saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/09/2003

Aku Kaya The Movie - Filem lawak selamba

JUDUL: Aku Kaya The Movie
ARAHAN: Murali Abdullah
PELAKON: Yassin, Hamdan, Illya, Jeslina Hashim, Datuk Rahim Razali, Azizah Mahzan dan Zaibo.
EMPAT hari berada di pawagam, filem ini mencatat kutipan yang cukup membanggakan iaitu RM600,000. Aku Kaya The Movie menjadi pilihan ibu bapa dan anak-anak yang menghabiskan cuti persekolahan mereka ketika ini dengan menonton di pawagam. Penerbitnya, Boommax Sdn. Bhd., dan A & A Pictures tersenyum bangga kerana percaturan mereka menghidangkan filem lawak selamba benar-benar menjadi.

Banyak kekuatan yang ada dalam filem yang menelan belanja lebih RM1.2 juta ini. Pertamanya sudah tentu penampilan semula pelakon yang dianggap pelawak hebat generasi baru, Yassin yang digilai kanak-kanak. Ini terbukti penampilan pertamanya selepas mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan Senario dalam cakera padat video (VCD) Aku Kaya meledak di pasaran. Pengaruh Yassin ternyata masih hebat dan penerbit mengaut keuntungan berganda apabila mampu terjual melebihi 100,000 unit di pasaran.

Filem ini adalah kesinambungan daripada VCD berkenaan dan idea bijak penerbit dengan menampilkan semula Yassin, Hamdan dan Illya yang sudah bergelar kumpulan Aku Kaya ternyata adalah percaturan tepat.

Selain itu, pendekatan filem yang membawa kisah tiga latar zaman menjadikan penonton benar-benar dapat menghayati apa yang berlaku di zaman dahulu kala, walaupun disampaikan secara komedi dan sinis.

Penampilan pelakon senior seperti Datuk Rahim Razali menyebabkan khalayak berfikir bahawa tentu ada keistimewaan besar pada filem ini. Jika tidak masakan pengarah dan pelakon tersohor seperti Rahim mahu membuat penampilan khas dalam filem komedi ini.

Latar pertama Aku Kaya The Movie adalah berkisar tentang zaman batu iaitu pergaduhan dua kumpulan manusia yang hidup di zaman ini.

Pengarah bijak menampilkan kumpulan Amuk di dalam zaman ini yang sekali gus menyaksikan penampilan pertama mereka sebagai pelakon.

Latar kedua pula berkisar tentang pendudukan lanun dan latar belakangkan paling akhir ialah zaman Jepun. Skrip filem ini ini berada pada tahap sederhana dan tidak perlu memerah `otak' untuk menghasilkannya.

Ia adalah skrip biasa yang tidak bersandarkan kepada sebarang bahan ilmiah tetapi pelakon banyak membantu perkembangan dialog dalam filem ini. Penggunaan kamera high defination (HD) banyak memudahkan kerana tidak perlu ada proses dubbing suara di makmal. Sebaliknya, dialog pelakon dilakukan secara langsung di lokasi penggambaran.

Banyak dialog secara spontan yang dihasilkan oleh pelakon dalam filem ini dan untuk itu, penulis skrip wajar berterima kasih kepada pelakon yang memang kreatif dan bijak memainkan peranannya bagi mencantikkan lagi jalan cerita filem ini.

Bagaimanapun, tidak tahu di mana silapnya, banyak yang kecewa melihat penampilan Illya dan Hamdan di dalam filem ini. Ada yang menganggap kedua mereka tidak memberi pembaharuan yang boleh menyebabkan penonton ketawa secara semula jadi setiap kali mereka tampil.

Apa yang berlaku ialah lawak mereka kurang menyengat dan kelihatan terlalu dibuat-buat. Ia seperti memaksa orang untuk ketawa. Ada yang menganggap kedua-dua pelawak ini sudah agak `tua' untuk membawakan watak kurang cerdik seperti ini. Seperti rakan-rakan mereka dalam kumpulan Senario yang kelihatan sering ketandusan idea dalam siri sitcom mereka kebelakangan ini, masalah yang sama berlaku kepada Illya dan Hamdan yang juga pernah menganggotai kumpulan lawak popular itu suatu masa dahulu. Ingatan untuk Illya dan Hamdan, jangan berdiam diri dan anda berdua perlu lakukan sesuatu untuk menyegarkan semula fikiran dan minda. Membuat lawak adalah satu kerja yang bukan mudah.

Jeslina Hashim? Masih tidak banyak perubahan. Walaupun dia berlakon memegang tiga watak yang berbeza dan berpeluang mewarnakannya dengan perkembangan karektor yang berlainan, Jeslina tidak melakukannya.

Dia masih kelihatan seperti Leha, gadis pingitan dalam VCD Aku Kaya.

Dalam hal ini, peranan pengarah amat penting untuk mencorakkan penampilan pelakon. Adalah sesuatu yang bahaya menampilkan pelakon yang sama dalam dengan watak berbeza. Orang akan cepat perasan kekurangan yang ada kepada seseorang pelakon, jika mereka kurang bijak mempelbagaikan penampilan.

Apa pun, Aku Kaya The Movie menepati cita rasa sebahagian daripada penonton kita yang gemarkan kepada hiburan kosong. Anda tidak perlu berfikir panjang apabila anda masuk ke pawagam menonton filem ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.