saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/07/2003

Pelakon Paloh - Tertekan dengan kontroversi


KONTROVERSI membabitkan pengarah dan syarikat produksi filem Paloh telah menenggelamkan banyak perkara lain tentang kehebatan filem berkenaan.

Ini termasuk meminggirkan kehebatan pelakonnya yang dilihat telah memberi komitmen penuh sehingga berjaya menterjemah sesuatu watak dengan baik.

Sebahagian besar daripada pelakon filem kedua terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu lahir daripada pentas teater.

Filem arahan Adman Salleh ini dilihat menghimpunkan kelompok pelakon generasi baru yang akan menjadi pelapis dunia lakonan masa depan. Mereka barangkali mampu setanding dengan pelakon hebat seperti P. Ramlee, Khalid Salleh atau Eman Manan.

Pelakon wanita utama filem berkenaan, Janet Khoo kesal dengan kontroversi yang berlaku sehingga menenggelamkan sumbangan mereka sebagai pelakon.

``Saya tertekan dan kecewa. Sebagai pelakon kita sudah memberikan yang terbaik kepada filem ini tetapi orang lebih banyak bercakap tentang kontroversi,'' katanya.

Pelakon yang memegang watak Siew Lan ini berkata demikian pada sidang akhbar khas yang diadakan di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Kontroversi filem Paloh tercetus baru-baru ini apabila Adman dinafikan hak sebagai pengarah untuk membuat proses suntingan terakhirnya di Bangkok.

Ini menyebabkan mutu akhir visual, muzik dan kesan bunyi filem ini tidak seperti yang dirancangkan oleh beliau dan Pengarah Sinematografinya, Teoh Gay Hian.

Adman sebelum itu juga ditamatkan perkhidmatannya oleh syarikat produksi, World Evolution Brain (WEB) tanpa alasan munasabah sebelum sesi suntingan akhir Paloh dilakukan.

Bagaimanapun, atas nasihat Finas, WEB memanggil Adman semula tetapi pengarah tersohor itu masih tidak berpeluang menjalankan proses akhir Paloh.

Ini menyebabkan pihak media memberi perhatian khusus kepada isu berkenaan yang dianggap keluar daripada kebiasaan kerana pengarah dipinggirkan pada saat-saat akhir sebelum memberi sentuhan akhir kepada filem arahannya.

Sementara itu, Janet juga memohon khalayak supaya tidak prejudis terhadap filem berkenaan sebelum menonton di pawagam.

``Saya harap penonton tidak terpengaruh dengan kontroversi yang membabitkan Adman dan WEB.

``Paling penting juga, jangan membuat penilaian sebelum menonton sendiri di pawagam,'' jelas Janet lagi.

Ellie Suriaty pula menegaskan, Paloh adalah antara karya terbaik yang pernah dihasilkan oleh karyawan filem di negara ini.

``Untuk mengkaji kelebihannya, penonton perlu datang ke pawagam. Tidak sukar untuk memahami Paloh kerana anda dibantu dengan penghayatan lakonan yang mengagumkan dan naskhah yang hebat.

``Bekerja dengan Adman juga adalah sesuatu yang sangat `bijaksana'. Jadi, khalayak perlu melihat Paloh sebagai hasil kerja seni yang `bijaksana' bukan bahan untuk dikontroversikan,'' kata Ellie lagi.

Ellie juga meminta kerjasama pihak media supaya tidak lagi mensensasikan kontroversi Adman dan WEB kerana dibimbangi akan menjejaskan perhatian orang kepada mesej yang mahu disampaikan.

Gibran Agi pula berpendapat, jalan cerita dan kekuatan di dalam Paloh perlu diberi perhatian sewajarnya dan dihayati oleh seluruh kelompok masyarakat.

``Paloh bukan hanya sebuah filem semata-mata. Sebaliknya, membawa kita kembali kepada sejarah.

``Ia tidak menghidangkan hiburan kosong di depan mata, tetapi banyak perkara di dalamnya akan menjadi santapan jiwa dan minda anda,'' katanya.

Beliau juga menegaskan seluruh pelakon Paloh berbangga kerana terlibat di dalam filem hebat itu dan berharap di dalam kekacauan itu, orang tidak akan terlupa ke pawagam.

Antara pelakon lain yang hadir dalam sidang akhbar itu ialah Soffi Jikan, Adlin Aman Ramli, Yusmal Ghazali, Zack Taipan, Steve Ng, Kenny Ong dan Corrie Lee.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.