saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 16/02/2003

Mengawasi, menilai dan meluruskan kerajaan - Islam izinkan pembangkang

Oleh ASTORA JABAT
PEMBANGKANG dalam Islam bukan sekadar hak asasi, tetapi juga salah satu kewajipan agama dalam kehidupan. Berdasarkan kepada pembacaan yang menyeluruh terhadap nas-nas al-Quran dan hadis membolehkan ulama merumuskan bahawa kewujudan pembangkang dalam negara Islam adalah sah dari hukum syarak.

Sekadar menjadi contoh disebut di sini salah satu ayat al-Quran yang digunakan oleh ulama dalam merumuskan hukum itu, iaitu ayat 79 daripada surah al-Maidah yang bermaksud: Mereka satu sama lain tidak saling melarang perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka lakukan itu.

Contoh pembangkang yang dianggap sah dari hukum syarak ini dapat dilihat dengan jelas dalam siasah syar'iyyah (politik syar'iyyah) yang dilaksanakan oleh Khulafa Rasyidun.

Khalifah pertama dalam kerajaan Madinah, Abu Bakar Siddiq umpamanya merupakan pelopor gerakan pembangkang rakyat terhadap kerajaan dalam mengawasi, menilai dan meluruskannya. Abu Bakar ketika berucap dalam majlis pengangkatannya sebagai khalifah setelah dibai'ah oleh rakyat berkata: ``Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah diangkat sebagai pemerintah kamu dan saya bukan orang terbaik di kalangan kamu. Maka sesungguhnya jika saya lemah (melakukan kejahatan), maka luruskan saya dan jika saya melakukan kebaikan, maka berilah dokongan kepadaku.'' (Muammar Rashid al-Uzdi - meninggal 151H-, al-Jami', juz 11, muka surat 336) Khalifah kedua dalam kerajaan Madinah, `Umar bin al-Khattab pun membuat kenyataan hampir sama dengan Abu Bakar.

Selain bukti-bukti di atas terdapat banyak lagi bukti dalam wacana politik Islam yang menunjukkan bahawa dalam Islam dibenarkan pembangkang dan sekali gus menolak dakwaan puak Wahhabi bahawa penubuhan parti pembangkang haram.

Bagaimanapun, pembangkang dalam Islam bukan seperti puak pemberontak yang enggan membayar zakat kepada kerajaan Abu Bakar dan mahu berpisah daripada kerajaan Madinah yang dipanggil dalam kitab-kitab fikah sebagai puak murtad itu. Begitu juga pembangkang dalam Islam bukan seperti puak pemberontak Khawarij yang menentang khalifah keempat dan terakhir dalam kerajaan Madinah, Ali bin Abu Talib. Ini kerana pembangkang dalam Islam mesti loyal, konstruktif dan reformatif.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh al-Ikhtilaf (muka surat 181) merumuskan bahawa pembangkang Islam itu mesti ikhlas kerana Allah dan untuk kepentingan umat dan bangsa, meninggalkan kefanatikan terhadap individu dan parti, berprasangka baik terhadap orang lain, tidak menyakiti dan mencela, menjauhi debat mengutuk, dialog dengan cara sebaik-baiknya, bersikap adil dalam menilai dan bersikap, memberi perhatian kepada apa yang dianggap utama, memakai fiqh muwazanah (pertimbangan yang matang antara yang tidak penting, penting dan lebih penting), mengutamakan perpaduan dan menjauhi perpecahan, matang dan bijaksana serta mampu mengawal emosi.

Pembangkang dengan ciri-ciri tersebut di atas tidak wujud di kalangan ahli politik pembangkang tanah air sekurang-kurangnya pada waktu sekarang. Cuma terdapat beberapa penulis politik yang dipandang sebagai pro pembangkang agak rasional seperti Fathi Aris Omar, Mohd. Sayuti Omar dan Ahmad Lutfi Othman. Ketiga-tiga penulis ini walaupun sangat kritis terhadap kerajaan dan kadang-kadang kritikan mereka sampai ke tahap tidak masuk akal, tetapi mereka juga kritis terhadap pembangkang terutama Pas.

Dengan itu tidak hairan jika ketiga-tiga penulis ini bukan saja dibenci oleh orang UMNO dan BN, tetapi juga oleh orang Pas.

Penulis mengikuti tulisan penulis-penulis politik ini dalam akhbar, majalah dan Internet. Dan didapati mereka dalam keadaan tersepit dan ruang untuk berkarya semakin tidak ada.

Ini sangat berbahaya kerana mana-mana negara yang mempunyai ruang yang luas untuk pembangkang yang tidak rasional dan tidak ada ruang yang sama untuk pembangkang yang rasional akan menyebabkan terbantut pengembangan pemikiran politik berwibawa di kalangan masyarakat. Seterusnya jika keadaan itu tidak diatasi, pembangunan negara pun akan menjadi masalah kerana kemajuan ekonomi tidak mungkin tercapai seperti dirancangkan tanpa ada kemajuan yang amat tinggi dalam pemikiran politik.

Fathi Aris Omar yang dianggap paling lantang mengkritik pembangkang terutama Pas kini sedar bahawa kedudukan penulis seperti beliau yang diumpamakan seperti air di antara dua tebing (baca UMNO dan Pas) yang sedang bergeser dan berkonflik.

Dalam rencana pendek bertajuk Di Celah Dua Tebing disiarkan dalam majalah Siasah keluaran Januari lalu Fathi Aris menulis: ``Apakah mungkin air mengalir di celah-celah dua tebing yang sedang bergeser-geser hangat?

Lama saya berfikir jenis tebing yang sedang dilalui ini. Apakah mungkin air mengalir? Tebing sungai tidak bertembung. Ia menerima dengan pasrah terjahan arus. Selesa atau tidak, tebing memang sudah rela. Tiada pilihan. Tetapi bagaimana jika dua tebing itu bertembung - tolak-menolak dengan penuh tegang?

Tidak dapat dibayangkan dua tebing sungai berkonflik seperti ini. Tetapi dunia sarat dengan pergeseran antara dua permukaan. Boleh dikatakan tiada kehidupan jika dua permukaan tidak merelakan pergeseran, kehangatan, kehausan dan kehilangan tenaga. Dunia boleh jadi kacau. Pelik, manusia suka keadaan harmoni, tenang dan selesa, tetapi itu semua dicapai hasil pergeseran-pergeseran yang tidak sudah-sudah.

Kesan buruk

Soalnya bolehkah kita mengalir di celah-celah pertembungan ini?

Fathi Aris Omar menjawab sendiri soalnya itu. Beliau berkata, pergeseran tebing, atau panggil saja permukaan, sering menimbulkan kesan buruk pada air.

Air tidak selamat, ia harus memikul bala ini. Jika air itu seorang wartawan yang berjiwa bebas dan tebing itu dua kumpulan parti politik yang sedang bertarung, kita boleh rumus sendiri kesan kesengsaraannya.

Politik wartawan adalah politik air, dia harus mengalir di celah-celah politik. Memikul kotoran atau terpinggir ke sisi. Ada pertembungan yang memberi ruang, ketika masing-masing mengambil lajak sebelum berlaga, lalu setiap ruang berisi air. Tetapi bagaimana di mana saat-saat dua parti ini bertembung - di mana ruang untuk air?

Sebagai wartawan, saya sedang rasa sakitnya tersepit. Rimas di celah-celah politik negara kita. Dua tebing ini bakal bertembung lagi dalam pilihan raya umum nanti. Di mana duduk letak air? Ia cair dan mudah terbentur. Kadang-kadang tidak tergoda. Di mana? Cuba perhatikan tulisan Fathi Aris Omar bertajuk ISA, juga ada manfaatnya disiarkan dalam sebuah laman web.

Beliau menulis: ``Saya berasa sungguh sakit hati setiap kali membaca surat-surat kepada editor Malaysiakini, khususnya tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak minggu lalu. Pembaca seolah-olahnya hanya memandang akta ini dari sisi buruk, tanpa mengkaji kesan positif''.

Katanya, cara seperti ini tidak adil, dan tidak objektif. Sesuatu undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat digubal untuk manfaat orang ramai dan negara, bukan semata-mata untuk menjaga Perdana Menteri atau UMNO seperti didakwa oleh pembangkang.

Pembangkang memang akan memburuk-burukkan ISA kerana aktivis dan pengikut mereka yang sering menganjurkan keganasan, termasuk ketika berceramah, akan berasa terhalang dengan wujudnya akta ini. Tetapi bagaimana kehidupan rakyat biasa, nelayan, pesawah dan penoreh getah?

Bukankah mereka juga berhak hidup dengan aman damai, sekurang-kurangnya dapat kais pagi makan pagi untuk menyara anak-anak ke sekolah? Pembaca Malaysiakini golongan terpelajar yang mempunyai sumber kewangan yang cukup - sebab itu mereka tidak tersentuh oleh kesengsaraan kaum tertindas ini.

Sepatutnya sebagai makhluk yang rasional, kita juga harus melihat sisi-sisi kebaikan ISA. Dengan adanya akta ini, akan timbul kebimbangan kepada banyak kelompok masyarakat, daripada golongan siswa hingga tukang kebun sekolah. Pengikut pembangkang yang melampau misalnya akan sentiasa waswas untuk bertindak di luar batasan undang-undang. Dengan itu akan terselamatlah negara ini daripada gejala puak-puak pelampau ini, misalnya penyokong reformasi. Setiap kali mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur, mereka mengganggu lalu lintas dan penjaja-penjaja di tepi jalan. Tidakkah kegiatan ini berbahaya kepada keselamatan nyawa pengguna jalan raya dan gedung perusahaan penjaja-penjaja ini?

Seterusnya beliau berkata: ``Minggu lalu (ketika beliau menulis rencana ini) polis telah mendedahkan satu pakatan sulit puak reformasi untuk menggunakan pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas bagi menyerang anggota-anggota polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai berkata laporan risikan polis (yakni pasukan SB atau Cawangan Khas) mendapati puak reformasi merancang mengumpulkan 50,000 orang bagi menyambut apa yang dinamakan `Black 14.'

Bayangkan jika 50,000 orang ini masing-masing membawa pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas ketika menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabtu lalu, maka akan wujud suasana tegang yang tidak dapat kita sendiri bayangkan lagi di kawasan itu.

Mujurlah dengan adanya ISA, polis boleh bertindak awal dan menahan tujuh aktivis Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi. Maka, suasana yang tidak dapat dibayangkan itu dengan sendiri dapat dielakkan.

Malah dengan kebijaksanaan Norian dan tindakan pantas polis itu, beberapa ratus penyokong reformasi yang berkumpul di bawah bangunan Suhakam itu tidak berani membawa pelancar bom, bahan letupan, bom petrol dan bebola penggalas seperti yang mereka rancangkan awalnya.

Walaupun polis tidak mengadakan sebarang sekatan jalan raya atau memeriksa kenderaan di tempat-tempat strategik di ibu kota, tetapi oleh kerana mereka sedar bahawa ISA sedang menunggu mereka, maka semua senjata berbahaya itu ditinggalkan sahaja di rumah-rumah mereka. Kerana itu, saya fikir pengkritik ISA sebenarnya tidak seimbang dan tidak objektif sama sekali. Mereka semuanya terpengaruh dengan dakyah pembangkang dan idea-idea hak asasi Barat.''

Beliau mencadangkan kerajaan seharusnya membanyakkan program kesedaran sivik, tetapi kali ini bukan di kampung-kampung, tetapi di kalangan masyakat bandar dan golongan profesional yang semakin hilang jati diri dan menganut idea-idea asing.

Fathi Aris Omar banyak juga menulis tentang Pas secara rasional. Penulis turunkan di sini sebahagian tulisan mengenai muktamar tahunan Pas yang diadakan di Kuala Terengganu pada tahun 2000.

Dalam analisis berita di bawah tajuk Guna Kereta Rasmi Pergi Beli Nasi Lemak, beliau menulis; ``Ketika perwakilan Pemuda Pas sedang bermuktamar Khamis lalu, di luar dewan, seorang aktivis akar umbi parti itu merungut tentang `gelagat baru' pemimpin parti itu mentadbir Terengganu. Aktivis pertengahan 30-an itu berkata semua pemimpin parti Islam itu menjadi sasaran kritikan tidak puas hati ahli-ahli Pas sendiri.''

``Semuanya (anggota exco dikritik) kecuali Menteri Besar,'' jelasnya, apabila ditanya tentang berapa ramai lagi pemimpin kanan kerajaan negeri itu dikritik setelah mendengar begitu banyak rungutan terhadap Exco Pembangunan Islam dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib.

``Tetapi lama-kelamaan, orang ramai akan pertikaikan MB pula,'' katanya. ``Kalau dah tahu banyak komplen, kenapa (MB) tak buat apa-apa?'' hujahnya dalam pelat Terengganu.

Beliau bercerita tentang banyak rungutan - bermula pemberian kawasan balak kepada salah seorang ahli UMNO tetapi tidak melalui tender terbuka hinggalah soal penyalahgunaan kenderaan rasmi untuk tujuan peribadi.

Isu kereta rasmi itu didakwa disaksikan olehnya sendiri.

``Ana nampak dengan mata ana sendiri,'' ungkapnya, yang mulai berjinak dengan parti Islam itu sejak di sekolah menengah lagi.

Aktivis ini tinggal tidak jauh dari rumah exco kanan berkenaan yang selalunya dianggap pakar rujuk dalam hal ehwal perundangan Pas. ``Isteri dia bawak (pandu) pergi beli nasi lemak,'' tambahnya.

``Sekarang isu ini (kereta rasmi) sudah jadi buah mulut. Yang hairan, ada sebilangan exco sudah mempunyai beberapa buah kereta (peribadi),'' rungutnya lagi. Fathi Aris Omar di akhir analisisnya bertanya,

``Apakah amalan `tiga abdul' seperti tulis Sayuti Omar sedang berkembang di sebalik bulan purnama di Terengganu?

Minggu depan perbincangan bersambung mengenai tindakan pembangkang mempolitikkan sakit kencing manis seorang penulis politik dengan mendakwa beliau terkena sihir seorang menteri besar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.