saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/12/2002

Kehidupan baru bekas pengganas

Oleh MEOR HARMAN MEOR SHAKRI
KIRA-KIRA 40 tahun lalu, ramai daripada pemimpin muda masuk ke dalam hutan selepas menyedari perjuangan mereka itu tidak direstui oleh majoriti rakyat dan kerajaan negara ini.

Nama-nama seperti Chin Peng, Chen Tian dan Rashid Maidin ketika itu begitu sinonim dengan dasar ideologi sosialis Karl Max dan Mao Zedong yang mula menular di beberapa negara Asia.

Selain mereka, nama tiga serangkai lagi seperti Abdullah C.D., Eng Ming Ching (Suriani) dan Abu Samah Mohd. Kassim tidak terlepas daripada menjadi `orang buruan' pasukan keselamatan.

Walaupun berselindung di sebalik perjuangan menentang penjajahan, ramai yang menyedari bahawa fahaman berbahaya yang didukung itu tidak diterima dalam agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Peristiwa Bukit Kepong di Johor menyegarkan ingatan tentang keganasan yang dibawa oleh ideologi komunisme apabila rakyat tidak merestui perjuangan yang dibawa oleh kumpulan tersebut.

Keganasan membalas dendam menyaksikan ramai anggota perajurit negara yang terkorban malah ramai lagi menanggung kesan kecederaan yang menjadi tokak sehingga ke akhir hayat.

Biarpun begitu, sejarah membuktikan perjuangan yang sia-sia akan ada kesudahannya. Ramai yang akhirnya akur dengan angin perubahan termasuklah bekas-bekas pengganas komunis yang kini meniti kehidupan dalam keadaan yang lemah dan dimamah usia.

``Kami di sini sihat dan hidup biasa. Inilah kampung kami dan tidak mungkin kami kembali semula ke Malaya (Malaysia),'' kata Abdullah menjawab soalan wartawan Mingguan Malaysia.

Setelah sekian lama beliau menjadi buruan dalam rimba raya, akhirnya bekas Pengerusi PKM itu memilih untuk menjalani hidup biasa sebagai orang kampung sahaja pada masa sekarang.

Abdullah berasal dari Lambor Kiri, Perak. Lulus darjah lima Sekolah Melayu Parit, kemudian belajar di Sekolah Inggeris Tapah sebelum ke Sekolah Inggeris Clifford di Kuala Kangsar setakat darjah tujuh dan berhenti apabila Perang Dunia Kedua meletus.

Abdullah kini memimpin 436 penduduk di Kampung Banchulabhorn Pattana 12, selatan Thailand yang kebanyakannya mengusahakan tanaman getah serta bercucuk tanam untuk menyara kehidupan.

Majoritinya adalah bekas pengganas komunis yang memilih negara jiran itu untuk mengharungi sisa hidup selepas puluhan tahun menghuni belantara dalam perjuangan yang sia-sia.

Kampung Banchulabhorn Pattana 12 terletak di daerah Sukhirin yang mengambil masa sejam perjalanan dari pekan Sungai Golok, melalui kawasan bergunung-ganang berdekatan dengan sempadan.

Abdullah atau nama sebenarnya Cik Dat Anjang Abdullah, 80, ketika itu ditemani isterinya, Suriani Abdullah @ Eng Ming Ching, 79, dan rakan baiknya, Abu Samah Mohd. Kassim, 77.

Abdullah dan Abu Samah mengenakan baju kemeja lengan panjang agak lusuh dan berseluar seperti fesyen di tahun-tahun 50-an manakala Suriani pula berbaju kurung dan bertudung kepala.

Kedua-dua pasangan itu saling memegang erat tangan masing-masing malah tidak pernah lekang seperti ketika bersama-sama memimpin Rejimen Ke-10 PKM yang berpangkalan di Sukhirin.

Abu Kassim yang tidak pernah kering dengan senyuman bertubuh agak besar malah kedua-dua tangannya sentiasa dimasukkan ke dalam poket seluar dan agak selesa berbicara dengan gayanya.

Mereka bersama-sama dengan bekas anggota PKM yang pernah menentang kerajaan Malaysia kini menjadi `orang kampung' mengusahakan tanah yang diberikan oleh kerajaan negara jiran.

Mereka ramah walaupun pada masa dahulu memainkan peranan penting dalam insurgensi dan darurat yang telah mengorbankan banyak nyawa terutama anggota-anggota pasukan keselamatan.

Perkampungan Abdullah C.D. tidak ubah seperti perkampungan yang wujud sebelum merdeka. Kedudukannya jauh terpencil dan didirikan berdekatan dengan gua yang menjadi tempat latihan dan pentadbiran semasa bergiat dalam perjuangan bersenjata.

Abdullah C.D. tidak banyak bercakap malah isterinya, Suriani yang lebih banyak menjadi jurucakapnya. Mungkin disebabkan Abdullah mengalami masalah pendengaran kerana faktor usianya.

Suriani yang berasal dari daerah Sitiawan, Perak tidak lagi menyarung baju hijau dan bertopi bintang tiga, sebaliknya dia tampak selesa berbaju kurung sambil mengenakan tudung kepala.

Kediamannya di Sitiawan pada masa dahulu dikatakan tidak jauh dari rumah bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.

Dia pernah dikenali sebagai wanita besi dalam PKM. Malahan karakter ketika zaman mudanya berbanding sekarang berbeza, pertuturannya berhati-hati dan perlahan ketika berkata-kata.

Namun, percakapannya sentiasa berhati-hati. Malahan, setiap reaksinya kepada soalan yang diutarakan sentiasa berpaksikan kepada jasa perjuangannya semasa menentang penjajah British.

Malah pada suatu ketika, apabila penulis mengajukan soalan yang agak sensitif, wajah Suriani bertukar merah dan beliau tampak tidak selesa dengannya, renungan matanya tampak tajam.

Senjata

``Anak ini dari mana dan bekerja dengan siapa? Mengapa tanya soalan ini. Kami dah lama tinggalkan perjuangan bersenjata, malah senjata yang kami simpan dulu pun semua dah dimusnahkan.

``Ia sejajar dengan kehendak dalam perjanjian Perdamaian Hadyai antara pihak kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand, semuanya telah musnah,'' ujarnya sambil memandang Abdullah.

Menurut Suriani, selepas perjanjian perdamaian itu, beliau dan kebanyakan anggota PKM termasuk suaminya Abdullah C.D. telah banyak berubah dan tidak lagi mengikat diri dengan polisi perjuangan bersenjata yang semakin menjadi sia-sia.

Katanya, bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng telah datang menemui mereka beberapa hari sebelum rundingan perdamaian itu dan menyatakan tentang respons daripada ahli-ahli PKM sendiri.

``Masa itu Abdullah kata, semuanya setuju 100 peratus untuk menamatkan peperangan ini. Persetujuan ini bagi kami bukan bermakna serah diri tetapi penyelesaian terhormat,'' katanya.

Malah, katanya lagi, pihaknya tidak menyerahkan semua senjata yang dimiliki kepada kerajaan sebaliknya mengambil tindakan memusnahkannya sendiri berdasarkan kehendak dalam perjanjian.

Bagi Suriani, ideologi komunis dianggap perkara biasa dalam sosialis walaupun PKM tidak lagi menggerakkan aktivitinya.

Menceritakan aktivitinya setiap hari, setiap pagi dia dan suaminya akan bersembahyang subuh berjemaah di sebuah masjid di situ bersama-sama dengan penduduk kampung berkenaan.

Kemudian, katanya, beliau bersama suami dan Abu Kassim akan melakukan senaman `Tai Chi' bagi tujuan mengekalkan kesihatan sebelum menunggu terbit matahari untuk pergi menoreh getah.

``Kadang-kadang emak (Suriani) dan ayah (Abdullah) selalu membaca buku-buku dan berehat di rumah sahaja,'' ujarnya yang enggan menyatakan judul buku yang dibaca oleh pasangan itu.

Akhbar Utusan Malaysia menjadi kesukaan pasangan tersebut kerana melaluinya mereka mengikuti perkembangan yang berlaku di negara ini termasuk kemajuan yang telah dicapai.

Mereka juga amat mengagumi ketokohan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam memacu perkembangan Malaysia sekali gus membawa banyak perubahan kepada rakyat negara itu.

Di suatu sudut di kampung itu, terdapat sebuah rumah kecil yang kini dijadikan muzium mini bagi memperingati perjuangan bekas pengganas komunis seperti senjata dan alat komunikasi.

Buku-buku yang dilambakkan di atas sudut bacaan pula adalah karya Suriani sendiri yang banyak menceritakan sejarah dan gerakan unit-unit risikannya dalam mencari sokongan.

Buku-buku itu telah menceritakan bagaimana PKM menggunakan pelbagai taktik termasuk perang saraf untuk menarik sokongan rakyat terhadap perjuangan mereka menentang pihak kerajaan.

Dalam mengembangkan dakyah komunis PKM menggunakan bermacam-macam teknik untuk menarik rakyat menyertai perjuangan mereka ini termasuklah mencipta bait puisi dalam nyanyian nasyid.

Di samping itu, mereka juga menggunakan irama-irama ronggeng lama seperti Pisang Emas, Cek Minah Sayang, Mak Inang, Kain Batik, Pucuk Perah, Tanjung Katung, Ala Canggung, Ayuh Lanang dan Tepuk Amai-amai ke dalam rentak ronggeng `revolusioner'.

Kata-kata di dalam lagu langgam itu diubah dengan isi-isi progresif sosialis sehingga ia menjadi kesukaan bukan sahaja kepada anggotanya yang berbangsa Melayu malahan kaum Cina.

Sementara itu, Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Pak Samah merupakan bekas anggota jawatankuasa pusat PKM. Dia dilahirkan di Semantan, Temerloh, Pahang pada tahun 1926.

Pak Samah adalah anak keempat daripada enam adik-beradik. Pernah mendapat pendidikan di sekolah Melayu sehingga darjah lima kemudian ke sekolah agama dan Arab selama tiga tahun.

Menurutnya, dia menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) semasa usianya 11 tahun dan pernah menyertai pasukan sukarela pada zaman remajanya untuk melawan penaklukan tentera Jepun.

``Kemasukan saya ke dalam hutan kerana melawan penjajah Inggeris,'' katanya ketika ditanya tujuan asal dia menyertai pertubuhan subversif yang tidak direstui oleh pihak kerajaan.

Pak Samah agak pendiam. Karakternya seperti Suriani yang cuba menonjolkan perjuangannya menentang penjajah sebagai alasan utama menyertai kawan-kawannya masuk ke dalam hutan.

Perkahwinannya tidak kekal kerana hidupnya sentiasa penuh dengan diari perjuangannya. Penglibatannya dalam politik bermula pertengahan tahun 1939 selepas menyertai KMM.

Setahun kemudian, dia memasuki Federated Malay States Volunteer Force berpangkat lans koperal. Pada tahun 1943, dia berundur ke Singapura menjadi anggota pasukan Hei Ho.

Dengan pangkat sebagai sarjan dalam pasukan Hei Ho sehingga tahun 1945, dia melarikan diri dan balik ke Semantan dan berhubung dengan tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA).

Dia menyertai PKMM pada 1946. Selepas perisytiharan undang-undang darurat, Abu Samah melarikan diri ke dalam hutan menjadi anggota Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya dan anggota PKM pada tahun 1948.

Pada masa itu dia disifatkan menjadi orang utama menyusun strategi PKM di kampung-kampung dan bandar Temerloh.

Dia juga pernah diserang hendap pada tahun 1951 oleh tentera kerajaan tetapi nasibnya baik kerana berjaya melepaskan diri.

Beberapa tahun kemudian, dia mendapati perjuangan semakin sia-sia untuk berdepan dengan kekuatan pasukan keselamatan lantas berundur ke sempadan dan menjadi ketua di sana.

Lewat tahun 50-an, dia menjadi komisaris politik dalam PKM dan memimpin pasukan propaganda komunis dan platun merdeka sebelum menjawat jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat.

Rentetan hidupnya banyak dihabiskan di dalam hutan. Abu Samah memberitahu, dia tidak menyesal dengan apa yang dilaluinya selama ini. Semua itu adalah sejarah dalam kehidupannya.

Dia juga seperti rakan-rakannya yang lain dalam PKM sebelum ini, menjadi buruan pasukan keselamatan negara. Hidupnya kini bernasib baik kerana masih berpeluang untuk pulang ke pangkal jalan walaupun tidak lagi di tempat kelahirannya di Pahang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.