saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/06/2003

Sheila, Acis - Kami sudah dijodohkan


Sheila dan Acis.


NAMPAKNYA tahun 2003 menjadi musim artis tanah air berkahwin. Seorang demi seorang menamatkan alam bujang masing-masing.

Penyanyi Ruhil Amani, Azura Aziz, Liza Hanim, Leina Hangat, Aida Aris, Shaireen, Aida Rahim dan beberapa lagi kini telah berumah tangga dengan pasangan pilihan mereka.

Belum lagi reda kisah persiapan pasangan Erra Fazira dan Yusry KRU yang akan bernikah dua minggu lagi, penyanyi jazz terkenal Sheila Majid tiba-tiba menamatkan alam janda, Selasa lalu.

Sheila, 38, selamat dinikahkan dengan bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Acis atau nama sebenarnya Hashridz Murshim Hassim, 32.

Bagi rakan-rakan rapat Sheila, pernikahan itu bukanlah satu kejutan kerana Sheila dan Acis mula berkawan rapat sejak Sheila bercerai dengan penerbit Roslan Aziz.

Sheila dalam pertemuan baru-baru ini mengakui dia mengenali Acis sejak pemuzik itu masih menganggotai kumpulan Gersang. Siapa sangka remaja yang dikenali lebih 15 tahun lalu itu kini menjadi suaminya.

Mereka mula menjalin hubungan secara serius setelah Sheila sah bercerai. Acis pula merisik Sheila sejak dua tahun lalu.

Kisah cinta mereka tidak dibesar-besarkan oleh pihak media. Hanya gosip tanpa menyebut nama sahaja yang pernah dipaparkan sebelum ini.

Akhirnya, Sheila masih memilih seseorang yang ada kaitan dengan kerja seninya. Mungkin dia berasa selesa bekerjasama dengan suami dalam membuat persembahan.

``Saya selamat kerana berkahwin dengan pemain keyboard sebab apabila tidak laku nanti kami boleh membuat persembahan di lobi hotel,'' kata Sheila sambil bergurau.

Sheila tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Acis dalam album terbaru yang kini dalam proses pemilihan lagu.

Malah sebelum ini Acis pernah mencipta sebuah lagu dalam album terdahulu.

Pasangan baru ini juga tidak akan berehat sebaliknya meneruskan aktiviti seni termasuk memenuhi undangan mengadakan persembahan.

Pengantin baru ini merancang berbulan madu bersama anak-anak di dalam negeri saja kerana kesibukan memenuhi undangan persembahan.

Sheila juga akan muncul dengan lagu terbaru, Entah Jadi Entah Tidak yang dirakam secara duet dengan Tan Sri S.M. Salim. Lagu itu dimuatkan di dalam album penyanyi veteran itu.

Sheila menerima wang hantaran sebanyak RM20,000, dua bentuk cincin masing-masing bernilai RM1,000 dan RM5,000 serta seutas kalung bernilai RM1,000. Mas kahwin sebanyak RM80.

Pihak pengantin lelaki membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pihak pengantin perempuan.

Sheila juga berharap perkahwinan tersebut akan kekal selama-lamanya. Dia merasa gembira kerana anak-anaknya Wan Nur Khaleda Aziz, 12, dan Megat Abdul Majid Aziz, 8, rapat dengan Acis.

Malah, anak-anaknya juga merestui pilihannya untuk berkahwin dengan Acis yang dipanggil Uncle Acis.

``Saya serahkan kepada mereka untuk memanggil apa sahaja panggilan kepada saya,'' kata Acis.

Semasa sesi fotografi bersama pihak media kelihatan anak-anak Sheila begitu rapat dengan Acis. Megat Abdul Majid duduk di riba Acis semasa lensa kamera dihala ke arah mereka.

Sheila bercerai dengan Roslan Aziz secara taklik pada 3 April 2000. Dia mendapat hak penjagaan penuh terhadap anak-anaknya.

``Sheila memiliki ciri wanita yang saya ingini,'' kata Acis yang tidak melihat Sheila hanya sebagai seorang penyanyi sebaliknya mengenali wanita itu sebagai orang biasa.

Perbezaan umur hampir enam tahun tidak menjadi penghalang untuk mereka disatukan.

``Inilah jodoh saya dan saya terima ketentuanNya,'' kata Sheila yang kelihatan begitu bahagia di samping suami barunya.

Acis mula bekerjasama dengan Sheila sebagai pemuzik pengiring sejak 1995 sekembali dari Boston, Amerika Syarikat.

Anak muda ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Penerbitan Muzik dan Sintesis Muzik dari Berklee College of Music, Boston.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.