saya nak baca ..

TENTERA


ARKIB : 30/08/2003

Kor Armor Diraja - Pasukan tempur yang semakin digeruni

MAHMOOD Ibrahim (kiri) menunjukkan model kereta kebal PT-91M kepada beberapa pegawai Kor Armor Diraja di pejabatnya baru-baru ini.


Mukadimah
Kor Armor Diraja (KAD) akan mencecah usia 51 tahun pada Isnin ini. Sepanjang tempoh usia tersebut, telah banyak jasa dan bakti yang dicurahkan oleh kor ini dalam memelihara kedaulatan negara. Malah ia juga pernah beberapa kali mengharumkan nama negara di persada antarabangsa terutama ketika melaksanakan misi pengaman di Congo dan Bosnia-Herzegovina. Sempena ulang tahun tersebut, wartawan Utusan Malaysia AKMAR HISHAM MOKHLES bersama jurugambar YUSMAN YUNUS telah mewawancara Pengarah KAD Kolonel Mahmood Ibrahim di pejabatnya baru-baru ini. Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, beliau membicarakan banyak perkara terutamanya tentang transformasi yang akan berlaku dalam pasukan itu ekoran penerimaan kereta kebal PT-91. Ikuti wawancara tersebut.

UTUSAN: Boleh tuan jelaskan tentang wawasan dan hala tuju KAD? MAHMOOD: Wawasan kita adalah untuk mewujudkan satu kor yang moden, kredibel dan berdaya saing di dalam Tentera Darat serta berkemampuan mempertahankan negara dari ancaman luar. Kita juga mahu menjadi satu ketumbukan armor yang digeruni. Untuk itu, kita mesti mempunyai Rejimen Kereta Kebal memandangkan beberapa negara di rantau ini telah pun memiliki kenderaan tersebut. Kereta kebal boleh menjadi pencegah kepada kita daripada diganggu oleh pihak luar serta menjadikan kita satu ketumbukan yang menggerunkan. Walaupun kereta kebal bukan merupakan senjata strategik tetapi ciri-ciri utama seperti kejutan, kuasa tembakan dan perisai serta ciri-ciri asas kenderaan perisai lain seperti mobiliti, perhubungan dan mudah ubah menjadikan pasukan kereta kebal sebagai satu eleman pencegah kepada pihak luar.

Adakah ini bermakna KAD tanpa kereta kebal bukan satu ketumbukan yang hebat?

MAHMOOD: Ia tetap menggerunkan. Tetapi ia tidak lengkap. Biasanya apabila disebut pasukan armor orang akan memandang kereta kebal terlebih dahulu. Lagipun, sesuai dengan nama Kor Armor maka kita perlu miliki pasukan kereta kebal walaupun sekadar satu rejimen. Dulu lain kerana pasukan ini hanya dikenali sebagai Rejimen Peninjau atau Kalvari sahaja. Tetapi kini kita dikenali sebagai Kor Armor Diraja. Kereta kebal akan melengkapkan fungsi pasukan ini.

Kenapa pembelian kereta kebal dianggap penting dewasa ini?

MAHMOOD: Pembelian kereta kebal adalah selaras dengan struktur Tentera Darat dan hala tuju kita untuk menjadi pasukan gabungan. Pada masa ini pun telah ada pasukan gabungan di bawah 4 Briged Mekanise. Untuk memantapkannya lagi, ia mestilah disokong oleh Rejimen Kereta Kebal kerana pasukan infantri mekanise yang berada di bawah briged itu masih tidak memadai.

Adakah dengan pembelian kereta kebal PT-91 bermakna pemodenan KAD telah sempurna?

MAHMOOD: Buat masa ini ia telah lengkap. Bagaimanapun, pemodenan akan dibuat dari masa ke masa. Untuk tentukan armor itu boleh berfungsi dengan baik, kita masih memerlukan beberapa elemen lain. Misalnya, kita mesti ada Armoured Vehicle Launched Bridge. Selain itu, apabila kita beli kereta kebal ia juga akan memudahkan rakyat membezakan antara kereta perisai dengan kereta kebal. Sekarang ini ramai yang tidak tahu bezakannya sehingga menganggap kereta perisai yang kita ada sebagai kereta kebal. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka tidak ada maklumat atau pendedahan. Misalnya mereka anggap kenderaan Scorpion sebagai kereta kebal. Ia sebenarnya adalah kenderaan peninjau trek. Jadi bila ada kereta kebal, mereka nanti boleh bezakan kenderaan ini dengan baik.

Bagaimana pula dengan persediaan untuk menerima kereta kebal tersebut?

MAHMO0D: Memandangkan kereta kebal adalah sesuatu yang baru dengan kita maka apabila kerajaan bersetuju membeli kereta kebal, kita telah mewujudkan Tim Projek Kereta Kebal pada awal tahun ini untuk memantau sebarang masalah yang mungkin timbul ekoran penerimaan kenderaan itu nanti. Tim ini bukan sahaja akan memastikan kenderaan itu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan tetapi juga melihat peralatan sampingan lain seperti simulator serta bentuk latihan yang diperlukan.

Kenapa simulator dianggap penting?

MAHMOOD: Latihan untuk krew kereta kebal amat berbeza dengan latihan krew kenderaan lain. Selain itu, oleh kerana kereta kebal mahal harganya dan tidak sesuai dipandu di atas jalan raya biasa, maka simulator diperlukan untuk melatih kemahiran asas sebelum seseorang itu dibenarkan memandu kereta kebal.

Benarkah sebuah rejimen baru akan diwujudkan berikutan penerimaan kereta kebal PT-91?

MAHMOOD: Tidak. Kereta kebal ini akan melengkapkan pegangan kereta kebal Rejimen ke-11 KAD. Rejimen ini sekarang dilengkapkan dengan Scorpion. Bila kereta kebal PT-91 tiba, kita akan serahkan kenderaan Scorpion kepada pasukan lain pula. Sebenarnya, rejimen ini waktu ditubuhkan dahulu pun, kita lengkapkan dengan Scorpion sebagai persediaan sebelum peralihan kepada kereta kebal. Kita memang telah merancang rejimen ini akan dilengkapkan dengan kereta kebal suatu hari nanti. Jadi rejimen ini akan dipertanggungjawabkan untuk memilih anggota yang ingin dihantar berlatih ke luar negara. Begitu juga dengan pemilihan rekrut.

Di mana rejimen ini akan ditempatkan?

MAHMOOD: Dulu rejimen ini ditempatkan di Kota Belud, Sabah. Sekarang ia ditempatkan sementara di Port Dickson. Apabila kem sebenar rejimen ini siap nanti, ia akan dipindahkan ke Gemas, Negeri Sembilan.

Perkembangan proses penghantaran kenderaan tersebut?

MAHMOOD: Kontrak perolehan kereta kebal ini telah ditandatangani dengan kerajaan Poland pada 11 April lalu. Tentera Darat amnya dan KAD khasnya akan menerima 48 buah kereta kebal PT-91 dalam versi PT-91M dan beberapa varian yang lain secara berperingkat-peringkat mulai awal tahun 2006 hingga 2007. Untuk menempatkan rejimen ini, beberapa infrastruktur baru sedang dalam proses pembinaan yang bertempat di Pusat Latihan Gabungan Tempur (PLGPT) di Gemas. Pusat ini mempunyai infrastruktur yang mencukupi dan teratur dari segi bangunan pentadbiran, ruang meletak kenderaan, tempat tidur dan riadah untuk anggota, rumah-rumah keluarga dan juga kawasan latihan. Pusat ini dijangka siap sepenuhnya pada Januari depan.

Dari segi persiapan anggota pula?

MAHMOOD: Kita sedang dalam proses memilih pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang sesuai dan layak untuk mengendalikan kereta kebal ini. Kelayakan mereka ini berpandukan kepada pengetahuan, pengalaman dan kemahiran tinggi dalam aspek pengendalian sesebuah kereta kebal. Buat masa ini sebahagian daripada mereka yang telah dipilih berada di Kem Sunggala, Port Dickson dan sedang menjalani latihan sebagai persiapan sebelum dihantar berkursus ke Poland, Peranchis dan Slovakia pada tahun 2005. Mereka ini akan menjadi perintis ke arah merealisasikan peningkatan Rejimen Kereta Kebal.

Boleh tuan terangkan kejayaan yang diperoleh oleh KAD selama ini?

MAHMOOD: Banyak kejayaan yang kita capai. Misalnya, seramai tujuh anggota pasukan ini telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB). Kebanyakan mereka terima PGB sewaktu darurat dan menentang insurgensi. Mereka ialah Kapten Maurice S.C. Lam, Leftenan Muda N.H. Sibel, Leftenan Lee Ah Pow, Sarjan Chong Yong Chin, Sarjan Choo Who Soon, Leftenan Sallehuddin Abd. Mutalib dan Koperal Osman Sharif. Selain itu kita juga menjadi pasukan pertama yang diberi penghormatan untuk berkhidmat di Congo pada tahun 1960. Masa itu, pasukan ini menjadi satu kebanggaan. Kita hantar anggota dari Skuadron C, Rejimen Kedua Peninjau mulai 4 Oktober 1960. Itu pertama kali tentera Malaysia ditugaskan di bawah misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Semasa di Congo kita telah terima banyak pujian dan pengiktirafan dari PBB. Kita juga pernah dihantar bertugas di Bosnia Herzegovina mulai tahun 1993 dalam misi pengaman. Di samping itu, ramai juga pegawai Kor Armor Diraja yang terpilih sebagai pemerhati tentera PBB. Kita juga pernah terlibat membawa bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said berunding dengan ketua Kumpulan Al-Maunah ketika peristiwa rompakan senjata di Bukit Jenalek, Sauk tidak berapa lama dahulu.

Sumbangan lain pasukan ini?

MAHMOOD: Kita turut membantu pihak berkuasa awam ketika berlakunya bencana seperti banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan lain-lain lagi. Selain itu, kita memberi bantuan elemen armor dalam menjayakan latihan dan eksesais sama ada di peringkat Tentera Darat mahupun Angkatan Tentera Malaysia. KAD juga memberi sumbangan dalam operasi di sempadan negara seperti dalam Operasi Awas, Operasi Pati, Operasi Nyah serta Operasi Pelanduk bagi menangani dan menghapuskan wabak Japanese Encephalitis (JE) yang melanda negara pada tahun 1999. Kesemua sumbangan ini adalah bagi menentukan kesejahteraan dan keamanan negara sentiasa terja-min.

Bagaimana pula dengan usaha-usaha untuk memantapkan lagi kor ini?

MAHMOOD: Antara perancangan kita ialah untuk memiliki pusat latihan yang lebih moden. Pusat Latihan Armor (Pulamor) di Port Dickson hanya sementara sahaja. Di Gemas kita mempunyai kawasan yang lebih luas, termasuk kawasan menembak. Ia boleh memenuhi keperluan kereta kebal yang boleh menembak sejauh 3 kilometer. Di Gemas juga akan dibina trek latihan. Ia akan menjadi sebuah pusat latihan serba lengkap. Kita juga ingin jadikan pusat latihan kita setaraf dengan pusat latihan armor di negara maju. Saya jangkakan apabila kita membeli kereta kebal PT-91M kita akan jadi tumpuan negara luar. Mereka akan lihat bagaimana kita hendak mengatur gerak kereta kebal ini. Kita akan jadi tumpuan negara Asean, Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Ini kerana, kali terakhir kereta kebal diatur gerak di rantau sini ialah ketika Perang Vietnam dahulu. Ia berbeza dengan atur gerak kereta kebal ketika AS menyerang Iraq baru-baru ini. Dalam Malaysia, atur gerak kita pasti berbeza dan kerana itu mereka sudah tentu mahu melihat bagaimana kita melakukannya.

Sempena ulang tahun KAD, apakah pesanan tuan kepada pegawai dan anggota bawahan?

MAHMOOD: Nasihat saya ialah kita mesti meningkatkan lagi tahap profesionalisme dalam melaksanakan tugas yang kita pikul sejajar dengan perkembangan dalam negara dan serantau. Walaupun, kita berada dalam keadaan aman, namun kita harus tentukan tahap kesiapsiagaan kita sentiasa tinggi. Kita juga harus tingkatkan pengetahuan teknikal. Masa aman sekarang adalah masa terbaik untuk tujuan itu di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap kebajikan dan kekeluargaan kor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.