saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/10/2003

Anugerah ERA 2003 - Ning menang, Siti tidak kalah

SPEKULASI telah tersebar luas. Kegagalan Siti Nurhaliza mempertahankan kedudukan sebagai pemenang anugerah Vokal Wanita Pilihan di malam Anugerah Era 2003 (AE03) menjadi buah mulut pihak yang tidak senang dengan kedudukannya.

Itulah resamnya dunia. Itulah untung nasibnya menjadi Siti Nurhaliza. Pada AE03, pemilihan peminat berpihak kepada penyanyi Ning Baizura.

Dalam temu bual dengan Siti Nurhaliza, dia yang sudah merangkul lebih 100 trofi anugerah dalam kerjaya seninya tidak pernah mengharapkan kemenangan di mana-mana pertandingan.

Bagi Siti Nurhaliza, kalah menang adat pertandingan. Dia sentiasa bersikap terbuka setiap kali berdepan dengan persaingan.

Ning Baizura pula ketika berucap sejurus diumumkan sebagai pemenang anugerah Vokal Wanita Pilihan AE03 menyatakan rasa terkejut dengan kemenangannya itu.

``Kemenangan ini adalah pilihan ramai. Kejayaan saya ini juga hasil daripada sokongan peminat-peminat saya yang mana mereka merupakan sumber inspirasi saya,'' kata Ning dalam nada terharu.

Biarpun Siti Nurhaliza tewas di tangan Ning, Siti Nurhaliza tidak pulang dengan tangan kosong kerana lagu nyanyian Siti iaitu Badarsila dipilih oleh peminat dan pendengar Radio Era sebagai Lagu Etnik Pilihan.

Klip video lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Siti Nurhaliza juga turut diumumkan sebagai anugerah Muzik Video Pilihan.

Pada majlis anugerah seperti itu, segala-gala berkemungkinan berlaku. Tidak ada sebab mengapa ada pihak yang harus mencetuskan suasana tidak sihat di kalangan penggiat seni.

Pencapaian Siti Nurhaliza dan Ning pada AE03 menjadi subjek yang cukup menarik untuk didebatkan ketika ini. Jika mahu diukur tempoh penglibatan mereka sebagai artis, Ning jauh lebih senior daripada Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, realitinya cukup berbeza. Berdasarkan apa yang dicatatkan oleh dunia hiburan, Siti Nurhaliza sudah meninggalkan Ning jauh di belakang.

Bukan sahaja Ning, bahkan ramai artis senior yang lain sudah jauh ditinggalkan oleh Siti Nurhaliza.

Namun semangat bersaing secara sihat yang ditunjukkan oleh Ning serta dua penyanyi senior yang lain yang turut disenaraikan dalam kategori itu iaitu Ziana Zain dan Nora sekali gus menunjukkan semangat perjuangan yang jujur amat penting dalam sesuatu pertandingan.

Bakat baru Sarah Raisuddin juga turut tersenarai dalam pencalonan terakhir kategori berkenaan.

Pemilihan Ning oleh pendengar Radio ERA sebagai pemenang anugerah Vokal Wanita Pilihan sesuatu yang dilihat sebagai catatan baru dalam pertandingan itu. Kita juga percaya, selepas ini, kerjaya seni Ning akan menjadi lebih mencabar.

Pemilihan pemenang pada AE03 dilakukan oleh peminat-peminat atau lebih tepat pendengar-pendengar saluran radio berkenaan.

Pertarungan antara dua penyanyi baru berbakat besar Sarah Raisuddin dan Misha Omar bagi kategori Artis Harapan Pilihan juga menjadi perhatian peminat-peminat seni tanah air.

Mereka dilihat sebagai artis generasi baru berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Rezeki bagi kategori itu pada malam AE03 berpihak kepada Misha. Kemenangan Misha sudah pasti akan menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih keras buat Sarah.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan termasuk anugerah Vokal Wanita Pilihan dan anugerah Lagu Etnik Pilihan.

Kategori Vokal Lelaki Pilihan pula memperlihatkan kehebatan Anuar Zain menewaskan pemenang tahun lepas, Zamani, Hazami, Puteh dan Yasin.

Gandingan baru dan lama iaitu Sarah Raisuddin dan Jamal Abdillah menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan ternyata memberi tuah kepada mereka.

Pasangan itu menjadi pilihan pendengar yang memilih mereka untuk merangkul anugerah Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan menewaskan kumpulan By'u, Camelia & Anuar Zain, KRU dan Too Phat.

Kumpulan Exists pulang dengan dua anugerah iaitu Band Pilihan dan lagu Percayakan Siti nyanyian mereka pula memenangi kategori Lagu Rock Pilihan.

Too Phat pula mengekalkan kecemerlangannya apabila mengekalkan anugerah Artis Inggeris Tempatan Pilihan buat kali ketiga berturut-turut.

Lagu Sumayyah nyanyian kumpulan Hijjaz dan lagu Lembah Asmara nyanyian Ziana Zain pula masing-masing diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Nasyid Pilihan dan Lagu Pop Pilihan.

Berdasarkan kepada keputusan rasmi yang diumumkan tempoh hari, AE03 dilihat lebih kepada cuba memuaskan hati semua pihak khususnya para artis yang dipertandingkan.

Barangkali, penganjur mempunyai rasional mereka yang tersendiri meskipun berkali-kali diberitahu, pemilihan dan pengadilan tidak dibuat oleh hakim profesional, sebaliknya, dipilih oleh peminat.

Apa yang kita harapkan ialah biarlah majlis penganugerahan ini berlandaskan kejujuran semata-mata dan bukannya untuk menjaga hati dan perasaan orang lain.

Selain daripada kategori-kategori disebut, Era turut menawarkan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Panggung Era yang diberikan kepada tokoh perfileman tanah air, Datuk Jins Shamsuddin.

Anugerah Emas Era pula disampaikan kepada penulis lirik, skrip dan penerbit filem terkenal, Habsah Hassan.

Satu lagi anugerah yang ditawarkan oleh radio berkenaan ialah Anugerah Carta Era yang dibawa pulang oleh penyanyi Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye.

Sementara itu, secara umumnya, AE03, menyaksikan komitmen yang ditunjukkan oleh stesen radio paling popular, Era terhadap usaha memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan insan seni tanah air.

Kali ketiga dianjurkan, AE03 berlangsung secara gilang-gemilang dan penganjur memilih tema Retro 70-an yang mengembalikan semula kegemilangan muzik pada dekad itu.

Penganjur menggabungkan artis-artis lama dan baru sebagai memeriahkan acara persembahan yang dilihat cukup mantap.

Persembahan penutup yang dijayakan oleh Azlina Aziz, Fran, Jay Jay dan Jatt khususnya dianggap cukup istimewa dan itulah keistimewaan Radio Era yang tidak ada pada pihak lain.

Kerana didukung oleh tenaga muda, Radio Era mempunyai aliran pemikiran yang kontemporari dan sekali gus berjaya memandu dunia hiburan untuk lebih dihormati.

Persembahan AE03 juga turut menarik perhatian penonton menerusi kemunculan kumpulan VE dan Misha yang dianggap antara terbaik pada malam itu.

Gandingan VE dan Misha menyanyikan lagu Ayu dan Bunga-Bunga Cinta membuktikan artis generasi muda hari ini semakin hebat dan berkaliber.

Duet `berhantu' Sandarkan Pada Kenangan antara Jamal dan Sarah juga tidak kurang hebatnya. Itulah detik yang menyaksikan betapa bertuahnya Malaysia kerana mempunyai artis-artis yang hebat.

Apa pun, tahniah buat yang berjaya dan kita nantikan lagi tahun depan dengan satu harapan, kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran baru.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.