saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/05/2002

Pergolakan adalah perkara biasa dunia perniagaan - Telekom Malaysia merebut peluang

MUKADIMAH
KEGAWATAN kewangan yang melanda ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli sejak beberapa bulan lepas tiba ke kemuncaknya minggu lalu.

Beliau yang terpaksa menjual kepentingan dalam syarikat penerbangan kebangsaan MAS sebelum ini kehilangan pula syarikat yang dibangunkannya sendiri, Technology Resources Industries Bhd. (TRI). Syarikat itu menjalankan perniagaan perkhidmatan telefon selular Celcom.

Kegagalan Tajudin membayar hutang tertunggak RM130.44 juta kepada Danaharta menyaksikan gergasi telekomunikasi tempatan Telekom Malaysia Berhad membeli 13.14 peratus saham TRI milik Tajudin yang dicagarkan kepada Danaharta.

Nilai transaksi itu ialah RM717 juta.

Ketua Eksekutif Telekom Malaysia, Datuk Md. Khir Abdul Rahman berkata, beliau tidak melihat pembelian tersebut sebagai satu kehilangan kepada Tajudin.

Dalam satu interviu di pejabatnya Jumaat lalu, Dr. Md. Khir memberitahu wartawan BAHAROM MAHUSIN dan ABU HAKIM TANZIMUDDIN bahawa pengambilalihan dan penggabungan perniagaan seperti yang berlaku itu bukan satu isu yang menghairankan.

Katanya: ``Dunia perniagaan sentiasa bergolak dan kita perlu melihatnya secara positif.''

``Pada akhirnya, pihak yang paling untung daripada apa yang Telekom Malaysia lakukan ini ialah pengguna,'' kata Dr. Md. Khir.

Jika penggabungan TMTouch, subsidiari perkhidmatan selular Telekom Malaysia, dan Celcom dapat dilakukan, Telekom Malaysia akan muncul sebagai peneraju perkhidmatan selular di Malaysia dengan menguasai 45 peratus pasaran. Ia akan mempunyai pelanggan berjumlah 3.5 juta orang.

MINGGUAN: Bagaimanakah Telekom Malaysia Berhad boleh muncul dalam masalah Tan Sri Tajudin Ramli dengan Danaharta? Apakah yang berlaku sehingga menyebabkan Telekom mengambil alih kepentingan TRI daripada Danaharta?

DR. MD. KHIR: Pengambilalihan kepentingan TRI daripada Danaharta itu sebenarnya bukan proses kita mengambil alih berasaskan masalah orang.

Telekom Malaysia terlibat dalam perkhidmatan telefon selular melalui TMTouch dan kita memang ada perancangan untuk mengembangkan perniagaan.

Dalam persaingan industri itu, perancangan perniagaan kita memanglah bertujuan untuk mendapatkan pertumbuhan.

Saya melihat pertumbuhan syarikat datang dalam beberapa cara. Satu daripadanya ialah pertumbuhan dengan kaedah berkembang dengan perlahan, secara organik.

Satu lagi pertumbuhan boleh dicapai melalui cara pengambilalihan dan penggabungan.

Dalam konteks isu TRI dengan Danaharta, bila kita nampak peluang untuk Telekom Malaysia berkembang melalui kaedah pengambilalihan dan penggabungan, kita menyambut kesempatan itu.

Itulah yang berlaku.

Adakah Datuk fikir peluang itu akan memanfaatkan Telekom Malaysia?

DR. MD. KHIR: Bila kita buat keputusan untuk mengambil alih kepentingan dalam TRI, kita telah pun membuat kajian rapi.

Kita mendapati bahawa dari segi kedudukan TRI dan Celcom dalam perkhidmatan selular, kedudukan syarikat itu adalah baik.

Ia mempunyai infrastruktur yang luas dan bilangan pelanggan yang ramai.

Kepada saya, profil ini memberi satu peluang terbaik untuk Telekom Malaysia melalui TMTouch bergabung bagi mewujudkan satu entiti perkhidmatan selular yang besar.

Pembelian saham TRI beberapa hari lepas tentu telah lama dirancang. Bilakah keputusan awal dibuat oleh Telekom Malaysia untuk membeli saham tersebut?

DR. MD. KHIR: Pembelian saham itu berlaku baru beberapa hari lepas. Tetapi setiap kali kita mengadakan perancangan perniagaan, kita membincangkan strategi tertentu.

Sejak dua tahun lalu, kita telah mempertimbangkan pengambilalihan sebagai satu opsyen untuk meningkat pertumbuhan TMTouch dalam perkhidmatan selular.

Kalau kita hendak berkembang kita kena ada strategi, misalnya mencari rakan kongsi yang kuat untuk kita maju ke hadapan. Sejak dua tahun lalu kita telah fikir kemungkinan itu.

Yang kedua ialah melalui pengambilalihan dan yang ketiganya, membiarkan TMTouch berkembang dengan cara organik.

Semua perancangan ini memang telah ada dalam strategi kita. Apa yang berlaku minggu lalu cuma tindakan yang dibuat berasaskan strategi yang telah lama dirumuskan.

Tetapi pembelian saham TRI daripada Danaharta itu agak menarik terutama waktu pengambilalihan itu sendiri. Tan Sri Tajudin gagal membayar hutangnya kepada Danaharta pada tengah malam, hari esoknya pagi-pagi lagi Telekom Malaysia sudah beli. Tanggapan ramai ialah seolah-olah Telekom menunggu sahaja Tan Sri Tajudin tidak dapat membayar hutangnya kepada Danaharta. Adakah itu sudah dirancang?

DR. MD. KHIR: Tidak ada perancangan sedemikian rupa. Apa sebenarnya yang berlaku, seperti yang saya sebutkan tadi, ialah situasi.

Dulu apabila kita lihat ada kemungkinan wujud peluang untuk kita mempertimbangkan TRI, kita mencari jalan yang paling baik untuk masuk dan memegang saham dalam TRI. Kelompok-kelompok saham yang ada ialah saham Deutsch Telecom, saham-saham daripada pasaran dan saham-saham Tajudin yang dicagar kepada Danaharta.

Kita berminat dengan saham Tajudin dan kita memberi isyarat kepada Danaharta bahawa sekiranya terdapat peluang untuk Telekom Malaysia membeli saham itu, kita bersedia untuk terlibat

Isyarat itu telah lama diberikan. Bila peluang itu timbul, kita terus lakukan.

Isunya ialah kenapa Danaharta memilih Telekom Malaysia, kenapa tidak syarikat lain?

DR. MD. KHIR: Itu saudara kena tanya Danaharta. Saya rasa mungkin tawaran daripada Telekom Malaysia adalah yang paling baik dalam situasi yang Danaharta hadapi.

Adakah Datuk secara peribadi bertemu dan berunding dengan Tan Sri Tajudin berhubung dengan isu pengambilalihan sahamnya?

DR. MD. KHIR: Secara peribadi tidak, tetapi kita pernah berbincang dengan pihak TRI. Memang ada pertemuan antara Telekom Malaysia dan TRI, sebagaimana juga ada pertemuan antara Telekom Malaysia dengan pihak-pihak lain.

Apakah hasil pertemuan itu, adakah satu persefahaman telah dibentuk lebih awal antara TRI dengan Telekom Malaysia berhubung dengan pengambilalihan minggu lalu?

DR. MD. KHIR: Tidak ada apa-apa persefahaman, cuma pertemuan itu berguna untuk kami meneroka kemungkinan dapat diadakan satu transaksi antara TRI dan Telekom Malaysia. Pertemuan itu sifatnya hanya untuk meneroka.

Saya rasa perbezaan antara orang seperti Tan Sri Tajudin dan orang seperti Datuk ialah Tajudin ialah ahli perniagaan. TRI ialah syarikatnya dan dia pegang saham majoriti. Datuk ialah seorang pengurus profesional dalam Telekom Malaysia dan mewakili syarikat yang dimiliki oleh pemilik-pemilik lain. Itu yang berbeza antara Datuk dan Tan Sri Tajudin. Bila Tan Sri Tajudin kehilangan sahamnya dalam TRI kepada Telekom Malaysia, saya rasa dia merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku kepada perniagaannya. Pandangan Datuk sendiri terhadap kehilangan Tan Sri Tajudin itu pula bagaimana?

DR. MD. KHIR: Saya tidak lihat itu sebagai kehilangan. Saya lihat ia sebagai satu transaksi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak termasuk kepada Tan Sri Tajudin.

Bagaimanakah manfaat itu boleh diterjemahkan dalam bentuk yang menguntungkan Tan Sri Tajudin?

DR. MD. KHIR: Saya fikir itu saudara kena tanya Tan Sri Tajudin sendiri.

Adakah transaksi itu bermakna Telekom Malaysia menyelamatkan Tan Sri Tajudin?

DR. MD. KHIR: Tidak. Ini bukan isu menyelamatkan sesiapa atau apa. Pengambilalihan itu ialah satu keadaan di mana timbul peluang untuk diadakan satu transaksi berdasarkan elemen komersial. Saya melihat transaksi saham TRI dengan Danaharta itu dalam konteks tersebut.

Misalnya, kalau harga yang ditawarkan itu terlalu tinggi dan tidak pada harga yang dipersetujui, Telekom Malaysia tidak akan berminat.

Saya ingin memberitahu saudara bahawa dalam melaksanakan perniagaan Telekom Malaysia, kita bertanggungjawab menjaga kepentingan pemilik-pemilik saham. Apa-apa transaksi yang kita buat, ia adalah transaksi yang harus mendapat restu pihak pemilik Telekom Malaysia. Ia mesti berasaskan kepada aspek komersial yang memanfaatkan Telekom Malaysia.

Wang yang Datuk bayar kepada Danaharta untuk mengambil alih saham Tajudin dalam TRI berjumlah lebih RM700 juta. Apakah jaminan bahawa pelaburan itu memberi hasil yang positif kepada pemilik-pemilik saham Telekom?

DR. MD. KHIR: Ini berbalik kepada objektif kita mengambil alih. Tujuan kita berbuat demikian ialah untuk menentukan terdapat pertumbuhan dalam perkhidmatan selular yang dijalankan oleh Telekom Malaysia melalui TMTouch.

Dan berasaskan tujuan itu kita membuat perancangan yang sepatutnya untuk memastikan bahawa perkhidmatan tersebut akan berkembang dengan baik dan akan memberi manfaat kepada pengguna dan seterusnya menguntungkan para pemilik saham Telekom Malaysia.

Itulah asas tindakan kita.

Bagaimanakah Datuk melihat persaingan dalam industri telefon selular? Siapakah pesaing utama TMTouch sekarang?

DR. MD. KHIR: Pesaing kita dalam perkhidmatan selular ialah Maxis, Digi, Celcom (TRI) dan Time. Pada masa ini kita ada empat pesaing, dan mungkin akan timbul lagi pesaing lain pada masa depan, kita tidak tahu.

Jika ditanya siapa pesaing yang paling sengit, sukar hendak dikatakan dengan mudah. Pergolakan sentiasa berlaku dalam perkhidmatan telefon selular.

TMTouch sekarang berada pada kedudukan di tempat ketiga dalam perkhidmatan telefon selular di belakang Maxis dan Celcom dari segi bilangan pelanggan. Mengapakah TMTouch berada di tempat ketiga, dan bukan di tempat pertama?

DR. MD. KHIR: Matlamat kita ialah untuk berada di tempat pertama. Mengapa kita tidak berada di tempat pertama mesti dilihat dari beberapa segi.

Pertamanya, bila masa kita masuk dalam industri yang persekitarannya begitu sengit. Kalau kita masuk lewat sikit, kita akan berada di belakang.

Kadang-kadang syarikat yang masuk lewat pun, kalau perkhidmatan mereka efisien dan boleh dikembangkan dengan pesat dan cepat, mungkin ia akan terus melonjak ke tempat pertama.

Aspek lain ialah secepat mana kita boleh mengembangkan infrastruktur telekomunikasi selular. Kerja ini mengambil masa dan ada proses-prosesnya.

Faktor lain ialah secepat mana kita boleh menambah pelanggan, dan ini juga ada proses-prosesnya.

Jarang berlaku apabila sesebuah syarikat itu masuk ke dalam arena, ia terus melonjak ke depan. Ia jarang berlaku terutama dalam arena yang penuh persaingan seperti perkhidmatan selular.

Secara jujurnya apabila Telekom Malaysia membeli saham dalam TRI, apakah objektif Telekom Malaysia? Adakah pengambilalihan saham itu cuma sebagai pelabur atau Telekom Malaysia akan mencari jalan ke arah menguasai TRI dan Celcom?

DR. MD. KHIR: Tujuan kita ialah untuk membolehkan perkhidmatan selular TMTouch berkembang, iaitu mendapat pertumbuhan yang pesat.

Bagaimanapun, pertumbuhan itu hanya boleh dilakukan sekiranya Telekom Malaysia menguasai kepentingan majoriti dalam TRI atau menjadi pemegang saham tunggal terbesar. Apakah kedudukan Telekom Malaysia dalam TRI sekarang?

DR. MD. KHIR: Setakat ini Telekom Malaysia boleh dikatakan sebagai pemegang saham tunggal yang terbesar dalam TRI. Ada penganalisis membuat ramalan Telekom Malaysia sehingga hari Jumaat lalu telah menguasai 25 peratus daripada kepentingan dalam syarikat itu.

Adalah menjadi hasrat kita untuk meminta Telekom Malaysia diberi hak untuk diwakili dalam Lembaga Pengarah TRI. Saya rasa ia boleh dilakukan dengan cepat.

Sungguhpun Telekom Malaysia telah menjadi pemilik tunggal terbesar dalam TRI, saya fikir Telekom Malaysia tetap seperti sebelum ini. Kita menggunakan pendekatan merendah diri.

Telekom Malaysia ialah satu contoh projek penswastaan kerajaan yang berjaya, tetapi pada masa yang sama, ada banyak projek penswastaan kerajaan yang tidak berjaya. Soalan saya ialah kenapa Telekom Malaysia boleh berjaya, sedangkan beberapa projek penswastaan kerajaan yang lain gagal dan bermasalah? Apakah faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu?

DR. MD. KHIR: Saya fikir faktor utama ialah kita berada dalam industri perkhidmatan asas, dan ini membantu.

Semasa Telekom masih lagi sebuah jabatan kerajaan dulu, kerajaan telah membuat perancangan yang baik. Dan tujuan Telekom ini, seperti juga tujuan Tenaga Nasional Berhad, ialah untuk menyediakan infrastruktur asas bagi membantu pembangunan negara.

Bila kita ada dasar seperti itu, kalau kita swastakan sesebuah syarikat, landasan utama telah pun wujud. Dan dalam keadaan Telekom Malaysia berkembang, kerajaan telah pun membangunkan syarikat ini dengan menyediakan kakitangan yang baik dan terlatih, dan bila kita ada kakitangan dan sistem yang baik, ia adalah ramuan yang menjanjikan kejayaan.

Kita akan gagal hanya jika kita menguruskan syarikat secara yang tidak diingini. Setakat ini Telekom Malaysia diuruskan dengan baik dan mementingkan urus tadbir korporat yang bertanggungjawab dan efisien.

Datuk, gambaran yang dibuat oleh sesetengah pihak ialah Telekom Malaysia memang mempunyai keupayaan kewangan tetapi ia mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk menembusi pasaran telefon selular di Malaysia. Adakah anggapan ini benar?

DR. MD. KHIR: Kalau berlaku gabungan yang kita harapkan antara TMTouch dan TRI, tindakan-tindakan tambahan perlu dilakukan untuk menentukan apa yang dihasratkan tercapai.

Pertama kita akan berusaha menggabungkan infrastruktur. Kedua, kita perlu memastikan tahap perkhidmatan pelanggan yang TMTouch atau Celcom tawarkan dapat ditingkatkan lagi.

Faktor ketiga paling penting. Kita ingin melihat bagaimana pengurusan syarikat yang digabungkan dapat ditingkatkan.

Aspek pengurusan ini mustahak. Sekiranya entiti TM Touch dan Celcom bergabung, kita perlukan suntikan kepakaran yang lebih.

Saudara kata tadi kita mempunyai keupayaan kewangan. Saya bersetuju, dan saya percaya keupayaan kewangan membolehkan kita mendapat kepakaran yang terbaik untuk menguruskan entiti yang bergabung.

Sebenarnya ada ironi dalam apa yang berlaku pada Telekom Malaysia dan Tan Sri Tajudin Ramli yang menjadi mangsa krisis kewangan Asia. Krisis itu menyebabkannya tidak dapat membayar hutangnya dan Telekom Malaysia pula sanggup mengeluarkan duit lebih RM700 juta membeli saham beliau melalui Danaharta. Adakah ini bererti Telekom Malaysia tidak terjejas dengan krisis kewangan 1997?

DR. MD. KHIR: Kita juga terjejas seperti semua syarikat di Malaysia. Semua syarikat mengalami pengalaman pahit pada tahun 1997/98, dan kesannya lebih terasa pada tahun 1999.

Jika kita lihat syarikat-syarikat di Malaysia selepas krisis itu, terdapat penurunan dalam prestasi.

Bagaimanapun, saya perhatikan syarikat yang berjaya menangani krisis itu ialah syarikat yang mempunyai pengurusan yang mantap sama ada dari segi kewangan dan daya tahan. Ada sesetengah syarikat lain terpaksa berhutang dan hutang itu tidak dapat menyelesaikan masalah mereka.

Apakah yang Telekom Malaysia belajar daripada krisis itu?

DR. MD. KHIR: Pada zaman kegawatan itu, berlaku penurunan permintaan pengguna dan akibatnya pendapatan syarikat merosot.

Kesan krisis itu kepada cara pengurusan ialah oleh kerana prestasi syarikat terjejas, kebanyakan syarikat termasuk juga Telekom Malaysia telah memperkemaskan pengurusan kewangan. Krisis itu mengajar kita menjalankan pengurusan yang lebih cekap dan berhemat.

Telekom Malaysia dilihat sebagai satu dinosaur tetapi masalah dengan dinosaur Telekom Malaysia ialah ia sukar hendak bergerak. Syarikat yang Datuk uruskan mempunyai imej kerajaan dan kerana ada hubungan dengan kerajaan, Telekom Malaysia terlalu dimanja-manjakan hingga mendapat keutamaan dalam pembelian saham TRI daripada Danaharta. Adakah pandangan ini tepat?

DR. MD. KHIR: Memang Telekom Malaysia dinosaur tetapi gambaran itu tidak benar. Dalam eksesais pengambilalihan saham TRI yang berlaku baru-baru ini tidak ada langsung tekanan, desakan atau kita dicucuk oleh kerajaan.

Pengambilalihan itu dibuat kerana Telekom Malaysia mampu dari segi kewangan dan kita percaya ia memberi manfaat kepada syarikat kita.

Satu lagi isu yang kita ambil kira dalam eksesais itu ialah kerajaan telah lama memberi sokongan dan dorongan kepada syarikat-syarikat selular supaya bergabung.

Tindakan Telekom Malaysia mengambil alih kepentingan dalam TRI itu adalah sesuai dengan dasar kerajaan.

Ia sebetulnya merupakan satu keputusan komersial semata-mata sebagai landasan mewujudkan persekitaran yang membolehkan Telekom Malaysia berkembang.

Dalam sektor perbankan, kerajaan memaksa penggabungan berlaku tetapi dalam perkhidmatan selular ia tidak dipaksakan. Adakah Datuk fikir kerajaan patut memaksa syarikat-syarikat telefon selular bergabung seperti yang berlaku dalam sektor perbankan?

DR. MD. KHIR: Kita kena lihat isu ini dari beberapa perspektif. Hasrat kerajaan ialah apabila ekonomi bergerak ke arah globalisasi dengan perjanjian liberalisasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) semakin hampir dilaksanakan, saya rasa kerajaan berpendapat bahawa sebagai sebuah negara kita harus mewujudkan suasana ekonomi di mana semua industri berdaya saing.

Ini adalah supaya apabila kita membuka pasaran kita kepada penyertaan asing selepas pelaksanaan perjanjian liberalisasi WTO, kita berupaya bersaing dengan syarikat-syarikat yang telah kukuh.

Saya percaya rancangan kita untuk menggabungkan entiti TMTouch dan Celcom, sekiranya berjaya, akan membantu mewujudkan syarikat telekomunikasi yang berupaya menghadapi arus globalisasi.

Jika pengalaman dalam sektor bank boleh dijadikan contoh di mana sejumlah besar bank dikurangkan kepada sepuluh buah sahaja, berapakah bilangan syarikat telefon selular yang sesuai untuk pasaran Malaysia?

DR. MD. KHIR: Saya selalu sebut bahawa tiga buah syarikat daripada lima yang ada sekarang sudah cukup untuk sektor perkhidmatan selular di negara ini.

Kenapa berlaku keadaan gold rush dalam mengejar peluang-peluang dalam industri telekomunikasi selular di Malaysia. Adakah sedang terjadi satu anjakan dalam bidang itu?

DR. MD. KHIR: Istilah gold rush itu saya tidak dapat terima. Dalam industri telekomunikasi sekarang sedang berlaku dua perkara: Pertama, perkembangan internet dan kedua, peralihan dalam teknologi wayarles.

Peralihan itu berjalan dengan begitu pesat dan kemungkinan untuk mengadakan sistem wayarles yang cekap sedang berlaku.

Sistem wayarles itu, yang ditawarkan oleh perkhidmatan selular, memberi kemudahan kepada pengguna, dari segi ia membolehkan telekomunikasi yang mobil.

Ini merupakan satu anjakan yang benar-benar menukar landskap telekomunikasi. Manusia memang mencari penyelesaian dan mereka mahu urusan dilakukan dengan mudah. Perkhidmatan telefon selular memberi peluang ini.

Sebab itulah kita lihat berlaku peralihan besar daripada penggunaan talian tetap ke selular.

Apakah sumbangan sektor perkhidmatan selular kepada Telekom Malaysia pada masa depan?

DR. MD. KHIR: Untuk perniagaan berasaskan pengguna, sektor selular akan berkembang tetapi pada masa yang sama kita menyaksikan telekomunikasi talian tetap masih lagi digunakan dengan banyak.

Apa yang akan berlaku ialah pertumbuhan dalam talian tetap tidak akan sehebat pertumbuhan dalam perkhidmatan selular dan juga internet.

Perniagaan ini berkait rapat dengan perubahan teknologi. Perubahan itu akan lebih pantas apabila teknologi berubah.

Setakat ini kita belum lagi mempunyai perkhidmatan telekomunikasi 3G di Malaysia iaitu telefon dengan skrin yang memaparkan gambar. Bilakah ia akan bermula?

DR. MD. KHIR: Mengikut perancangan yang dibuat oleh kerajaan, perkhidmatan itu akan dimulakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Telekom Malaysia ada matlamatnya dalam proses pengambilalihan saham TRI. Adakah Datuk rasa semua yang dilakukan itu telah ditimbangkan betul-betul, bahawa Telekom Malaysia tidak tersilap langkah dengan pengambilalihan tersebut?

DR. MD. KHIR: Kita membuat keputusan berdasarkan fakta yang ada. Semua maklumat yang kita ada, kita rujuk kepada pemilik saham syarikat.

Keputusan itu dibuat hasil penyelidikan teliti. Memang terdapat kemungkinan berlaku sesuatu di luar jangkaan, tetapi kita telah mengambil kira semua risiko.

Berapakah perolehan tahunan daripada TMTouch sekarang?

DR. MD. KHIR: Perniagaan kita pada masa ini bernilai kira-kira RM1 bilion setahun.

Andainya proses pengambilalihan dan penggabungan dengan Celcom selesai, berapakah perolehan yang dijangkakan?

DR. MD. KHIR: Masih terlalu awal untuk kita menjangkakannya.

Telekom Malaysia dahulu pernah memiliki saham dalam Celcom, tetapi kemudian saham itu dijual. Kenapa ia dijual, dan sekarang Datuk pula ingin membawa Telekom Malaysia menguasai TRI dan Celcom?

DR. MD. KHIR: Cerita itu sudah jadi sejarah. Dalam perniagaan ada banyak pergolakan, yang penting ialah kita perlu bersikap positif.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.