saya nak baca ..

PENDIDIKAN


ARKIB : 05/03/2003

Sekolah Seri Puteri - Berwajah elit, berkonsep milenium

Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya seperti sebuah kelab elit.


Oleh Rajmah Hasan Shirat
MELANGKAH sahaja masuk Sekolah Seri Puteri (SSP), terasa seolah-olah berada di sebuah kelab elit apatah lagi kedatangan yang `disambut' dengan suasana kolam air pancut menambahkan keasyikan.

Buat seketika, hati bertanya sendiri: `'Benarkah ini sebuah sekolah?''. Keraguan timbul kerana berhadapan dengan sekolah tersebut ialah kawasan kediaman mewah iaitu Cyber Heights.

Reka bentuk bangunan moden yang berangkai sama sekali tidak melambangkan persekitarannya milik sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) kerajaan.

SSP terletak di Persiaran Tasik, Cyberjaya, Selangor kini `berwajah' baru menampilkan konsep milenium dan bersesuaian dengan imej sekolah bestari.

Persekitaran SSP yang sangat kondusif, mempunyai susun atur bangunan menyerupai sebuah kampus universiti. Malah kehebatan kemudahan-kemudahan yang disediakan juga amat lengkap serta menandingi sekolah-sekolah swasta.

Kemudahan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang disediakan ialah bilik makmal komputer, makmal sains, makmal bahasa asing, makmal bestari matematik, bilik rakaman, bilik muzik, bilik audio visual dan bilik teknologi maklumat (IT) serta bilik praktikal agama.

Terdapat 80 buah komputer dalam empat makmal yang disediakan. Dua daripada makmal komputer itu dibangunkan dengan perisian Mimos manakala dua dengan perisian sekolah bestari. Turut dilengkapi makmal komputer Mimos peralatan canggih seperti kamera digital, pencetak berwarna laser, pengimbas dan projektor.

Dalam makmal bahasa asing dilengkapi dengan peralatan P&P moden untuk kegunaan bagi kelas-kelas bahasa Perancis, Arab dan Jepun. Bilik Akses Kendiri Bahasa Inggeris turut disediakan untuk pelajar yang ingin mempelajari bahasa berkenaan mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan modul yang disediakan.

Di dalam bilik muzik terdapat peralatan lengkap untuk sebuah kumpulan pancaragam. Sebahagian besar bilik-bilik kemudahan P&P itu berhawa dingin dan terletak di bahagian komponen utama bangunan yang mempunyai tiga tingkat.

Dalam bangunan utama itu juga menempatkan pejabat pentadbiran seperti bilik-bilik Pengetua, Penolong Kanan (PK) Kurikulum, PK Hal Ehwal Murid, PK Kokurikulum, guru-guru, bilik mesyuarat utama dan kafetaria. Kemudahan sistem pembesar suara (PA) berpusat mencanggihkan lagi proses komunikasi pihak pentadbiran dengan seluruh warga sekolah menerusi interkom yang turut dipasang di semua 40 buah kelas, Dewan Kuliah dan Dewan Puteri Perdana.

Dengan adanya sistem sedemikian, sebarang pengumuman terkini dapat diketahui oleh semua pelajar dan guru tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Kemudahan dalam bilik darjah pun berbeza daripada sekolah-sekolah biasa kerana setiap pelajar akan disediakan almari untuk menyimpan buku dan peralatan sekolah. Selain itu kerusi dan meja dengan reka bentuk istimewa malah setiap kelas juga mempunyai `Over Head Projector' dan sistem pembesar suara.

Bagi menimbulkan suasana harmoni dan selesa, setiap kelas hanya diperuntukan untuk 30 pelajar. Begitu juga sistem keselamatannya canggih yang mana di bilik pengawal dipasang Sistem Pencegahan Kebakaran berpusat dan mempunyai talian `on-line' dengan balai bomba berdekatan.

Sebarang kebakaran dapat dikenal pasti oleh pengawal melalui sistem berkenaan dan bantuan segera dapat disambungkan kepada bomba. Seperkara yang menarik ialah Sistem Gas berpusat yang menyalurkan sumber gas bagi kegunaan makmal sains dan memasak terus ke kompleks bangunan sekolah tanpa menggunakan tabung gas yang dibekalkan oleh syarikat Gas Malaysia.

Lain-lain kemudahan yang disediakan ialah Bilik Rawatan, Bilik Warisan untuk pameran sejarah sekolah dan Bilik Menanti untuk tetamu kehormat (VIP).

Terletak di atas keluasan tanah seluas 19 hektar, pembangunan SSP dalam kawasan bentuk tiga segi (pemandangan dari atas) tampak tersusun malah ia kelihatan seperti sebuah kampus. Kalau di sekolah biasa, imej yang biasa kita nampak ialah padang dan beberapa blok bangunan berbentuk kotak.

Di SSP, kemudahan sukan `berselindung' di sebalik bangunan pentadbiran (blok utama).

Jelas sekali pembangunan sukan dititik berat berdasarkan kemudahan yang disediakan seperti gelanggang-gelanggang bola jaring, bola keranjang, trek 400 meter, pavilion yang lengkap dengan bilik persalinan dan bilik mandi, squash serta tembok panjat `ala tentera'.

Keluasan Dewan Puteri Perdana iaitu tempat perhimpunan bagi majlis besar juga memuatkan empat gelanggang badminton juga dilengkapi dengan sebuah pentas dan sistem audio dan lampu yang canggih. Di tingkat bawah bangunan pentadbiran terletak bilik untuk para guru yang kelihatan susun atur dalaman seperti sebuah pejabat swasta. Meja-meja guru yang seramai 52 orang diasingkan mengikut pembahagi (`partition') selain terdapat 10 buah komputer yang disediakan dalam bilik guru untuk kegunaan mengakses Internet.

Kemudahan sebegini dijangka dapat meningkatkan semangat para guru untuk bekerja dengan lebih berdedikasi dan gigih menyumbang kepada kemajuan sekolah agar terus cemerlang. Suasana persekitaran SSP juga terasa damai, tenang dengan dendangan lagu-lagu berkumandang di setiap ceruk kawasan termasuk di pejabat pentadbiran, bilik guru dan koridor.

Tidak cukup itu, SSP juga bakal dikenali sekolah dalam taman memandangkan susun atur landskap yang menarik dengan tanaman pokok-pokok menghijau menyejukkan mata memandang. Kediaman pengetua (sebuah banglo) dan guru serta warden (bangunan blok) terletak bertentangan dengan empat blok asrama pelajar yang dipisahkan dengan trek 400 meter. Asrama-asrama pelajar iaitu Ruby, Emerald, Topez dan Sapphire diberikan nama sempena rumah sukan turut dilengkapi dengan bilik rehat, bilik bacaan dan mini klinik setiap satu.

Pemandangan dari atas juga kelihatan sebuah terusan bersebelahan dengan trek dan blok asrama serta kediaman guru dan pengetua. Seperkara menarik ialah reka bentuk dewan makan yang seperti masjid yang mana di tingkat bawah ialah tempat makan manakala di tingkat atas pula sebuah surau yang boleh memuatkan kapasiti lebih 1,000 orang untuk bersolat jemaah.

Reka bentuk bangunan SSP juga adalah mesra pengguna dan terdapat kemudahan seperti tandas dan laluan sesuai bagi kegunaan golongan istimewa yang berkerusi roda. SSP terletak di kawasan kejiranan terdekat dengan Ibu Pejabat Multimedia Koridor Raya (MSC) iaitu kira-kira sejauh dua kilometer dan Universiti Multimedia (MMU) iaitu lima kilometer.

Keistimewaan lokasi SSP `dihidupkan' lagi dengan pemandangan saujana mata memandang sebuah Tasik Putrajaya, jambatan dan bangunan pentadbiran kerajaan serta landasan ERL. Pemandangan waktu malam lebih menarik apatah lagi diserikan dengan cahaya lampu warna dan neon dari kawasan kompleks bangunan pentabdiran kerajaan di Putrajaya.

SSP yang dahulunya terletak di Jalan Kolam Ayer Lama, mula beroperasi di Cyberjaya pada 1 Mac 2003. Ia merupakan sekolah bestari pertama yang dibina di Cyberjaya. Ketika ini bilangan pelajarnya adalah 471 orang yang kesemuanya perempuan dan akan bertambah seramai 180 orang pada pengambilan baru pertengahan Mac ini.

SSP yang baru di Cyberjaya boleh memuatkan kapasiti pelajar seramai 900 orang pada satu masa dan sasaran bilangan itu akan meningkat menjelang tahun hadapan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.