saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 29/10/2003

Kos hantar angkasawan pertama negara RM95j

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kos penghantaran angkasawan pertama negara menerusi kerjasama dengan pihak di Rusia adalah sekitar RM95 juta atau AS$25 juta dan bukannya RM1 bilion seperti dilaporkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Angkasawan Pertama Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu adalah realistik dan bertepatan dengan keadaan semasa.

Sebagai contoh katanya, dua calon angkasawan persendirian dari AS dan Afrika Selatan telah dikenakan bayaran sebanyak RM76 juta (AS$20 juta) untuk menyertai program yang sama.

Oleh itu beliau menegaskan, laporan yang menyatakan kos program itu yang mencecah sehingga RM1 bilion adalah tidak tepat.

``Jumlah ini juga tidak akan dibayar oleh kerajaan kerana ia akan dimasukkan ke dalam bahagian program timbal balas pembelian pesawat pejuang pelbagai guna, Sukhoi Su30-MKM dari negara itu.

``Ini bermakna tidak akan berlaku pengaliran wang tunai,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Angkasawan Negara di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, sehingga kini Program Angkasawan Pertama Negara itu telah menerima sebanyak 7,752 permohonan dari seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu hanya 771 pemohon memberi maklum balas semula setelah diminta berbuat demikian.

``Selebihnya, tidak memberi maklum balas atau mungkin menarik diri kerana merasakan kriteria pemilihan terlalu ketat dan peluang untuk terpilih adalah terlalu tipis,'' katanya.

Najib berkata, daripada jumlah 771 pemohon itu, sebanyak 26 orang daripada mereka berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (135), Sarjana Muda (531), Diploma (222) dan lain-lain kelulusan (76).

Dari segi pekerjaan pula, seramai 229 pemohon merupakan kakitangan kerajaan, 598 swasta dan 74 orang lain-lain pekerjaan.

``Hanya 25 orang daripada jumlah keseluruhan pemohon itu yang mewakili 85 peratus lelaki dan 15 peratus wanita, mempunyai pengalaman sebagai juruterbang pesawat,'' katanya.

Beliau berkata, jumlah besar itu akan dikurangkan sehingga 200 pemohon pada saringan pertama sebelum dikurang kepada 30 orang pada saringan kedua.

Katanya, pada tahap ini, calon terlibat akan dikehendaki mengikuti ujian tertentu seperti psikologi, tahap kecerdasan minda dan kesihatan.

``Selepas itu kita hanya memilih 10 calon untuk dihantar menjalani ujian perubatan angkasa di Rusia sebelum jumlah itu dikurangkan kepada empat calon sahaja.

``Daripada empat calon itu, dua calon akan menjalani latihan secara sepenuhnya di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin selama 18 bulan manakala dua lagi akan kekal di sini sebagai simpanan.

``Keputusan rasmi siapa yang akan menjadi angkasawan pertama hanya diketahui pada saat akhir dan menjelang pelancaran yang dijadualkan pada akhir 2005,'' katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Najib memberitahu penubuhan dua jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Eksperimen Saintifik dan Jawatankuasa Kesedaran Awam.

Selain itu, turut diwujudkan ialah sebuah panel khas yang berfungsi mendapatkan pandangan dan persepsi umum mengenai program ini.

Panel itu akan dipengerusikan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.