saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 15/06/2003

Ruang awam: Ideal atau utopia?

Idea berkenaan ruang awam yang disuarakan oleh Fathi Aris Omar ketika dialog Seni dan Politik dalam Bicara Penulis Muda PENA tidak berapa lama dahulu memang menarik minat khalayak.

Fathi memberikan hujah yang begitu meyakinkan. Bagi Fathi, sasterawan memerlukan satu ruang yang tidak diganggu oleh tangan-tangan politik atau sebagainya.

Sasterawan, seniman dan budayawan perlu bebas bersuara.

Kuasa atau libido dominandi tentu sahaja tidak terbatas kepada politik tetapi apa sahaja yang mencipta ruang pengaruh dan penentu di dalam masyarakat manusia, merupakan suatu bentuk political object dan idealogical object.

Keperluan kepada suatu ruang awam bagi masyarakat sastera mengungkapkan pemikiran mereka dengan bebas dan terbuka tanpa terlibat dengan ruang penalaran libido dominandi tadi membina suatu ideal yang amat menarik.

Di dalam sastera, kuasa atau libido dominandi tersebut sering bertembung dengan tuntutan-tuntutan ideal daripada pemikiran dan pengucapan estetika para sasterawan.

Pertembungan dengan ruang lingkaran kuasa tadi tentunya menjunambawahkan tuntutan ideal para sasterawan tadi. Apatah lagi apabila penentangan terhadap kuasa itu terlihat jelas.

Fathi mempersoalkan tentang ideal ruang awamnya seolah-olah dilihat sebagai ilusi atau ideal utopia oleh Luqman Hakim (Mingguan Malaysia 8 Jun). Saya amat bersetuju dengan keperluan sebuah ruang awam sepertimana yang disebut oleh Fathi.

Namun apabila ideal tentang sebuah ruang awam itu menyedut peristiwa-peristiwa Manikebu, Manipol, Lekra dan situasi-situasi di Indonesia, saya melihat bahawa ideal ini mula menjadi sebuah ilusi jika tidak sebuah utopia.

Seperti yang disebut oleh Faisal Tehrani pada majlis tersebut dahulu, kita tidak boleh menggunakan situasi di Indonesia untuk mewajarkan ruang idealisme di Malaysia.

Dan bagi saya pula, sehebat mana pun Goenawan Mohamad, WS Rendra dan Pramoedya di mata Fathi, mereka tidak menyumbang apa-apa kepada pembentukan ruang awam di Malaysia.

Saya menolak sebarang bentuk ideal pembentukan ruang awam yang berdasarkan model Indonesia. Tidak ada Manipol di Malaysia untuk kita mewujudkan Manikebu ataupun Lekra.

Bahkan kita sama sekali tidak memerlukan Goenawan atau Rendra untuk membina sebuah ruang idealisme di Malaysia.

Dalam hubungan ini, saya mula ingin menilai kembali idealisme atau utopia pembentukan ruang awam tersebut. Dalam konteks sastera, realiti dilihat sebagai satu bentuk pluri-dimensional order, sementara bahasa disebut sebagai uni-dimensional order.

Bahasa dan realiti tidak pernah bergerak sejajar. Bahasa dan sastera dilahirkan dari ruang delirium yang bergelojak di minda.

Mengalir daripada pemahaman ini (ketidaksejajaran bahasa dan realiti) sastera wujud sebagai apa yang disebut sebagai ketidaknyataan yang tegar (stubbornly unrealistic) yang meletakkan kehendaknya kepada perkara yang bertentangan dengan realiti.

Fenomena ini disebut sebagai utopia bahasa (utopias of language). Modeniti dipercayai terhasil daripada fenomena ini, iaitu mencari perkara-perkara yang mustahil daripada realiti.

Dalam konteks ini utopia bukan sekadar dimaknakan secara harafiahnya sebagai suatu ideal yang tidak mungkin tercapai sebaliknya merupakan suatu bentuk aksi bersikeras (to persist) yang menentang segala sesuatu di dalam realiti di bawah libido dominandi tadi.

Ia mencipta dimensi-dimensi baru dan melepaskan dirinya daripada kemapanan sedia ada yang mencipta segala konvensi dan stereotaip yang mengukuhkan libido dominandi tersebut sebagai sebuah dasar agung.

Utopia sebaliknya menjadi dimensi baru yang berusaha menganjakkan lapangan (shift the ground) yang membentuk segala norma dan nilai lapuk kepada ideal-ideal yang baru.

Ia pergi kepada arah yang tidak dijangkakan dan lebih radikal lagi mengingkari segala norma dan nilai sedia ada melalui pelanggaran terhadap konvensi dan stereotaip tadi.

Keberanian untuk mengingkari ini membawa kepada satu ruang yang disebut sebagai horizon keanarkian bahasa (horizon of linguistic anarchy).

Di horizon inilah bahasa dan sastera melalui pengucapan estetiknya bukan sahaja mencipta pengucapan-pengucapan baru tetapi melepaskan diri daripada ikatan konvensional dan pengaruh libido dominandi.

Apabila Luqman menyebut ruang awam mungkin menjadi suatu bentuk utopia terdapat dua konotasi di situ. Pertama, kewujudan ruang awam harus melihat realiti masyarakatnya.

Dan kedua, utopia itu seperti yang disebut tadi mencari perkara-perkara mustahil daripada realiti.

Dalam konteks pertama, realiti masyarakat di Malaysia memperlihatkan kepada kita bahawa ruang untuk bersuara tidaklah terbungkam seperti mana situasi di beberapa negara Dunia Ketiga.

Cuma bagaimana kita menggunakan saluran yang mungkin dikawal selia itu dengan bahasa yang lebih bijaksana. Saluran walau sekecil biji sawi tetapi jika dimanfaatkan dengan bijaksana akan tetap dapat mengalirkan air yang boleh memenuhkan sebuah empangan.

Dalam konteks kedua pula, utopia itu mewujudkan penalaran terhadap ruang awam melalui aksi bersikerasnya (to persist) terhadap konvensi dan stereotaip oleh tindakan-tindakan menjaga kepentingan dan kesinambungan kuasa lama.

Lalu utopia itu tidak dilihat sebagai ilusi ataupun ideal yang tidak mungkin tercapai tetapi sebaliknya merupakan usaha untuk membina ideal-ideal yang baru. Konteks kedua ini menyokong premis yang dikemukakan oleh Fathi.

Namun timbul satu persoalan tentang ruang awam ini. Sejauh mana kebebasan yang harus dipunyai oleh ruang awam?

Apakah sehingga mencapai puncak setinggi yang berlaku di Barat, di mana tidak berapa lama dahulu satu pasangan yang hidup berbogel, berasmara, melakukan apa sahaja selama beberapa hari di dalam rumah kaca di sebuah muzium dipertontonkan kepada umum.

Ini sebagai contoh mengukur sejauh mana kebebasan itu pergi. Kerana kebebasan yang terlalu jauh hanya menjunam ke arah anarkisme.

Perlu difahami kebebasan yang dipunyai oleh seorang anggota masyarakat adalah relatif dengan kebebasan yang dipunyai oleh anggota masyarakat yang lain.

Jika kuasa menentukan untuk membunuh hak sepihak demi mencapai manfaat yang lebih banyak kepada pihak yang lebih besar, bukankah ini juga adalah kewajaran bagi sebuah tindakan kolektif?

Mungkin apa yang lebih baik, ruang awam itu diwujudkan di dalam diri bukan diberi oleh orang lain. Kita tidak boleh memutuskan apa yang akan kita terima tetapi kita boleh memutuskan apa yang akan kita beri.

Bagaimana kita menggunakan nada dan lapik di dalam bahasa kritikan mungkin mewujudkan ruang tanpa memerlukan kita bertembung secara keras dan langsung di dalam ruang lingkaran kuasa libido dominandi.

Fathi telah mencetuskan isu yang amat berguna kepada seluruh sasterawan untuk menilai dan melihat kembali diri mereka.

Apabila seluruh keputusan yang menentukan masa hadapan dunia sastera tidak lagi dibuat oleh sasterawan, maka sebesar manakah sastera sehingga memerlukan sebuah ruang awam yang begitu ideal?

Fathi hanya ingin mewujudkan kesedaran kepada sasterawan akan perlunya mereka mengambil aksi di dalam sebarang keputusan politik.

Bukan hanya menjadi penyaksi kepada peperangan para dewa dan menerima segala keputusan tentang kalah dan menang sebagai ketentuan dewa.

Tidak ada salahnya apa yang disebut oleh Fathi dan tidak ada salahnya apa yang tidak disetujui daripada apa yang diutarakan oleh Fathi.

Mungkin apa yang kita perlu di sini ialah mencari titik tengah kepada sebuah pemurnian ruang awam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.