saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 18/05/2003

Sejauh mana akrabnya politik dan sastera?

TIDAK dapat disangkal sasterawan dan penulis secara amnya serta hasil kerja mereka tidak dapat melarikan diri daripada lingkungan politik dan segala bentuk pengaruhnya, sama ada secara langsung atau tidak; mahupun secara sedar atau tidak.

Malah hubungan karya mereka dengan suhu atau suasana politik semasa begitu akrab dan saling mewarnai gaya, cara dan pemikiran.

Dari sudut politik, pengaruh dan kekuatan yang dibawa oleh seniman, sasterawan dan penulis tidak dapat diketepikan begitu saja kerana banyak sejarah politik dicaturkan oleh penulisan dan kesenimanan.

Dalam keperluan untuk bergerak secara bebas, nyata dan lantang, hubungan antara kedua-duanya menjadi kurang mesra dan seakan-akan ingin bersaing atau mengatasi antara satu dengan yang lain.

Benarkah demikian? Hubungan suka, rela atau tidak antara dua landasan ini meyakinkan bahawa dalam apa jua keadaan dan bentuk akhir akibat hubungan itu, suatu perhubungan tetap terjadi, biarpun realitinya kalau tidak manis dan baik, ia pahit, sakit dan menindas.

Hakikat tentang hubungan itu diakui oleh Pengarang Malaysiakini.com, Fathi Aris Omar dan menggesa suatu bentuk pembebasan diperlukan oleh golongan ini agar boleh `bekerja' secara bebas melalui idea yang dipanggil ruang awam.

``Kita perlu mewujudkan ruang awam yang bebas dari (pengaruh) korporat, keluarga dan ahli politik. Kegemaran politik menyebabkan masyarakat terbelah sehingga gagal menyatakan kewarasan,'' jelas beliau.

Keperluan adanya ruang awam itu dilihat sebagai satu lagi usaha melepaskan diri untuk melihat seniman yang benar-benar dalam dirinya berjiwa semua, yakni tidak berlindung atau bernaung dengan agenda politik.

Secara idealnya, ruang awam ini dilihat mampu mencambah suatu perkembangan idea secara bebas dan merdeka tanpa kecenderungan untuk memihak atau dikuasai oleh mana-mana pihak lain.

Dalam suasana pertembungan dan pertukaran idea ia diyakini dapat membentuk suatu asas pemikiran, namun ia perlu bertitik-tolak daripada penjernihan dan kejelasan pemikiran.

Pada masa yang sama hakikat pemikiran bersandar atau berkecenderungan perlu disingkir bagi menggalakkan integrasi berlaku dalam pengertian sebenar.

Secara rasional dan menyedari hakikat kehidupan dan manusia sebagai ejen politik, hakikat untuk melihat wujudnya ruang awam ini seakan ilusi dan begitu sukar untuk dibina atas landasan idealnya.

Ini belum lagi mengambil kira bahawa seorang seniman, sasterawan dan penulis itu memerlukan hasil untuk menyuap mulutnya!

Lantaran itu penulis bebas, Hasmi Hashim menyatakan bahawa tidak ada pemikir seni besar yang benar-benar bebas daripada kongkongan politik.

Bagaimanapun segala bentuk kerumitan dan cabaran yang perlu dihadapi seorang seniman dan penulis itu memerlukan kendiri lain yang bersikap bebas dan tidak terikat dengan sebarang sandaran politik.

Kejernihan berfikir dan tanggungjawab yang lebih luas daripada persoalan politik memerlukan penulis itu mengeluarkan diri daripada suatu bentuk kongkongan.

Hakikat benarkah manusia seniman, sastera dan penulis perlu bebas dari politik sebenarnya suatu lagi persoalan yang perlu difikir secara jernih.

Ini kerana peranan dan kedudukan sastera dan penulisan dalam sesuatu fenomena politik amat akrab dan tidak mungkin akan dipisah.

Tanpa penulisan dan sastera apakah maknanya sesuatu kerangka atau pemikiran politik yang ingin diketengahkan kepada khalayak?

Persoalan yang menjadi kerumitan apakah hubungan yang patut ada antara kedua-duanya, yakni siapa yang mendahului atau menguasai.

Barangkali secara idealnya seniman, sasterawan atau penulis itu meletakkan bahawa agenda pembinaan dan pemikiran yang bakal menentukan corak politik itu terletak kepada mereka.

Sebaliknya pula sepadan dengan pemegang tampuk kuasa yang membuat keputusan, maka ia menyimpulkan bahawa doktrin politik patut berada di depan dan merentas jalan kepada idealisme kesenimanan dan kesasteraan.

Apapun fenomenanya, kesenimanan dan kesasteraan kini sudah menjadi pengikut kepada gerakan dan agenda politik, lantaran itu lahirnya bentuk-bentuk kerja yang bersifat menyanggah dan menjadi suara berontak serta amuk.

Penulis bebas, Raja Yusoff Ariffin pula menjelaskan hubungan akrab penulis-politik dan sering terjerumus sama dengan suhu politik terutama apabila mengambil kira peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah beliau menyifatkan penglibatan penulis dalam fenomena politik tanah air sama ada politik kepartian atau dalam penulisan begitu ketara sesuai dengan suhunya yang mencanak ketika itu.

Mengambil contoh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Shahnon Ahmad dengan buku Shit, mahupun Dinsman dan Zunar ternyata hakikat hubungan akrab antara kedua-duanya tidak dapat disangkal.

Kitaran hubungan antara kedua-duanya sama ada disukai atau tidak, diterima atau ditolak, ia akan wujud dalam bentuk-bentuknya sendiri mengikut dimensi dan keperluan.

Sememangnya manusia seniman, sasterawan dan penulis itu perakam kepada kehidupan yang melingkari kerana segala bentuk percampuran, penolakan dan penerimaan akan tetap berlaku, dan ia sememang tidak diragui!

Namun melihat kepada fenomena semasa dalam negara, apakah benar-benar wujud ruang awam dalam diri seniman dan sasterawan itu sendiri?

Pada masa yang sama, apakah seorang penulis yang bersikap lantang dan dianggap berada di sebelah yang lain akan diterima tanpa menolak prasangka atau bias politik?

Kecenderungan memihak, sama ada disengaja atau tidak, tidak dapat dielakkan. Namun yang penting adalah kejujuran untuk menampilkan realiti yang terakam memerlukan keutamaan.

Walau apa juga perdebatan yang timbul dalam persoalan dan pergelutan hubungan dengan politik, yang jelas seniman, sasterawan dan penulis bukanlah perintis dalam erti kata sebenar.

Jadi adakah kita ingin terus bercerita kepada seluruh warga tentang satu ideal utopia?

Atau mengambil sisi lain untuk memperjuangkan idealisme kesenimanan dalam geruh penguasaan politik seperti kata SM Zakir: ``Menentang sebagai seorang yang kalah?''

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.