saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 19/07/2002

BN rampas Pendang -- Pas kekalkan kerusi Anak Bukit dengan majoriti susut kepada 508 undi

OTHMAN Abdul menyatakan terima kasih kepada Dr. Mohd. Hayati Othman yang sebelum itu mengucapkan tahniah kepadanya setelah memenangi kerusi Parlimen Pendang pada pilihan raya kecil semalam.


ALOR SETAR 18 Julai - Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Parlimen Pendang serta dapat mengurangkan majoriti kemenangan Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Anak Bukit pada pilihan raya kecil hari ini.

Calon BN di Pendang, Datuk Othman Abdul yang memperoleh 22,825 undi, menumpaskan calon Pas, Dr. Mohd Hayati Othman dengan majoriti 283 undi.

Undi yang diperoleh calon BN itu meningkat 3,351 undi berbanding jumlahyang diterimanya pada pilihan raya umum tahun 1999.

Dr. Mohd Hayati mendapat 22,542 undi, peningkatan 129 undi daripada yang diperoleh Pas pada 1999.

Bagi kerusi Anak Bukit, BN berjaya mengurangkan majoriti kepada 508 undi berbanding majoriti 1,840 undi yang diperoleh Pas pada pilihan raya umum 1999.

Calon Pas di Anak Bukit, Amiruddin Hamzah memperoleh 8,298 undi manakala Datuk Zakaria Said (BN) mendapat 7,790 undi.

Kerusi Anak Bukit dan Pendang sebelum ini diwakili oleh Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, yang meninggal dunia pada 23 Jun lepas.

Kejayaan BN di Pendang itu sangat bermakna kerana ia menguasai semula kawasan yang sebelum ini dikuasai oleh Allahyarham Fadzil selaku Ketua Pembangkang.

Mengulas kemenangan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kejayaan itu besar maknanya kepada BN kerana kawasan Parlimen Pendang sebelum ini disandang oleh Presiden Pas.

Selain itu, kata beliau, jika majoriti 283 undi diambil kira BN telah berjaya menambah undi sebanyak 3,236 undi berbanding tahun 1999.

``Kami bersyukur kepada Allah kerana kemenangan ini cukup bermakna kerana ia kawasan Ketua Pembangkang dan Presiden Pas.

``Sememangnya hendak menang susah juga kerana terpaksa berhempas pulas tetapi syukur kepada Allah hasil daripada kerja bersungguh-sungguh semua jentera UMNO dan BN, kita berjaya,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang video di Auditorium Bernas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berada di Putrajaya sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Abdullah berkata, kejayaan itu juga adalah hasil daripada pendekatan yang digunakan oleh BN iaitu berkempen secara sabar dan berusaha mendekati masyarakat seperti mana dinasihatkan oleh Dr. Mahathir.

``Kita berjaya menembusi kawasan-kawasan hitam (kubu Pas) untuk membuka cawangan UMNO dan memberi penerangan terhadap isu-isu semasa, ini telah turut menyumbang kepada kemenangan Othman,'' katanya.

Pada pilihan raya umum 1999, Othman gagal mempertahankan kerusi Pendang apabila mendapat 19,474 undi berbanding Allahyarham Fadzil, 22,413 undi.

Peratusan mengundi di Pendang ialah 86.07 peratus manakala Anak Bukit 83.61 peratus.

Undi rosak di Anak Bukit ialah 127 undi manakala Pendang ialah 346 undi.Pada tahun 1999, undi rosak di Pendang ialah 758 undi.

Keputusan kerusi Pendang itu yang sepatutnya diumumkan lebih awal, ditangguhkan selepas Pas meminta kertas undi dari 121 peti undi di kawasan tersebut dikira semula.

Kemenangan Othman memang mendebarkan apabila pada satu ketika beliau ketinggalan 1,937 undi setelah kertas undi dari 33 peti undi, hampir kesemuanya datang dari Dewan Undangan Negeri Bukit Raya, dikira.

Bagaimanapun, ketibaan peti undi dari DUN Sungai Tiang merapatkan jurang apabila ia mula dikira.

Suasana cemas dan mendebarkan jelas kelihatan di kalangan penyokong kedua-dua parti apabila pada satu ketika yang lain Dr. Mohd Hayati hanya mendahului dengan 15 undi setelah 116 daripada 121 peti undi dikira.

Othman akhirnya terus mendahului Dr. Mohd Hayati dalam empat peti undi terakhir dikira.

Sementara itu, walaupun kalah di Anak Bukit, jumlah undi yang diterima oleh calon BN meningkat 4.78 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum 1999.

Zakaria menerima 48.04 peratus undi manakala Amiruddin pula 55.17 peratus undi.

Amiruddin, seorang jurutera dan ahli perniagaan, merupakan anggota jawatankuasa Pas Kedah.

Kemenangan Pas di Anak Bukit itu membolehkan pembangkang kekal dengan 13 kerusi, terus menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 36 kerusi. BN menguasai 23 kerusi.

Satu daripada 13 kerusi pembangkang iaitu Lunas, dipegang oleh Parti Keadilan Nasional (Keadilan) manakala yang lain dipegang oleh Pas.

Keputusan pilihan raya di Anak Bukit diumumkan oleh Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu Datuk Hassan Taib di Auditorium Bernas Anak Bukit, dekat sini, pada 9.14 malam.

Keputusan bagi Pendang pula diumumkan oleh Saad @ Abdul Halim Hassan pada pukul 11.34 malam selepas semakan semula penjumlahan undi.

Parlimen Pendang mempunyai 53,128 pengundi terdiri daripada Melayu 46,630 pengundi (87.77 peratus), Cina 3,403 pengundi (6.40 peratus) India 487 pengundi (0.92 peratus) dan lain-lain kaum 2,608 pengundi (4.91 peratus).

Anak Bukit pula mempunyai 19,399 pengundi meliputi Melayu 16,889 pengundi (87.06 peratus), Cina 2,151 pengundi (11.09 peratus), India 290 pengundi (1.49 peratus) dan lain-lain kaum 69 pengundi (0.36 peratus).

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.