saya nak baca ..

TENTERA


ARKIB : 24/05/2003

3 Divisyen - Markas gabungan strategik


Abdul Aziz Zainal.


Mukadimah
Markas 3 Divisyen merupakan divisyen gabungan yang pertama dalam Tentera Darat. Divisyen gabungan ini memainkan peranan utama dalam mempertahankan keselamatan di wilayah tanggungjawabnya meliputi Melaka, Negeri Sembilan Johor dan Pahang. Seperti juga divisyen-divisyen lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3 Divisyen sentiasa berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi agar boleh diatur gerak jika terdapat sebarang ancaman musuh.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Zainal yakin seluruh ketumbukan di bawah divisyen berkenaan mampu berdepan dengan apa sahaja ancaman pada masa ini.

Sejak dilantik ke jawatan itu pada 15 Januari 2000, kini nama beliau sudah sinonim dengan 3 Divisyen. Di kalangan para pegawai dan anggota 3 Divisyen, Abdul Aziz adalah seorang panglima yang disegani kerana ketokohannya dan sikapnya yang prihatin kepada kebajikan warga tentera.

Dalam wawancara dengan wartawan Gaya Tentera Utusan Malaysia, Nizam Abdul Hamid, Abdul Aziz yang pernah mengetuai kontinjen Malaysia ke Bosnia-Herzegovina di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu, memperkatakan tentang peranan, cabaran dan hala tuju 3 Divisyen.

Ikutilah sedutan wawancara tersebut.

Kem Terendak dianggap begitu istimewa kepada penduduk negeri Melaka. Boleh Datuk terangkan sedikit sebanyak tentang kem ini?

ABDUL AZIZ: Kem ini dulunya dibina oleh tentera British dan menjadi penempatan mereka. Tetapi apabila mereka berundur, kem ini telah diserahkan kepada Kerajaan Malaysia. Yang menariknya, ia bertukar menjadi Kem Terendak hanya dengan token RM1. Pada mulanya kem ini asalnya adalah Markas 1 Briged dan masa itu Kementerian Pertahanan belum menubuhkan 3 Divisyen. Apabila 3 Divisyen ditubuhkan dengan berperanan sebagai divisyen strategik, 1 Briged telah dipindahkan ke Seremban.

Ekoran itu, Kem Terendak telah dijadikan Markas 3 Divisyen yang bertanggungjawab untuk mempertahankan kawasan selatan Semenanjung Malaysia meliputi negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Apakah maksud divisyen strategik?

ABDUL AZIZ: Markas ini merupakan divisyen gabungan yang pertama dalam Tentera Darat. Divisyen gabungan ini bermakna divisyen ini dilengkapi dengan unit-unit organik yang membolehkan ia beroperasi sebagai satu ketumbukan yang mantap, berwibawa dan berpotensi yang mana kita menjurus terhadap mobiliti, daya tembakan dan daya ketahanan. Dulu, sebelum Tentera Darat diubah suai strukturnya untuk menghadapi peperangan konvensional ia adalah menjurus untuk memerangi insurgensi. Apabila tercetus Perang Vietnam dulu, ada kebimbangan tentera komunis akan sampai ke sini. Justeru, kita mula mengubah suai corak pasukan kita menjadi sebuah ketumbukan yang konvensional.

Sebagai divisyen gabungan, ia mesti memiliki ciri-ciri seperti kesiapsiagaan yang tinggi sepanjang masa, kuasa mobiliti, ketahanan dan daya tembakan serta dilengkapkan dengan unit-unit organik yang boleh melaksanakan operasi. Ia juga harus mempunyai elemen kombat yang mencukupi, ada elemen bantuan kombat untuk membantu pasukan kombat dan bantuan perkhidmatan. Jadi disatukan ketiga-tiga elemen ini. Dulu lain apabila pasukan kombat digerakkan kita terpaksa ambil pasukan-pasukan di tempat lain untuk membantu pasukan kombat seperti artileri dan jurutera. Jadi sekarang ini disatukan di bawah pemerintahan saya, bila saya diatur gerak maka ketiga-tiga unit ini akan ikut serta.

Maknanya tanggungjawab Markas 3 Divisyen ini tidak terhad menjaga keselamatan untuk zon selatan Semenanjung sahaja?.

ABDUL AZIZ: Apabila dimaksudkan dengan strategik itu, kesiapsiagaan yang tinggi dan boleh diatur gerak di mana sahaja untuk mempertahankan bumi Malaysia. Tetapi buat masa ini kita ada tanggungjawab khusus iaitu mempertahankan kawasan selatan tanah air.

Bagaimanapun, jika timbul sebarang ancaman, kita bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana sahaja dengan Markas 3 Divisyen akan mengawal ketumbukan yang ada di bawahnya. Pada masa ini ada beberapa briged di bawah pemerintahan saya iaitu 1 Briged di Seremban, 7 Briged di Johor Bahru dan 4 Briged Mekanise di Kuantan.

Ada kemungkinan, 3 Divisyen akan diperbesarkan lagi atau diubahsuai peranannya pada masa depan?

ABDUL AZIZ: Kita ada rancangan untuk membangunkan lagi divisyen ini. Antaranya termasuklah menjadikan salah sebuah briged yang ada menjadi briged armor yang turut dilengkapkan dengan kereta kebal. Jika hasrat ini tercapai, bermakna 3 Divisyen akan menjadi bertambah mantap kerana dilengkapkan sepenuhnya dengan pasukan mekanise, armor dan `motorise'. Dengan adanya alat kelengkapan yang canggih dan baru, briged-briged ini juga mampu diatur gerak dalam masa yang singkat untuk mempertahankan kawasan tanggungjawabnya khususnya di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Dua pasukan elit Tentera Darat iaitu 10 Briged Para yang terletak di Kem Terendak dan Rejimen Gerak Khas di Sungai Udang, Melaka adakah ia mempunyai kaitan dengan 3 Divisyen?

ABDUL AZIZ: Banyak orang keliru tentang ini. Sebenarnya kedua-dua pasukan ini tidak berada di bawah 3 Divisyen walaupun ia terletak di Melaka. Sebaliknya pasukan tersebut berada di bawah pemerintahan Panglima Tentera Darat.

Bagaimana penilaian Datuk terhadap ancaman-ancaman di selatan tanah air dewasa ini?

ABDUL AZIZ: Dalam jangka masa sekarang tidak ada ancaman yang khusus. Orang luar sahaja yang anggap ada ancaman tetapi yang sebenarnya tidak ada. Tidak ada petanda kawasan selatan ini terancam. Jika ada sudah tentu ia digembar-gemburkan. Walaupun begitu, kita tetap akan sentiasa berlatih untuk menentukan kesiapsiagaan kita berada pada tahap tertinggi. Dan apabila wujud ancaman, kita boleh diatur gerak untuk menentang ancaman itu hingga ke titisan darah terakhir. Meskipun, bagi saya, kalau ada tentera yang ditanya sama ada mereka suka berperang atau tidak, sudah tentu mereka akan jawab tidak walaupun telah banyak berlatih untuk menghadapi peperangan. Namun, apabila tercetusnya peperangan, sudah pasti anggota tentera yang ada akan terasa terancam dan terpaksa menyerang. Di situlah datangnya kemahiran, tahap profesionalisme dan semangat untuk menang.

Rantau ini dilihat berada dalam keadaan aman tetapi perkembangan politik antara kita dengan negara jiran seperti Singapura baru-baru ini dilihat oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang kurang menyenangkan dari aspek keselamatan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

ABDUL AZIZ: Apa yang kita lihat dalam akhbar, itu yang kita dengar. Pada tentera tidak ada, jadi kalau baca akhbar itu anggapan orang luarlah, keadaan tegang. Saya rasa tidak ada, kami ini yang patut lebih mahir dan faham tentang hal ini dan saya sendiri sebagai panglima tidak ada rasa ancaman.

Bagaimana hubungan tentera kita dengan tentera negara jiran khususnya Singapura?

ABDUL AZIZ: Memang baik. Kita dengan Singapura, setiap tahun ada latihan bersama dan kita ada program interaksi profesional dan sosial. Sudah tiga tahun berlarutan. Tahun pertama saya pergi Singapura dan jumpa dengan Panglima 3 Divisyen Singapura. Kita jumpa, borak, bertukar pandangan, main golf dan makam malam bersama dan dia pun datang sini pada tahun sudah dan kami berbincang isu yang ada secara profesional. Ini bermakna hubungan tentera kita dengan Singapura amat baik, tidak ada ancaman.

Bersedia

Tetapi kita bersedia untuk mempertahankan negara kita daripada apa ancaman pun. Itu memang tugas ketenteraan, ancaman luar tanggungjawab kita dan apa yang kita lakukan ini untuk membolehkan kita bertahan dan dalam masa yang sama kita boleh bertindak secara ofensif. Dari segi aset, struktur latihan yang saya laksanakan di sini, membolehkan kita tentukan kesiapsiagaan yang tinggi dan dalam konteks kita boleh bertahan dan bertindak secara ofensif.

Masalah lain di selatan tanah air ialah pendatang asing tanpa izin (PATI), bagaimana pihak Datuk menanganinya?

ABDUL AZIZ: Operasi yang dilaksanakan sekarang adalah operasi membendung PATI. Apa yang kita buat ini bukanlah tugas mutlak, kita membantu pasukan polis dalam membendung kemasukan PATI melalui pantai. Pantai (zon selatan) kita luas iaitu kira-kira 340 kilometer dari Johor termasuk Melaka. Jadi kita sama-sama menjaga di pos strategik untuk menahan dan menangkap PATI yang kemudiannya akan diserahkan kepada pihak polis.

Konflik terbaru di Acheh mungkinkah akan menyebabkan lebih ramai PATI dari Indonesia datang ke sini?

ABDUL AZIZ: Itu ramalan kita. Oleh sebab ada tekanan di sana, ada kemungkinan mereka akan lari ke sini tetapi dalam keadaan sekarang sukar untuk mereka tinggalkan tempat itu tetapi kalau dah terdesak banyak tempat yang mereka boleh pergi dan dalam aspek ini kita sentiasa berwaspada untuk menentukan tiada kemasukan PATI melalui pantai.

Jika berlaku sesuatu ancaman di selatan, berapa cepat pasukan yang jauh seperti Briged Mekanise di Kuantan boleh bergabung dengan briged lain?

ABDUL AZIZ: Perang wujud bukan dalam satu malam, mesti ada ura-ura mungkin makan masa sebulan, dua bulan atau satu tahun. Jadi kita tahu bila masa-masanya kita akan lebih berwaspada. Bagaimanapun, jika berlaku juga peperangan, kita telah ada latihan yang telah dirancang yang mana kita boleh atur gerak pasukan dalam masa yang singkat. Namun yang penting akhirnya kita dapat mempertahankan kedaulatan negara kita dan tidak membiarkan orang luar masuk ke bumi kita.

Boleh Datuk jelaskan sedikit mengenai perancangan masa depan Markas 3 Divisyen?

ABDUL AZIZ: Pembangunan sekarang ini adalah untuk meningkatkan keselesaan anggota dan keluarga mereka serta mengadakan prasarana yang mana boleh meningkatkan keselesaan supaya anggota kita bermotivasi.

Saya pegang kepada tiga perkara iaitu keunggulan divisyen ini sebagai divisyen gabungan strategik untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kedua saya mahu profesionalisme dan ketiga tahap motivasi tinggi. Kalau ada senjata canggih tetapi orangnya tidak bermotivasi saya rasa apa kita buat tidak akan berjaya. Dalam bidang keunggulan ini, kita tumpukan pada latihan untuk menghadapi ancaman pada abad ke-21 dan menghadapi cabaran peralatan canggih peperangan elektronik dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Berapa kekuatan Markas 3 Divisyen?

ABDUL AZIZ: Anggota kita kini berjumlah 14,000 orang dan sekarang ini kita sedang berusaha untuk melengkapkan mereka dengan senjata dan kemahiran dalam bidang elektronik. Kita juga akan membeli kereta kebal untuk dilengkapkan pada briged dan bila sudah ada kereta kebal dan kereta perisai kita boleh bergerak dengan lebih pantas dan selamat.

Buat masa ini kenapa kita hanya ada satu markas gabungan strategik?

ABDUL AZIZ: Untuk melengkapkan Tentera Darat pada keseluruhannya memerlukan perbelanjaan yang besar jadi kita terpaksa lengkapkan satu persatu. Jika secara menyeluruh keperluan kewangan tentulah menjadi masalah besar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.