saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/07/2002

Mengurus tempat kerja selamat

Isu-Isu Sumber Manusia
Oleh G. Manimaran
(Wartawan Utusan)
SELEPAS lapan tahun Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diperkenalkan, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia telah memulakan langkah untuk mengemaskinikan aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Undang-undang itu menyatakan secara am berkenaan tanggungjawab majikan mengawal bahaya yang terhasil daripada aktiviti dijalankan.

Akta itu yang berkonsepkan kepada falsafah peraturan kendiri juga menggariskan tanggungjawab pekerja yang perlu bekerjasama dengan majikan bagi memastikan segala program kawalan bahaya dilaksanakan dengan berkesan.

Bagaimanapun akta itu tidak menyatakan dengan terperinci bagaimana pengurusan risiko sepatutnya dilakukan.

Akta itu menyenaraikan tanggungjawab pengurusan terhadap majikan untuk menyediakan polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, penyediaan dan penyelenggaraan sistem kerja selamat, penyediaan maklumat, arahan dan latihan, pembentukan jawatankuasa keselamatan, dan mengambil bekerja pegawai keselamatan dan kesihatan.

Kalau dikaji secara mendalam, pelaksanaan tanggungjawab tersebut sebenarnya selari dengan pelaksanaan sebahagian sistem pengurusan risiko atau lebih dikenali dengan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ir. Dr. Johari Basri ketika diminta mengupas cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk Garis Panduan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ILO-OSH) menjelaskan:

``Sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan satu kaedah bersistematik dan holistik untuk mengurus keselamatan dan kesihatan program yang bersifat ad-hoc atau hanya mementingkan penyelesaian masalah keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara jangka pendek.''

Pelaksanaan sistem itu akan memudahkan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dikuatkuasakan sejak 1994.

Jika diimbas kembali sejarah usaha Kementerian Sumber Manusia pada awal 1990-an, seiring dengan akta tersebut, kementerian itu telah menubuhkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan menubuhkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (bagi menggantikan Jabatan Jentera dan Mesin). Agensi-agensi itu dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat dan bebas bahaya terus menjadi perhatian kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia.

Sejak akta itu dikuatkuasakan, kata Johari, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan diamalkan ataupun dipatuhi di sesebuah organisasi berasaskan program iaitu mengikut peruntukan yang diturunkan menerusi akta berkenaan.

``Bagaimanapun ia sepatutnya diselaraskan dan ditadbir di bawah satu sistem yang teratur,'' jelas beliau.

Johari menambah, kebanyakan organisasi telah pun mengambil inisiatif mengikut peruntukan akta berkenaan. ``Tetapi tiada aturan menyeluruh, tiada satu sistem, tiada garis panduan bagaimana sistem itu perlu dipatuhi. Masing-masing menggunakan sistem sendiri.

``Di syarikat-syarikat bertaraf multinasional pula, kebanyakannya menggunakan sistem yang dirangka oleh syarikat induk masing-masing sehingga membolehkan pihaknya mengguna pakai satu piawaian minimum,'' katanya.

Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berpuas hati jika piawaian minimum diamalkan.

``Tetapi di negara ini kebanyakan syarikat tergolong dalam kategori industri kecil dan sederhana (IKS).

``Dalam keadaan sedemikian, di industri tertentu, belum ada sistem yang berkesan.

``Oleh itu, kita merasakan perlu satu sistem yang standard yang akan berperanan sebagai garis panduan kepada setiap industri dan organisasi,'' ujar Johari.

Organisasi-organisasi yang ada garis panduan sedemikian berupaya menyediakan rangka kerja keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang minimum dengan melengkapkan peruntukan akta tersebut.

Mengulas lanjut, jelas Johari, ketika mematuhi peruntukan akta itu, sesebuah organisasi terbabit merangka polisi yang diperlukan, malah merangka banyak komponen yang diperlukan.

``Tetapi tidak menyeluruh, selalu tiada garis panduan yang menyeluruh untuk mewujudkan pengurusan yang baik,'' katanya. Itulah masalah yang dihadapi sekarang.

Oleh itu, kata beliau, selain memanfaatkan IKS, sistem yang seragam ini akan menjadi panduan kepada industri-industri berisiko tinggi, misalnya petrokimia, pembinaan dan perkapalan.

Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan secara berperingkat dengan langkah pertama ialah mengenal pasti industri yang terbabit.

Sistem itu dijangka akan dilaksanakan mulai tahun depan. Kajian sedang dilakukan untuk mengguna pakai sistem berkenaan dan bakal dikenali sebagai OSH-Malaysian Standard (OSH-MS).

``Kita tidak akan menghalang sistem-sistem yang sedia ada selagi melaksanakan standard minimum.

``Sebaliknya, kita hendak mewujudkan standard yang terperinci, berstruktur dan berterusan,'' katanya.

Sistem ILO-OSH telah dirangka dalam tempoh dua tahun yang lalu. Antara komponen garis panduan itu ialah polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengamalan, perancangan dan pelaksanaan, penilaian dan tindakan penambahbaikan.

Beliau yakin bahawa dari segi pembangunan sumber manusia, sistem yang diwujudkan akan menjadi lebih menyeluruh dan berkesan.

``Kalau bersifat ad-hoc, maka sukar untuk membuat pemantauan dan penyeliaan.

``Jika ada satu sistem, kita boleh membuat perbandingan dan menyediakan tanda aras untuk kepentingan masa depan,'' tambah beliau.

Kini di negara ini cuma 10 peratus organisasi mempunyai sistem yang menyeluruh dan teratur.

Menyentuh keperluan standard ILO-OSH, Johari berpendapat, ia memang sesuai kerana ia menyediakan garis panduan dengan mengambil kira kedudukan pelbagai negara dan budaya kerja.

``Dan, yang lebih baik ialah ia dapat meningkatkan kecemerlangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sesuatu tempat kerja.

``Faedah yang diperoleh dengan pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah pihak pengurusan sentiasa mempunyai kawalan terhadap bahaya di tempat kerja, suasana kerja akan menjadi selamat dan kejadian kemalangan dan penyakit dapat dihalang atau dikurangkan,'' katanya.

Beliau menjelaskan, kebanyakan tempat kerja terutamanya syarikat besar nasional dan multinasional telah melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dibangunkan sendiri.

Secara amnya telah terbukti bahawa pelaksanaan sistem seumpama itu membolehkan bahaya yang terhasil di tempat kerja dapat dikawal dengan sebaik-baiknya bagi memastikan pekerja atau mungkin orang lain tidak terdedah kepada kesan bahaya tersebut.

Semua pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh dunia amat yakin bahawa sistem berkenaan merupakan alat pengurusan yang terbaik bagi memastikan tempat kerja selamat.

Penyediaan garis panduan tersebut berdasarkan penyertaan tiga pihak dan dibentuk menggunakan prinsip keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

Sistem ILO-OSH memberi peruntukan yang komprehensif berhubung dengan penyertaan pekerja dalam pelaksanaannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.