saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 06/06/2002

Kuota 10% muktamad - Aziz -- Bukan bumiputera ke MRSM perancangan perkukuhkan integrasi kaum

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan AKMAR HISHAM MOKHLES
KUALA LUMPUR 5 Jun - Keputusan memperuntukkan kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Program Matrikulasi adalah muktamad demi perancangan jangka panjang bagi memperkukuhkan integrasi kaum.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin menegaskan, keputusan itu sama sekali tidak berniat untuk menjejaskan kepentingan pendidikan orang Melayu.

Sebaliknya, ia bertujuan murni untuk memupuk semangat kerjasama antara kaum yang menjadi kunci utama keamanan negara selama ini.

Sehubungan itu, beliau mahu 26 pertubuhan yang mewakili kepentingan orang Melayu yang mendesak kerajaan supaya menangguhkan peruntukan kuota 10 peratus dua program tersebut kepada bukan bumiputera, supaya melihat perkara itu secara positif tanpa melulu menentangnya.

``Kita jangan tutup pintu kepada orang lain kerana perbuatan sedemikian boleh menjurus kepada perasaan perkauman.

``Jika kita ada perasaan tertutup, akhirnya nanti kita akan menemui jalan buntu dengan tidak lagi mampu menjalin kerjasama antara kaum,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan 26 pertubuhan itu yang dicapai sebulat suara pada majlis dialog pendidikan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kolej Islam Antarabangsa di sini, semalam.

Selain GPMS, pertubuhan yang menyatakan pendirian tersebut ialah Persatuan Pelajar Lepasan MRSM (Ansara), Barisan Bertindak Melayu (BBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Intelek Melayu Malaysia dan Majlis Kebudayaan Melayu.

Turut menyokong keputusan itu ialah Majlis Belia Selangor, Persatuan Melayu Sabah dan beberapa ahli akademik dari universiti awam dan swasta.

Abdul Aziz seterusnya berkata, kerajaan amat bergantung kepada semangat perpaduan kaum terutama untuk mencapai matlamat menjadi negara maju pada tahun 2020.

Justeru, jelas beliau, langkah mengetepikan kaum tertentu untuk memperoleh kemudahan pendidikan hanya akan mendedahkan negara kepada semangat perkauman yang menebal.

``Kita kena latih anak-anak kita menjalin perpaduan antara kaum kerana jika tidak orang Cina akan mengikut haluan sendiri, India begitu juga dan Melayu dengan caranya.

``Di mana (titik perpaduan) kita nak bertemu?,'' katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak menghalang sebarang saranan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara tetapi mahu pihak yang mengemukakan saranan meneliti dahulu manfaatnya dalam jangka panjang.

Abdul Aziz menambah, dalam isu kelonggaran kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera dalam dua program berkenaan, kerajaan berharap ia tidak disalah faham kerana tindakan itu tiada sebarang motif untuk menggugat pendidikan orang Melayu.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz berkata, peruntukan kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera di MRSM tetap dilaksanakan walaupun banyak pertubuhan yang mewakili kepentingan orang Melayu mahu perkara itu ditangguhkan.

Bagaimanapun menurut beliau, perubahan ke atas kuota itu boleh dilakukan oleh Kabinet jika didapati sistem tersebut merugikan kaum bumiputera dan tidak mencapai matlamat yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kata beliau, sistem kuota itu akan dilaksanakan di semua MRSM di Semenanjung kecuali di MRSM Kinarut, Sabah dan Kuching, Sarawak yang telah dikhususkan 100 peratus untuk bumiputera.

Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat untuk menjadikan kaum bumiputera lebih cemerlang dan mampu bergaul serta bersaing dengan bangsa lain dalam era globalisasi.

Ini berikutan kebanyakan lulusan MRSM didapati hanya cemerlang dalam akademik tetapi lemah dalam aspek pergaulan dengan kaum lain, di samping gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Biarpun begitu, Nazri memberi jaminan pengenalan sistem kuota itu tidak akan mengurangkan sama sekali jumlah pelajar bumiputera yang diambil setiap tahun.

``Misalnya, kalau setiap tahun kita ambil 4,000 pelajar bumiputera, maka jumlah itu akan kita kekalkan manakala tambahan 10 peratus pelajar bukan bumiputera akan kita tentukan di mana untuk menempatkan mereka ini,'' katanya selepas menerima memorandum mengenai isu kuota tersebut daripada Pemuda UMNO Selangor di sini hari ini.

Nazri menambah, kuota 10 peratus bukan isu baru memandangkan ia pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sewaktu idea penubuhan MRSM dipersetujui kerajaan kerana mahu melihat pelajar Melayu bersaing dengan kaum lain.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.