saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 16/06/2002

Mengenal gejala Insomnia

GEJALA insomnia perlu dirawat segera sebelum mengganggu kesihatan mental dan fizikal.


Oleh NORZAILA ROSLI
SEJAUH manakah anda mengetahui tentang tidur anda? Tidur merupakan suatu keadaan fisiologi yang kompleks yang dikawal oleh pusat-pusat kawalan tidur dalam otak manusia.

Fungsi pusat-pusat kawalan ini ialah menentukan waktu tidur biasa dan waktu terjaga daripada tidur.

Selain itu, ia turut mempengaruhi dan mengkoordinasi aktiviti harian kita seperti waktu makan dan senaman.

Keupayaan seseorang untuk tidur atau jaga turut bergantung kepada pendedahan terhadap cahaya.

Masalah berhubung dengan tidur atau sleep disorder merupakan antara aduan yang paling kerap diterima oleh pengamal perubatan.

Jenis yang paling kerap mendapat aduan ialah insomnia.

Pakar Kesihatan Keluarga salah sebuah hospital swasta, Dr. Kamil Mohd. Ariff berkata, adalah penting bagi seseorang individu yang mengalami masalah tidur atau insomnia mendapatkan nasihat doktor.

Insomnia katanya, adalah suatu masalah yang perlu diurus dan dirawat di peringkat awal supaya ia tidak menjadi lebih kronik.

Beliau berkata, insomnia merupakan masalah kesihatan yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

Masalah ini lebih kerap dialami bila umur seseorang semakin meningkat.

Namun begitu, masalah insomnia sering dipandang remeh oleh kebanyakan orang.

Lebih membimbangkan, mereka yang menghidap insomnia jarang mengemukakan masalah mereka kepada doktor kerana menganggap insomnia bukanlah satu masalah perubatan.

Apakah itu insomnia?

Insomnia ialah suatu gejala di mana seseorang itu mengadu:

- Sukar untuk memulakan tidur

- Sering terjaga dari tidur di malam hari dan sukar untuk tidur semula

- Bangun terlalu awal pada waktu pagi

- Tidur yang tidak menyegarkan

Penghidap insomnia biasanya mempunyai satu atau lebih gejala-gejala yang disebutkan di atas.

Jenis-jenis insomnia

Insomnia boleh dibahagikan kepada tiga kategori mengikut tempoh.

i) Transient insomnia

Mengalami masalah tidur kurang daripada satu minggu. Antara sebab-sebab transient insomnia termasuk bekerja mengikut syif, tekanan perasaan (stress), perjalanan ke negara yang berlainan zon masa dalam waktu yang singkat (jetlag).

ii) Insomnia jangka pendek

Mengalami masalah tidur selama satu bulan. Antara sebab-sebabnya termasuk perubahan persekitaran seperti dirawat di hospital, pertukaran kerja atau tempat kerja, masalah keluarga dan masalah kesihatan.

iii) Insomnia kronik

Merupakan masalah yang lebih serius yang dialami lebih daripada satu bulan.

Mengikut kajian, lebih kurang 1/3 hingga 2/3 pesakit yang mengalami insomnia kronik mengalami masalah psikiatri.

Apakah punca insomnia?

Insomnia boleh disebabkan oleh beberapa faktor termasuk cara hidup, persekitaran, psikologi, kesihatan fizikal dan mental.

Faktor cara hidup

a) Tidak mematuhi peraturan atau waktu tidur yang sama setiap hari

b) Senaman yang berlebihan sebelum tidur

c) Mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, cola dan teh

d) Aktiviti mental yang serius pada waktu tidur

e) Menghisap rokok, meminum alkohol, pengambilan dadah dan makan terlalu banyak sebelum tidur

f) Pengambilan ubat-ubatan bagi penyakit tertentu seperti darah tinggi, lelah, ubat bagi mengurangkan berat badan dan steroid

Faktor persekitaran

Beberapa keadaan yang menyebabkan gangguan tidur seperti bising (lalu-lintas/jiran/muzik yang terlalu kuat), cahaya lampu yang terlalu terang, cuaca terlalu panas/sejuk dan persekitaran baru.

Faktor psikologi

Seperti tekanan berlebihan (masalah kerja, sosial atau keluarga) dan kebimbangan tentang masalah tidur.

Faktor kesihatan (fizikal dan mental)

Penyakit jantung, tiroid, kencing manis, asma, radang perut, radang sendi, migrain, dementia dan Parkinson.

Seseorang yang kuat berdengkur, mempunyai masalah bernafas atau berhenti bernafas beberapa kali semasa tidur mungkin mengalami suatu keadaan yang dipanggil sleep apnoea.

Mereka ini memerlukan rawatan awal.

Faktor psikiatri

Kebimbangan, kemurungan, phobia, psychosis, panik dan mania.

Berapa lama tidur diperlukan

Tempoh masa tidur setiap individu berbeza antara satu dengan yang lain.

Purata jumlah masa tidur yang diperlukan sehari ialah 7-8 jam.

Kajian terkini menunjukkan individu yang tidur kurang daripada empat setengah jam sehari mempunyai risiko penyakit fizikal seperti jantung.

Pendek kata, kualiti tidur tidak hanya bergantung kepada jumlah masa tidur sahaja tetapi juga kepada keupayaan seseorang itu berfungsi dari segi fizikal dan mental pada keesokan harinya.

Kesan tidur yang tidak cukup

Rasa mengantuk di siang hari dan ketidakupayaan berfungsi dengan cekap di waktu siang adalah tanda-tanda yang lazim diperhatikan.

Kesan-kesan lain termasuk mudah tersinggung/marah, kemurungan, sering hilang tumpuan dan dalam kes-kes ekstrem - tertidur semasa bekerja, makan, berbual atau memandu.

Bilakah anda perlu mendapatkan bantuan?

Adalah mustahak untuk mendapatkan bantuan jika anda mengalami sebarang masalah tidur.

Doktor akan membuat penilaian terhadap keadaan kesihatan anda dan bertanya berhubung tabiat tidur anda yang lazim.

Anda perlu bertemu doktor sekiranya:

- Tidur anda sudah terganggu sekurang-kurangnya beberapa kali sepanjang tempoh satu bulan lepas

l Masalah tidur anda sudah mula menjejaskan keadaan diri dan pergerakan badan pada waktu siang

Rawatan yang selalu disyorkan ialah:

i) Kaunseling tentang gaya hidup, persediaan sebelum tidur (sleep hygiene)

ii) Mengurangkan tekanan (stress management)

iii) Rawatan jangka pendek dengan ubat hipnotik (pil tidur)

iv) Merawat penyakit lain yang dihidapi oleh seseorang itu seperti tiroid, kencing manis, jantung, sakit jiwa dan lain-lain

v) Merujuk kepada pakar tertentu seperti pakar jiwa, pakar saraf, pakar ENT, respiratori dan pakar perunding tidur (sleep physician)

Rutin yang boleh memperbaiki tidur anda

1. Jika anda mengalami kesukaran untuk tidur selepas 20 minit, jangan berbaring sambil mengeluh, tetapi hendaklah membaca buku/majalah atau menonton TV di bilik lain hingga anda berasa mengantuk.

2. Amalkan bangun pada waktu yang sama setiap hari (termasuk hari cuti) walau pukul berapa sekalipun anda masuk tidur.

3. Amalkan beriadah/bersenam dengan teratur. Senaman cergas perlu dijalankan pada waktu petang. Walau bagaimanapun, senaman sedemikian sebelum masuk tidur boleh menjejaskan keupayaan anda untuk tidur.

4. Jangan amalkan tidur pada siang hari.

5. Amalkan masuk tidur hanya apabila anda sudah mengantuk dan gunakan katil anda hanya untuk tidur, bukan sebagai meja pejabat atau tempat menonton TV.

6. Elakkan minuman berkafein, minuman beralkohol dan merokok sebelum masuk tidur.

8. Amalkan satu kebiasaan sebelum tidur seperti mandian panas atau membaca buku selama beberapa minit.

Kesimpulan

Tidur adalah amalan yang penting bagi setiap individu kerana ia memberi kesegaran dari segi fizikal dan mental.

Kita menghabiskan 1/3 daripada hayat kita untuk tidur.

Insomnia adalah gejala utama berhubung masalah tidur (sleep disorders).

Walaupun gejala ini boleh hilang dengan sendirinya, ia juga boleh mengakibatkan penyakit fizikal dan mental.

Oleh itu, seseorang yang mempunyai masalah tidur harus mendapat nasihat doktor pada peringkat awal.

Rawatan yang diberikan termasuk kaunseling, mengubah cara hidup, mengatasi tekanan (stress management) dan ubat tidur (hypnotic).

Rujukan kepada pakar-pakar tertentu hanya dilakukan jika perlu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.