saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 26/03/2003

Catatan aktivis `miskin' di Temerloh

SEORANG teman memberitahu di Indonesia ada kumpulan mementaskan teater di kampung terpencil hanya menggunakan lampu ayan.

Jika sedaif itu kehidupan aktivis teater di sana, nampaknya saya masih bertuah, meskipun terpaksa membeli lampu sendiri untuk mementaskan teater di bandar sekecil Temerloh, Pahang.

Bermula tahun 2002 menerusi produksi sendiri Anggun Performing Arts, saya berusaha mencari khalayak dengan pementasan pertama Jiwa Merdeka. Ternyata ia tidak mengecewakan. Dewan Tun Abdul Razak, Temerloh (DTART) tempat pementasan itu dipenuhi sekitar 600 penonton.

Mereka yang datang menonton bukan dari kawasan bandar, tetapi dari kampung tradisi sejauh 20 hingga 40 kilometer jaraknya dari bandar Temerloh.

Pernah juga terfikir, mungkin penonton yang datang malam itu untuk melihat artis kesayangan mereka seperti Uji Rashid, Chico dan Nizal Mohamed.

Tak kisahlah, yang penting teater masih ada peminatnya di Temerloh. Justeru, untuk mengembalikan kegemilangan teater yang hilang sejak lebih 20 tahun lalu di sini bukan perkara mudah.

Persembahan seterusnya pada penghujung tahun lalu ialah teater Gelanggang Tok Wali turut mencatatkan kehadiran di luar jangkaan.

Kerusi yang diatur dalam DTART tidak terbiar kosong. Malam kedua kerusi terpaksa ditambah. Ada yang mencadangkan supaya dilanjutkan pementasannya.

Penonton masih tetap golongan pertengahan, guru-guru dan orang kampung. Ada yang sudah mencecah usia lebih 70 tahun. Mereka nampak berminat, mungkin untuk melepas rindu pada zaman gemilang sandiwara di Temerloh.

Mementaskan teater di Temerloh memang memerlukan kajian kerana apalah erti teater tanpa penonton, terutama pemilihan naskhah. Teater absurd tidak sesuai di Temerloh. Skrip mesti akrab dengan penonton luar bandar.

Inilah antara beberapa aspek yang diterapkan dalam teater Kena Main yang akan menemui penonton di Temerloh akhir April nanti.

Dengan kebenaran penulis skripnya, Khalid Salleh, latar teater Kena Main ditukar ke Lurah Semantan Temerloh. Bukan lagi mengenai sekumpulan orang buta di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Mempertaruhkan tiga bakat baru (pertama kali berlakon) agak membimbangkan tetapi saya nekad kerana kerabat teater di Temerloh perlukan pelapis.

Memperkuatkan lagi teater itu ialah Norkhairiah Safiee, pelakon drama televisyen yang kerap terlibat dengan pementasan perdana di Kuala Lumpur.

Kesanggupan Azmi Ahmad dari Kuantan dan Shamsul Baharin Sufar dari Raub menjayakan teater Kena Main itu menyuntik semangat teman-teman.

Kewibawaan mereka yang pernah bergelar Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik Pekan Teater Negeri Pahang memang dituntut untuk memantapkan teater ini. Selebihnya soal bajet. Ini adalah kemelut yang melemahkan semangat anak-anak teater. Jika teater Jiwa Merdeka mendapat belas kasihan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur yang sudi membiayai RM20,000 tetapi kos lain-lain pementasan amat menyedihkan.

Pementasan Gelanggang Tok Wali rugi besar kerana sumbangan yang diperolehi hanya RM3,000. Dengan bajet terhad itulah pementasan diadakan selama dua malam.

Pengarah tidak mendapat bayaran tetapi jika wang menjadi perkara utama, memang teater tidak ada tempat. Teater itu sendiri adalah kehidupan. Kehidupan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Lain-lain pementasan, biayanya sangat daif, semacam tidak masuk akal. Kami mementaskan teater Subuh Berdarah Di Kuala Kerau sebelum ini dengan kos tidak sampai RM2,000. Begitu juga dengan teater Gendang Perang dan Maruah Merdeka.

Apabila bercakap fasal teater, ramai yang nampak ghairah memberi sokongan. Tetapi sepanjang tiga tahun di Temerloh, saya merasakan dugaannya amat memenatkan. Kerja teater tercorot dalam kamus orang-orang yang wajib membangunkannya. Di pihak swasta atau korporat, tanggung jawab budaya semacam tidak ada dalam komputer mereka.

Apa pun kerja teater tetap diteruskan. Di Temerloh, peminat teater semakin ramai. Sudah ada pula usaha untuk membawa teater ke Felda berdekatan. Inilah yang mengharukan kami. Peminat-peminat sentiasa menunggu produksi terbaru.

Ketika bergelut mencari dana, mujur masih ada mata yang memandang. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) prihatin memberikan ruang latihan serta dewan percuma dan kain rentang publisiti juga disediakan. Pegawai-pegawai MPT turut mesra memberikan kerjasama. Sekurang-kurangnya kami tidak lagi terbeban dengan keperluan asas. Pengarah Kebudayaan Pahang juga sudah berjanji menghulur sedikit sumbangan.

Teater Kena Main akan dipentaskan pada 25 hingga 27 April ini di Dewan Tun Abdul Razak, Temerloh bermula 8.30 malam. Beberapa pemuzik buta dari Taman Harapan Temerloh akan diundang berlakon dalam teater komidi ini.

Pada sebelah siang akan diadakan program Apresiasi Teater. Tokoh-tokoh dari Kuala Lumpur sudah memberi kesanggupan termasuklah Ketua Program Teater Akademi Kebangsaan (ASK) Zakaria Ariffin, Presiden Majlis Teater Kebangsaan Malaysia (TEMA), Ismail Kassan dan Aminah Raphur.

Bagi yang berminat boleh menghubungi penganjurnya Anggun Performing Arts menerusi telefon 019-9631606.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.