saya nak baca ..

TENTERA


ARKIB : 10/07/2003

Ismail - Pemain catur cemerlang PDRM

NAMA dan wajahnya mungkin agak asing bagi kebanyakan orang terutama kepada mereka yang tidak mengikuti perkembangan sukan catur.

Tetapi bagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Ismail Ahmad dianggap sebagai `sifu' kerana kehebatannya dalam sukan indoor itu.

Biarpun tidak sepopular dan sehandal legenda catur dunia, Garry Kasparov dan pemain catur ternama, Nigel Short, namun penyertaan Ismail dalam setiap pertandingan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa tetap diberi perhatian berdasarkan prestasinya yang memberangsangkan.

Apa yang lebih membanggakan lelaki berusia 40 tahun ini pernah menewaskan beberapa pemain catur handalan bertaraf Grand Master, International Master dan Fide Master seperti Abdullah Araqib dari Bangladesh dan putera raja Qattar, Al-Mudiyaqi dalam pertandingan peringkat antarabangsa yang disertainya.

Bertugas di Cawangan Bekalan, Batalion 4, Briged Tengah PGA Cheras, Ismail mula berjinak-jinak dengan sukan catur semasa dihantar bertugas sementara di Sabah pada tahun 1986.

``Ketika itu saya dan pasukan diarahkan standby untuk pilihan raya dan biasanya selepas tamat tugas kami berkumpul di berek untuk berehat dan melakukan aktiviti sendiri.

``Salah seorang rakan di Sabah mencabar saya untuk berlawan catur setelah mengetahui saya merupakan juara dam di Briged Tengah.

``Mungkin kerana bernasib baik, saya yang tidak pernah bermain catur sebelum ini dapat mengalahkan rakan yang mencabar saya itu dengan sekali ditunjuk ajar sahaja,'' katanya sambil tersenyum mengingatkan peristiwa 15 tahun lalu itu.

Menurut anak kelahiran Kampung Sungai Gelugor, Pulau Pinang ini, kemenangan kali pertama itu telah menjadikannya bersemangat untuk mendalami bidang catur dan dengan sedikit bimbingan dan latihan beliau terus muncul sebagai juara dalam beberapa pertandingan peringkat briged di Semenanjung.

Beliau seterusnya menyertai beberapa kejohanan catur terbuka, antaranya Kejohanan Terbuka Melayu, Kejohanan Merdeka, Kejohanan Catur Kebangsaan dan akhirnya berjaya menempatkan diri dalam lima tempat teratas di samping pernah meraih papan terbaik.

Melihat bakat yang dimilikinya, Ismail terus diberi kepercayaan untuk mewakili pasukan Selangor bermula tahun 1994 dan seterusnya dipilih sebagai ketua pasukan.

Ismail juga pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa, antaranya Kejohanan Catur Terbuka Indonesia, Perlawanan Persahabatan Malaysia-Singapura, Kejohanan Terbuka ASEAN dan Kejohanan Asia.

Anak ketujuh daripada 10 beradik ini memberitahu, beliau banyak membaca buku-buku mengenai catur untuk meningkatkan pengetahuannya mengenai sukan itu selain berlatih dengan permainan komputer.

Pengetahuan, pengalaman dan kemahirannya dalam catur juga telah melayakkan beliau menjadi penceramah dan jurulatih Persatuan Catur Malaysia di samping menjadi jurulatih persendirian secara sambilan.

``Mungkin catur rezeki kedua saya,'' kata Ismail yang tetap meletakkan kerjayanya sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai nombor satu dan terpenting dalam hidupnya.

Ismail juga amat berterima kasih kepada pihak atasannya yang banyak memberi peluang kepada beliau untuk mengembangkan bakatnya dalam sukan catur.

Bercerita mengenai kerjaya kepolisan dan keluarganya Ismail memberitahu, beliau menyertai PDRM pada tahun 1982 dan ditugaskan di Batalion 5 PGA di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur selepas tamat latihan.

Beliau kemudian ditukarkan ke Cawangan Nafiri Briged Tengah PGA, Cheras pada tahun 1986 dan Batalion 4 PGA di cawangan yang sama sebelum ditukar ke cawangan sekarang.

Anak kepada pasangan Ahmad Yusuf dan Rahmah Hashim ini mendirikan rumah tangga dengan Halimah Ahmad pada tahun 1983.

Hasil perkongsian hidup dengan Halimah, 39, beliau dikurniakan empat cahaya mata iaitu Hisyalina, 19, Hisyam, 18, Hisyamira, 16, dan Hisyamiza, 4.

Beliau yang bercita-cita untuk mencapai tahap Fide Master sebelum pergi ke kedudukan yang lebih tinggi, berharap dapat mengembang dan mempopularkan sukan catur dalam PDRM.

Pada 24 Julai ini, Ismail akan mewakili PDRM pada Kejohanan `World Police & Fire Games' di Barcelona dalam sukan catur yang pertama kali dipertandingkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.