saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 02/02/2003

Saya bukan gedung muzik - Ajai

JIWA mudanya sentiasa bergelora untuk menghasilkan karya muzik yang terbaik demi memenuhi kehendak dan tuntutan pencinta muzik Melayu. Biarpun banyak dipengaruhi karya muzik antarabangsa, namun komposer muda, Mohd. Faizal Maas atau Ajai masih tidak lupakan akar umbi Melayu.

``Jiwa saya masih teguh dengan Melayu. Cuma saya merasakan tanggungjawab saya untuk memberikan halwa telinga yang segar dan lain daripada yang ada dalam muzik mainstream,'' ujar Ajai ketika berbual dengan saya Rabu lalu.

Antara karya ciptaan Ajai yang mendapat sambutan luar biasa ialah lagu Seandainya Masih Ada Cinta nyanyian Dayang Nurfaizah, Kau Kekasihku dan Percayalah (Siti Nurhaliza) serta banyak lagi lagu lain.

Paling terbaru Ajai bekerjasama dengan penyanyi kontroversi, Ning Baizura. Sembilan lagu dalam album penyanyi itu menjadi taruhan baru Ajai menerusi kerjasama kali pertama mereka berdua.

Ajai juga baru sahaja muncul dengan album kompilasi Terbaik Dari Ku... Ajai edaran syarikat rakaman Warner Music yang memuatkan 14 buah lagu ciptaan termasuk sebuah lagu solo nyanyian Ajai berjudul Bisikan Asmara.

Pada pertemuan singkat itu, suami kepada penyanyi wanita popular, Nurul turut menjelaskan beberapa persoalan yang sudah lama bermain-main di fikiran saya.

Setiap soalan dijawab dengan terus terang tanpa berselindung.

DEAN: Bagaimana kedudukan Ajai selepas kontroversi keputusan Juara Lagu 2003 baru-baru ini?

AJAI : Saya masih lagi seperti saya. Tidak apa-apa yang membebankan. Setahu saya, kehadiran saya semata-mata untuk berkarya, bukan untuk menimbulkan suasana tidak sihat dalam industri muzik.

Adakah kontroversi itu satu tamparan dalam karier seni Ajai?

Pada awalnya terasa juga tekanan tapi lama-kelamaan saya berasa seperti biasa sahaja. Saya tahu tidak ada siapa yang mahukan tekanan dan kontroversi kerana hakikatnya semua itu akan mengundang suasana yang tidak elok kepada penggiat muzik yang lain.

Pernahkah Ajai terfikir berlakunya kepincangan dalam industri muzik di negara ini?

Tidak ada siapa yang mahu melihat kepincangan dalam industri muzik tanah air. Apa yang paling penting ialah semua pihak bersatu dalam segenap aspek yang ada kaitannya dengan pengurusan muzik.

Paling mustahak juga setiap penyanyi dan semua persatuan yang kononnya membela artis harus bersatu padu dan tolong-menolong. Saya juga ingin menarik perhatian mengenai kemunculan artis-artis baru. Pada saya semua pihak harus memberi sokongan kepada artis-artis baru yang berbakat.

Jangan kita hanya memberi tumpuan kepada artis-artis senior sahaja kerana kehadiran artis-artis baru juga penting sebagai mewarisi sejarah industri muzik tanah air.

Kebelakangan ini, lagu Ajai dinyanyikan oleh pelbagai artis dan banyak pihak bimbang Ajai akan terperangkap dalam keadaan di mana karya-karya Ajai akan menjadi stereotaip. Apa komen Ajai?

Pertama kali saya mahu menjelaskan kepada umum bahawa saya bukannya gedung lagu. Saya tidak mempunyai koleksi lagu yang banyak untuk diberikan kepada semua penyanyi. Banyak pertimbangan dan faktor yang perlu saya ambil kira sebelum saya mencipta lagu dan memberikannya kepada penyanyi-penyanyi.

Tetapi sedarkah Ajai setiap penyanyi meletakkan harapan yang tinggi di atas setiap karya ciptaan Ajai?

Banyak artis yang datang meminta lagu yang boleh menjadi lagu paling hit atau popular untuk album mereka, tetapi saya katakan kepada mereka saya tidak boleh memberi jaminan seperti yang mereka mahukan. Ada kalanya lagu ciptaan saya meletup kerana itu sudah menjadi rezeki saya.

Saya ingin menegaskan lagu yang baik bukannya datang 100 peratus daripada komposer sebaliknya hanya 40 hingga 50 peratus sahaja kualiti itu datang daripada komposer.

Selebihnya, ia turut bergantung kepada lirik lagu berkenaan serta persembahan nyanyian seseorang penyanyi itu. Saya juga tidak mencipta lagu untuk menyertai pertandingan semata-mata.

Saya banyak mendapat e-mel daripada peminat muzik yang mendakwa Ajai semakin berani bersuara sehingga menyebabkan banyak pihak berkecil hati?

Ye ke? Setahu saya, saya sekadar bercakap dan memberikan kenyataan yang saya lihat. Saya tidak pernah berpendapat saya sekadar mereka-reka cerita atau memberikan kenyataan yang boleh menyebabkan orang lain kecil hati. Kalau ada kenyataan saya yang berbunyi kasar itu maknanya saya sekadar mempertahankan hak saya. Saya tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit. Apa yang saya rasa tidak kena, adalah lebih baik untuk saya salurkan.

Jika ada peminat yang mendakwa saya semakin out-spoken saya tidak mampu memarahi mereka kerana kita menetap di negara demokrasi di mana sesiapa sahaja boleh memberikan kenyataan secara terbuka.

Benarkah Ajai ada musuh?

Entahlah saya tidak tahu pula hal itu. Yang saya tahu saya berkawan dengan semua orang. Cuma, kalau ada pihak yang cuba memalukan saya di hadapan khalayak, saya sukar untuk menerima mereka.

Sesiapa sahaja yang berada pada kedudukan saya pastinya mempunyai perasaan yang serupa. Mengapa kita harus bermusuh? Bukankah lebih baik kita berbuat baik dengan semua orang dan saling membantu mencari penyelesaian terhadap kesulitan dan kesukaran dalam industri muzik.

Selepas berjaya sebagai komposer dan penyanyi, kepada siapa Ajai kira wajar untuk berterima kasih?

Paling utama sudah pasti kepada Tuhan kerana memberikan saya bakat. Begitu juga dengan kedua ibu saya yang begitu memahami minat dan jiwa saya dalam muzik.

Saya dihantar mereka ke sekolah muzik Yamaha seawal usia saya lima tahun lagi kerana mereka dapat lihat kecenderungan bermain muzik ada dalam diri saya.

Isteri dan anak serta keluarga di sebelah isteri saya saya juga banyak memberi sokongan padu. Saya berterima kasih kepada mereka semua.

Saya juga harus berterima kasih kepada peminat dan pembeli karya-karya saya yang semakin matang dan sudah mula menerima perubahan yang saya suntik sedikit demi sedikit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.