saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/07/2003

Kenapa kami belum berkahwin

MUKADIMAH
Fenomena wanita terpelajar lewat berkahwin di negara ini kembali hangat diperkatakan apabila Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan pihaknya akan mengadakan ``program bertemu jodoh'' jika keadaan yang sedia ada semakin meruncing.

Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar pula menambah kontroversi apabila menegaskan sikap kolot kebanyakan lelaki Malaysia antara punca wanita di negara ini enggan berkahwin.

Kebanyakan wanita berusia lebih 30-an dan masih belum berkahwin telah memberikan pandangan mereka berkaitan isu ini tetapi dalam masa yang sama tidak mahu ia diperbesarkan.

Pada keseluruhannya mereka mengakui berasa selesa dengan kualiti kehidupan yang mereka nikmati sekarang tetapi tidak menolak jika dipertemukan dengan jodoh.

Ikuti laporan oleh RAMLI ABDUL KARIM, Najibah Hassan, Rahana MD dan Suhana Abdul Mutalib.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Putrajaya, ASP Halimahton Ahmad, 36 tahun, ketika dihubungi berkata, tidak adil menuduh lelaki Malaysia kolot kerana apa yang dituntut daripada wanita khususnya isteri adalah berdasarkan ciri-ciri yang pernah mereka lihat, khususnya ibu sendiri.

``Pada saya, lelaki Malaysia masih terikat dengan pemikiran konservatif. Mereka mahu isteri berperanan sebagai suri rumah sepenuh masa walaupun sedar si isteri bekerja dan membantu pendapatan keluarga.

Ini semua dicontohi daripada layanan ibu mereka yang selama ini melayan mereka sejak kecil,'' katanya.

Secara peribadi Halimahton tidak menolak kesibukan dengan tugas menyebabkan beliau tidak begitu serius memikirkan soal perkahwinan.

``Di kalangan teman rapat mereka berkata saya ``berkahwin'' dengan tugas. Kenyataan bahawa ada lelaki bimbang mendampingi kerana menyangka ketegasan saya dalam tugas adalah tidak benar.

``Jika mereka benar-benar ikhlas dan menggunakan pendekatan yang betul dan tepat pula pada masanya, tidak ada alasan untuk saya menolak.

``Kesibukan dengan tugas bukan alasan utama kerana apabila berkahwin, saya pasti bijak membahagikan masa antara karier dan rumah tangga,'' katanya.

``Saya selesa dengan kedudukan sekarang dan bersyukur walaupun masih belum berkahwin, saya telah menyempurnakan tanggungjawab sebagai anak kepada keluarga,'' katanya.

Ditanya tidakkah berasa sunyi kerana masih bersendirian, Halimahton menyifatkan persoalan itu sebagai subjektif.

``Ada di kalangan teman-teman yang telah berkahwin mahu berada di tempat saya sekarang iaitu ingin bersendirian. Namun saya tahu itu hanya sifat sementara kerana mereka ada komitmen dengan keluarga.

``Orang bujang seperti saya pula memang bersendirian tetapi itu tidak bermakna saya sunyi,'' katanya.

Pembaca berita RTM, Hamidah Hamzah (30-an) mengakui tidak pernah membataskan dirinya untuk bercampur gaul dan berkawan dengan sesiapa sahaja apatah lagi menolak jodoh.

Sejak dahulu naluri untuk berumah tangga sentiasa ada di sudut hati namun perjalanan hidup yang sentiasa padat dengan jadual tugasan harian menjadikan soal kahwin satu isu yang tidak membebankan.

``Saya sentiasa positif soal jodoh dan tidak menolak jika dipertemukan dengan pasangan yang benar-benar sepadan. Masalahnya sekarang kebanyakan lelaki yang berani mendekati dan meminta izin untuk berkawan adalah suami orang.

``Dalam hal ini selalunya saya mengelak kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Walaupun lelaki tersebut baik tetapi setakat ini saya mampu mengawal diri,'' katanya

Hamidah tidak menafikan ketika berusia awal 20-an dan baru sahaja menamatkan persekolahan, dirinya sudah terikat dengan cinta tetapi enggan berkahwin kerana mahu bekerja dahulu.

``Semasa tempoh usia yang paling sesuai berkahwin, iaitu ketika berumur antara 25 hingga 29 tahun, saya sibuk mengejar karier dan lelaki yang cuba mendekati tidak menepati cita rasa.

``Selepas melepasi usia 30-an, saya masih menyimpan harapan untuk ditemukan pasangan tetapi masih belum berkesempatan.

``Isu kahwin lewat bukan sesuatu yang membebankan pada saya kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan karier menyuntik kekuatan untuk terus tabah menghadapi hari muka. Setiap apa juga yang berlaku, saya percaya ada hikmahnya,'' katanya.

PEGUAM, Saadiah Din, 35, sukar menjawab apabila ditanya kenapa beliau belum berkahwin. Tetapi beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca kerana belum ada lelaki yang sanggup menerimanya sebagai isteri.

Beliau mengaku berasa begitu selesa dengan status bujangnya sekarang. Pada masa yang sama, beliau memendam rasa dan kepercayaan bahawa hidupnya mungkin lebih selesa jika berkahwin.

``Memang saya tidak meletakkan sasaran usia untuk berkahwin, tahu-tahu saya sudah 35 tahun tetapi masih belum berkahwin.

``Saya tahu bahawa secara faktanya saya sudah terlewat daripada usia perkahwinan tetapi sebagai individu saya juga percaya tiada had umur untuk seseorang itu berkahwin,'' ujarnya.

Saadiah bagaimanapun menegaskan, jika beliau berkahwin, suaminya perlulah memahami bahawa institusi rumah tangga pada hari ini tidak sepatutnya meniru bulat-bulat acuan rumah tangga ibu bapa.

``Saya juga berharap wanita profesional tidak berkahwin disebabkan tekanan atau desakan untuk berkahwin atau dilabel sebagai andartu (anak dara tua).

``Ini kerana tujuan berkahwin ialah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

``Wanita hari ini lebih independent, tetapi apa pun saya percaya wanita dan lelaki melengkapkan taraf dari segi kepentingan satu dengan yang lain.

``Sikap lelaki yang ada kalanya menuntut terlalu banyak pengorbanan daripada isteri menyebabkan wanita hari ini merasakan lebih selesa hidup sendiri,'' tambahnya.

Ditanya sama ada beliau masih belum berkahwin kerana terlalu memilih pasangan, Saadiah memberitahu:

``Saya rasa sekarang ini majoriti perkahwinan adalah atas dasar pilihan sendiri dan saya rasa saya ada pilihan untuk dibuat bagi menentukan kesejahteraan hidup saya.''

Saadiah yang mendapat sokongan daripada ibu bapanya supaya terus bersabar dalam mencari jodoh, menolak tanggapan bahawa golongan wanita profesional lambat berkahwin disebabkan mahu mengejar cita-cita berkerjaya.

``Kehidupan berumah tangga dan kerjaya adalah dua perkara di dalam kehidupan yang harus berjalan serentak.

``Tetapi suami perlu menghargai kerjaya wanita supaya isteri mereka lebih mudah membahagikan masa antara kerja dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga,'' katanya.

Presiden Persatuan Automobil Malaysia, Aishah Ahmad pula menyifatkan gejala wanita profesional lewat mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

``Keadaan sedemikian sudah menjadi perkara biasa bagi masyarakat masa kini terutama membabitkan golongan profesional dan berkedudukan.

``Golongan ini terlalu sibuk dan terikat dengan komitmen tugas masing-masing sehingga tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal jodoh.

``Saya tak rasa lelaki kolot sebagai punca wanita tak mahu berkahwin, cuma mereka ada kehidupan mereka sendiri dan selesa dengan cara hidup yang dipilih.

``Ada wanita pula gembira dengan corak kehidupan dan kerjaya sehingga merasakan mereka tidak memerlukan bantuan atau komitmen daripada lelaki,'' katanya.

Selain itu, jelas beliau, wanita sekarang juga sudah mempunyai sumber kewangan mereka sendiri dan tidak lagi memerlukan golongan lelaki untuk menampung kehidupan mereka.

Ini berbeza dengan situasi dahulu yang mana wanita tidak ramai yang mempunyai kerjaya sendiri dan memerlukan sokongan daripada lelaki untuk menyara kehidupan mereka di usia tua.

``Pokok pangkalnya soal perkahwinan dan jodoh semuanya terserah kepada ketentuan Tuhan,'' katanya.

Eksekutif kanan sebuah syarikat perhubungan awam di ibu kota, Hanna Yusof, 34, juga mengakui dirinya sentiasa berfikiran positif terhadap jodoh.

``Perkahwinan bukan didasari atas perasaan cinta semata-mata, banyak perkara sampingan yang perlu difikirkan.

``Ada masanya kita hanya berpegang kepada teori tetapi praktikalnya hanya di atas kertas.

``Saya dibesarkan dalam keluarga yang harmoni, ibu dan ayah menjadi contoh terbaik.

``Saya melihat ayah seorang pemimpin dan ketua yang tahu menyempurnakan tanggungjawabnya untuk bekalan dunia dan akhirat.

``Lantaran itu, tidak salah rasanya jika saya juga mahukan pasangan yang serupa kerana tidak mahu memperjudikan nasib dalam sebuah ikatan perkahwinan yang suci,'' katanya

Hanna tidak menafikan pernah jatuh cinta dan kecewa ketika di awal usia 20-an. Namun beliau tidak pernah menganggap kekecewaan itu satu dendam yang berpanjangan.

``Saya pernah menjalin sebuah ikatan yang luhur dan ikhas, walaupun kecewa namun ia tidak pernah menghantui hidup yang saya lalui sekarang.

``Selepas cinta pertama, pernah hadir beberapa lelaki dalam hidup saya tetapi malang di awal perkenalan lagi mereka sudah menunjuk belang. Bagaimanapun saya menganggap ia satu cabaran untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.

``Jika ditakdirkan saya menemui pasangan yang sesuai, tidak ada sebab saya menolak kerana itu semua ketentuan daripada Ilahi,'' katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Noraisah Ariff berpendapat, alasan golongan profesional lambat berkahwin kerana mereka terlalu memilih pasangan, tidak timbul sama sekali.

Wanita bukan memilih calon suami berdasarkan material, kerjaya atau paras rupa tetapi dari segi keserasian dan memahami diri mereka.

``Jika seorang wanita benar-benar menyayangi seorang lelaki, bagaimana hodoh pun rupa lelaki tersebut, itu tidak menjadi ukuran,'' jelasnya.

Menurut pensyarah yang berusia 32 tahun itu bahawa dalam mencari calon suami, wanita sebenarnya tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk mendapat lelaki ideal atau sempurna.

``Kita perlu terima hakikat sebagai manusia biasa, sama ada lelaki mahupun wanita, mereka mempunyai kelemahan masing-masing dan tiada siapa yang sempurna.

``Jika seorang lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung, menyayangi, memelihara maruah dan memberi semangat kepada wanita itu juga sudah memadai,'' jelasnya.

Masalah yang timbul pada hari ini, sebahagian besar lelaki masih `terbelenggu' dalam cengkaman pemikiran lama dengan meletakkan jangkaan terlalu tinggi pada wanita.

``Mereka mengharapkan wanita menjadi seolah-olah super woman iaitu mesti menjadi sebagai pasangan, isteri dan ibu yang baik kepada mereka. Sedangkan pada masa yang sama, mereka sendiri tidak berusaha untuk meletakkan diri pada tahap seperti itu,'' katanya.

Beliau tidak menafikan budaya paternal society yang lebih berat sebelah kepada lelaki diterima pakai hingga kini menyebabkan wanita terpaksa `akur' dengan nilai-nilai norma yang dibentuk selama ini oleh kaum lelaki.

``Jika seorang lelaki melihat ibunya (suri rumah) sering melakukan kerja-kerja domestik seperti membasuh kain, mengemas rumah, memasak dan sebagainya, maka itulah `acuan' yang telah dibentuk dalam pemikiran lelaki bahawa bakal isterinya juga perlu begitu.

``Didikan ibu bapa yang membentuk bahawa lelaki perlu bersifat begini, wanita bersifat begitu, menyebabkan mereka menerimanya sebagai satu tuntutan.

``Apa saja tindakan yang wanita lakukan harus akur dengan `acuan' yang dibentuk oleh lelaki sehingga hak mereka diperkotak-katikkan,'' katanya.

Selain itu, katanya hujah yang mengatakan nisbah lelaki lebih ramai daripada wanita dapat menyelesaikan masalah golongan profesional lambat kahwin juga perlu dilihat dari pelbagai aspek.

``Kita bukan melihat kepada kuantiti, tetapi kualiti. Bilangan lelaki yang ramai ini perlu dilihat secara terperinci dan bukan secara rambang sama ada mereka ini benar-benar layak dijadikan suami,'' jelasnya.

Menurutnya, sekalipun kedudukannya hari ini boleh menjamin masa depannya, sebagai manusia biasa, beliau tidak dapat membohongi dirinya bahawa naluri ingin berkeluarga adalah menjadi impian bagi sebahagian besar wanita.

``Saya tidak mengatakan wanita golongan profesional tidak memerlukan lelaki atau perkahwinan.

``Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini secara fitrahnya mempunyai peluang, ruang dan keinginan berpasangan, sekali gus membina keluarga, cuma mungkin jodoh saya belum tiba,'' katanya.

Pemilik syarikat pembinaan, Rahimah Aziz, 30 tahun, menganggap kelewatan seseorang wanita mendirikan rumah tangga adalah kerana tahap kemajuan dan kemakmuran yang telah dikecapi oleh sesebuah negara.

Zaman sekarang, wanita profesional dan moden terlalu sibuk menguruskan urusan pekerjaan dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk memikirkan soal jodoh.

``Dalam konteks sekarang, semakin tinggi pelajaran seseorang wanita, dan semakin tinggi kedudukan kerjayanya, maka semakin lewat ia berkahwin.''

Bagaimanapun menurut Rahimah, tidak dapat dinafikan faktor jodoh menjadi penyebab utama mengapa seseorang wanita itu lewat mendirikan rumah tangga.

``Bagi saya, saya betul-betul percayakan soal jodoh dan hati. Sehingga sekarang hati saya belum terbuka untuk menerima seseorang yang bergelar suami.

``Semua orang perlu tahu, soal jodoh dan pertemuan semuanya telah ditetapkan Allah, kita tidak tahu siapa jodoh kita sehinggalah Allah menggerakkan hati kita untuk menerima seseorang dalam hidup kita,'' katanya.

Rahimah tidak faham mengapa masyarakat sering menganggap wanita yang lewat berkahwin terlalu memilih dan wanita berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan pula mencari pasangan yang mempunyai kedudukan ekonomi lebih tinggi daripadanya.

``Saya tidak faham mengapa perlu begitu? Semua orang gemar menganggap sifat wanita seperti itu dan tidak boleh menerima suaminya yang berkedudukan rendah.

``Tetapi bagi saya, yang sebenarnya, saya boleh terima tetapi lelaki pula yang tidak boleh menerima pasangan yang mempunyai kedudukan lebih tinggi.

``Semua ini disebabkan ego lelaki,'' katanya lagi.

``Seperti saya katakan tadi, saya tidak menentang perkahwinan. Saya bersedia untuk berkahwin apabila Allah menggerakkan hati dan menemukan saya dengan jodoh yang ditentukan-Nya,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.