saya nak baca ..

MEGABAIT


ARKIB : 08/12/2002

Deep Fritz 7 malukan juara catur

JUARA catur dunia, Vladimir Kramnik tidak dapat mengalahkan sebuah perisian catur dalam satu pertandingan catur manusia menentang komputer di Bahrain baru-baru ini.


Bayangkan anda bertentang mata dengan legenda catur dunia Garry Kasparov yang sememangnya gemar menenung lawannya sebagai taktik intimidasi, dan menyusun strategi 20 pergerakan ke depan dalam tempoh 10 minit sebelum masa yang diberikan tamat.

Pastinya tangan anda berpeluh dan otak anda menjadi `kelabu' sedikit untuk memproses jutaan kemungkinan pergerakan dalam tempoh sesingkat itu.

Namun bagi peminat catur, sama ada serius atau sebagai hobi masa lapang, bantuan telah muncul dalam bentuk program catur komputer yang dipanggil Deep Fritz 7.

Dengan keupayaan menganalisis tiga juta pergerakan sesaat, ia berjaya menandingi juara catur dunia Vladimir Kramnik sehingga membuatkan Kramnik berpeluh dan hanya mampu mencatatkan keputusan seri dengan komputer itu. Kramnik tidak tewas tetapi apa yang pasti program itu mampu menghancurkan pemain-pemain catur biasa seperti mudahnya membunuh semut.

Apa lagi dengan harga program perisian itu yang kurang daripada RM350. Deep Fritz 7 boleh menjadi kawan latihan catur anda.

Program tersebut yang dipasarkan oleh firma kecil ChessBase GmbH di Hamburg telah mengambil alih cabaran projek IBM Deep Blue yang dimansuhkan setelah mencipta sejarah menumpaskan juara catur dunia Garry Kasparov pada tahun 1997.

Cuma perbezaan besar antara Deep Fritz dan Deep Blue ialah Fritz mahu mengaut untung selain daripada mencipta sejarah. Dengan harga runcit RM350 untuk versi tercanggihnya, ia lebih bersifat produk komersial untuk pemain catur biasa yang mahu memperbaiki permainan mereka ke tahap lebih tinggi.

Sebanyak 500,000 salinan perisian itu telah terjual sejak tahun 1987, dan membolehkan firma itu menguasai pasaran esoterik untuk perisian komputer termaju. ChessBase mendakwa menguasai 90 peratus pasaran Jerman untuk segmen itu, selain mengungguli kalangan profesional pada tahap tertinggi permainan catur dunia.

Firma itu juga memasarkan pangkalan data popular catur dipanggil ChessBase.

Keputusan seri 4-4 dengan juara catur dunia Kramnik di Bahrain pada Oktober lepas telah melonjakkan profil ChessBase di mata Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), kata pengasas bersama syarikat itu, Frederic Friedel. Friedel menegaskan Fritz bukan setakat untuk kalangan pemain catur bertaraf grandmaster.

Walaupun perisian itu mampu menyaingi Kramnik, ia juga sebenarnya boleh digunakan oleh pemain biasa, sama ada sebagai guru catur atau pemain amatur.

Contohnya Fritz boleh merendahkan tahap permainannya supaya setanding dengan lawannya, sekali gus menjuruskan perlawanan yang seimbang.

Ia mampu menganalisis dan membuat catatan, dan menunjukkan pergerakan yang baik atau lemah. Pemain juga boleh bertanyakan pergerakan terbaik yang boleh dilakukan berdasarkan kepada situasi di atas papan catur, atau menggunakan fungsinya yang memberikan pergerakan pembukaan terbaik.

Syarikat Jerman itu berkata perisian itu dan Internet telah mendemokrasikan catur dengan membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai komputer memperoleh pengalaman hebat yang sebelum ini terhad kepada ruang lingkup kelab-kelab catur terbaik.

``Anda boleh berada di atas gunung di Nepal dengan komputer, modem dan perisian Deep Fritz 7 dan menjadi pemain catur hebat tanpa perlu berjumpa dengan orang lain,'' kata firma itu menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya di Amerika Syarikat.

Dalam perlawanan di Bahrain itu, Kramnik cuba menggunakan taktik luar biasa dalam menghadapi Deep Fritz 7. Dia memaksa pertukaran permaisuri, walaupun tindakan itu tidak memberikan kelebihan bagi Kramnik. Dengan kedudukan di papan menjadi jauh lebih ringkas setelah kedua-dua permaisuri yang paling berkuasa diketepikan, akal manusia sepatutnya lebih hebat.

Namun setelah pengendali Fritz membuatkan perisian itu tidak menggunakan pergerakan pembukaan mengikut taktik Kramnik - kelebihannya yang tidak pernah penat atau melakukan kesilapan - membuatkan juara catur dunia itu menawarkan seri daripada menghadapi risiko kekalahan pada permainan terakhir.

ChessBase menambah ciri-ciri mesra pengguna kepada program-program catur. Enjin Fritz dibangunkan oleh pengaturcara bebas Franz Morsch dari Belanda dan pekerja ChessBase, Mathias Feist dari Jerman.

Pengasas bersama dan ketua eksekutif ChessBase, Matthias Wuellenweber menerajui pembangunan pengaturcaraan sokongan antara muka pengguna, tempoh perlawanan serta pemilihan opsyen-opsyen pergerakan pembukaan dan penamat.

Ia juga mempakejkan antara muka dan ciri-cirinya dengan enjin-enjin terbaik ciptaan firma-firma lain seperti Shredder, Junior, Hiarcs atau ChessTiger.

Kebanyakan pemain catur profesional menggunakan Fritz untuk menganalisis permainan dan menyemak strategi-strategi pergerakan pembukaan bagi memastikan mereka tidak terlupa sebarang kelemahan strategi mereka.

``Fritz merupakan program paling popular,'' kata Christopher Lutz, pemain catur terbaik Jerman. Lutz berkata kegunaan Fritz dilonjakkan kerana ia mudah digunakan untuk mengkaji permainan yang terdapat di dalam pangkalan data ChessBase.

ChessBase adalah milik bersama Wuellenweber dan Friedel, seorang bekas wartawan sains yang membentuk syarikat itu selepas beliau menyiapkan dokumentari catur komputer untuk televisyen Jerman.

Kedua-duanya merupakan pemain catur yang baik walaupun bukan bertaraf profesional.

Dari aspek teknikal pula, Deep Fritz 7 hanya bermain pada peringkat tertingginya apabila ia menggunakan lebih daripada satu pemproses.

Prefiks ``Deep'' memberi makna program itu direka untuk berfungsi pada lebih daripada satu pemproses serentak, sekali gus mempercepatkan keupayaannya untuk menganalisis lebih banyak pergerakan kemungkinan.

Berbekalkan teknologi pelayan Compaq dengan lapan cip pemproses Pentium III 900MHz, Deep Fritz 7 berjaya mencapai penarafan catur 2,809 pada perlawanan di Bahrain - sama dengan penarafan Kramnik, iaitu nombor dua di dunia, di belakang Kasparov yang memegang tempat teratas penarafan FIDE pada 2,838.

Pemain catur di dunia perlu mencapai penarafan 2,500 untuk layak dipanggil grandmaster, kumpulan elit profesional catur dunia. Penarafan untuk kebanyakan pemain kelab ialah 1,900 manakala pemain catur hobi biasa mungkin mampu mencapai penarafan 1,200 atau lebih rendah.

Deep Fritz 7 juga boleh dimainkan pada komputer dengan satu cip pemproses tunggal seperti yang terdapat pada kebanyakan PC pengguna biasa. Keperluan sistem asas ialah PC cip Pentium, 32 megabait RAM dan sistem operasi Windows 98 atau lebih terkini.

Sebuah buletin catur komputer, Selective Search, meletakkan program versi pemproses tunggal Fritz pada tangga teratas penarafan setelah melalui ujian pada PC Pentium 2 dan Pentium 3 pada kelajuan 450MhZ.

Ia mencatatkan penarafan 2,685, ataupun kedudukan ke-19 dalam senarai pemain catur terbaik dunia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.