saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 28/12/2002

Dua disyaki anggota Geng M-16 ditembak mati

POLIS mengusung mayat salah seorang angggota Kumpulan M-16 yang ditembak mati di kawasan selekoh berhampiran Taman Rekreasi Hutan Galla, Mantin, Negeri Sembilan, semalam. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.


Oleh:AINUL ASNIERA AHSAN
SEREMBAN 27 Dis. - Dua lelaki dipercayai anggota Kumpulan M-16 yang melakukan beberapa rompakan nekad akhirnya ditembak mati oleh Pasukan Gerak Khas (PGK) Bukit Aman di satu kawasan selekoh berhampiran Taman Rekreasi Hutan Galla Mantin dekat sini, pagi ini.

Turut ditemui bersama-sama anggota kumpulan itu ialah selaras M-16 dan dua pucuk pistol di dalam kereta Waja yang dinaiki mereka.

Beberapa kelongsong peluru juga ditemui di tempat kejadian.

Dalam tindakan susulan di Kuala Lumpur dan Selangor tengah hari ini, polis menahan empat orang termasuk sepasang kekasih yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

Seorang daripada penjenayah yang ditembak mati itu dikenali sebagai Hew Yau, 40, dari Salak Selatan, Kuala Lumpur tetapi seorang lagi penjenayah tidak mempunyai dokumen.

Kejadian tembak-menembak itu berlaku kira-kira 5 pagi ini semasa anggota PGK itu mengekori dua penjenayah berkenaan dari Mantin ke arah Seremban yang dipercayai merancang untuk melakukan rompakan.

Ketika tiba di kawasan kejadian, kereta Proton Waja yang dipandu laju oleh penjenayah itu dipercayai terbabas di tepi longkang.

Kedua-dua penjenayah itu kemudian melepaskan tembakan ke arah anggota PGK dalam cubaan melarikan diri tetapi polis yang membalas tembakan itu berjaya menembak mati kedua-dua penjenayah tersebut.

Kedua-dua penjenayah mati di tempat kejadian. Mayat seorang daripada mereka ditemui di tepi longkang dan seorang lagi terbaring di atas jalan raya.

Sementara itu, difahamkan seorang anggota polis turut cedera. Bagaimanapun keadaannya belum diketahui.

Cermin hadapan kereta Proton Saga yang dinaiki oleh polis juga didapati pecah.

Mayat dua penjenayah itu kemudian dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat.

Turut berada di tempat kejadian ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Sidek dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohmad Salleh.

Ahmad Fuaad ketika ditanya mengenai kejadian itu enggan mengulas lanjut dan memberitahu kes itu dikendalikan oleh Bukit Aman. Dalam pada itu, penduduk berhampiran yang menyangka berlaku kemalangan di kawasan berkenaan keluar untuk menyaksikan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, penduduk dan wartawan yang berada di kawasan berkenaan dihalang untuk menghampiri tempat kejadian.

Sementara itu, polis menangkap empat orang lagi dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan M-16 termasuk seorang wanita dalam operasi bersepadu polis sejak tengah hari tadi hingga petang ini.

Menurut sumber, kesemua mereka yang ditangkap berketurunan Cina dan berusia dalam lingkungan 25 hingga 35.

Katanya, dua daripada mereka yang merupakan pasangan kekasih ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah di Brickfields manakala selebihnya di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, polis tidak menemui sebarang senjata api daripada mereka yang ditangkap.

``Kita harap mereka yang ditangkap boleh membantu polis memburu ahli M-16 yang lain,'' jelasnya.

Kumpulan M-16 bergerak aktif sejak tahun 2000 dianggotai kira-kira 10 orang dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 19 kes rompakan melibatkan kerugian RM29.5 juta.

Tahun ini sahaja kumpulan itu telah merompak enam buah kedai emas dalam tiga masa berasingan iaitu tiga buah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 21 Julai lalu.

Dua lagi ialah di Mid Valley Megamall pada 29 September dan yang terbaru ialah pada 22 November lalu di Taman Medan Batu Caves yang membabitkan kerugian semuanya berjumlah RM6 juta.

Antara kejadian rompakan lain yang dipercayai dilakukan oleh Kumpulan M16 ialah:

* Melakukan rompakan dua buah kedai pajak gadai di Jalan Loke Yew, Pudu di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2000. Mereka berjaya melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.5 juta.

* Beberapa minggu selepas itu, mereka melarikan barang kemas bernilai RM1.2 juta di sebuah kedai emas di Jalan Medan, Batu Caves, Gombak.

* Sebulan selepas itu, mereka merompak dua buah kedai emas di Bandar Baru Sungai Buloh yang melibatkan kerugian RM2 juta.

* Dalam tahun yang sama, mereka merompak sebuah kedai emas dan kedai jam di pusat membeli-belah Sunway Piramid, Petaling Jaya membabitkan kerugian berjumlah RM2.75 juta.

* Cuba merompak wang kutipan dari pusat hiburan Genting Highlands berjumlah RM4.2 juta pada 20 Disember 2000 tetapi gagal kerana mereka tidak berjaya memberhentikan van syarikat keselamatan yang membawa wang tersebut.

* Pada 26 Disember 2000 iaitu sehari menjelang sambutan Aidilfitri, kumpulan ini merompak pula sebuah kedai emas di pusat membeli-belah Punca Emas, Seremban yang melibatkan kerugian RM3 juta.

* Pada 22 Julai 2001, mereka merompak barang kemas bernilai lebih RM1 juta dari dua buah kedai emas di Holiday Plaza di Johor Bahru.

* Pada 22 Julai 2002, kumpulan M16 ini merompak tiga buah kedai emas secara serentak membabitkan kerugian RM1 juta di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

* Pada 31 Oktober 2002, empat lelaki dipercayai anggota Kumpulan M16 bertindak ganas apabila menembak mati dua pengawal keselamatan dan melarikan wang tunai berjumlah RM1.2 juta dalam satu drama tembak menembak di hadapan bank OCBC Jalan Raja Harun di Kajang, Selangor. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan bukan dari kumpulan M-16 tetapi kumpulan Botak Innasi.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.