saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/03/2003

Siti Nurhaliza - penuhi impian peminat seberang

KETIKA anda membaca artikel ini, penyanyi terkenal Siti Nurhaliza barangkali sedang dalam perjalanan ke Jakarta, Indonesia. Barangkali juga, Siti sudah pun menjejakkan kaki ke seberang untuk menjayakan sesi jelajah Jakarta sempena dengan pelancaran album terbaru beliau, E.M.A.S di sana.

Kunjungan ini bukanlah kali pertama bagi penghibur muda yang kini cukup popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Sebaliknya, Siti sebelum ini sudah beberapa kali diundang mengadakan konsert, melancarkan album dan lain-lain kegiatan kesenian.

Bagaimanapun, kunjungan kali ini kata penerima Anugerah Khas Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003) ini ialah memenuhi penantian peminat-peminat di sana terhadap album terbarunya.

``Sudah pasti, kunjungan ini amat menggembirakan Siti kerana sudah lama album pop Siti tidak dilancarkan di sana,'' kata beliau kepada wartawan Pancaindera yang turut mengadakan liputan Siti di negara itu.

Apa yang turut mengharukan Siti dengan kunjungannya ke Jakarta ialah kesempatan untuk meraikan penghasilan istimewa lagu Bukan Cinta Biasa ciptaan komposer dari negara berkenaan, Dewiq.

``Kunjungan ini juga tidak ubah sebagai kunjungan menyatakan rasa terima kasih Siti terhadap kerjasama yang cukup erat yang terjalin antara Siti dengan karyawan muzik di sana,'' jelasnya.

Selama enam hari di Jakarta, jadual Siti diatur dengan begitu padat sekali. Setibanya di sana, program pertama yang akan dijayakannya ialah sesi bertemu peminat di salah sebuah kedai menjual kaset yang cukup popular di kota Jakarta.

Program tersebut dijangka akan diadakan pada pukul 2.30 petang (waktu Indonesia). Seterusnya, pada hari-hari berikutnya, Siti juga akan mengadakan sesi temu bual secara berkumpulan dengan lebih 30 akhbar utama dan majalah.

Tidak ketinggalan, Siti juga akan ditemu bual oleh 10 juruhebah mewakili 10 stesen radio popular di Indonesia. Kehadiran Siti ke sana juga mendapat perhatian lima penerbit di lima buah stesen televisyen yang popular di Indonesia.

Pancaindera difahamkan, Siti akan menjayakan persembahan yang akan ditayangkan secara langsung dan juga rakaman termasuk berganding bahu dengan artis terkenal Indonesia, Kris Dayanti dalam program KD SHOW.

Mengikut perancangan yang diatur oleh wakil syarikat rakaman Siti di sana, Universal Music Indonesia, syarikat rakaman berkenaan juga menjangkakan seramai lebih 5,000 peminat Siti akan memenuhi dewan untuk menonton persembahan Siti semasa menjayakan program Didikempot Show yang disiarkan di stesen TV7.

``Walaupun jadual di sana agak memenatkan namun, demi memenuhi kehendak dan menghormati penonton dan peminat-peminat Siti di sana, Siti akan memberikan kerjasama yang baik,'' ujar beliau lagi.

Sepanjang berada di Jakarta, penghibur yang berusia 24 tahun ini berkata, beliau akan mencuri kesempatan untuk meninjau dengan lebih dekat perkembangan arus muzik kontemporari di negara itu.

Menurut Siti, sebagai penyanyi, beliau mahu meninjau faktor-faktor yang menyebabkan arus muzik Indonesia mudah menguasai jiwa pencinta seni Malaysia.

Fenomena muzik Indonesia kata Siti, seperti memiliki `kuasa mistik' dan sewajarnya kelebihan itu dikongsi dengan pencinta-pencinta muzik di Malaysia.

``Secara peribadi, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah muzik dan seni Malaysia mempunyai kelebihan dan keunikannya tersendiri.

``Namun, dalam usaha untuk bersaing dalam pasaran muzik global, Siti berpendapat, karyawan muzik tanah air juga harus mengambil iktibar dan mempelajari apa yang baik dari luar.

``Dalam hal ini, apa yang paling mustahak juga ialah kita harus mengubah persepsi bahawa kita bukan meniru atau mengambil bulat-bulat karya seni luar, sebaliknya, belajar apa yang baik dan yang boleh diteladani,'' tegas Siti lagi.

Lantaran itu, pertemuan dan kesempatan bertemu pemuzik dan karyawan seni Indonesia dalam kunjungannya ke Jakarta kata Siti, diharapkan akan dijadikan platform terbaik untuk mempelajari kelebihan industri muzik negara itu.

Seperkara lagi, jauh di dasar jiwanya, Siti tidak menafikan, beliau amat berbesar hati untuk menjaja karya terbarunya untuk santapan jiwa seni peminat muzik Indonesia.

Menurut Siti, pertemuan beliau dengan media Indonesia juga akan dijadikan medan terbaik untuk beliau bercerita mengenai perkembangan arus muzik Malaysia.

``Siti mahu berkongsi kejayaan yang dicapai oleh seluruh penggiat muzik negara bersama masyarakat di sana,'' janji Siti lagi.

Semasa di Jakarta, Siti akan turut diiringi oleh abangnya, Ayie, kakak iparnya, Rozie dan Pengarah Urusan Suria Records, Tan Su Loke.

Hari terakhir di sana, Siti punya kesempatan untuk berehat dan artis itu memberitahu, beliau mahu mengambil kesempatan itu untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik selain mengambil peluang membeli-belah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.