saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 27/08/2003

Sultanah Kedah mangkat

SULTAN Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah (kiri), Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin dan isteri, Tuanku Lailatul Shahreen Khalil Akashah (kanan) serta Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussain membaca doa di sisi jenazah Almarhumah Tuanku Bahiyah di Istana Cegar, Anak Bukit, Alor Star, semalam.


ALOR STAR 26 Ogos - Sultanah Kedah, Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat pada pukul 12.23 tengah hari ini di Istana Kuala Cegar, Anak Bukit setelah gering sejak seminggu lalu.

Almarhum yang berusia 73 tahun, mangkat dua hari selepas ulang tahun kelahiran baginda. Baginda dilahirkan pada 24 Ogos 1930.

Pengumuman rasmi mengenai kemangkatan Sultanah Kedah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Wisma Darulaman, di sini, pada pukul 2.15 petang.

Berikutan kemangkatan Sultanah Kedah, kata Syed Razak, tempoh perkabungan ditetapkan selama seminggu mulai hari ini hingga 1 September. Dalam tempoh itu, semua majlis rasmi, keramaian, perayaan termasuk perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di negeri ini, dibatalkan.

Beliau juga mengumumkan esok sebagai hari cuti umum dan mengarahkan bendera negeri, Persekutuan dan bendera lain dikibarkan separuh tiang.

Syed Razak menyatakan, tembakan sebanyak 17 das dilepaskan hari ini sebagai pengumuman mengenai kemangkatan Sultanah Kedah. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir mulai pukul 9 pagi hingga 12.50 tengah hari esok.

Kata beliau, masa untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir ialah mulai pukul 9 pagi hingga 11 pagi, pembesar dan kenamaan pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari manakala mulai pukul 12 tengah hari hingga 12.50 tengah untuk kerabat-kerabat diraja.

Menurut beliau, jenazah Almarhum akan disembahyangkan pada pukul 12.50 tengah hari dan akan dibawa dari Istana Anak Bukit melalui Lebuh Raya Darulaman, Jalan Sultanah dan Jalan Langgar untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar, 10 kilometer dari sini pada pukul 2.30 petang.

Syed Razak berkata, kemangkatan Almarhum Sultanah Kedah telah dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk makluman semua Sultan dan Raja di negeri-negeri lain.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta Raja-Raja dijangka tiba esok untuk memberi penghormatan terakhir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali juga akan memberikan penghormatan terakhir esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menziarahi jenazah Almarhum pada malam ini.

Almahrhum Tuanku Bahiyah merupakan puteri sulung Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda dilahirkan di Istana Seri Menanti Negeri Sembilan dan berkahwin dengan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada bulan Mac 1956 dan kemudian dilantik sebagai Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959.

Almarhum dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Intan Safinaz.

Pada 21 September 1970 baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong apabila Sultan Kedah dilantik Yang di-Pertuan Agong Kelima Malaysia.

Tuanku Bahiyah yang mendapat pendidikan dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Nottingham, England pada 1951 hingga 1954, juga pernah menjadi Canselor Universiti Malaya pada 1972 hingga 1986.

Semasa menjadi Sultanah Kedah, baginda aktif dalam kerja-kerja sosial termasuk mengasaskan Yayasan Sultanah Bahiyah, sebuah organisasi amal pada tahun 1996.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.