saya nak baca ..

TENTERA


ARKIB : 24/05/2003

10 Briged Para Kebanggaan negara

Rejimen Pertama Artileri Diraja Para, salah satu unit yang bernaung di bawah 10 Briged Para.


KONSEP pertahanan hadapan memerlukan negara memiliki sebuah angkatan yang mudah digerak, pantas bertindak serta berupaya untuk menangkis ancaman awal musuh.

Justeru, untuk mencapai hasrat tersebut Tentera Darat telah mengorak langkah untuk menubuhkan sebuah pasukan payung terjun yang memiliki ciri-ciri seumpama itu. Sebagai permulaan, pada tahun 1988 sebuah batalion payung terjun telah ditubuhkan dengan mengubah suai Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja.

Berikutan kejayaan penubuhan tersebut, maka Tentera Darat terus mengorak langkah ke arah penubuhan sebuah briged para pula yang boleh dikerah ke mana sahaja melalui operasi dari udara untuk mempertahankan kedaulatan negara atau menyerang musuh yang berada di luar.

Untuk tujuan itu, Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja kemudiannya diubah suai menjadi pasukan para pada tahun 1990 diikuti oleh Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja, tiga tahun kemudian.

Pengubahsuaian ketiga-tiga batalion ini sekali gus telah berjaya meningkatkan kemampuan Tentera Darat dalam melaksanakan operasi bercorak vertical envelopment atau vertical deployment.

Selain itu, peningkatan keupayaan tersebut telah berjaya memperluaskan peranan Tentera Darat ke peringkat misi strategik bagi menyokong dasar pertahanan nasional yang berkonsepkan kepada pertahanan hadapan.

Dari situ, akhirnya pada 10 Oktober 1994, lahirlah pasukan 10 Briged Para yang sebelum itu dikenali sebagai 10 Briged Infantri.

Pengumuman rasmi pengoperasian pasukan itu telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pulau Langkawi.

Perisytiharan itu menjadikan 10 Briged Para yang menaungi 14 unit Tentera Darat termasuk tiga batalion infantri menjadi komponen darat dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) seterusnya menjadi pasukan elit kebanggaan negara.

Kini selepas hampir 10 tahun beroperasi sebagai briged para, telah banyak perubahan yang dialami oleh pasukan berkenaan.

Lebih membanggakan ialah warga 10 Briged Para bukan sahaja mampu melaksanakan operasi lintas udara melalui penerjunan di medan hadapan bagi melumpuh serta memberi kejutan kepada musuh sebelum mereka sempat melancarkan gerakan ofensif, tetapi juga gerakan secara amfibi. Ia turut berupaya melaksanakan misi serbuan kilat ke atas lokasi musuh dan menawannya sebelum bergabung semula dengan pasukan sahabat.

Kental

Bagi memastikan ia mencapai kejayaan maksimum, pasukan tersebut turut memiliki kuasa tembakan dan mobiliti yang jauh mengatasi pasukan-pasukan lain dalam Tentera Darat.

Malah setiap anggotanya yang dikenali dengan beret merun ini diwajibkan mempunyai daya tempur serta semangat juang yang tinggi serta kental bagi memastikan setiap misi yang dilakukan berhasil. Mereka juga dimestikan memiliki kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan senjata dan taktik asas.

Di samping itu, mereka mesti berupaya untuk membunuh musuh dengan pantas dan tepat sesuai dengan cogan kata pasukan iaitu Tindak Pantas.

Pada masa yang sama, warga 10 Briged Para turut dituntut agar mempunyai daya tahan yang tinggi bagi setiap keadaan pertempuran serta limitasi yang terpaksa diharungi oleh pasukan berkenaan.

Untuk memastikan, setiap warganya memiliki pakej tersebut, maka pasukan berkenaan banyak mengadakan latihan udara dan darat di samping terlibat dalam operasi sebenar di perbatasan seperti Op Pasir di Sabah.

Latihan udara bertujuan memahirkan setiap anggota para dalam persediaan penerjunan.

Ini termasuklah meningkatkan kemahiran anggota tertentu dalam melaksanakan pengguguran peralatan, pandu udara, penyusupan udara serta pelepasan penerjunan.

Dalam latihan darat pula, penekanan adalah kepada kemahiran teknik dan taktik peperangan darat. Untuk tujuan itu, fasa latihan tidak terhad kepada peperangan konvensional semata-mata tetapi juga fasa lain seperti operasi menyelamat, serangan mengejut, operasi unit kecil dan operasi `pemindahan' di negara asing.

Dengan mengintegrasikan kedua-dua latihan itu telah membolehkan satu jentera merun yang digeruni oleh pihak lawan dihasilkan.

Di samping itu, latihan kemahiran individu secara berterusan turut diadakan bagi memastikan ketahanan mental, fizikal dan pengetahuan ilmu medan perang mereka sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Tambahan pula, kekerapan penerjunan yang dilakukan menuntut mereka memiliki ketahanan emosi dan psikologi kerana setiap penerjunan yang dilakukan dikatakan bersamaan dengan lapan jam mental stress.

Apatah lagi penerjunan tempur langsung tidak sama dengan penerjunan sukan. Tanpa ketahanan yang tinggi sudah tentu anggota terbabit tidak akan mampu melaksanakan operasi seterusnya selepas mendarat.

Kerana itu jugalah, hanya mereka yang lulus latihan Semangat Waja sahaja yang layak diterima masuk dalam pasukan berkenaan dan seterusnya dibenarkan memakai beret merun.

Untuk lulus ujian tersebut, bukanlah satu tugas yang mudah. Ini kerana anggota hanya diberikan masa selama enam hari sahaja untuk menghabiskan 7 jenis ujian yang ditetapkan.

Apa yang pasti, hanya mereka yang benar-benar cekal, mempunyai stamina yang tinggi dan bersedia sahaja yang mampu mengharungi tempoh `sengsara' tersebut.

Ujian-ujian lasak dan mencabar itu meliputi jalan lasak sejauh 12 kilometer, pelaksanaan raid, melarikan diri dari musuh sejauh lima kilometer, kawad tempur seksyen dan platun serta kemahiran senjata.

Turut diuji ialah pandu arah sejauh 30 kilometer serta jalan lasak sejauh 32 kilometer.

Akhir sekali, Sayap Berdarah akan disematkan ke dada setiap anggota selepas mereka menamatkan Kursus Asas Payung Terjun dengan jayanya.

Ekoran ujian mencabar dan latihan keras yang diadakan secara berterusan jugalah, maka ramai yang menyifatkan keupayaan, kemahiran serta ketangkasan warga 10 Briged Para kini sudah hampir menandingi pasukan komando.

Malah bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Datuk Seri Che Md. Noor Mat Arshad memberi julukan sebagai pasukan taufan kerana kepantasan anggotanya bertindak serta kesan `kemusnahan' yang boleh dilakukan mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.