untuk menyatakan pendirian tegasnya di pentas dunia, satu lagi warisan dari zaman pemerintahan de Gaulle, turut terjejas apabila integrasi Eropah dan tekanan globalisasi membataskan tindakan yang boleh diambil oleh Presiden dan Perdana Menteri.

Oleh sebab perkongsian kuasa menuntut penyelarasan dasar dan tidak membenarkan mana-mana pemimpin mendapat penghargaan bagi inisiatif yang diambil, Perancis mengalami rintangan dalam merangka dasarnya terhadap Eropah dan sering memilih jalan paling selamat yang mengambil kira isu-isu domestik.

Cadangan agar sistem itu diubah kini semakin hangat diperkatakan kerana jika pengundi Perancis menyokong kem berhaluan kiri dalam pilihan raya parlimen Jun ini, rakyat sekali lagi akan mendapat kerajaan yang tidak boleh berfungsi dengan lancar untuk lima tahun akan datang.

Tetapi isu itu amat rumit kerana rakyat Perancis perlu memutuskan sama ada mereka mahu sistem Presiden sepenuhnya tanpa Perdana Menteri atau sistem Parlimen sepenuhnya dengan Presiden yang tidak memiliki sebarang kuasa.

Seorang ahli Parlimen Sosialis, Arnaud Montebourg telah berkempen untuk mendirikan `Republik Keenam' yang memberi kuasa lebih meluas kepada Perdana Menteri.

Dalam sistem itu Presiden masih memainkan peranan di pentas politik sekalipun kuasanya dikurangkan.

Parti Greens (Hijau) menyokong cadangan Montebourg itu seperti juga sebilangan anggota Sosialis yang lain.

Satu pindaan tahun lepas memendekkan mandat Presiden kepada lima tahun supaya selaras dengan mandat Perhimpunan Kebangsaan.

Tetapi kedua-duanya masih dipilih pada waktu berlainan sekalipun hanya selang sebulan, oleh itu pengundi masih dapat memberi reaksi terhadap perkembangan seperti keputusan pengundian Ahad lalu dengan memilih anggota parlimen daripada fahaman politik berbeza.

Seperti yang dinyatakan oleh Serge July, pengarang akhbar berhaluan kiri, Liberation: ``Perkongsian kuasa yang sebelum ini sukar diterima akal, sekali lagi menjadi satu kemungkinan.'' - Reuters

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.