saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/06/2002

Selangor beri tumpuan hapuskan gengsterisme

oleh Amir Sarifudin
(WARTAWAN UTUSAN)
Selangor sekali lagi digemparkan dengan masalah masyarakat yang ada hubung kait dengan jenayah, tetapi kali ini mengenai kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap.

Beberapa kejadian berhubung gengsterisme dan kongsi gelap meletus menyebabkan berlaku beberapa insiden buruk termasuk ada yang cedera dan terbunuh.

Malah, pernah berlaku di mana sebuah pondok polis yang ditempatkan di taman perumahan bagi menjaga kepentingan awam, diro-sakkan oleh kumpulan penjenayah tertentu.

Tumpuan kejadian yang melibatkan gengsterisme dan kongsi gelap ini ialah di Klang dan Kapar.

Juga terjadi dalam tempoh tidak sampai 24 jam, berlaku empat serangan menggunakan senjata tajam melibatkan kumpulan-kumpulan penjenayah yang bertentangan di daerah berkenaan.

Keadaan yang berlaku ini, telah merisaukan penduduk setempat kerana ramai mengatakan masalah gengsterisme dan kongsi gelap itu turut mempengaruhi anak-anak mereka dan golongan pelajar.

Apabila dilihat lebih jauh lagi, kegiatan tersebut sebenarnya memberi banyak kesan sampingan terhadap kegiatan jenayah lain seperti peras ugut, samun dan bunuh.

Dengan kata lain, gengsterisme dan kongsi gelap merupakan punca merebaknya jenayah-jenayah lain yang lebih besar.

Jika gengsterisme dan kongsi gelap dapat dibendung sepenuhnya, ia akan turut mengurangkan perbuatan jenayah lain.

Lebih dikhuatirkan ialah jika gagal dibendung, ia akan meletup serta mencetuskan masalah perkauman dan seterusnya ini pasti menggugat masalah perpaduan dan ketenteraman awam.

Kerisauan mengenai kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap ini jelas terbayang apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membincangkannya pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) baru-baru ini.

Berikutan dari mesyuarat itu, satu persetujuan drastik dicapai iaitu polis akan bertindak membersihkan daerah Klang termasuk Kapar dari kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap dalam tempoh dua bulan.

Tumpuan diberikan ke Klang disebabkan jumlah pembabitan kumpulan kongsi gelap amat membimbangkan walaupun beberapa da-erah lain didapati turut menghadapi masalah yang sama.

``Dalam tempoh dua bulan, usaha diambil untuk membersihkan Klang dari kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap.

``Kejayaan dari tindakan bersepadu polis dan agensi-agensi kerajaan lain itu akan dijadikan perintis untuk tindakan selanjutnya pada daerah Petaling Jaya dan Kajang.

``Walaupun tumpuan diberikan ke Klang, ini bukan bermakna pihak berkuasa membiarkan kegiatan tersebut berleluasa di deerah-daerah lain. Tindakan turut diambil di daerah lain,'' kata Dr. Mohamad Khir.

Dianggarkan terdapat 404 orang ahli kongsi gelap membabitkan keturunan Cina dan 254 orang ahli dari keturunan India.

Berikutan jaminan dari Dr. Mohamad Khir bahawa tindakan tegas akan diambil, polis telah bertindak secara bersepadu untuk memastikan kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Fauzi Shaari berkata, pasukan bantuan termasuk dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) turut diturunkan ke Klang untuk membantu dan menangani masalah berkenaan.

Turut diturunkan ke daerah Klang ialah anggota-anggota polis dari cawangan-cawangan tertentu seperti kongsi gelap melibatkan beberapa kontinjen negeri di seluruh Semenanjung.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Karn Kam Peng juga menjelaskan bahawa banyak tindakan diambil untuk menangani masalah jenayah membabitkan kumpulan gangster mahupun kongsi gelap, sama ada diketahui umum atau secara senyap-senyap.

Jelas sekali, kenyataan dari Fauzi dan Kam Peng itu membuktikan kesungguhan pasukan polis memastikan Klang bersih dari sebarang kegiatan jenayah.

Dalam hal ini, seharusnya polis menggunakan segala kepakaran dan pengalamannya dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan.

Ini meliputi menggunakan `jentera' yang ada seperti risikan dan cawangan yang dipertanggungjawabkan terhadap membanteras gengsterisme dan kongsi gelap.

Namun begitu, tindakan proaktif dilihat berupaya dapat membendung sebarang kegiatan jenayah daripada terus berlaku.

Ini diakui sendiri oleh polis kerana `modus operandi' sesuatu perbuatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan gangster atau kongsi gelap ialah balas dendam.

Apabila berlaku satu kejadian serangan terhadap kumpulan lain, kumpulan yang menjadi mangsa itu akan bertindak balas.

Dalam hal ini, polis sememangnya arif bahawa tindakan segera perlulah diambil bagi memastikan tiada serangan susulan atau balas dendam antara kumpulan-kumpulan penjenayah terbabit.

Seperkara lagi yang boleh diambil iktibar dalam menangani jenayah gengsterisme dan kongsi gelap ini ialah apa yang telah dilakukan di Pulau Pinang pada tahun 80-an lalu.

Umum sedia maklum bahawa ketika itu Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan gengsterisme dan kongsi gelap hinggakan berlaku kejadian jenayah di khalayak ramai. Ketika itu ia amat menakutkan orang ramai.

Ini membuktikan bahawa ahli kumpulan penjenayah terbabit begitu berani bertindak walaupun pada siang hari.

Bagaimanapun pepatah ada mengatakan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Polis akhirnya berjaya membersihkan Pulau Pinang dari sindrom gengsterisme dan kongsi gelap.

Selain tindakan proaktif, beberapa pendekatan turut diambil seperti di bawah Akta Kediaman Terhad dengan membuang daerah ahli-ahli kongsi gelap berkenaan.

Mereka yang diambil tindakan buang daerah itu akan dihantar ke luar Pulau Pinang seperti di Pantai Timur dan sebagainya.

Ini menyukarkan ahli-ahli kongsi gelap terbabit untuk bergiat semula memandangkan jarak yang jauh di samping faktor budaya hidup penduduk di Pantai Timur.

Oleh itu, tindakan yang sama seharusnya diambil bagi membersihkan Selangor amnya dan Klang, khususnya dari gejala ini.

Mereka yang diambil tindakan buang daerah itu perlu dihantar luar dari Selangor agar kegiatan tersebut tidak dapat diulangi.

Dr. Mohamad Khir ketika ditanya mengenai perkara ini berkata, antara cadangan dan langkah tambahan yang boleh diambil ialah mereka yang dibuang daerah itu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran tiga kali sehari.

Logiknya cadangan ini ialah polis dapat memastikan pergerakan ahli kongsi gelap tersebut terhad dan mudah dipantau sepanjang hari.

Jika mereka hanya melaporkan diri sekali sehari, kemungkinan besar mereka dapat bergerak berikutan mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

Tindakan bersepadu antara kerajaan negeri Selangor dan polis ini dilihat dapat mewujudkan keyakinan rakyat dan pelabur untuk terus berada di Selangor.

Jika tidak dibendung segera, kemungkinan timbul lain-lain masalah seperti orang ramai bertindak berpindah ke kawasan lain yang dianggap lebih selamat.

Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pasaran hartanah dan seterusnya kepada pelaburan tempatan dan asing.

Apabila ini berlaku, akan wujud keadaan tidak tenteram dan kesan yang lebih jauh ialah ia akan menggugat usaha kerajaan negeri menjadikan Selangor negeri maju pada tahun 2005.

Namun begitu, orang ramai seharusnya memberi keyakinan penuh kepada pasukan polis memandangkan pengalaman luas serta masa lalu membuktikan bahawa kejayaan memihak kepada polis.

Ia dapat dilihat melalui kejayaan yang dicapai dalam membanteras kegiatan yang lebih besar seperti komunis dan juga Al-Maunah.

Berdasarkan pengalaman tersebut, diyakini bahawa kegiatan jenayah gengsterisme dan kongsi gelap dapat ditangani dengan jayanya.

Berikutan itu, ramai pihak tertunggu-tunggu apakah hasilnya setelah tempoh dua bulan itu tamat. Harapan rakyat hanya satu iaitu Selangor bersih dari kegiatan gengsterisme dan kongsi gelap.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.