saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 11/09/2003

Tabung Haji disaran turun kos naik haji

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Pelbagai pihak hari ini menggesa kerajaan bertindak menurunkan kos menunaikan haji sebagai sebahagian strategi Bajet 2004 bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat berpendapatan rendah menunaikan ibadah itu.

Pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, keadaan ekonomi negara yang semakin pulih seharusnya membolehkan Tabung Haji menurunkan semula kos mengerjakan haji yang dianggap terlalu tinggi untuk dipenuhi oleh golongan berpendapatan rendah.

Menurut mereka, sudah sampai masanya untuk kerajaan turut berkongsi kemakmuran dan pertumbuhan pesat ekonomi negara dengan memberikan sedikit potongan harga bagi bakal-bakal haji menunaikan ibadah berkenaan.

Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, kadar haji yang ada sekarang patut dikurangkan memandangkan ia adalah terlalu tinggi dan sukar untuk dipenuhi oleh golongan berpendapatan rendah.

``Memang patutlah sekiranya kos menunaikan haji dikurangkan (manakala) Tabung Haji pula tolaklah untung yang dibuat (daripada penyediaan perkhidmatan haji),'' katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji perlu kembali semula kepada matlamat asalnya iaitu untuk membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji dengan selamat dan sempurna.

``Tabung Haji diwujudkan untuk menolong orang naik haji, jadi mereka (Tabung Haji) janganlah fikirkan sangat soal keuntungan besar,'' tegas beliau kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Ungku Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapannya terhadap Bajet 2004 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen pada Jumaat ini.

Perbelanjaan mengerjakan haji pada tahun ini ialah RM9,445 seorang bagi Semenanjung, RM9,530 (Sarawak) dan RM9,575 (Sabah).

Sejak tahun 1999, Tabung Haji telah menaikkan tambang dan jumlah perbelanjaan mengerjakan haji sebanyak tiga kali.

Pada tahun 1999, kos mengerjakan haji bagi bakal haji di Semenanjung dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM8,131, kemudiannya ditingkatkan lagi kepada RM8,585 pada tahun 2000 seterusnya ke paras yang ada sekarang pada awal 2002.

Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Haji semalam mengesahkan bahawa syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airline System Bhd. (MAS), telah berhasil mendapatkan kontrak untuk menerbangkan jemaah haji bagi tiga musim akan datang.

Tawaran MAS itu merupakan yang terendah antara tiga tender yang dikemukakan dan dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan kos mengerjakan haji oleh jemaah Malaysia.

Presiden Persatuan Industri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Datuk Yaakub Shah Md. Ali Shah pula berkata, sebarang usaha oleh kerajaan untuk mengurangkan kos menunaikan haji akan amat dihargai oleh rakyat beragama Islam terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah.

``Jika kerajaan boleh memberikan subsidi berjumlah berbilion ringgit kepada rakyat bagi mengurangkan harga minyak petrol, kenapa tidak boleh dilanjutkan kepada rakyat yang beragama Islam pula?

``Saya rasa tidak perlu sampai beri subsidi tetapi cukup sekiranya Tabung Haji sendiri yang memberikan sedikit potongan harga, kerana mereka sendiri mendapat keuntungan besar setiap tahun daripada pelaburan yang dibuat,'' katanya.

Menurut beliau, sekiranya penurunan harga kelapa sawit, selaku sebahagian daripada punca pendapatan Tabung Haji, digunakan sebagai alasan untuk menaikkan kos haji pada tahun 2001 dan 2002, kos itu juga sepatutnya diturunkan memandangkan harga semasa sudah jauh lebih tinggi daripada tempoh berkenaan.

``Dulu mereka kata harga sawit mentah jatuh sehingga RM300 bagi setiap tan, sekarang harganya sudah melebihi RM1,000 setiap tan.

``Kalau itu diambil kira, nampak seolah-olah Tabung Haji boleh memberikan diskaun di antara 30 hingga 50 peratus,'' ujarnya.

Pada 24 Jun 2001, Pengerusi Tabung Haji pada masa itu, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman menyatakan, agensi itu terpaksa mengurangkan subsidi sebanyak RM1,200 setiap jemaah yang diberikannya kerana kejatuhan harga minyak kelapa sawit yang turut menjejaskan dividen yang dikeluarkan oleh Tabung Haji.

Beliau turut menyatakan: ``Jika harga kelapa sawit boleh naik seperti biasa, subsidi boleh ditimbang semula.''

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kos mengerjakan haji bukan sahaja harus dikurangkan malah Tabung Haji juga perlu memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji dapat ditingkatkan.

``Kita tidak mahu kalau harga dikurangkan, tahap perkhidmatan turut dikurangkan,'' katanya.

Apa yang penting ialah perkhidmatan yang diberikan adalah memuaskan dan pada kadar yang berpatutan, tambahnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.