saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 27/04/2002

Hanafi dihukum gantung -- Didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily dua tahun lalu

HANAFI Mat Hassan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam oleh anggota polis setelah dihukum mati kerana kesalahan membunuh jurutera komputer Noor Suzaily Mukhtar dua tahun lepas. Dia juga didapati bersalah merogol wanita itu. - Gambar IZHAM JAAFAR


Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES
SHAH ALAM 26 April - Pemandu bas Ekspres Kiara, Hanafi Mat Hassan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dalam penghakimannya juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara maksimum selama 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol Noor Suzaily.

Kes pembunuhan Noor Suzaily sebelum ini telah menggemparkan seluruh negara dan mendapat reaksi pelbagai pihak serta liputan meluas oleh media.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Hishamudin berkata: ``Hukuman mati hendaklah dijalankan serentak dengan hukuman penjara. Namun antara hukuman mati dengan hukuman sebatan, hukuman mati hendaklah diutamakan.''

Menurut beliau, hukuman penjara terhadap Hanafi berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 10 Oktober 2000.

Hakim Hishamudin kemudiannya menyatakan bahawa beliau mengarahkan Hanafi digantung sehingga mati selaras dengan peruntukkan Seksyen 277 Kanun Prosedur Jenayah.

Hukuman itu dijatuhkan oleh hakim berkenaan kira-kira pukul 11.40 pagi ketika mahkamah penuh sesak dengan orang ramai.

Hanafi yang diminta berdiri di dalam kandang tertuduh pada mulanya dilihat tidak memberikan sebarang reaksi.

Namun sebaik sahaja mahkamah tamat bersidang, Hanafi dilihat tersenyum. Dia juga sempat bergurau ketika dihampiri peguamnya, Sreekant Pillai.

Abang Noor Suzaily, Muhairiss Mukhtar dan bakal tunang Allahyarham, Rudy Shahrin Abdul Rahim antara anggota keluarga dan kenalan terdekat mangsa yang hadir.

Hanafi, 34, telah dibicarakan selama 62 hari atas dua tuduhan membunuh dan merogol Noor Suzaily, 24, anak perempuan tunggal dari empat beradik.

Dia yang pernah berkahwin sebanyak empat kali didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober 2000 di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

Hanafi yang berasal dari Kampung Renek, Kota Bharu Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sepanjang perbicaraan itu, seramai 55 saksi pendakwa telah memberikan keterangan.

Hakim Hishamudin dalam penghakiman ringkas setebal 14 muka surat berpendapat bahawa Hanafi telah mereka-reka keterangan dalam usaha untuk membebaskan dirinya.

Sehubungan itu, tegas hakim berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah berdasarkan keterangan mengikut keadaan.

``Keterangan ahli kimia, Primulapathi Jaya mengesahkan bahawa ujian DNA yang dijalankan ke atas contoh darah Hanafi dan cebisan kapas pada bahagian kemaluan mangsa membuktikan bahawa air mani Hanafi berada dalam kemaluan Noor Suzaily,'' katanya.

Hakim Hishamudin berkata, berdasarkan keterangan Ketua Unit Forensik Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Abdul Halim Mansar beliau berpuas hati bahawa orang yang menyebabkan kematian Noor Suzaily memang berniat membunuh mangsa.

Menurut hakim itu, setelah menilai keterangan Hanafi dan saksi-saksi pendakwa, beliau dapat membuat beberapa andaian dan penemuan fakta.

Misalnya jelas Hakim Hishamudin, beliau berpuas hati bahawa Noor Suzaily telah menaiki bas WDE 4256 pada pagi 7 Oktober 2000 di perhentian bas Klang di Kuala Lumpur untuk pergi ke tempat kerjanya di Pusat Perubatan Pantai di Klang.

``Oleh itu, perempuan yang dilihat oleh Devan al Anbalagan (salah seorang saksi utama) tanpa berpakaian di bahagian atas dengan rambut yang berselerak dan berada dalam keadaan panik sambil mengetuk-ngetuk pintu bas sebenarnya ialah Noor Suzaily,'' jelasnya.

``Pemandu bas yang dilihat oleh pelajar berkenaan (Devan) di Jalan Pegaga dan di Jalan Sambau Klang pada hari yang sama ialah Hanafi,'' ujar beliau.

Hakim Hishamudin berkata, berdasarkan keterangan, beliau turut mendapati bahawa Hanafi telah merogol dan membunuh Noor Suzaily di dalam bas WDE 4256 dengan cara menjerut leher mangsa menggunakan kain dan menghentak kepala mangsa dengan atau pada sesuatu benda yang keras.

Selain itu, kata beliau, Hanafi juga telah mencampak keluar pakaian Noor Suzaily ketika basnya berhenti di tapak projek perumahan Bukit Tinggi.

``Bukan itu sahaja, Hanafi juga telah mengeluarkan mayat Noor Suzaily dari basnya dan meletakkannya di tepi jalan di tapak projek tersebut,'' katanya.

Hakim Hishamudin berkata, beliau turut mendapati Hanafi telah mengambil telefon bimbit dan loket Noor Suzaily selepas membunuhnya serta mencampakkan kad pengenalan, buku akaun bank dan beg jenama Guess milik mangsa ke dalam longkang.

Mengenai watak Sikin yang diceritakan oleh Hanafi dalam pembelaannya sebelum ini, Hakim Hishamudin berpendapat bahawa Sikin sebenarnya tidak wujud dan ia rekaannya semata-mata.

Menurut hakim itu, keterangan Hanafi mengenainya tidak lengkap kerana dia tidak menceritakan apakah yang berlaku seterusnya kepada Sikin selepas mendakwa rakannya itu terjumpa telefon bimbit Noor Suzaily di dalam bas.

``Seandainya benar watak Sikin wujud, sudah tentu perkara ini ditimbulkan oleh peguam bela ketika menyoal saksi-saksi pendakwa,'' katanya.

Situasi yang sama juga, kata Hakim Hishamudin, timbul apabila Hanafi mendakwa basnya hampir melanggar Devan di Jalan Pegaga.

``Sekiranya cerita itu benar, saya pasti perkara ini juga akan disoal oleh peguam kepada Devan ketika pelajar itu memberi keterangan pada 12 Mac tahun lalu,'' katanya.

Di samping itu, menurut Hakim Hishamudin, Hanafi tidak dapat menjelaskan bagaimana air maninya boleh berada dalam kemaluan Noor Suzaily jika dia tidak merogol mangsa.

Seperkara lagi yang tidak dapat dijelaskan oleh Hanafi, menurut hakim itu ialah bagaimanakah loket Noor Suzaily boleh berada di dalam rumahnya.

Selesai membacakan penghakimannya, Hakim Hishamudin meminta Sreekant membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam rayuan ringkasnya Sreekant berkata, anak guamnya sebelum ditangkap terpaksa menyara seorang isteri, Idah Majid dan seorang anak berusia dua tahun.

``Dengan kejadian ini, isterinya terpaksa bekerja untuk menanggung keluarga,'' kata Sreekant.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzaini Ishak yang turut mengendalikan pendakwaan menjawab rayuan itu sambil menyifatkan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh Hanafi, satu jenayah yang sungguh jahat.

``Keluarga mangsa terutama ibunya, Harison Husin dan bapanya Mukhtar Ibrahim telah kehilangan satu-satunya anak perempuan mereka dan ia merupakan pengalaman yang amat tragis sepanjang hayat,'' katanya.

Hanafi juga, kata Nur Izzaini, sepanjang perbicaraan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda keinsafan.

Sreekant ketika dihubungi petang ini bagaimanapun berkata beliau masih menunggu arahan daripada Hanafi sebelum mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.