saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 02/06/2003

Black Maria - Debaran pengarah, penerbit

MENDENGAR nama Black Maria pasti ada `seram' kerana nama itu sinonim dengan trak polis yang membawa pesalah undang-undang.

Nama yang menggerunkan itu juga menjadi pilihan Ambri Kailani Zain mengarah filem sulungnya terbitan Simfoni Makmur Sdn. Bhd.

Ambri mengakui bahawa nama Black Maria itu mempunyai pelbagai tafsiran. Justeru dia menyerahkan kepada individu untuk mendefinisinya.

``Di dalam filem ini saya ingin menekankan bahawa kita tidak boleh membuat undang-undang sendiri atau mengikut nafsu hanya kerana dendam.

``Saya penuh yakin bahawa judul filem ini mempunyai kaitan dengan cerita yang dipaparkan,'' jelasnya tentang filem yang menelan belanja RM1.2 juta itu.

Meskipun judul filem ini dianggap menampilkan cerita yang `berat' tetapi Ambri cuba mendekatkan khalayak dengan sebuah karya komersial. Justeru, dia mengakui bahawa mesej yang berat bukanlah fokus utamanya.

Bagaimanapun, bagi mengimbangi kehendak komersial dia turut menyelitkan elemen aksi, suspen thriller, humor dan romantik.

Tegasnya, Black Maria yang menampilkan enam subplot itu sesuai ditontoni oleh seisi keluarga dari pelbagai peringkat usia.

Bagi memantapkan kerja seni filem ini Ambri cuba memaksimumkan syot. Filem yang menampilkan lebih 100 adegan itu menggunakan teknik fast cut bagi mengelakkan kebosanan.

Black Maria yang bakal menemui penonton di seluruh negara mulai 26 Jun ini banyak berlokasikan Shah Alam dan Kota Bharu, Kelantan.

``Black Maria adalah buah tangan filem pertama arahan saya. Begitu juga dengan Simfoni Makmur. Ini adalah risiko yang paling tinggi terpaksa saya dan syarikat ini tanggung.

``Kami semua orang baru dan kebanyakan pelakon yang digunakan juga wajah baru. Ini adalah filem eksperimen bagi saya dan Simfoni,'' katanya.

Dia tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi bagi anak sulungnya ini, sebaliknya berharap dapat mengembalikan modal yang telah dilaburkan oleh penerbitnya, Azizan Mat Ariff.

Ambri yang sebelum ini pernah mengarah sebahagian daripada filem filem Nafas Cinta memuji penampilan Eizlan Yusof sebagai Azman kerana watak itu menyerlahkan penampilan pelakon itu dalam dunia filem.

``Dia menunjukkan komitmen dan skil lakonan yang membanggakan. Penampilannya kali ini amat berbeza. Ini adalah pertaruhan atau tarikan penonton untuk ke panggung,'' tegasnya.

Selain Eizlan, Ambri yang mementingkan kualiti itu juga berpuas hati dengan lakonan Azhar Sulaiman yang berlakon sebagai Razlan, Nisdawati (Maria), Joe Radzwill (Izani), Nur Fasha Sandha (Dania) dan Julia (Iman).

Dia yang juga bertindak sebagai penulis skrip, mengambil masa tujuh bulan untuk mencipta lagu tema untuk filem tersebut yang berjudul Keranamu Maria. Lagu-lagu lain yang terdapat dalam filem ini ialah Demi Cinta dan Kekasih Pertama.

Black Maria mengisahkan tentang Azman, bekas tentera elit yang berazam mencari pembunuh isterinya. Dalam misinya itu Azman sering mengamalkan undang-undang mengikut hatinya.

Satu malam Azman berjaya menyelamatkan seorang gadis, Maria yang hampir dibunuh oleh pembunuh dan perogol bersiri, Psycho yang bertanggungjawab membunuh isterinya itu.

Maria adalah adik kepada Razlan yang disahkan mengidap barah otak. Mengetahui dirinya tidak akan hidup lama Razlan mengambil keputusan drastik menyerahkan perniagaannya kepada musuh utamanya, Izani dengan harapan pemuda itu dapat menjaga keluarganya.

Sementara Izani juga mempunyai masalah sendiri. Beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya adalah anak angkat kepada keluarga Tan Sri Aziz.

Pelbagai peristiwa yang tidak dijangka akan berlaku dalam filem Black Maria. Walaupun Black Maria menampilkan banyak subplot tapi tumpuan penonton tidak akan terganggu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.