saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/05/2003

Pelihara khazanah di timur laut Langkawi

(Wartawan Utusan)
Langkawi diakui oleh ahli sains serta penyelidik tempatan sebagai pulau yang mempunyai pelbagai spesies tumbuhan serta hidupan darat dan laut yang unik dan berharga. Mengambil kira rekod pembentukan batu-batan di pulau ini serta penemuan pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan, pulau peranginan ini dikatakan mempunyai segala-galanya yang hendak diketahui mengenai aspek geologi mahupun tumbuh-tumbuhan.

Langkawi yang mempunyai gugusan 99 buah pulau dengan keluasan sekitar 48 kilometer persegi bukan sahaja menyimpan rekod yang lengkap dan berterusan mengenai sejarah awal evolusi bumi sejak 150 juta hingga 450 juta tahun iaitu pada zaman Jura dan Kambria, malah dikatakan mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna yang tertua selain spesies tumbuhan unik yang tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada maklumat saintifik yang kemas kini dan lengkap disediakan untuk merekodkan keunikan khazanah alam di pulau peranginan ini. Usaha telah dan masih diteruskan oleh ahli sains serta para penyelidik untuk mengumpulkan segala data dan maklumat mengenai khazanah alam itu untuk direkodkan sebagai bahan rujukan.

Proses dokumentasi ini bagaimanapun dikatakan mengambil masa berikutan kepelbagaian spesies tumbuhan dan hidupan yang terdapat di sini dan sesetengahnya memerlukan masa untuk disahkan.

Baru-baru ini, seramai 150 ahli sains, para penyelidik dan sukarelawan dari universiti tempatan menyertai Ekspedisi Saintifik dan Khazanah Alam 2003 di Langkawi bagi menjalankan kajian dan pengumpulan data meliputi aspek geografi, sumber alam semula jadi, flora dan fauna, ekologi, tanah dan mikrobiologi.

Ekspedisi selama sepuluh hari itu adalah anjuran bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Jabatan Perhutanan Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ekspedisi, Datuk Dr. Hashim Abdul Wahab, ekspedisi itu telah berjaya merekodkan pelbagai spesies baru tumbuhan termasuk spesies tumbuhan mempisang yang didapati tumbuh dengan banyaknya di pulau ini.

Di samping itu, sebanyak 35 spesies lumut juga direkodkan selain lebih 44 spesies rumpai mikro yang ditemui di sekitar kawasan Telok Datai.

Sementara, ahli sains dalam bidang kajian serangga juga mengenal pasti 17 spesies cengkerik hidup di beberapa kawasan di sini dan satu spesies yang dipercayai baru tetapi belum dikenal pasti turut ditemui.

Yang menariknya, spesies ketam batu dikenali sebagai Geosesarma Foxi yang hampir pupus telah ditemui di Gunung Raya. Ini adalah kali kedua ketam itu ditemui sejak penemuan kali pertama pada 1914 oleh B.H. Buxton juga di Gunung Raya.

Begitu juga dengan spesies ikan air tawar Angulia Marmorata yang dikatakan lebih 40 tahun tidak ditemui telah dijumpai oleh penyelidik yang menjalankan kajian di kawasan Temurun dan Telaga Tujuh.

Dalam pada itu, menurut Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad beberapa spesies tumbuhan yang tidak terdapat di tempat-tempat lain di negara ini juga telah ditemui di sini.

Tumbuhan itu menurutnya, termasuklah, cycas clivicola (pokok bogak), paphiopedilum niveum (orkid), lagerstraemia langkawiensis (pokok bungor), globba fragilis (halia), asparagus vacemosus (asparagus liar), maxburettia gracils (pokok palm) dan hymenodictyon excelsum (kopi).

Segala penemuan khazanah alam yang unik dan berharga itu menurut beliau tidak bermakna apa-apa jika tidak ada langkah susulan dilakukan untuk memulihara alam sekitar di pulau peranginan ini.

Justeru, institusi berkaitan yang bertanggungjawab dalam perlindungan alam sekitar perlu lebih aktif memainkan peranan dalam mempromosi program dan aktiviti mengenai pendidikan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan masyarakat tentang pentingnya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Ini kerana menurut Dr. Abdul Latiff, kejayaan para penyelidik menemui pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan baru di pulau peranginan ini adalah satu perkara, tetapi tugas yang lebih penting ialah memastikan khazanah alam itu terpelihara dan tidak dimusnahkan kerana faktor pembangunan.

Beberapa cadangan dikemukakan oleh pihak MNS bagi melindungi khazanah alam itu daripada pupus termasuk mewartakan bahagian timur laut Langkawi sebagai Taman Negara dan menyediakan Pelan Strategik Ekopelancongan untuk Langkawi.

Menurut Dr. Hashim, beberapa kawasan di bahagian timur laut Langkawi perlu diwartakan sebagai Taman Negara bagi melindungi pelbagai khazanah alam semula jadi yang dikenal pasti banyak terdapat di beberapa kawasan di situ.

Katanya, pasukan penyelidik dan ahli sains yang menjalankan kajian di pulau legenda ini mendapati kawasan Kilim, Kisap, Ayer Hangat, Pulau Langgun dan Pulau Tanjong Dendang menyimpan banyak khazanah alam yang berharga justeru ia perlu dilindungi supaya tidak pupus.

Beliau menambah, data yang lengkap akan dikumpulkan oleh pasukan penyelidik berkenaan sebagai rekod supaya usaha boleh dilakukan untuk mengisytiharkan timur laut Langkawi sebagai Taman Negara.

Sementara itu, penyediaan Pelan Strategik Ekopelancongan Langkawi pula dianggap penting sebagai petunjuk jangka panjang arah tuju pelancongan di pulau peranginan itu. ``Ia penting dalam memastikan pembangunan di Langkawi dilakukan secara sistematik tanpa memusnahkan khazanah alam semula jadi yang terdapat di pulau ini,'' kata Presiden MNS, Datuk Dr. Salleh Mohd. Nor.

MNS jelas beliau, bersedia untuk mempelopori usaha menyediakan pelan strategik itu dan menjadikan hasil kajian ekspedisi sebagai asas dalam penyediaan pelan itu. ``Yang penting ialah dengan adanya pelan strategik ini kita dapat mengetahui khazanah alam yang terdapat di sini serta mengimbangkan aspek pembangunan dan pemuliharaan khazanah yang dilakukan di sini,'' katanya.

Selain itu, mengambil kira penemuan khazanah alam itu berupaya menjadi satu lagi tarikan baru pelancongan ke Langkawi, beliau menyarankan supaya maklumat mengenainya didokumentasikan dalam bentuk risalah untuk pelancong.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.