saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/05/2002

Lagu 60-an takkan mati

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
SELEPAS hampir empat dekad, lagu-lagu 60-an nampaknya terus menjadi evergreen. Ia kekal segar dan diminati ramai tidak kira peringkat usia.

Salah satu buktinya ialah apabila TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan konsert Hiburan Minggu Ini: Bersama Artis 60-an pada 28 April lalu.

Pada malam itu Auditorium Perdana di Angkasapuri padat dengan peminat.

Ratusan ribu peminat lagu dan artis 60-an di luar auditorium pula terubat rindu mereka menyaksikan siaran langsung HMI selama satu setengah jam menerusi TV1.

Irama pop yeh-yeh pernah mencetuskan kejutan apabila kembali menguasai industri muzik tanah air pada tahun 1985.

Kebangkitannya disemarakkan oleh konsert amal Malam Himpunan 60-an di Stadium Negara pada 8 Julai tahun tersebut.

Sambutan hebat juga diberi terhadap konsert Masih Ada Yang Sayang (MAYS) di stadium yang sama pada 2 Mac 1996.

Kini, segmen Bersama Artis 60-an dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1 pada pukul 9.30 pagi setiap Ahad juga mendapat sambutan hangat.

Muzik pop yeh-yeh lahir daripada kebangkitan pop Barat era The Beatles, Rolling Stone dan The Shadows.

Ia bermula pada 1966 apabila Allahyarham M. Osman, bapa kepada pengarah filem Aziz M. Osman, muncul dengan lagu Suzana yang menjadi kegilaan ramai ketika itu dan terus diminati sampai sekarang.

Nama beliau dan pasangannya Afida Es melonjak bersama-sama beberapa penyanyi lain termasuk Fatimah M. Amin & The Clans.

Selepas M. Osman, kumpulan Jeffrydin & Siglap Five dan A. Ramlie & Rhythm Boys, J. Sham & The Wanderers, L. Ramlee & Teruna Ria dan S. Jibeng & Sri Arjuna pula muncul memeriahkan lagi pop yeh-yeh.

Turut mencipta populariti ialah Jaafar O & Young Lovers, A. Rahman Hassan dan Azizah Mohamed & Orkes Nirwana, Rahman Onn & Stranger, A. Halim & De' Fiction, Ismail Kasdi & Jejaka, M. Said & Le Remaja dan M. Noor & Night Shadow.

Penyanyi wanita berkugiran pula ialah Hasnah Haroun & The Mood dan J. Kamisah & Wisma Band.

Nama-nama lain ialah Kassim Selamat, Salim I, Adnan Othman, M. Fadzil, M. Ishak, A. Karim Jais, Maria Bachok, Sanisah Huri, Fatimah Siraj dan S. Mariam.

Apakah rahsia dan kekuatan lagu-lagu 60-an sehingga ia mampu bertahan sehingga kini?

J. Sham yang popular dengan lagu Suratku Untukmu memberitahu, pop yeh-yeh adalah genre muzik yang mempunyai identiti tersendiri.

``Walaupun asalnya ia lahir ketika era The Beatles namun pop yeh-yeh ada aliran atau trend khusus dan ia telah dimelayukan.

``Ia bukan seperti lagu-lagu sekarang yang sepenuhnya mengambil konsep muzik Barat,'' kata J. Sham atau nama sebenarnya Shamsuddin Jaafar.

Bekas Ketua Jabatan Muzik di Maktab Perguruan llmu Khas (MPIK) Cheras itu berharap irama pop yeh-yeh diberi penghargaan dan dijadikan bahan kajian di institusi pengajian tinggi.

``Lagu Dondang Sayang menggunakan biola berasal dari Perancis, gendang dari Parsi dan gong dari Cina.

``Tetapi apabila dimelayukan, ia diterima sebagai khazanah bangsa, jadi kenapa pengiktirafan yang sama tidak diberikan kepada lagu-lagu 60-an,'' katanya.

Bagi A. Rahman Hassan, Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, irama 60-an tidak mungkin mati walaupun penyanyi asalnya sudah tiada lagi.

``Buktinya, setelah 40 tahun ia masih hidup dan diminati ramai. Kehalusan dan kemerduan lagu-lagu 60-an dengan lirik yang mudah dan ringkas sesuai untuk sepanjang zaman,'' katanya.

Jaafar Sidek atau lebih dikenali sebagai S. Jibeng berkata, senikata lagu 60-an banyak menampilkan unsur patriotisme dan perkembangan bangsa, bukan tema cinta sepenuhnya seperti dalam lagu-lagu sekarang.

``Ia diterima semua orang, malah ramai muka baru termasuk penyanyi rock cuba menyanyikan semula lagu 60-an, itu tandanya lagu-lagu kami sesuai untuk semua.

``Walaupun keasliannya ialah dengan tiga gitar dan satu deram, saya fikir lagu 60-an boleh juga dimainkan dengan lebih baik oleh pemuzik orkestra,'' ujarnya.

Ini telah dibuktikan dalam HMI TV1 minggu lalu yang menampilkan orkestra RTM sebagai pengiring penyanyi-penyanyi 60-an.

A. Halim yang kelunakan suaranya tiada tandingan ketika mendendangkan lagu Kisah dan Tauladan serta Salam Mesra berkata:

``Irama yang kami perjuangkan mempunyai kesan lebih mendalam kerana sejak dahulu irama dan penampilan penyanyinya tidak berubah.

``Selagi ia berkumandang di radio dan kaset serta cakera padatnya masih dijual, saya yakin irama pop yeh-yeh akan terus mewarnai bidang seni suara tanah air,'' katanya.

Pencipta lagu terkenal Zubir Ali secara jujur mengakui lagu-lagu 60-an mempunyai kekuatan yang sukar ditandingi oleh lagu-lagu genre lain.

Katanya, lagu-lagu sekarang tidak mempunyai identiti yang jelas menyebabkan ia lenyap dalam tempoh tiga atau empat bulan selepas popular.

``Kehebatan lagu 60-an datang daripada gabungan kekuatan lagu yang mengesankan, kualiti, variasi, senikata dan disiplin penyanyi.

``Lagu-lagu 60-an yang mempunyai sense of belonging kepada rakyat Malaysia menjadi sebahagian khazanah berharga negara dan terus menjadi alternatif kepada peminat,'' katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu (PAPITA), M. Daud Wahid pula menegaskan, disiplin dan penampilan kemas artis 60-an banyak mempengaruhi peminat.

``Apabila di pentas, mereka pakai blazer, kot, bow tie, tali leher, kebaya dan baju dengan labuci yang memeriahkan pertunjukan.

``Imej penyanyi 60-an membuatkan mereka boleh menjadi role model dan kebanyakannya bersih daripada gosip,'' ujarnya.

Sementara itu Penerbit Eksekutif Selamat Pagi Malaysia TV1, Rohana Abu Kassim berkata, sambutan hangat penonton terhadap segmen Bersama Artis 60-an yang disiarkan menerusi TV1 pada setiap pagi Ahad menunjukkan irama pop yeh-yeh masih mempunyai ramai peminat.

Menurutnya, RTM akan terus mengembalikan nostalgia peminat terhadap irama 60-an, sekali gus sebagai usaha berterusan bagi mengekalkan pop yeh-yeh yang pernah menjadi simbol kehebatan muzik Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.