saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/04/2002

Majlis AIM2002 menghambarkan

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
HAMBAR barangkali menjadi ungkapan yang paling tepat untuk menjelaskan kepada umum perjalanan majlis Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM2002) yang berlangsung minggu lalu.

Sehingga ke hari ini, masih ramai peminat dan pemerhati seni yang tertanya-tanya mengapakah AIM2002 tidak meninggalkan kesan yang bermakna buat mereka.

Cetak rompak! Itulah modal yang tidak habis-habis digunakan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) yang menganjurkan AIM2002.

Bermula dari awal sehingga ke tamat AIM2002, masalah cetak rompak terus menjadi isu yang diperjuangkan oleh artis-artis yang memeriahkan majlis itu.

Berdasarkan cara majlis itu dikendalikan, AIM2002 sebetulnya telah dijadikan tempat meraih simpati penonton agar jangan membeli album cetak rompak.

Dari satu aspek, sememangnya AIM2002 merupakan platform terbaik untuk memperjuangkan masalah cetak rompak yang menjadi kudis paling berbisa dalam industri muzik Malaysia.

Bagaimanapun, kalau sudah terlalu banyak persoalan yang sama diutarakan, matlamat penganjuran majlis seperti AIM2002 dengan mudah dilupakan.

Kehambaran juga dapat dilihat pada perjalanan majlis yang kurang tersusun atau tidak menyengat pada AIM kali ini.

Mengapa semua ini terjadi?

Apakah ia kerana telatah dan gelagat dua pengacara AIM2002 iaitu Bob Lokman dan Afdlin Shauki yang mengacarakan majlis itu tanpa keserasian?

Barangkali AIM2002 akan lebih baik jika dikendalikan oleh Afdlin seorang diri!

Mungkinkah juga kerana penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza tidak meraih banyak anugerah seperti lazimnya dibuktikan di majlis-majlis anugerah lain dan ini menjadikan AIM2002 kurang meriah?

Sifu industri muzik, M. Nasir membuka gelanggang pada malam itu menerusi persembahan lagu Phoenix Bangkit. Seperti hebatnya M. Nasir berkarya, begitu juga persembahannya.

Malangnya, gimik lingkaran api yang hanya menyala separuh menyebabkan persembahan pembukaan tersebut kurang menyengat.

Vokal Ning Baizura pula menambat perhatian banyak pihak. Malangnya, Ning bersama teman duetnya, Fairuz Hussin juga seakan-akan tidak punya keserasian ketika menyanyikan lagu Curiga.

Sayang sekali penyanyi senior seperti Fairuz tidak dapat mengawal vokalnya. Dia gagal menyaingi Ning.

Selepas itu diva rock Ella menjadikan persembahan AIM2002 agak ceria seketika. Gaya bersahajanya menerusi lagu Jauh Di Mata menyebabkan dia kelihatan sungguh comel.

Begitu juga dengan Innuendo yang membawakan

audiens ke era 70-an menerusi lagu Only Dancin'. Persembahan kumpulan itu menghidupkan kemeriahan malam tersebut.

Maaf, persembahan yang paling mengecewakan dalam AIM2002 barangkali layak diberikan kepada kesemua artis baru yang mengadakan persembahan secara medley.

Baik Frequency, Maya Karin, Joe Radzwill, Pretty Ugly mahupun Sarimah - semuanya menyedihkan!

Apa yang sudah terjadi pada Butterfingers? Nasihat kepada mereka ialah jangan anggap AIM2002 sebagai tempat lepak dan buat gig sehinggakan pemegang pembesar suara juga tumbang gara-gara penyanyi utamanya hilang kawalan diri.

Kumpulan itu seharusnya malu dengan kumpulan Padi dari Indonesia atau Exists yang mempunyai tarikan tersendiri.

Nasib baiklah perangai seperti itu ditutup sedikit dengan persembahan Yassin yang elegan dengan fesyen etnik kontemporari. Pemenang Juara Lagu TV3 itu menampilkan kekuatan vokalnya menerusi lagu Aishah.

Kumpulan Hijjaz mewakili genre muzik nasyid juga tidak mengecewakan dengan lagu Sifat Mahmudah.

Sesuatu yang baru dan tidak pernah dilakukan sebelum ini tetapi ditampilkan oleh AIM2002 yang perlu diberi pujian ialah apabila ia menjemput Dayang Nurfaizah dan abangnya Dino dalam persembahan duet lagu Rindu Bayangan.

Ketika Dayang mengalunkan suaranya, ramai penonton di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur mula menyedari bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai penyanyi yang hebat dan boleh diketengahkan.

Banyak pihak yakin Dayang perlu bekerja keras untuk mengukir nama menyaingi bintang ternama seperti Siti Nurhaliza.

Selain persoalan mengenai persembahan, kekurangan AIM2002 ialah ia menyaksikan dominasi artis-artis popular dalam setiap kategori anugerah yang dipertandingkan.

Apa lagi yang mampu dikatakan mengenai keputusan AIM2002 selain daripada semua nama besar dalam industri muzik Malaysia menang.

Cuma satu kemusykilan ialah mengapakah M. Nasir menerima Anugerah Wirama di saat dia telah menerima tujuh pencalonan dalam enam kategori yang berbeza.

M. Nasir sendiri tentu tidak menduga dengan setiap anugerah yang diterimanya tetapi kenapa agaknya perkara itu terjadi? Adakah penganjur AIM2002 telah tersilap?

Penyanyi-komposer itu sememangnya hebat dan ini tidak boleh dipertikaikan. Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan besar M. Nasir kepada industri muzik tanah air.

Barangkali M. Nasir diberi Anugerah Wirama kerana penganjur mendapati tiada artis lain yang lebih layak untuk membawa pulang Anugerah Wirama.

Pejuang tulen seni tanah air, Tan Sri S. M. Salim diberi tanggungjawab menyempurnakan majlis penutup AIM2002 dengan mendendangkan lagu Seniman.

Air mata S. M. Salim menutup malam AIM2002 itu yang berlangsung selama lebih tiga jam.

Sayang sekali majlis itu yang seharusnya berakhir dengan kegembiraan bertukar menjadi majlis yang sentimental.

Bukan salah S. M. Salim. Beliau ikhlas dalam perjuangan dan sewajarnya persembahan S. M. Salim harus diletakkan lebih awal.

Jika mahu disebut mengenai kecewa, banyak pihak benar-benar kecewa dengan AIM2002. Kesedihan, luahan rasa dan air mata penggiat seni di malam AIM02 semuanya sudah berakhir.

Cuma persoalannya apakah kesedihan, luahan rasa dan air mata itu mampu menangani masalah cetak rompak?

Sama-sama kita fikirkan!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.