saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 31/10/2003

Mencapai pertumbuhan seimbang, mapan

Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan pada hari Khamis, 30 Oktober 2003 di Dewan Rakyat pada jam 11.00 pagi
1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, saya dengan suka citanya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul seperti berikut:

2. Bahawa Dewan ini, menyedari akan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan dan pencapaian matlamat sosioekonomi yang baik meskipun terjejas akibat keadaan ekonomi global yang bergolak dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelapan;

mengambil maklum dan menyokong usaha berterusan Kerajaan bagi mencapai pertumbuhan seimbang dan mapan dalam tempoh 2004-2005;

melulus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan yang bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi mencapai matlamat dan iltizam Dasar Wawasan Negara seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 30 Tahun 2003;

Bahawa sempena meluluskan Kajian Separuh Penggal ini, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha dengan keazaman yang teguh dan terus membantu Kerajaan untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, adil, berdaya tahan dan berdaya saing.

3. Dengan izin Tuan Yang DiPertua, saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Kajian ini adalah pendekatan dan cara kita untuk menentukan Rancangan kita dapat dikemaskan dan mencapai matlamatnya.

PENDAHULUAN

4. Dua bulan yang lepas, kita telah menyambut ulang tahun ke-46 kemerdekaan Negara dengan amat meriah. Diimbas kembali, kita sudah mara begitu jauh dari hari Sabtu 1957 yang bersejarah itu, apabila kita berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajah selama lebih 446 tahun. Ketika itu negara kita miskin dan pendapatan purata kita ialah AS 300 Dolar seorang. Rakyat tidak terlalu berharap kepada pembangunan, jauh sekali kepada taraf hidup yang lebih baik. Ramai daripada rakyat dan orang asing yang percaya kaum-kaum di Malaya akan bermusuh-musuhan dan orang Melayu yang menjadi majoriti akan merebut kuasa dan menindas kaum-kaum lain. Dengan itu keadaan akan menjadi tidak stabil dan prestasi pembangunan negara akan merosot. Sangkaan ini memang pun menjadi kenyataan di kebanyakan tanah takluk kuasa Eropah yang mencapai kemerdekaan. Alhamdulillah sangkaan semua pihak meleset. Malaysia telah bangun dengan pesat sehingga menjadi negara membangun yang termaju di dunia.

5. Dalam tempoh hanya 46 tahun, daripada sebuah negara yang bergantung kepada getah dan timah sahaja kita telah menjadi negara industri pembuatan dan sekarang negara industri maklumat yang canggih. Pendapatan purata meningkat kepada hampir AS 4,000 dolar manakala kadar celik huruf kini sebanyak 94.1 peratus. Kita telah berjaya mengeluarkan sejumlah 87,029 orang golongan profesional. Daripada jumlah ini, 12, 676 orang adalah doktor, 38,610 insinyur dan 10,209 peguam.

6. Kemiskinan dikurangkan daripada 52.4 peratus pada tahun 1970 kepada 5.1 peratus pada tahun 2002. Kira-kira 92 peratus daripada rumah-rumah di luar bandar telah dibekalkan dengan elektrik manakala 86 peratus telah mendapat bekalan air pada tahun 2003. Sekolah, klinik, jalan tar dinikmati oleh hampir semua rakyat.

7. Di masa yang sama kepercayaan rakyat Malaysia kepada diri sendiri meningkat sehingga mereka dapat mencipta rekod dunia seperti mendaki Gunung Everest, belayar seorang diri mengelilingi dunia, terjun dari payung terjun di Kutub Utara dan berenang menyeberangi Selat Inggeris. Banyaklah rekod di dunia yang dicipta termasuk mengheret keretapi seberat 260 tan dengan gigi.

8. Dan Malaysia sekarang terkenal di seluruh dunia serta menjadi contoh kepada negara-negara membangun dan negara-negara Islam.

9. Kejayaan kita ini disebabkan sifat-sifat dan budaya baru yang berjaya dipupuk di kalangan rakyat. Rakyat Malaysia mempunyai sifat bertanggungjawab, sederhana dan suka kepada kedamaian. Kita lebih suka berkongsi daripada merebut semua untuk kita. Dengan perkataan lain rakyat Malaysia tidak tamak.

10. Kita menolak sosialisme yang percaya jika Kerajaan memiliknegarakan semua dagangan dan perusahaan maka Kerajaan akan memperoleh 100 peratus daripada keuntungan dan dengan ini Kerajaan akan dapat agihkan kekayaan kepada semua rakyat secara samarata. Kita tidak merampas perniagaan dan harta swasta. Kita lebih percaya jika swasta diberi peluang dan dibantu, maka mereka lebih mungkin berjaya dan akan dapat membayar cukai yang banyak untuk dibelanjakan demi faedah semua rakyat.

11. Hari ini dunia akui bahawa sistem sosialis tidak boleh menjayakan ekonomi negara. Syarikat dan perusahaan milik Kerajaan sukar dijayakan. Sebaliknya sistem pasaran terbuka lebih mungkin menghasilkan keuntungan dan menambah cukai bagi Kerajaan. Sebenarnya sewaktu kemerdekaan dicapai belanjawan Kerajaan adalah sebanyak RM 1.0 bilion atau 19.5 peratus daripada KDNK. Hari ini belanjawan Kerajaan berjumlah RM 112.5 bilion atau 29.2 peratus daripada KDNK. Sebenarnya pilihan kita untuk sistem kapitalis terkawal adalah jauh lebih baik daripada memiliknegarakan perniagaan swasta seperti yang diajukan oleh puak sosialis.

12. Pada tahun 1969 rusuhan kaum berlaku. Kita berjaya membendung rusuhan ini tetapi kita juga mendapat pengajaran yang banyak daripadanya. Kerajaan Campuran yang disokong oleh semua kaum telah mencipta Dasar Ekonomi Baru untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum. Walaupun kita belum capai sasaran yang ditetapkan, tetapi hakikatnya pemisahan ekonomi antara kaum sudah berkurangan. Sebenarnya hubungan antara kaum sekarang jauh lebih baik daripada mana-mana era dalam sejarah Malaysia. Daripada hanya memiliki 2.4 peratus kekayaan negara dalam tahun 1970, Bumiputera sekarang memiliki 19.1 peratus daripada kekayaan yang lebih tinggi di negara sekarang iaitu daripada RM 126 juta pada tahun 1970 kepada RM 59,395 juta pada tahun 2002, kenaikan sebanyak 471 kali ganda.

13. Semasa agihan kekayaan ini dibuat, ekonomi telah tumbuh dengan pesat. Jika tidak kerana serangan oleh penyangak matawang, pertumbuhan purata lebih daripada 7 peratus dapat dicapai tiap tahun. Tetapi walaupun sasaran ini tidak dapat dicapai, kita masih dapat memulihkan ekonomi negara lebih cepat dari negara-negara lain. Bagi tahun 2003 kita percaya kita akan dapat menaikkan ekonomi sebanyak 4.5%. Di masa yang sama kedudukan kewangan kita adalah kukuh. Hutang luar negara adalah sebanyak 48.2 peratus daripada KDNK, iaitu rendah daripada paras yang dianggap selamat. Rizab luar negara juga tinggi, iaitu RM 159.4 bilion atau AS 41.9 bilion Dolar pada 15 Oktober 2003. Dagangan kita menunjukkan lebihan eksport daripada import berturut-turut selama 70 bulan.

14. Kita adalah negara dagangan yang ke-18 terbesar di dunia. Jumlah dagangan kita adalah dua kali lebih besar daripada KDNK kita. Sebagai negara dagangan kita perlu tentukan barangan kita berdaya saing di pasaran antarabangsa. Perkara ini rumit untuk ditangani kerana upah pekerja kita lebih tinggi daripada upah di negara-negara jiran kita. Sebaliknya kita ingin melihat pekerja kita menikmati taraf hidup yang lebih baik dan semakin baik.

15. Pendapatan pekerja boleh dinaikkan dengan menaikkan daya pengeluaran atau produktiviti kita. Ini boleh dibuat dengan meningkatkan kecekapan dan ilmu pengetahuan pekerja kita. Ia juga boleh dibuat dengan melabur dalam sistem dan alatan yang lebih canggih, dengan penggunaan automation dan I.T. umpamanya.

16. Yang lebih berkesan daripada kenaikan upah ialah meningkatkan daya beli pendapatan kita. Sebenarnya Ringgit kita mempunyai daya beli di negara kita sama dengan Dolar Amerika di Amerika Syarikat. Ini bermakna walaupun upah kita rendah berbanding dengan upah di negara maju tetapi kita boleh beli barangan atau khidmat tiga kali ganda lebih daripada pekerja negara maju dengan upah yang sama. Kerana upah kita rendah maka kos pengeluaran barangan kita juga rendah dan ini menjadikan barangan dan khidmat kita terus kompetitif atau berdaya saing.

17. Kita akan terus kawal kos sara hidup kita melalui kawalan harga supaya kita dapat menikmati kehidupan yang baik tetapi barangan eksport kita terus kompetitif. Tidak ada gunanya menaikkan pendapatan tetapi kos barangan dan khidmat dalam negeri meningkat dan menelan semua tambahan pendapatan yang kita dapati. Dengan perkataan lain kenaikan pendapatan yang disusuli dengan inflasi tidak mempunyai apa-apa faedah. Lagipun mereka yang menabung akan rugi dan ekonomi negara tetap merosot. Sebab itu pendekatan kita dalam menangani ekonomi dan kewangan negara akan dikekalkan.

Rancangan Malaysia Kelapan

18. Pada bulan April 2001, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan di Dewan yang mulia ini. Rancangan Malaysia Kelapan telah menetapkan dasar, strategi dan program bagi mencapai objektif Dasar Wawasan Negara untuk membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing. Tumpuan utama Rancangan adalah untuk meningkatkan tahap pembangunan dan menghasilkan pertumbuhan mapan supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran dan kualiti hidup yang lebih tinggi. Di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi, usaha terus dipergiatkan untuk mengurangkan jurang sosial dan ketidakseimbangan ekonomi dalam pembangunan wilayah. Memandangkan ekonomi perlu berpindah kepada aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi, strategi dalam Rancangan Malaysia Kelapan adalah untuk beralih daripada strategi pertumbuhan berintensifkan tenaga manusia kepada yang berintensifkan ilmu pengetahuan. Keutamaan diberi untuk menaikkan penguasaan ilmu dan teknologi yang tinggi. Rancangan Malaysia Kelapan menekankan betapa perlunya sektor swasta menjadi lebih dinamik dan menjadi tunggak kepada pertumbuhan ekonomi. Sektor awam terus berperanan menyediakan dasar, institusi dan infrastruktur untuk persekitaran yang mesra perniagaan.

Kemajuan Ekonomi Makro

19. Malaysia menghadapi cabaran luar biasa dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangkakan. Ia bermula dengan kelembapan ekonomi dunia akibat kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat dan kemerosotan permintaan keluaran elektronik dunia. Ini diburukkan oleh peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Ini pula disusuli dengan pencerobohan ke atas Iraq dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk atau SARS. Pemulihan yang telah bermula selepas 11 September terjejas kerana peristiwa-peristiwa yang berikutan.

20. Syukur kepada Allah s.w.t., ekonomi Malaysia masih dapat dipulihkan dengan pertumbuhan bagi tahun ini dianggar sebanyak 4.5 peratus. Dalam tempoh kajian semula, 2001-2003, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.0 peratus adalah diramal, walaupun faktor luar dan sumbangan eksport barangan elektrik dan elektronik sebanyak 70 peratus adalah terlalu tinggi.

21. Kita harus berbangga kerana pendapatan per kapita telah meningkat sebanyak 2.4 peratus setahun daripada RM12,843 pada tahun 2001 kepada RM14,324 pada tahun 2003. Jika berdasarkan kuasa beli pariti, peningkatan dalam pendapatan per kapita adalah lebih mengkagumkan kerana tumbuh pada kadar purata sebanyak 3.9 peratus setahun kepada AS9,380 dalam tahun 2003. Pertumbuhan telah dicapai dalam suasana harga yang stabil dan tahap pengangguran yang rendah. Perdagangan luar negara juga kukuh sebagaimana yang dicerminkan oleh lebihan eksport daripada import tiap tahun. Selain daripada itu, defisit fiskal masih kekal ditahap yang tidak membebankan meskipun terdapat peningkatan perbelanjaan awam berikutan dengan usaha Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Kita juga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, menyediakan perumahan dan kemudahan asas yang lebih baik, terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah tanpa menjejas kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

22. Bagi mengurangkan kesan buruk kelembapan ekonomi dunia terhadap ekonomi negara, Kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan fiskal pada tahun 2001 dan satu lagi pakej iaitu Strategi Baru Ke Arah Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara pada bulan Mei tahun ini. Ini telah menghasilkan peningkatan pesat penggunaan awam sebanyak 12.1 peratus dan pelaburan awam sebanyak 9.6 peratus. Penggunaan swasta juga meningkat daripada 2.4 peratus pada tahun 2001 kepada 5.2 peratus pada tahun 2003. Pertumbuhan dalam permintaan sektor awam dan penggunaan swasta telah membantu mengimbangi penguncupan pelaburan sektor swasta yang dialami dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan. Dengan perspektif ekonomi yang lebih baik, pelaburan swasta kini telah pulih seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan di dalam pinjaman dan sekuriti hutang swasta. Eksport negara adalah lebih kukuh berikutan kejayaan menembusi pasaran bukan tradisional.

23. Dalam tempoh kajian semula, sektor perkhidmatan telah memainkan peranan yang lebih besar. Ini termasuk sektor pelancongan, kewangan, insurans, konsultansi dan lain-lain. Subsektor pengangkutan dan komunikasi termasuk pengangkutan kargo udara dan pemunggahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah terus meningkat. Pendapatan daripada perjalanan, pelancongan dan pendidikan telah meningkat daripada RM19 bilion pada tahun 2000 kepada RM22.9 bilion pada tahun 2003. Institusi pendidikan tinggi swasta telah menarik jumlah pelajar asing yang lebih ramai, terutamanya dari China dan Indonesia; sementara industri perkhidmatan kesihatan swasta telah memenuhi keperluan pesakit luar terutamanya dari Arab Saudi, Brunei, Indonesia dan Singapura.

24. Dalam sektor pembuatan, industri berorientasikan domestik telah memanfaatkan pakej rangsangan fiskal dan kadar faedah yang rendah dan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor ini. Kelengkapan pengangkutan, pemprosesan makanan, fabrikasi logam dan industri berasaskan pembinaan telah mencatat prestasi yang kukuh. Bagi industri berorientasikan eksport, industri elektronik telah pulih pada tahun 2002 dengan meningkatnya permintaan global bagi semikonduktor. Sektor pembuatan terus maju menaiki tangga rangkaian nilai kepada industri berteknologi tinggi dan aktiviti berintensifkan pengetahuan. Kita perlu melangkah ke hadapan kerana kita tidak lagi mampu bersaing dalam industri berintensifkan pekerja yang berupah rendah. Sektor pertanian juga berkembang berikutan peningkatan hasil tanaman, perikanan dan ternakan serta harga komoditi yang lebih baik.

25. Dalam tempoh kajian semula, akaun semasa imbangan pembayaran terus mencatatkan lebihan yang besar. Akaun perkhidmatan mencatat defisit yang semakin kecil kerana institusi pendidikan dan kesihatan yang berjaya menarik orang asing. Pada akhir tahun 2003, akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatat lebihan kira-kira 10 peratus daripada KNK.

26. Dasar pengembangan fiskal Kerajaan yang bertujuan untuk membantu pertumbuhan ekonomi yang terancam oleh kemelesetan ekonomi dunia telah meningkatkan bajet mengurus dan pembangunan Kerajaan dengan tinggi. Kawalan terhadap defisit Kerajaan menjadi lebih rumit. Adalah jelas perbelanjaan yang tinggi oleh Kerajaan tidak boleh diteruskan. Pakej rangsangan hanya boleh diadakan untuk jangka masa yang singkat. Kita tidak boleh mengadakan pakej rangsangan sebagai satu cara untuk mewujudkan peluang luar biasa kepada pihak tertentu yang menganggapnya sebagai durian runtuh. Setelah mendapat peluang daripada pakej rangsangan mereka perlu kembali kepada peluang-peluang biasa.

Isu dan Cabaran

27. Walaupun kita menjangkakan persekitaran ekonomi dunia akan bertambah baik dalam tempoh akhir Rancangan, kita harus bersedia untuk menghadapi cabaran baru yang akan menguji daya tahan, produktiviti, kecekapan dan kemampuan inovatif kita. Persekitaran luaran, ekonomi dan politik akan terus menjadi perhatian utama.

28. Walaupun serangan ke atas Iraq adalah singkat dan kesan awal kepada ekonomi adalah terbatas, namun ia mempunyai kesan jangka panjang. Seperti dijangka pencerobohan ke atas Iraq diikuti dengan beberapa serangan ke atas kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di beberapa bahagian dunia. Keadaan ini boleh menimbulkan ketidakstabilan ke atas ekonomi dan mempengaruhi pemulihan ekonomi. Kurangnya keyakinan pengguna dan perniagaan melembapkan dagangan dan pelaburan. Kos perniagaan dan pelaburan meningkat kerana keperluan keselamatan.

29. Walaupun tidak semua daripada faktor-faktor ini dapat dikawal oleh kita, tetapi kita masih perlu berusaha mengurangkan kesan buruk daripadanya.

30. Globalisasi mampu meningkatkan dagangan tetapi interpretasi globalisasi yang diterima sekarang lebih menguntungkan negara maju kerana tekanannya ialah kepada kebebasan dagangan dan bukan dagangan yang saksama. Keutamaan kepada persaingan sudah tentu menguntungkan negara maju dan syarikat gergasi mereka.

31. Kita akan cuba menukar agenda Globalisasi melalui WTO (Organisasi Dagangan Dunia). Tetapi sementara itu kita perlu bersiap sedia untuk bersaing dalam keadaan tidak seimbang.

32. Kita juga akan menyaksikan persaingan yang lebih sengit daripada negara baru di pasaran dunia, termasuk negara China dan India. Negara-negara ini telah muncul dengan pantas sebagai pusat tarikan pelaburan dan pengeluar keluaran dan perkhidmatan berteknologi. Upahan yang rendah, kerajinan pekerja, pasaran dalaman yang besar memberi kelebihan bersaing kepada mereka.

33. Ahli perniagaan Malaysia harus mencari bahagian-bahagian tertentu dan menumpukan tenaga dan modal kepada bahagian-bahagian ini supaya keupayaan kita bersaing dalam bidang tertentu ini meningkat. Namun kita jangan buat silap sekali lagi dengan terlalu bergantung kepada sebilangan kecil jenis perniagaan seperti dahulu kita bergantung kepada getah dan timah.

Tumpuan Dasar Dalam Kajian Separuh Penggal

34. Teras dasar Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Kelapan akan diteruskan untuk menghadapi cabaran ini. Di samping itu, Kajian Separuh Penggal menyokong Pakej Strategi Baru yang diperkenalkan pada Mei 2003 bertujuan menangani masalah kritikal dalam beberapa bidang untuk menangani masalah dalaman dan luaran yang dihadapi. Dengan ini, tumpuan dasar dalam Kajian Separuh Penggal adalah untuk:

Memperkukuhkan asas ekonomi makro

Memperkuatkan ketahanan ekonomi bagi menghadapi sebarang kejutan;

Meningkatkan keupayaan melawan persaingan;

Menggiatkan semula pelaburan swasta dalaman terutamanya, untuk kembali menjadi jentera pertumbuhan;

Menerokai sumber pertumbuhan baru;

Mempercepatkan peralihan daripada teknologi rendah dan ekonomi berintensif tenaga kerja kepada ekonomi berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan;

Meningkatkan kualiti sumber manusia bagi memenuhi keperluan ekonomi yang diasaskan kepada nilai ditambah yang lebih tinggi;

Membangunkan masyarakat yang lebih adil dengan agihan kekayaan dan pembangunan samarata;

Menanam nilai-nilai hidup yang sesuai dengan kecapaian tinggi semua kaum, dan

Meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi kesejahteraan.

Memperkukuhkan Prestasi Ekonomi Makro

35. Kerajaan akan menguruskan ekonomi makro secara berhemat bagi memastikan asas ekonomi makro seperti inflasi yang rendah, tabungan yang mencukupi, kedudukan imbangan pembayaran yang sihat, kadar pertukaran yang stabil dan kedudukan fiskal yang berhemat terus diperkukuhkan. Usaha juga akan dibuat untuk memperluaskan asas ekonomi, membangunkan sektor kewangan dan pasaran modal yang lebih cekap serta memperbaiki risiko pengurusan dan pentadbiran korporat.

36. Prospek ekonomi makro dijangka lebih baik untuk dua tahun yang akan datang. KDNK sebenar dijangka tumbuh pada kadar purata 6.0 peratus setahun selaras dengan keluaran potensi ekonomi dalam jangka panjang. Kadar pertumbuhan ini akan mengembalikan kita ke landasan asal untuk mencapai sasaran pembangunan dalam Dasar Wawasan Negara dan Wawasan 2020. Berdasarkan kadar pertumbuhan ini, Keluaran Negara Kasar per kapita akan meningkat pada purata 4.4 peratus kepada RM15,600 dan kuasa beli pariti meningkat dengan lebih tinggi sebanyak 5.5 peratus serta mencapai AS10,400 dolar pada tahun 2005.

37. Pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan ekonomi dunia yang berterusan. Permintaan swasta akan menjadi peneraju kepada ekonomi Malaysia selaras dengan dasar yang menggalakkan sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi. Kita menjangkakan pelaburan swasta akan pulih dan tumbuh 12 peratus setahun berikutan permintaan dalam dan luar negeri yang semakin baik. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan dijadikan pemangkin untuk menggiatkan pelaburan dalam negeri. Kita mahu melihat PKS memainkan peranan yang penting dalam ekonomi seperti di negara Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Untuk memajukan PKS di Malaysia, usaha bersepadu akan dibuat untuk meninggikan kemahiran teknologi, menggalakkan penggunaan ICT secara meluas serta meningkatkan kemampuan mencipta dan membangunkan produk baru berjenama sendiri. Usaha juga akan terus diambil untuk mempertingkatkan pencapaian PKS terhadap kemudahan pembiayaan, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang dibentuk sesuai dengan keperluan khusus mereka.

38. Sementara kita akan terus menggalakkan pelaburan asing langsung, perhatian yang lebih akan diberi kepada pelaburan tempatan. Pertanian, terutamanya ternakan lembu, kambing, ikan air tawar dan air masin, ladang tanaman campuran mempunyai potensi yang besar. Pelabur dalam bidang-bidang ini akan dibantu dan diberi insentif terutama yang bertujuan keluaran untuk eksport. Demikian juga industri fabrikasi logam dan eksport kecekapan dalam bidang pembangunan infrastruktur. Kerajaan akan bekerjasama dengan kontraktor Malaysia untuk mendapat dan melaksanakan projek di luar negara.

39. Penggunaan swasta dijangka tumbuh pada kadar tujuh peratus disebabkan keyakinan pengguna yang berterusan dan pendapatan boleh guna yang meningkat. Dasar fiskal dan kewangan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang cerah, pemulihan dalam permintaan luar negeri, harga komoditi yang lebih baik dan kesan positif keuntungan pasaran saham yang cergas akan menggalakkan penggunaan oleh swasta. Dasar kita untuk mengekalkan kadar faedah dan inflasi yang rendah akan meningkatkan permintaan terhadap barangan tahan lama.

40. Bagaimanapun, Kerajaan akan mengurangkan pelaburan awam kepada tahap yang lebih sihat dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan dengan jangkaan pemulihan pelaburan sektor swasta dan pertumbuhan penggunaan awam yang lebih baik.

41. Dengan prospek perdagangan dunia yang semakin baik, eksport Malaysia dijangka meningkat dan berkembang sebanyak 7.4 peratus setahun. Berikutan dengan ini lebihan akaun dagangan akan dapat dikekalkan dalam tempoh kajian semula. Defisit akaun perkhidmatan akan berkurangan kerana aliran masuk yang tinggi melalui sektor pelancongan, pendidikan, pengangkutan, kewangan, kesihatan dan perkhidmatan profesional. Bagi tempoh akhir Rancangan, lebihan akaun semasa dijangka terus dapat dikekalkan pada tahap 10 peratus daripada KNK pada tahun 2005.

42. Sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan. Sektor pembuatan dijangka kembali kepada paras pertumbuhan yang tinggi iaitu 7.8 peratus setahun berikutan permintaan yang kembali sihat dalam sektor kecil elektronik dan elektrik serta kelengkapan pengangkutan. Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 6.0 peratus setahun, disumbang terutamanya oleh sektor kecil kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan; perdagangan borong dan runcit, pelancongan, hotel dan restoran, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Meningkatkan Daya Saing dan Ketahanan

43. Sebagaimana telah saya nyatakan dalam ucapan Bajet 2004, berasaskan laporan World Competitiveness Year Book 2003, Malaysia menduduki tangga keempat negara paling berdaya saing di kalangan negara berpenduduk lebih 20 juta. Pencapaian ini merupakan kemajuan besar bagi daya saing negara daripada kedudukan kesepuluh pada tahun 2001 dan kedudukan keenam pada tahun 2002. Daripada segi prestasi ekonomi, kecekapan pemerintahan Kerajaan, pengurusan perniagaan serta infrastruktur, Malaysia adalah di kalangan sepuluh negara teratas.

44. Kita boleh berbangga dengan pencapaian kita akan tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa dan alpa dengan pencapaian tersebut. Kita harus ingat bahawa walaupun kita adalah negara perdagangan global yang besar tetapi sumbangan dagangan kepada ekonomi negara agak kecil. Ini adalah kerana peratusan yang besar eksport dan import kita dimiliki oleh pelabur asing. Sumbangan kepada pendapatan kita tidaklah seimbang dengan saiz dagangan mereka. Justeru itu kita akan memberi galakan dan tekanan kepada industri milik tempatan yang menyumbangkan lebih banyak kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kebolehan kita dalam bidang industri telah meningkat dan menjadi lebih canggih. Kita sekarang mampu mengeluarkan hampir semua barangan buatan yang dieksport oleh kita dan lebih dari itu. Jepun, Korea dan China membeli atau mempelajari teknologi asing dan mengadakan perusahaan mereka sendiri. Dan mereka berjaya. Kita sekarang mampu berbuat demikian. Di samping terus menggalakkan pelaburan asing, kita hendaklah berusaha supaya pelaburan tempatan ditingkatkan.

45. Untuk ini Kerajaan akan mengambil inisiatif secara lebih tersusun untuk mewujudkan suasana mesra perniagaan yang dapat menjana kekayaan. Kita akan terus berusaha untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan, mengkaji semula struktur insentif, memperbaiki perolehan pasaran dan memastikan bekalan sumber manusia yang sejajar dengan perubahan teknologi dan permintaan pasaran. Kita juga perlu meningkatkan penggunaan keupayaan infrastruktur yang telah dibina dengan lebih tinggi bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti ekonomi yang lebih luas. Di mana perlu, Kerajaan akan terus menyediakan infrastruktur fizikal yang baru dan terkini.

46. Sebagaimana telah diumumkan dalam Pakej Strategi Baru pada bulan Mei tahun ini, Kerajaan beriltizam untuk melonggarkan peraturan dan memperbaiki sistem penyampaian. ia akan memudahkan lagi pelaburan, mempercepatkan proses kelulusan di setiap peringkat pentadbiran, meringkaskan prosedur, mengukuhkan kemampuan dan keupayaan sumber manusia, meluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), memastikan pematuhan piagam pelanggan di samping mengukuhkan keutuhan pengurusan dan tadbir urus.

47. Namun untuk mengalih strategi pertumbuhan daripada yang berasas input kepada yang berasaskan produktiviti tetap akan memakan masa. Dalam tempoh kajian semula, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) atau Total Factor Productivity kepada pertumbuhan KDNK adalah 25.5 peratus manakala selebihnya disumbangkan oleh input buruh dan modal. Kita perlu menekankan bahawa dalam jangka sederhana dan panjang, kemajuan dalam TFP akan menjadi lebih penting dalam memacu pertumbuhan yang berterusan berbanding kadar pelaburan yang tinggi.

48. Kajian produktiviti di peringkat firma baru-baru ini mendapati bahawa terdapat variasi yang besar dalam prestasi produktiviti di kalangan industri. TFP yang tinggi dicatatkan di kalangan firma yang besar, berteknologi canggih, yang mengeksport dan terlibat dengan FDI. Juga didapati firma yang mempunyai produktiviti yang tinggi akan tumbuh lebih cepat. Oleh itu, syarikat-syarikat seharusnya memberi lebih keutamaan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan. Mereka harus memperkuatkan teknologi baru, membuat pembaharuan dan memulakan P&P, mempertingkatkan penggunaan ICT di dalam operasi dalaman dan luaran mereka, mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kualiti barang dan perkhidmatan mereka. Produktiviti buruh perlu ditingkatkan dengan meningkatkan kemahiran secara berterusan dan memperbaiki kemahiran keusahawanan dan pengurusan. Firma juga perlu beralih kepada sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti.

Meneruskan Agenda Pengagihan

49. Sebelum Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, kemiskinan di Malaysia berada pada kadar 52.4 peratus pada tahun 1970. Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada tahun 1983, tahap kemiskinan masih tinggi iaitu kira-kira 21 peratus. Kini, sukacita saya menyatakan bahawa tahap kemiskinan negara telah berkurangan kepada 5.1 peratus pada tahun 2002 dan kita menjangkakan kemiskinan mutlak dapat dibasmi sepenuhnya pada tahun 2005. Daripada segi pendapatan isi rumah, purata di Malaysia telah meningkat sebanyak tiga kali ganda daripada RM1,098 sebulan pada tahun 1983 kepada RM3,011 sebulan pada tahun 2002. Kenaikan mendadak ini tidak terlihat di mana-mana negara lain.

50. Daripada angka-angka ini adalah jelas program pembangunan dan pengurangan kemiskinan oleh Kerajaan berjaya mencapai matlamatnya. Tetapi apabila kemiskinan sudah dapat dihapuskan kita perlu tingkatkan paras pendapatan kemiskinan supaya usaha akan terus dibuat untuk menaikkan pendapatan mereka yang berada di bawah paras kemiskinan yang baru.

51. Oleh itu Kerajaan akan terus melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) melalui projek yang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi. Tetapi rakyat sendiri perlu bantu dengan menguasai kecekapan dan ilmu serta sanggup bekerja dengan lebih rajin dan tekun. Antara program yang akan diteruskan termasuklah Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil, Program Pembangunan Minda Insan, Program Bantuan Perumahan dan Skim ASB-Sejahtera.

52. Sebuah kajian khas pendapatan isi rumah sedang dijalankan untuk menentukan keadaan kemiskinan sebenar, tahap pendapatan dan kualiti hidup golongan minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Fasa pertama kajian yang meliputi sembilan golongan minoriti telah siap dan ia mendapati tahap kemiskinan adalah tertinggi di kalangan kaum Rungus, Sulu dan Orang Sungei di Sabah dan Penan, Kenyah dan Kajang di Sarawak. Di Semenanjung orang asli adalah antara yang termiskin. Berdasarkan kajian ini, Kerajaan sedang merumuskan program yang lebih tertumpu kepada menaikkan taraf hidup masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil di Sabah dan Sarawak dan orang asli di Semenanjung.

53. Selain daripada program Kerajaan untuk membasmi kemiskinan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta perlu memperluaskan aktiviti dan liputan program mereka dalam membantu golongan miskin.

54. Yang terpenting dalam usaha ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan, memberi pendidikan dan latihan. Bantuan subsidi adalah pendekatan yang menghakiskan jati diri dan kejayaan usaha untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang berdaya tahan. Kerajaan akan mengurangkan subsidi secara beransur-ansur.

55. Isu ketidakseimbangan pendapatan di antara dan di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan, wilayah dan negeri akan terus ditangani. Kini jarak antara pendapatan yang tertinggi dan yang terendah dalam Kerajaan telah dikurangkan. Di waktu merdeka dicapai gaji pegawai tertinggi Kerajaan adalah 78 kali ganda berbanding dengan kakitangan yang terendah. Demikian juga jarak pendapatan tinggi dan rendah swasta. Sekarang gaji tertinggi pegawai Kerajaan hanya 29 kali ganda berbanding gaji yang terendah.

56. Berkenaan dengan penyusunan semula masyarakat, semua kumpulan etnik telah mencatat peningkatan hak milik modal saham dalam tempoh kajian semula. Hak milik modal saham Bumiputera telah meningkat daripada RM63 bilion pada tahun 2000 kepada RM73.2 bilion pada tahun 2002, iaitu mencatat kadar pertumbuhan 7.8 peratus setahun. Walau bagaimanapun, peratusan ekuiti saham Bumiputera telah berkurangan sedikit daripada 18.9 peratus pada tahun 2000 kepada 18.7 peratus pada tahun 2002. Syarikat dan perniagaan Bumiputera masih terlalu rapuh dan mudah dirosakkan oleh faktor-faktor seperti kegawatan dan pertumbuhan ekonomi yang rendah. Peratusan hak milik modal saham masyarakat Cina telah meningkat kepada RM159.8 bilion pada tahun 2002, berkembang pada kadar 11.2 peratus setahun dalam tempoh kajian semula. Sementara itu, ekuiti masyarakat India telah meningkat kepada hampir RM6 bilion pada tahun 2002, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus.

57. Kerajaan menyedari bahawa usaha untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam tempoh akhir Rancangan akan menjadi lebih mencabar terutamanya berikutan globalisasi dan liberalisasi pasaran yang lebih luas. Sehubungan itu, lebih banyak usaha diperlukan untuk menyediakan peluang kepada Bumiputera dalam sektor terpilih sekiranya sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2010 ingin dicapai. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan sebuah institusi pelaburan yang baru, Dana Harapan untuk menarik dan menggerakkan sumber kewangan Bumiputera. Langkah ini akan membolehkan pengenalan keluaran unit amanah yang inovatif dan mengembangkan lagi peluang pelaburan untuk Bumiputera. Di samping itu, Kerajaan akan memberikan sekurang-sekurangnya 60 peratus daripada perolehan dan kerja kontrak dalam projek Kerajaan kepada Bumiputera yang menunjuk kecekapan dan bersikap bertanggungjawab dalam melaksanakan kontrak yang diberi kepada mereka.

58. Sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula, penekanan telah juga diberikan untuk menyusun semula pekerjaan bagi memastikan corak pekerjaan dapat mencerminkan komposisi etnik dan negara. Kita telah menyaksikan bahawa terdapatnya peningkatan dalam penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerja profesional, pengurusan dan pekerjaan berpendapatan tinggi yang lain. Bagi lapan pekerjaan professional terpilih, iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, doktor haiwan, jurutera, juruukur dan peguam, nisbah bilangan Bumiputera yang berdaftar telah meningkat daripada 35.5 peratus pada tahun 2000 kepada 37.2 peratus pada tahun 2002.

59. Pendidikan dan latihan akan kekal sebagai pendekatan terpenting untuk mencapai objektif penstrukturan semula pekerjaan. Bantuan akan diberi kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan untuk menuntut di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, terutamanya dalam bidang sains, ICT dan kursus professional. Pendidikan moral dan semaian nilai-nilai hidup yang mulia akan dipupuk supaya budaya yang sesuai dengan kejayaan diterap dan diamal oleh mereka. Langkah untuk meningkatkan penglibatan bukan Bumiputera di perkhidmatan awam akan diteruskan terutamanya dalam profesion yang kurang diceburi bukan-Bumiputera seperti perguruan, kejururawatan, polis dan tentera. Kita mengambil maklum, bahawa bukan Bumiputera telah diwakili sepenuhnya dalam profesion yang lain.

60. Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai program dan memberikan bantuan untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya saing dan berdaya tahan. Pakej program seperti Program Pembangunan Vendor, Program Pembangunan Francais, Skim Modal Teroka dan usahasama yang telah memberi penekanan kepada pengurusan berkualiti, kecekapan dan etika perniagaan yang baik akan digalakkan untuk membantu membangunkan MPPB.

Mempercepatkan Peralihan Kepada Ekonomi Berasaskan Pengetahuan dan Teknologi Tinggi

61. Maklumat dan pengetahuan telah menjadi semakin penting untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, mengekalkan daya saing dan merubah cara pentadbir, industri dan individu mengendalikan urusan mereka. Kita telah memulakan usaha untuk beralih daripada ekonomi berasaskan input kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan produktiviti pada pertengahan tahun 1990-an.

62. Kita meletakkan asas bagi ekonomi berasaskan maklumat dan pengetahuan dengan penggubalan Agenda IT Negara dan penubuhan Koridor Raya Multimedia. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga pada tahun 2001 telah mengulangi iltizam Kerajaan untuk mengambil pendekatan yang menyeluruh untuk menggerakkan peralihan kepada ekonomi berasaskan maklumat dan pengetahuan. Kita seterusnya merangka Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan pada tahun 2002 yang mengandungi kesemua aspek yang diperlukan untuk dilaksanakan bagi membolehkan peralihan ini, termasuklah dalam bidang infrastruktur fizikal dan institusi, keupayaan sains dan teknologi di samping menangani isu jurang digital. Tekanan untuk mempercepatkan lagi proses ini telah semakin bertambah berikutan peningkatan persaingan global.

63. Walaupun Malaysia telah bersiap sedia untuk menerima ekonomi berasas pengetahuan, aktiviti daya cipta tempatan masih lagi ketinggalan. Keupayaan inovasi dan teknologi di kalangan industri kita pada amnya adalah rendah. Kebanyakan industri tempatan adalah hanya menggunakan teknologi sedia ada atau yang diubahsuai. Kemajuan yang dicapai oleh industri getah dan kelapa sawit hasil kajian daripada penyelidik dan pembangunan tidak berkembang kepada bidang industri pembuatan. Sekiranya industri pembuatan terus dengan menunggu ciptaan orang lain, mereka tetap akan tertinggal di belakang dan akan merosot prestasi. Kerajaan beriltizam untuk memperkenalkan insentif yang bersesuaian untuk menggalakkan dan memperbaiki S&T serta keupayaan inovasi agar lebih banyak firma Malaysia berupaya membuat peralihan teknologi untuk menjadi pereka cipta.

64. Kerajaan pada tahun ini telah melancarkan Dasar Sains & Teknologi II bertujuan untuk menyediakan rangka kerja bagi menggalakkan langkah ini. Dasar ini telah memperkenalkan beberapa dimensi baru dan penekanan untuk mengukuhkan penyelidikan serta kapasiti dan keupayaan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan, pembangunan sumber manusia, memupuk budaya sains, inovasi dan keusahawanan di samping memastikan lebih banyak penerapan dan penggunaan teknologi berlaku. Bagi meningkatkan lagi pengkomersialan, penemuan P&P, langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan kadar penyebaran hasil penyelidikan yang dijalankan oleh institusi penyelidikan awam dan universiti di samping meningkatkan kerjasama sektor awam dan swasta. Saya ingin menyeru sektor swasta untuk menyokong inisiatif Kerajaan dengan melabur dalam P&P dan bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan institusi penyelidikan.

65. Untuk memastikan penawaran sumber tenaga S&T berkualiti yang mencukupi, pelajar terbaik akan digalakkan untuk mengikuti program dalam sains tulen, termasuk di peringkat selepas ijazah dan selepas doktor falsafah. Biasiswa tambahan dan lain-lain bentuk bantuan kewangan akan disediakan untuk tujuan ini. Kita akan juga terus melonggarkan prosedur untuk mengambil pekerja asing berkemahiran tinggi dalam sektor berintensifkan teknologi.

66. Bioteknologi telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang penting yang akan menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Untuk menyokong pembangunan industri bioteknologi di Malaysia, tiga buah makmal sementara telah ditubuhkan iaitu di bidang genomik dan biologi molekular di UKM, bioteknologi pertanian di MARDI dan nutraseutikal serta bioteknologi farmaseutikal di UPM. Di samping itu, usahasama strategik dengan Massachusetts Institute of Technology di bawah Program Kerjasama Bioteknologi Malaysia-MIT telah menyediakan asas bagi mempercepatkan pembangunan keupayaan dan kapasiti P&P tempatan dalam bidang bioteknologi.

67. Malaysia mempunyai potensi untuk dibangun sebagai sebuah hab serantau dan global bagi ICT dan multimedia. Dalam tempoh kajian semula, Kerajaan telah melaksanakan usaha bersepadu bagi mencapai matlamat ini. Beberapa perubahan dasar telah dibuat untuk meliberalisasi dan menggalakkan persekitaran yang berdaya saing dan dinamik untuk pertumbuhan sihat bagi industri ICT dan multimedia. Inisiatif ini telah berjaya merangsang pertumbuhan bagi pelbagai perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuklah aplikasi berasaskan suara, data dan teks dan juga pasaran untuk perhubungan berasaskan elektronik dan pusat data dalam negara.

68. Pelaburan kita dalam infrastruktur ICT berkualiti tinggi telah membantu meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi yang diutamakan untuk MNC menubuhkan ibu pejabat operasi, pusat perolehan antarabangsa, pusat pengagihan serantau, pusat logistik bersepadu, dan pusat P&P. Bagi mempercepatkan pembangunan Malaysia sebagai hub ICT, dalam tempoh kajian semula National ICT Strategic Roadmap akan disediakan, di samping memperluaskan infrastruktur telekomunikasi.

69. Koridor Raya Multimedia, yang telah dilancarkan tujuh tahun lalu, telah berjaya mempergiatkan pembangunan industri yang berkait dengan ICT. Pada akhir bulan September 2003, sebanyak 903 syarikat telah diberikan status MSC, termasuk 59 syarikat bertaraf dunia dan 277 syarikat milik asing. Jumlah jualan syarikat bertaraf MSC telah meningkat kepada RM 3.63 bilion pada tahun lepas dengan jualan eksport bernilai RM 620 juta.

70. Kita juga telah meletakkan rangka kerja bertaraf dunia dengan menggubal undang-undang siber dan menjadi Cyberjaya dan Putrajaya sebagai bandar bistari utama di dunia. Dalam Mesyuarat Penasihat Antarabangsa ketujuh yang diadakan baru-baru ini, MSC telah menerima sokongan dan pujian kerana kemajuan luar jangkaan daripada anggota badan tersebut. Dalam tempoh fasa kedua yang akan berakhir pada tahun 2010, MSC akan disambungkan dengan bandar siber yang lain di dunia

71. Semasa negara sedang bergerak ke arah pembangunan ICT, kita sentiasa sedar akan perlunya untuk mengurangkan jurang digital di antara lokasi dan masyarakat. Ini adalah untuk memastikan supaya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan terpencil tidak akan ketinggalan dalam proses peralihan ini. Kerajaan telah melipat-gandakan usaha untuk menyediakan kemudahan ICT dan capaian internet untuk kumpulan ketinggalan termasuk menubuhkan 16 pusat Internet Desa dan 15 pusat InfoDesa di seluruh negara.

72. Untuk mengurangkan lagi jurang digital, Rangka Kerja Jurang Digital Negara akan dirumus bagi menyediakan garis panduan terhadap pelaksanaan projek dan mengelakkan pertindihan kerja. Penguasaan Bahasa Inggeris di semua peringkat serta penggunaan bahasa inggeris untuk pelajaran sains dan hisab (matematik) dipercayai akan menyumbang kepada usaha ini.

Pembangunan Sumber Manusia

73. Modal manusia adalah kunci masa depan kita. Mewujudkan tenaga kerja yang berdaya saing secara global ialah asas kepada peningkatan daya saing dan tarikan pelaburan baru. Untuk tujuan ini, pembangunan sumber manusia akan menumpukan kepada tiga dimensi iaitu, pembangunan pengetahuan, pencapaian kemahiran dan penanaman nilai positif. Membangunkan pekerja yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran yang pelbagai tidak semestinya menjamin produktiviti yang tinggi kerana adalah juga penting bagi pekerja berkenaan mempunyai etika kerja yang baik di semua peringkat.

74. Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan sesuatu bangsa mempunyai kaitan yang rapat dengan budaya iaitu jumlah nilai-nilai yang dipegang dan diamal oleh bangsa itu. Oleh itu kerajaan akan berusaha untuk membentuk budaya bangsa Malaysia yang bersikap positif terhadap kerja, berdisiplin, rajin dan bertanggungjawab. Jika budaya ini diserapkan, semua rakyat Malaysia sama ada di desa atau di bandar, daripada apa jua kumpulan etnik akan menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.

75. Justeru itu pusat-pusat latihan dan pendidikan akan memasuki pengajaran berkenaan budaya dan kesannya semasa memberi latihan kemahiran dan didikan.

76. Kita sedar bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik amat penting dalam mempengaruhi perubahan teknologi. Oleh itu, penekanan yang lebih akan diberikan kepada kedua mata pelajaran ini. Selain daripada menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini di sekolah akan menjadi lebih menarik dengan menggunakan bahan kursus elektronik berorientasikan tempatan dan memberi penekanan besar kepada kerja amali dalam sains.

77. Matlamat kita ialah untuk terus meningkatkan kualiti tenaga kerja. Pada tahun 2010, 35 peratus tenaga buruh akan memiliki kelayakan di tahap tertiari, iaitu dua kali lebih tinggi berbanding dengan 17.1 peratus pada masa kini. Sasaran ini masih lagi rendah berbanding kadar di sesetengah negara maju pada masa kini seperti Amerika Syarikat 41 peratus, Finland 36 peratus, Ireland 43 peratus dan Jepun 36 peratus.

78. Bagi memenuhi permintaan terhadap pendidikan tertiari, khususnya dalam bidang teknikal, di samping mengembangkan keupayaan universiti yang sedia ada, kita kini telah menubuhkan kolej universiti. Kolej universiti ini menumpukan kepada bidang pengajian kejuruteraan dan teknologi dan memberi penekanan kepada pengalaman hands-on dengan menggunakan pendekatan pembelajaran secara amali dan experiential. Kita dapati bahawa kumpulan siswazah yang pertama kali dihasilkan oleh kolej universiti mudah mendapat pekerjaan.

79. Memandangkan kapasiti sektor awam yang terhad, sektor swasta perlu terus meluaskan pembabitan dalam pendidikan dan latihan. Pengurangan kadar faedah dan penyemakan semula bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional seperti yang diumumkan dalam Bajet 2004 akan membolehkan lebih ramai calon yang berkelayakan melanjutkan pelajaran di peringkat tertiari. Peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta telah disediakan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran untuk membolehkan lebih ramai calon mengikuti latihan kemahiran. Garis panduan untuk penyediaan pinjaman telah dikaji semula untuk memastikan keberkesanan tabung ini.

80. Pertumbuhan ekonomi yang perlahan dalam tempoh kajian semula telah mengakibatkan peningkatan jumlah siswazah yang menganggur. Bagi mengurangkan keadaan ini dan mengambil faedah daripada pasaran pekerjaan yang kurang aktif, Kerajaan telah melancarkan program latihan yang khusus pada tahun 2001 untuk terus mempelbagai dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran siswazah tersebut. Di bawah Pakej Strategi Baru dan Bajet 2004, Kerajaan telah menyediakan dana tambahan untuk latihan dan insentif cukai ke atas kos yang ditanggung oleh majikan untuk mengambil siswazah ini. Untuk terus meningkatkan peluang pekerjaan kepada siswazah, institusi pendidikan tinggi akan menggiatkan usaha untuk melengkapkan soft skill mereka seperti kebolehan berkomunikasi, kerja berpasukan dan keupayaan menyelesaikan masalah.

81. Di hampir semua negara di dunia kefasihan dalam Bahasa Inggeris dianggap begitu penting sehingga pembelajaran bahasa ini diberi keutamaan. Jika kita ingin bersaing untuk mendapat pekerjaan, kita juga perlu memberi tekanan yang sama. Oleh kerana itu, pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Hisab ditekankan dan diajar dalam bahasa berkenaan. Penguasaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan. Dalam zaman ini tiap seorang yang ingin kejayaan perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa.

82. Latihan di tempat kerja akan dijadikan sebahagian penting dalam sistem penyampaian latihan untuk memastikan latihan kemahiran lebih berorientasikan keperluan pasaran. Pelaksanaan pendekatan latihan berkembar yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan, akan memastikan kemahiran dan pengetahuan pekerja sentiasa dikemas kini untuk menyamai dengan proses pengeluaran yang semakin moden dan canggih yang digunakan oleh firma. Pendekatan latihan ini, yang membabitkan latihan di institusi latihan dan tempat kerja, akan menyumbang kepada peningkatan peluang latihan untuk lepasan sekolah dan pekerja.

83. Pendidikan telah dikenal pasti sebagai industri eksport dan sumber penting kepada pendapatan tukaran asing. Sehubungan dengan ini, institusi pengajian tinggi swasta harus mewujudkan pengkhususan dalam bidang pengajian tertentu dan mengambil peluang daripada usaha untuk menggalakkan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau yang unggul. Kita akan memperkenalkan langkah yang sesuai untuk menggalakkan persaingan di kalangan institusi pengajian tinggi supaya mereka boleh muncul sebagai universiti utama dan terkemuka setanding dengan taraf Cambridge di Britain, Harvard di Amerika Syarikat dan Waseda di Jepun. Empat pejabat penggalakan pendidikan telah dibuka untuk menyokong inisiatif sektor swasta mendapat pelajar negara lain.

Meningkatkan Kecekapan Perbelanjaan Sektor Awam

84. Kerajaan akan terus mengamalkan dasar fiskal yang berhemat dalam tempoh akhir Rancangan. Disiplin fiskal akan dipertingkatkan dengan mengamalkan kawalan kos yang ketat. Langkah ini adalah bagi mencegah peningkatan kos dan memastikan projek pembangunan benar-benar memberi nilaian wang seperti yang dibelanjakan. Tujuan melaksanakan projek pembangunan adalah untuk memberi faedah kepada rakyat. Sementara ia juga dapat menguntungkan kontraktor tetapi tidaklah sehingga merugikan rakyat seperti yang berlaku kepada pembinaan makmal komputer.

85. Sehubungan itu, Kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi dengan kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut masa dan dengan mengikut kualiti sebagaimana dipersetujui. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak bagi kontraktor yang tidak mematuhi syarat, serta menyenarai hitam dan menghalang mereka daripada menyertai tender di masa hadapan. Ini adalah bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai rekod bersih, boleh dipercayai dan mampu menyiapkan projek sahaja diberi peluang lagi untuk membuat tawaran bagi kontrak Kerajaan.

86. Sebagai langkah untuk menyekat kenaikan kos projek pembangunan, Kerajaan telah memutuskan bahawa projek tidak lagi akan dilaksanakan secara rundingan terus, kecuali projek yang benar-benar perlu dan dalam keadaan tertentu. Kontrak untuk projek pembangunan akan hanya dilaksanakan sama ada secara tender terbuka atau tender terhad kerana sekarang sudah ada ramai Kontraktor bumiputra yang cekap dan mereka perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat kontrak. Bagi mengawal kos, semua projek hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos.

87. Kerajaan akan hanya melaksanakan projek secara fast track sekiranya faktor masa adalah amat penting. Bilangan projek yang akan dilaksanakan melalui pendekatan ini dijangka akan berkurangan apabila keupayaan perancangan kita diperbaiki dan bajet dua tahun diperkenalkan. Bagi projek yang dilaksanakan melalui pendekatan reka bentuk dan bina, kita akan melantik perunding berasingan daripada pereka bentuk kontraktor yang membuat tawaran.

88. Seperti mana telah saya nyatakan sebelum ini, dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelapan, Kerajaan terpaksa mengambil langkah kitaran balas atau counter cyclical untuk membendung kesan daripada pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan dan kelembapan aktiviti sektor swasta. Hasil daripada tindakan dasar fiskal yang mengembang, 99.3 peratus daripada siling asal perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Kelapan sebanyak RM110 bilion akan habis dibelanjakan menjelang akhir tahun ini. Oleh itu, Kerajaan bercadang untuk menambah siling pembangunan Rancangan Malaysia Kelapan sebanyak RM50 bilion kepada RM160 bilion. Penambahan ini bermaksud bahawa bagi dua tahun yang akan datang, purata perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM25.4 bilion setahun, iaitu bersamaan dengan purata paras perbelanjaan pembangunan tahunan sebelum ekonomi mengalami kelembapan.

89. Dalam tempoh kajian semula, defisit fiskal telah dikekalkan pada tahap 5.5 peratus daripada KDNK. Kita bernasib baik kerana keadaan kewangan negara membolehkan penggunaan pendekatan fiskal yang proaktif untuk mengurangkan kesan buruk daripada perkembangan luar negara. Ini adalah kerana pengurusan kewangan kita yang kukuh dan berhemat di masa lalu. Kerajaan akan terus mengekal defisit dan hutang di paras yang tidak membebankan. Sehubungan itu, defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 1.8 peratus daripada KDNK pada tempoh akhir Rancangan.

90. Untuk mengoptimumkan pertumbuhan yang boleh dijana daripada baki peruntukan Rancangan, Kerajaan akan mensyaratkan bahawa perlaksanaan projek pembangunan tersebut hendaklah menggunakan bahan dan komponen tempatan secara maksimum dan dengan itu akan mengurangkan pengaliran tukaran wang asing keluar. Projek yang dipilih adalah projek yang dapat memberi faedah maksimum dan mempunyai rantaian yang kuat dengan ekonomi tempatan supaya dapat memaksimumkan kesan pengganda.

91. Daripada jumlah peruntukan yang dipinda sebanyak RM160 bilion, lebih daripada 80 peratus adalah untuk sektor ekonomi dan sosial. Pendidikan dan latihan akan menerima peruntukan tertinggi, sebanyak lebih daripada 25 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan. Sektor kesihatan akan menerima sebanyak 5.9 peratus, perumahan sebanyak 3.9 peratus dan pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kebajikan sebanyak 5.0 peratus. Sebahagian besar daripada peruntukan sektor ekonomi adalah untuk pembangunan infrastruktur dan utiliti.

Meningkatkan Infrastruktur Untuk Menyokong Aktiviti Ekonomi

92. Pembangunan infrastruktur dan utiliti akan terus tertumpu kepada memperbaiki kecapaian ke kawasan kurang maju, bidang rekreasi dan yang berpotensi untuk dimajukan. Dalam tempoh kajian semula, Kerajaan telah membelanjakan RM10.79 bilion untuk pembangunan jalan dan jambatan. Ini termasuklah Lebuh Raya Kedua Link Timur-Barat di antara Titi Karangan dan Kupang dan Lebuh Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Betis di antara Pos Blau dan Kampung Kuala Betis. Beberapa projek menaik taraf lebuh raya telah juga disiapkan seperti lebuh raya Brinchang Lojing, lebuh raya Beaufort-Sindumin dan lebuh raya Betong-Kayu Malam. Dengan ini bekalan lebuh raya akan meningkat sebanyak 2,140 km kepada 75,160 km.

93. Dalam tempoh akhir Rancangan, dana tambahan akan diperuntukkan untuk mempercepatkan penyiapan projek jalan raya utama, termasuklah Jalan Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang, Jalan Bentong Kuala Lipis, Lebuh Raya Rentas Kedah Timur, Jalan Kuching-Serian, Jalan Nangoh-Kanibongan, Jalan Sepulut Kalabakan dan Jalan Sipitang-Tenom.

94. Dalam tempoh kajian semula, sistem pengurusan trafik yang cekap telah dilaksanakan untuk meningkatkan pengaliran lalu lintas di pusat bandar, termasuklah Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang. Di samping itu, pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan kecekapan dan kemudahan pengangkutan awam di samping untuk menggalakkan penggunaannya. Kerajaan juga telah menggiatkan usaha untuk membentuk sistem pengangkutan bandar yang bersepadu, cekap dan pelbagai mod. Bilangan penumpang yang menggunakan sistem transit aliran ringan di Kuala Lumpur telah bertambah semasa tempoh kajian semula. Di samping itu, KL Monorail yang menyediakan rangkaian aliran ringan dalam bandar sepanjang 8.6 kilometer, telah memulakan operasinya pada bulan Ogos 2003.

95. Dalam tempoh akhir Rancangan, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk memastikan kecapaian dan peralihan licin di antara pelbagai jenis pengangkutan awam terutamanya di Lembah Kelang. Pengangkutan awam pelbagai mod akan dipertingkatkan dengan beroperasinya terminal pengangkutan bersepadu. Pembinaan terminal bersepadu akan beroperasi di Bandar Tasik Selatan dan Gombak iaitu di kawasan pinggir Kuala Lumpur. Stesen bersepadu Sentul akan dibina dengan penyertaan sektor swasta manakala Landasan 1 Monorel Putrajaya akan disiapkan. Sebuah Lembaga Pengangkutan Awam akan juga ditubuhkan untuk merancang, menyelaras dan melaksana sistem pengangkutan awam di bandar utama dan juga feri dan pengangkutan melalui sungai yang lain.

96. Dalam tempoh kajian semula, Kerajaan telah memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan peningkatan penggunaan pelabuhan tempatan, terutamanya Pelabuhan Klang dan PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) melalui pengembangan kapasiti, menaik taraf dan peningkatan kemudahan pelabuhan di samping memperbaiki kecekapan dan produktiviti. Usaha juga telah dijalankan bagi memperbaiki perkhidmatan sokongan maritim yang lain. Beberapa projek yang berkaitan dengan pelabuhan telah disiapkan, seperti dermaga tambahan di PTP, basin baru di Pelabuhan Kuantan dan dermaga kontena tambahan dan limbungan di Pelabuhan Barat. Jeti LNG yang ketiga telah disiapkan di Pelabuhan Bintulu. Dasar Kabotaj telah juga dikaji semula bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kapal tempatan bagi membawa penumpang dan kargo di antara dua atau lebih destinasi di dalam negara.

97. Dalam tempoh akhir Rancangan, Kerajaan akan melipat gandakan usaha bagi menggalakkan Pelabuhan Klang sebagai hub mega dan distripark di samping PTP serta Senai sebagai pusat pengumpulan dan penghantaran kargo maritim dan udara. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan meningkatkan tahap keselamatan pelayaran maritim dan mengurangkan pencemaran laut dengan menubuhkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia. Sebuah pusat latihan maritim akan juga dibina di Pulau Indah, Pelabuhan Klang sebagai pelengkap kepada Akademi Maritim Malaysia. Langkah lain yang akan dilaksanakan termasuklah pemasangan Sistem Pengenalan Automatik bagi memantau pergerakan kapal di perairan Selat Melaka.

98. Dalam tempoh kajian semula, kapasiti lapangan terbang telah diperluaskan dengan operasi komersial dua lapangan terbang baru di Tawau dan Bintulu dan dengan siapnya kerja menaik taraf beberapa lapangan terbang yang sedia ada. Keselamatan penerbangan juga telah dipertingkatkan melalui pemasangan alat bantuan pandu arah. Dalam tempoh akhir Rancangan, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah bagi meningkatkan penggunaan kemudahan yang sedia ada, memperluaskan kapasiti di dalam bidang khusus di samping meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Usaha akan dipergiatkan bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai hub penerbangan serantau. Ini termasuklah usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa ke KLIA di samping menggalakkan syarikat penerbangan yang sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan mereka. Di samping itu, lapangan terbang antarabangsa di Kuching dan Kota Kinabalu serta lapangan terbang di Labuan, Alor Setar, Pulau Pangkor dan Melaka akan juga dinaik taraf. Sebuah lapangan terbang yang baru juga akan dibina di Pulau Tioman bagi menyokong pembangunannya sebagai pulau peranginan bebas cukai.

99. Bagi pengangkutan rel, langkah telah diambil untuk memperbaiki kualiti, kecekapan serta keselamatan penumpang dan pengangkutan barangan dalam tempoh kajian semula. Ini termasuk landasan berkembar elektrik, memperbaharu koc dan lokomotif serta stesen. Dalam tempoh akhir Rancangan, projek landasan berkembar Rawang-Ipoh akan disiapkan dan ini akan dapat mengurangkan masa perjalanan tren penumpang dari Kuala Lumpur ke Ipoh dari tiga jam setengah kepada dua jam. Pembinaan landasan berkembar dari Ipoh ke Padang Besar dan Seremban ke Johor Bahru juga dijangka dimulakan sebelum akhir tempoh Rancangan. Keretapi Tanah Melayu Berhad akan terus memperbaiki perkhidmatan pengangkutan barangan bagi membolehkannya menjadi syarikat pengangkutan pelbagai mod serantau yang utama yang dapat menghubungkan pengangkutan darat, laut dan udara.

100. Bagi tenaga elektrik, kapasiti pengeluarannya telah meningkat daripada 14,291 megawatt pada tahun 2000 kepada 18,562 megawatt pada tahun 2003. Peringkat Ini adalah bagi memenuhi pertumbuhan permintaan di waktu puncak. Liputan bekalan elektrik luar bandar juga telah bertambah baik dalam tempoh kajian semula, di mana liputan bagi Sabah meningkat daripada 67.1 peratus pada tahun 2000 kepada 69.8 peratus pada tahun 2003 dan bagi Sarawak bekalan meningkat daripada 66.9 peratus kepada 77.3 peratus pada tahun 2003. Bagi tempoh akhir Rancangan, sektor kecil tenaga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi dan berdaya harap di samping gabungan bahan bakar yang optimum bagi penjanaan tenaga. Kapasiti pengeluaran terkumpul dijangka meningkat kepada 20,267 megawatt menjelang tahun 2005. Program pembekalan elektrik luar bandar akan diteruskan dengan pelaksanaan kira-kira 850 projek. Ini akan meningkatkan liputan bekalan elektrik luar bandar di Sabah kepada 72.8 peratus dan di Sarawak kepada 80.8 peratus pada tempoh akhir Rancangan.

101. Dalam tempoh kajian semula, Kerajaan juga akan terus mengambil langkah bagi memastikan pengurusan bekalan air yang cekap. Beberapa projek pembangunan sumber air termasuk Empangan Sungai Selangor, Projek Bekalan Air Teluk Bahang/Batu Feringgi di Pulau Pinang, loji rawatan air Fasa II Kuala Jelai dan Fasa III Sungai Terip di Negeri Sembilan telah disiapkan dan membantu meningkatkan kapasiti jumlah pengeluaran air negara sebanyak 12 peratus.

102. Bagi memastikan bekalan air yang berterusan, Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kecekapan dan pemuliharaan sistem bekalan air yang sedia ada dan membangun sumber air baru. Bagi tujuan ini, Kerajaan Persekutuan dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam program perancangan, pengurusan dan penyelarasan sumber air negara. Pembangunan sumber air akan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada Pengurusan Sumber Air Bersepadu. Sistem pengurusan maklumat akan dibangunkan bagi menggabungkan pangkalan data daripada semua pihak berkuasa bekalan air. Di samping itu, pembinaan Pemindahan Air Mentah Antara Negeri Pahang ke Selangor akan dimulakan sebelum tempoh akhir Rancangan. Empangan pelbagai guna Beris di Kedah dan Empangan Jus di Melaka akan disiapkan pada tahun 2004 sementara Empangan Chereh di Pahang akan disiapkan pada tahun 2005.

103. Dalam tempoh kajian semula, usaha pembangunan sektor kecil pembentungan akan ditumpukan kepada usaha memperbaiki perkhidmatan melalui pembinaan infrastruktur baru di samping menaik taraf serta memulihkan sistem yang sedia ada. Kerja modal dan pembaharuan telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pengaliran keluar kumbahan ke permukaan air dan dengan itu memperbaiki kualiti alam sekitar. Program pembangunan modal bagi sistem pembentungan akan diteruskan dalam tempoh akhir Rancangan. Kerja pembinaan bagi Fasa 1 Projek Pembentungan Kebangsaan akan bermula sementara proses tender bagi Fasa 2 akan dimulakan. Projek di bawah Fasa 1 akan menyediakan kapasiti rawatan pembentungan tambahan sebanyak 979,000 penduduk (population equivalent) sekiranya siap pada tahun 2005. Suruhanjaya Sanitasi akan juga ditubuhkan untuk merumuskan peraturan ekonomi serta peraturan keselamatan bagi menjaga kepentingan awam dan menggalakkan pembangunan sistem pembentungan serta pengurusan sisa pepejal.

104. Negara telah banyak mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur, di mana kini ia hampir setaraf dengan negara maju. Pemasangan, operasi serta penyelenggaraan kemudahan ini tidak datang dengan percuma. ia mempunyai kos. Kos ini hendaklah dibiayai bersama oleh Kerajaan dan swasta. Sesungguhnya kerajaan tidak mampu membangunkan semua kemudahan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat daripada cukai yang dipungut. Jika hendak ditunggu sehingga kerajaan mempunyai dana yang cukup maka akan lewatlah kemudahan-kemudahan ini diadakan. Justeru itu, pihak swasta perlu memainkan peranan dan melabur. Mereka tidak mungkin melabur jika pulangan yang berpatutan tidak diperolehi oleh mereka. Pengguna mestilah sanggup membayar secara berpatutan untuk khidmat yang diberi. Namun Kerajaan akan membantu setakat yang kewangan Kerajaan mengizinkan. Sebenarnya bayaran yang perlu dibayar oleh pengguna di Malaysia jauh lebih rendah daripada yang dibayar oleh pengguna di negara lain. Demi kepentingan semua pihak, pengguna hendaklah terima konsep pengguna membayar atau user pays. Amatlah tidak adil jika mereka yang tidak mengguna dipaksa membayar melalui cukai umum untuk keselesaan mereka yang mengguna.

Membangunkan Sumber Pertumbuhan Baru Dalam Sektor Pembuatan

105. Sektor pembuatan akan terus menghadapi cabaran persaingan daripada ekonomi baru muncul. Namun sektor ini akan terus memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 2003, sektor ini telah menyumbangkan 30.6 peratus kepada KDNK, 83.0 peratus kepada jumlah eksport dan 27.8 peratus kepada jumlah pekerjaan. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi meminimumkan kesan buruk daripada keadaan luaran dengan mengadakan pakej rangsangan yang telah diperkenalkan dalam tempoh kajian semula dan menyediakan insentif cukai serta meningkatkan pembangunan sumber manusia. Dana untuk latihan dan latihan semula telah diadakan bagi meninggikan produktiviti dan kecekapan tenaga kerja.

106. Dengan mengambil kira cabaran luaran, adalah penting sektor pembuatan mempercepatkan proses peralihan kepada industri berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan. Sehubungan ini, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan karenah pentadbiran, mengkaji semula proses kerja dan mempermudahkan prosedur serta menyediakan insentif dan infrastruktur sokongan demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra kepada pelabur.

107. Beberapa bidang sektor pembuatan telah dikenal pasti sebagai berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baru. Industri marin menawarkan peluang dalam pembinaan dan pembaikan kapal besar, kapal, bot, feri, kapal persiaran, kapal layar dan pembangunan industri sokongan yang lain. Jentera dan peralatan serta industri fabrikasi logam juga akan terus dibangunkan. Projek Bio-Valley akan dilaksanakan bagi menarik pelaburan yang berkait dengan aktiviti bioteknologi. Industri aeroangkasa akan terus dibangunkan dengan pelaksanaan Program Satelit Negara. Industri pemprosesan makanan pula akan menumpukan kepada bahagian pasaran yang baru termasuk makanan segera, makanan berkhasiat dan makanan halal selaras dengan perubahan gaya hidup pengguna. Sektor pembuatan berasaskan perkhidmatan seperti P&P, pengagihan, pemasaran, pembungkusan, penjenamaan, reka bentuk dan prototaip adalah penting bagi meningkatkan nilai ditambah kepada produk pembuatan akan juga digalakkan.

108. Untuk membolehkan keluaran industri termasuk PKS, kerajaan akan menggalak dan membantu penubuhan syarikat perdagangan ala sogo shosha Jepun supaya menjadi saluran bagi memasarkan produk Malaysia di luar negara. Syarikat tempatan hendaklah sanggup membayar komisen yang berpatutan untuk khidmat ini, sementara syarikat sogo shosha pula memberi layanan yang sebaiknya kepada pasaran dan pelanggan luar.

109. Bagi meningkatkan keupayaan dan kemampuan PKS, pelbagai program akan diteruskan supaya pembekal boleh diharap akan mendapat kepercayaan syarikat utama yang beroperasi di seluruh dunia. Sejajar dengan Rancangan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana, PKS akan terus dibekalkan dengan pengetahuan kewangan, pengurusan dan kepakaran teknikal. Amatlah penting produk PKS berkualiti tinggi dan pesanan diberi layanan yang baik supaya nama baik mereka dan negara terpelihara dan barangan Malaysia diterima oleh pasaran dengan baik.

Menggiatkan Semula Pertanian

110. Sektor pertanian akan dijadikan sektor penting kepada ekonomi negara. Dalam tempoh kajian semula, sektor ini berkembang 1.5 peratus berikutan peningkatan keluaran kelapa sawit dan komoditi makanan. Hasil eksport pertanian meningkat sebanyak 26 peratus daripada RM23 bilion pada tahun 2000 kepada RM 29 bilion pada tahun 2003 disumbang oleh kenaikan harga komoditi utama dan makanan. Eksport barangan makanan yang lebih baik adalah kesan daripada peningkatan pelaburan dalam pengeluaran makanan berskala besar dan pembaikan kualiti yang dicapai dalam konteks pendekatan MOA Incorporated. Sementara negara belum lagi dapat beralih kedudukannya sebagai pengimport bersih makanan, negara telah berjaya mencapai tahap sara diri atau self-sufficiency bagi bekalan ayam, itik dan telur serta hampir mencapai tahap sara diri bagi keluaran perikanan.

111. Dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sektor pertanian dijangka berkembang lebih tinggi pada kadar 2.7 peratus setahun. Pertumbuhan sektor ini akan disumbang oleh peningkatan kenaikan keluaran tanaman industri, pengeluaran makanan dan sumbangan daripada aktiviti pertanian yang baru.

112. Penternakan ikan atau akuakultur telah dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan yang besar. Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk membangunkan infrastruktur baru, meningkatkan kemahiran dan teknologi bagi memajukan akuakultur yang moden. Ini melibatkan pembiakan pelbagai jenis ikan dan krustasia yang boleh dipasarkan dalam dan luar negara. Untuk menyokong aktiviti pembelaan anak ikan berskala komersial dan aktiviti hiliran berkait dengan penternakan ikan, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Program Benih Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Penetasan. Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan sokongan bagi menggalakkan pelaburan dalam industri ikan tuna melalui penubuhan empat Pusat Pembangunan Tuna Serantau di Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan. Aktiviti lain yang akan digalakkan termasuklah penanaman komersial rumpai laut berskala besar dan pengeluaran ikan perhiasan.

113. Kerajaan juga akan mempergiatkan usaha untuk membangunkan potensi barangan biomassa dan bioteknologi untuk pasaran dalam negeri dan eksport. Program untuk membangunkan produk semula jadi yang khusus seperti herba, rempah dan tumbuhan ubat-ubatan secara bersepadu dan komersial akan juga dipercepatkan. Di samping itu, projek Taman Botani Negara akan dibangunkan sebagai contoh bagi peluang pelaburan baru dalam sektor pertanian, selain dijadikan sebagai tempat rekreasi dan tarikan pelancong.

114. Bagi mempergiatkan pembangunan dalam sektor pertanian, teknologi sokongan yang lebih berkesan akan digalakkan. Antara inisiatif baru ialah penggunaan secara lebih meluas ICT dan e-dagang. Dalam hubungan ini, projek pertanian berasaskan Teknologi Industri-Kerajaan bagi Revolusi e-Ekonomi atau AgriTIGer yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam sektor pertanian, akan diperluaskan ke tempat lain termasuk di Sabah dan di Sarawak. Di bawah AgriTIGeR, aplikasi pengurusan rantaian antara perniagaan yang berkos efektif dan gerbang elektronik yang dinamakan Agribazaar akan dimajukan lagi. Agribazaar akan berfungsi sebagai gateway pertukaran kepada masyarakat tani dan peniaga untuk menjalankan urusniaga secara talian.

115. Selain daripada mengekalkan daya saing Malaysia bagi minyak kelapa sawit berbanding dengan minyak dan lemak lain di pasaran dunia, usaha sedang dilakukan untuk membangunkan negara menjadi pengeksport makanan yang berdaya saing. Untuk memastikan kejayaan ini, pembangunan perkhidmatan sokongan yang kukuh adalah diperlukan, termasuk kemudahan mendapat maklumat berkait dengan perniagaan dan saluran pengagihan.

116. Pemprosesan keluaran pertanian tempatan perlu dijadikan industri yang besar. Peningkatan nilai ditambah yang lebih tinggi melalui penggunaan pengetahuan yang lebih menyeluruh dan berteknologi tinggi harus diusahakan.

117. Penghijrahan keluar tenaga buruh daripada sektor pertanian, telah menyebabkan tenaga kerja pertanian hanyalah terdiri daripada mereka yang telah berusia. Bagi menjadikan sektor pertanian lebih dinamik dari segi pengurusan dan teknologi, golongan profesional dan usahawan akan dilatih dengan amalan dan kemahiran pertanian moden. Pusat Latihan Pertanian Negara akan dipertanggungjawabkan untuk merancang, menyelaras dan membekal program latihan dan kemahiran. Pengeluaran tenaga profesional dalam bidang pertanian seperti ahli sains tanah, ahli mikrobiologi, ahli bioteknologi dan pakar pemakanan akan ditambah. Dengan ini, peningkatan produktiviti akan dicapai dengan penggunaan jentera dan automasi yang lebih tinggi serta penggunaan teknologi penjimatan buruh.

Menerokai Pertumbuhan Sumber Baru Dalam Sektor Perkhidmatan

118. Sektor perkhidmatan terus berkembang pada kadar purata 4.7 peratus dalam tempoh kajian semula. Pertumbuhan kukuh ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi serta sektor kecil kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan.

119. Pendidikan, pelancongan, kewangan Islam, kesihatan, pengangkutan, perkhidmatan perundingan dan profesional di samping perkhidmatan berkait dengan ICT dan pembuatan akan lebih dieksploitasikan bagi menghasilkan potensi yang sepenuhnya agar ia dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan menyumbang dengan lebih ketara kepada pendapatan eksport. Pertumbuhan industri perkhidmatan ini akan dapat dipercepatkan memandangkan kebanyakan kemudahan infrastruktur yang berkaitan telah sedia diadakan. Dalam usaha untuk menggalakkan perkhidmatan ini, Kerajaan akan mengadakan program galakan yang lebih berkesan dan tersusun.

Pelancongan

120. Sejak beberapa tahun lalu, pelancongan telah meningkatkan sumbangannya kepada pendapatan tukaran asing dan pertumbuhan sektor lain. Pada tahun 2001 dan 2002, ketibaan pelancong telah melebihi sasaran yang ditetapkan. Pada tahun 2001, jumlah ketibaan pelancong adalah seramai 12.8 juta, melebihi 6.5 peratus daripada sasaran. Pada tahun berikutnya, ketibaan pelancong meningkat kepada 13.3 juta dan melepasi 10.8 peratus daripada sasaran. Walau bagaimanapun, akibat daripada pencerobohan ke atas Iraq dan wabak SARS, ketibaan pelancong telah menurun sebanyak 31 peratus bagi separuh pertama tahun ini. Namun begitu, sukacita saya nyatakan bahawa sejak beberapa bulan yang lalu, kita telah menyaksikan arah aliran yang semakin meningkat bagi jumlah ketibaan pelancong.

121. Untuk mencapai potensi sepenuhnya dalam industri pelancongan, Kerajaan akan mengambil langkah untuk mempromosi pelancongan tempatan dan antarabangsa serta mempertingkatkan inisiatif bagi pembangunan produk pelancongan. Antaranya, pendidikan, kesihatan, sukan, pelancongan berasaskan pertanian dan ekologi akan dimajukan lagi untuk memaksimumkan potensi industri pelancongan. Keunikan warisan budaya Malaysia akan diberi tumpuan dalam melaksanakan langkah ini. Bagi mempromosikan tempat kebudayaan dan warisan asli, usaha akan diambil untuk memasukkan Taman Negara di Semenanjung Malaysia, Gua Niah di Sarawak dan Lembangan Maliau di Sabah di samping Bandaraya Bersejarah Melaka dan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia. Pelancongan tempatan juga akan ditingkatkan melalui pakej nilai wang yang menarik, dengan kerjasama syarikat penerbangan tempatan. Pada masa yang sama, pekerja dalam industri pelancongan akan dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi pelbagai permintaan dan harapan daripada pelancong.

122. Aktiviti pemasaran dan galakan akan ditumpukan kepada meluaskan pasaran pelancongan dengan mengekalkan pasaran sedia ada dan membangunkan pasaran baru yang telah dikenal pasti. Dalam hubungan ini, kita akan menghantar misi penggalakan pelancongan kepada pasaran seperti negara Timur Tengah dan juga ke Amerika Syarikat, China, India, dan Jepun. Tarikan jualan yang unik bagi industri pelancongan akan terus dipasarkan berdasarkan slogan Malaysia Truly Asia. Untuk meningkatkan lagi tarikan Malaysia sebagai destinasi membeli belah, usahawan akan digalakkan untuk meningkatkan usaha bagi mendapatkan agensi pengedaran bagi produk pengguna dan jenama antarabangsa yang baru dan yang baru muncul. Selain itu, kemungkinan untuk mengadakan penerbangan antarabangsa secara terus daripada beberapa bandar terpilih akan diterokai untuk memudahkan kemasukan ke destinasi membeli belah bebas cukai dalam negara.

123. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong, lebih banyak aktiviti yang berkait dengan sesuatu acara akan diadakan. Produk dan perkhidmatan pelancongan yang berkualiti, akan disediakan. Selain itu, persijilan Blue Flag dan Green Globe akan diperkenalkan kepada tapak pelancongan. Blue Flag akan diberikan kepada pantai yang menepati piawaian antarabangsa, sementara sijil Green Globe diberikan kepada tapak eko-pelancongan yang mengamalkan perlindungan dan pembaikan alam sekitar.

124. Eko-pelancongan, agro-pelancongan dan pelancongan luar bandar akan terus dibangunkan untuk mengambil peluang sepenuhnya daripada keindahan pemandangan, kedamaian desa serta flora dan fauna. Kemudahan penginapan dan tarikan sedia ada akan ditingkatkan dan ditambah. Di samping itu, pelaksanaan program satu daerah satu industri akan meningkatkan penyertaan masyarakat tempatan melalui industri kraftangan yang dapat membekal barangan kraf kepada pelancong.

125. Bagi mempromosi industri pelayaran persiaran, kita akan terus membangunkan pusat pelayaran pesiaran di beberapa tempat dalam negara. Untuk itu, beberapa pangkalan kapal pesiaran atau marina akan dibina di lokasi yang strategik seperti di Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pelabuhan Klang, Port Dickson, Melaka dan Muar, dan terminal kapal pesiar di Melaka dan Pulau Pinang akan dinaik taraf. Ini akan membolehkan kapal pesiaran dan bot untuk liburan belayar ke beberapa tempat yang menarik serta membolehkan pelancong terlibat dalam pelbagai aktiviti dan tinggal dengan lebih lama. Di samping itu, jeti sedia ada dan terminal penumpang akan dinaik taraf bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang khususnya di kawasan di mana sungai merupakan jalan perhubungan utama seperti di Sabah dan Sarawak.

126. Adanya kemudahan penjagaan kesihatan yang canggih dan cekap, serta tarikan alam semula jadi, telah meletakkan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan yang berdaya maju. Dalam hal ini, pakej pelancongan yang khusus yang mengandungi komponen kesihatan akan diperkenalkan. Untuk terus menggalakkan pelancongan berkaitan dengan pendidikan, usaha akan diambil untuk menggalakkan institusi pendidikan tinggi swasta meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan, mengembangkan kurikulum dan meningkatkan kemampuan tenaga pengajar. Usaha penggalakkan akan dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia. Memandangkan pelancongan berasas sukan mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelancong ke negara ini, kita akan terus menganjurkan acara sukan dan menggalakkan sukan baru.

Dana untuk membayar produk pelancongan

127. Sebagai usaha untuk menggalak dan membiayai pengusaha-pengusaha pelancongan menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, Kerajaan telah melancarkan Tabung Khas Pelancongan dan Infrastruktur pada Oktober 2002 dengan peruntukan sebanyak RM 400 juta. Di samping itu, Pakej Strategi Baru yang diumumkan oleh Kerajaan pada 21 Mei 2003 juga telah menambah peruntukan dana Tabung Infrastruktur Pelancongan dari RM 200 juta kepada RM 700 juga bagi meningkatkan lagi keberkesanan program pelancongan. Antara strategi pembangunan pelancongan yang akan diberi tumpuan ialah melaksanakan pembangunan produk dan pemasaran; mempertingkatkan pembangunan sumber manusia dalam sektor pelancongan; dan menggalak dan memudahkan pelancongan dalam negeri.

Dagangan Runcit dan Borong

128.

127. Langkah strategik akan diambil untuk mempercepatkan pembangunan sektor perdagangan runcit dan borong. Institusi pendidikan tinggi tempatan akan digalakkan untuk menawarkan kursus di bidang perdagangan dan pengedaran manakala Kerajaan akan mengendalikan kursus khas mengenai perdagangan runcit di pusat latihan dan pembangunan kemahiran. Pada masa yang sama, pendidikan kepenggunaan akan diteruskan. Tribunal Tuntutan Pengguna akan diwujudkan di semua negeri dalam tempoh akhir Rancangan. Sebuah agensi untuk berurusan dengan orang awam di samping menyedia perkhidmatan dan peniaga dalam sektor perkhidmatan akan ditubuhkan di peringkat negeri untuk menyelesaikan aduan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan dan peniaga.

129. Pelaksanaan dasar dan perundangan mengenai amalan perdagangan yang adil akan digubal bagi menggalakkan persaingan yang sihat dan menghalang sikap anti saingan seperti pakatan sulit, kartel, penetapan harga dan penyalahgunaan kuasa pasaran. Di samping meningkatkan produktiviti dan kecekapan dasar, ini juga akan menggalakkan penyertaan dan kemasukan syarikat kecil ke dalam sektor perdagangan pengedaran. Dasar dan perundangan yang dicadangkan ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

130. Pasar raya besar atau hypermarket akan digalakkan untuk bekerjasama dengan pengeluar tempatan bagi mendapatkan sumber barangan tempatan yang berkualiti tinggi dan pada harga yang berpatutan. Ini juga akan membuka suatu peluang kepada firma tempatan terutama IKS dan pengeluar barang kraf bagi memasarkan produk mereka di dalam dan di luar negara.

131. Penyertaan Bumiputera dalam sektor perdagangan, pengedaran akan ditingkatkan dengan mengadakan program latihan piawaian kualiti produk, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran. Ini adalah untuk memastikan pengeluaran produk adalah berkualiti eksport dan dapat memenuhi permintaan pengguna. Usaha akan terus diambil bagi meningkatkan program dan aktiviti PROSPER. Dalam konteks ini, bengkel rancangan perniagaan dan klinik perundingan perniagaan akan diadakan untuk membantu, membimbing dan memberikan arah haluan strategik kepada peserta untuk meningkatkan keberkesanan program dan aktiviti PROSPER. Sehubungan itu, pembangunan kedai konsep untuk kedai lampu, dobi, penghiasan rumah, pasar mini, kedai sukan dan bengkel automotif akan dipertimbang untuk dilaksanakan di masa hadapan. Jaya atau tidaknya semua ini bergantung kepada kesanggupan Bumiputera untuk memasuki bidang ini. Jika mereka enggan janganlah sesiapa merungut kenapa tidak ada Bumiputera di bandar-bandar di Malaysia.

132. Sejak pengenalan sistem perbankan Islam 20 tahun yang lalu, kita telah mencapai banyak kemajuan dalam mengembangkan produk-produk memperoleh bahagian perbankan, deposit dan pembiayaan. Ini memberi pilihan bagi sesiapa, Islam atau tidak Islam, memilih sistem yang sesuai dengan selera mereka. Pada penghujung bulan Jun 2003, aset perbankan Islam telah meningkat kepada 9.4 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor perbankan. keseluruhan.

133. Kewangan Islam, termasuk perbankan dan pasaran modal Islam akan dibangunkan sebagai sebahagian pasaran khusus yang strategik. Kita akan memperkenalkan lebih banyak produk yang secocok dengan ajaran Islam dan yang inovatif di samping menambah produk asas dengan menggerakkan aset Islam yang belum digunakan. Inisiatif juga akan ditujukan kepada terhadap membangunkan pakatan strategik dengan sumber-sumber kewangan masyarakat Islam global dengan peluang pelaburan berteraskan Syariah.

Pembangunan Mapan

134. Jalan ke arah kehidupan yang mapan melibatkan tiga proses utama. Pertama ialah meningkatkan kecergasan ekonomi negara bagi mengekalkan taraf hidup yang lebih tinggi. Kedua ialah memastikan peningkatan keadilan dan kesepakatan sosial dan ketiga ialah proses yang mengawasi dan melindungi alam sekitar. Dengan itu, kita akan terus mengurus pembangunan alam sekitar dan sumber asli secara terbuka untuk mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang negara dan mencapai pembangunan yang mapan. Pembangunan yang mapan dilihat sebagai keperluan untuk mewujudkan peluang win-win-win dan di masa yang sama mencapai matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar.

135. Tidaklah mudah untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat hari ini supaya tidak mengekang peluang untuk pembangunan masa hadapan. Kita bernasib baik kerana sejak pertengahan tahun 1970 lagi, iaitu semasa Malaysia membina asas ekonomi, kita telah memberi perhatian kepada kemapanan pembangunan. Bukan sahaja garis panduan ke arah mengekalkan persekitaran yang sihat bagi kehidupan manusia, tetapi juga keperluan mengekalkan warisan semula jadi dan kesan pertumbuhan penduduk serta industrialisasi telah dikenal pasti dengan jelas. Menjelang pertengahan 1980-an, perlindungan alam sekitar telahpun menjadi faktor utama yang diambillkira dalam perancangan pembangunan negara. Antara usaha untuk meneruskan pembangunan ekonomi dan alam sekitar yang mapan adalah langkah untuk mengurangkan kesan aktiviti manusia terhadap persekitaran hutan, proses perbandaran dan pelancongan; menekankan pencegahan melalui penyeliaan berbanding langkah pemulihan; serta memasukkan perancangan alam sekitar dalam projek pembangunan.

136. Dekad yang lalu adalah bercirikan pelaksanaan konsep pembangunan yang seimbang, iaitu di samping pertumbuhan ekonomi, perlindungan kepada alam sekitar dan asas sumber asli Malaysia telah diberi keutamaan.

137. Rakyat, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan yang penting dalam usaha ini sebagai rakan dan pembela, dan memastikan matlamat persekitaran dan sumber asli kita dicapai dengan cekap.

Mempertingkatkan Kualiti Hidup.

138. Asas ukuran utama untuk menilai pembangunan negara adalah peningkatan kualiti hidup rakyat. Kita di Malaysia mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapat faedah yang setimpal daripada pembangunan. Semua dasar Kerajaan telah dan akan ditumpukan kepada pembangunan rakyat bertujuan untuk memastikan pencapaian kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.

139. Kita telah menumpukan usaha kita untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, menyediakan peluang untuk meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi, membuat pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, perumahan dan kemudahan lain, memastikan suasana tempat kerja yang lebih baik dan melindungi alam sekitar. Sesungguhnya tidak harus ada kemiskinan di Malaysia. Sesiapa yang sanggup merebut kemudahan dan peluang yang disediakan oleh Kerajaan dan yang dikurniakan Tuhan dengan banyaknya kepada kita, tetap akan menikmati kehidupan yang selesa dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada paras kemiskinan. Tetapi jika kita melepaskan rahmat Tuhan dan segala usaha oleh Kerajaan maka orang asinglah yang akan meraih kekayaan.

140. Indeks Kualiti Hidup Malaysia, satu pengukuran komposit yang berdasarkan 11 bidang meliputi 41 petunjuk, telah menunjukkan aliran yang meningkat. Ia menunjukkan bahawa kualiti hidup rakyat Malaysia terus meningkat dalam hampir kesemua bidang, berikutan daripada usaha Kerajaan melaksanakan program bagi meningkatkan pendapatan dan memperbaiki penyediaan khidmat sosial. Namun Kerajaan akan berusaha terus untuk memastikan semua rakyat menikmati faedah daripada pembangunan negara.

141. Program penggalakkan kesihatan dan pencegahan penyakit terus diberi keutamaan. Program ini akan mengambil kira masyarakat yang semakin mewah dan gaya hidup yang tidak aktif daripada segi fizikal. Sebagai sebahagian daripada kempen pencegahan dan galakan kesihatan, tema kempen gaya hidup menumpukan kepada amalan gaya hidup yang sihat dan keselamatan makanan. Skop dan liputan program imunisasi kanak-kanak terus dipertingkatkan. Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan dan Pelan Tindakan telah dirangka bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan buatan tempatan dan yang diimport. Program kesihatan alam sekitar telah juga diperkukuhkan bagi memastikan alam sekitar yang sihat dan selamat.

142. Usaha-usaha ini telah menaikkan jangka hayat lelaki daripada 70.3 tahun pada 2001 kepada 70.5 tahun pada 2003 dan bagi perempuan daripada 75.2 tahun pada tahun 2001 kepada 75.4 tahun pada tahun 2003. Kadar kematian bayi berkurangan daripada 6.3 kematian setiap seribu kelahiran hidup pada 2001 kepada 5.7 kematian pada tahun 2003.

143. Dalam tempoh kajian semula, penyediaan perkhidmatan bandar dan luar bandar telah diperluaskan untuk membolehkan lebih ramai penduduk memperoleh kemudahan bagi aktiviti ekonomi dan sosial serta memperbaiki suasana hidup. Kemudahan perumahan dan perkhidmatan sosial yang lain akan terus diberi perhatian. Langkah telah diambil untuk meningkatkan pencapaian rumah mampu milik, dan berkualiti yang mencukupi bagi semua kumpulan pendapatan. Keutamaan akan diberikan untuk pembangunan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan telah dikaji bagi membolehkan kumpulan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah dengan meningkatkan jumlah pinjaman. Namun kita harus ingat tidak mungkin semua penduduk memiliki rumah sendiri. Ramai yang akan terus menyewa kediaman.

144. Sejumlah 615,000 unit rumah disasarkan untuk dibina oleh sektor swasta dan awam sepanjang tempoh rancangan. Pada penghujung tempoh kajian, tiga per empat daripada jumlah sasaran telah disiapkan. Daripada jumlah ini, 339,854 unit atau 73.6 peratus dibina oleh sektor swasta dan bakinya oleh sektor awam. Bagi kategori rumah kos rendah dan sederhana rendah, sejumlah 177,253 unit atau 48.8 peratus daripada sasaran telah siap dibina.

145. Isu pengumpulan dan pelupusan sisa pepejal menjadi semakin penting kerana bertambahnya penduduk. Kerajaan baru sahaja menyiapkan satu kajian komprehensif ke atas pendekatan pengurusan sisa pepejal. Selain itu, penswastaan skim pengurusan sisa pepejal telah diperluaskan dengan memasukkan sembilan pihak berkuasa tempatan dalam skim pengumpulan sementara sisa. Stesen pemindahan sisa pepejal telah dibina di Kuala Lumpur untuk meningkatkan pelaksanaan sistem pengurusan sisa bersepadu. Sehubungan dengan ini, Kempen Kitar Semula Peringkat Kebangsaan telah dilancarkan pada tahun 2001 dan telah diperluaskan di 67 pihak berkuasa tempatan. Untuk mengelak daripada hidup dalam timbunan sampah, kerjasama daripada semua pihak adalah diperlukan. Kos perlupusan sampah perlu dipikul bersama oleh rakyat dan kerajaan. Jika kita ingin keselesaan yang sama dengan negara maju, piawaian yang berpatutan mestilah diterima. Janganlah kita tuntut lebih daripada yang dinikmati bangsa maju tetapi tidak sanggup membiayainya.

146. Pembangunan landskap akan dipergiatkan untuk rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih tinggi. Pihak berkuasa tempatan telah membina 20 taman awam yang baru manakala 179 taman awam yang sedia ada telah dinaik taraf. Pelan induk landskap juga telah siap untuk enam pihak berkuasa tempatan iaitu Johor Bharu, Kuantan, Labuan, Langkawi, Seremban dan Shah Alam. Dalam tempoh kajian semula, satu juta pokok telah diagihkan ke semua negeri untuk ditanam bagi menambahkan kehijauan negara.

147. Kerajaan dapat menyediakan khidmat dan bantuan. Tetapi akhirnya rakyat sendiri yang akan menentukan sama ada semua yang dibekal membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Justeru itu kempen kesedaran bertajuk Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang telah dilancarkan di peringkat negeri dan kebangsaan bagi membantu keluarga menghadapi cabaran dan tuntutan kehidupan harian. Di samping itu untuk memperbaiki kehidupan keluarga, Kerajaan telah meluluskan penubuhan 29 buah Kompleks KASIH Keluarga. Menyedari bahawa keluarga merupakan unit asas ke arah pembangunan masyarakat yang progresif dan penyayang, penekanan akan terus diberikan bagi memperkukuhkan unit keluarga.

148. Peranan wanita sudah semakin luas disebabkan kesanggupan mereka mengejar ilmu pengetahuan dan bekerja. Tetapi peranan mereka sebagai pendidik kepada anak-anak masih penting. Di masa-masa yang lampau ini kita melihat keruntuhan moral di kalangan murid-murid sekolah. Mungkin ada sebab lain tetapi kurangnya didikan moral di rumah tentulah menjadi satu daripada sebabnya. Oleh kerana ramai ibu yang bekerja satu cara perlu dicipta supaya peranan ibu dalam pendidikan anak dapat diteruskan. Bapa juga perlu menyumbang kepada didikan anak dengan menunjuk contoh dan teladan yang baik. Kita tidak hendak melihat keruntuhan akhlak yang didapati di negara-negara Barat berkembang di negara kira.

Perpaduan Nasional dan Patriotisme

149. Izinkan saya menyentuh isu yang sangat penting kepada kita. Negara kita merupakan negara pelbagai kaum dan keturunan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi yang akan menjejaskan pembangunan negara. Secara kebetulan tidak banyak peluang untuk kaum-kaum bercampur gaul dan menjalinkan persahabatan. Adalah dilihat perpisahan antara mereka semakin jauh kerana hasutan oleh pelampau masing-masing. Jika aliran ini tidak ditangani, keamanan dan kesejahteraan negara mungkin terjejas. Justeru itu Kerajaan telah memperkenalkan sekolah wawasan yang meletak sekolah-sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil dalam satu kampus supaya aktiviti ko-kurikulum dapat diadakan bersama. Rela dan Rukun Tetangga juga memberi peluang kepada semua kaum bertugas bersama. seterusnya menghapuskannya. Kerajaan juga akan terus telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan menggalakkan integrasi perpaduan dan persefahaman antara di kalangan pelbagai komuniti, budaya dan tradisi.

150. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah seperti Program Rukun Tetangga untuk memupuk kehidupan yang berikhtiar dengan pelbagai cara untuk menggalakkan kehidupa harmoni dan mewujudkan masyarakat penyayang. menanam sifat penyayang dikalangan pelbagai masyarakat, contohnya seperti Program Rukun Tetangga. Konsep Rukun Tetangga telah diubah daripada pengawasan mengawasi kejiranan kepada khidmat masyarakat. membantu komuniti. Skopnya Rukun Tetangga telah dikembangkan bagi untuk meliputi usaha khidmat sosial yang menumpukan kepada kumpulan sasaran yang lebih khusus seperti golongan kurang upaya, ibu tunggal dan memulihkan penagih dadah dengan penekanan kepada pembinaan keupayaankapasiti dan dan seterusnya membolehkan masyarakat menjadi lebih untuk berdikari. Pemberian Pemberian lebih kuasa kepada masyarakat melalui komuniti menerusi penglibatan golongan profesional, warga korporat, pegawai kerajaan dan pesara adalah digalakkan.

151. Program Perpaduan Mega telah dilancarkan pada Mei 2003 bertujuan untuk menghimpunkan masyarakat sepanjang membawa masyarakat bersama sepanjang Minggu Perpaduan. Program tambahan akan dilaksanakan untuk terus meningkatkan lagi menggalakkan integrasi nasional di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

152. Pada tahun 2004, Khidmat Negara akan dilaksanakan supaya sebilangan dari muda-mudi Malaysia akan dihimpun dan dilatih bersama secara ala tentera dan khidmat masyarakat. Adalah dipercayai muda-mudi daripada semua kaum akan dapat hidup bersama, berlatih bersama, berkhidmat bersama dan bermain bersama. Dengan ini mereka akan terdedah kepada budaya masing-masing dan akan lebih memahami kesamaan dan kelainan antara mereka. Dengan kefahaman ini maka akan berkuranglah salah faham dan ketegangan antara kaum yang boleh mengancam kestabilan dan kemajuan negara.

PENUTUP

153. Maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada rakyat negara itu. Jika rakyatnya rajin, berdisiplin, membendung nafsu dan bersedia menghadapi cabaran dan rintangan maka akan berjaya dan majulah negara itu. Soal warna kulit atau keturunan atau sumber alam bukanlah perkara utama, dan sudah tentu bukan penentu kejayaan. Yang menentukan kejayaan ialah budaya ataupun nilai hidup yang diterima dan diamal. Sebab itu kaum-kaum yang berlainan yang tinggal di negara yang sama tidak memperlihatkan kemajuan atau kegagalan yang sama. Kadang-kadang terdapat pencapaian yang amat berbeza antara mereka.

154. Dalam dunia yang semakin saling bergantung antara satu sama lain, kita tidak mampu untuk bersendirian. Kita harus sedar bahawa persaingan yang semakin meningkat akan terus kekal terutamanya persaingan daripada negara yang mempunyai kos rendah yang akan menghakis kekuatan kita dalam bidang tradisional. Dalam persekitaran antarabangsa yang sentiasa berubah, kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk terus meningkatkan daya saing, mengukuhkan daya tahan serta meningkatkan produktiviti dan kreativiti kita.

155. Sektor swasta perlu meneroka pasaran baru. Ini memerlukan perubahan minda daripada selesa dengan pasaran tradisional kepada bersedia menjadikan dunia sebagai pasaran. Kita mesti menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk keluaran dan perkhidmatan dari tempat lain di seluruh dunia kepada negara di rantau ini. Bagi bersaing di pasaran dunia, kita perlu memastikan bahawa amalan pengurusan adalah di tahap piawaian yang tertinggi dan kita mesti dengan tegas menanda aras diri kita dengan amalan terbaik dunia. Kita perlu memastikan keluaran dan perkhidmatan kita berkualiti tinggi dan diiktiraf di seluruh dunia. Bagi tujuan ini, barangan keluaran kita perlu mempunyai jenama yang terkenal. Kita ingin melihat lebih banyak keluaran berjenama Malaysia dijual di pasaran seberang laut. Kita mahu firma Malaysia memberi keutamaan kepada aspek pemasaran supaya kita memperoleh faedah dengan menjadi peserta yang aktif dalam pasaran dunia.

156. Kita jangan sesekali lupa bahawa perpaduan nasional adalah aset terpenting. Bahkan ia merupakan satu-satunya aset yang membolehkan kita menikmati aset lain yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada bumi bertuah ini. Perpaduan nasional dalam negara yang mempunyai penduduk berbilang etnik dan berbilang agama hanya akan dapat dikekalkan dan diperkukuhkan sekiranya wujud sifat persefahaman yang tinggi, sanggup bertolak ansur dan saling hormat menghormati di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama. Kita telah menyaksikan berapa banyak masyarakat berbilang etnik lain yang mengalami kegagalan kerana masing-masing kaum mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan negara. Jika kita tidak berhati-hati dan berjaga kita juga akan gagal dan hancur.

157. Kita telah berusaha secara berterusan dengan dan tidak mengenal penat lelah untuk mengukuhkan perpaduan nasional dan mengambil langkah tegas untuk menbendung kecenderungan yang akan menghalang kepentingan negara. Janganlah sesiapa berpandangan sempit dan menuduh Kerajaan cuba menghapuskan budaya dan bahasa mana-mana kaum. Sesungguhnya di Malaysia sahaja yang kepentingan semua kaum dipelihara dan dibiayai oleh Kerajaan.

158. Kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Pihak Kerajaan akan menyediakan kepimpinan dan sumber yang diperlukan. Ia akan mengendalikan perundingan yang intensif dalam merangka strategi untuk menghadapi cabaran baru yang muncul atau, sebelum ia timbul. Rakyat pula mestilah bersatu dan menyokong sepenuhnya semua langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Bagi saya, sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri adalah satu pengalaman yang menyenangkan, melihat rakyat Malaysia bersatu hati dalam menghadapi krisis. Ciri rakyat Malaysia yang unik ini mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan sekali pun dan tidak boleh dikorbankan untuk golongan berkepentingan sendiri dan berkepentingan politik. Sempena pengunduran saya dari jawatan tertinggi Kerajaan, saya menyeru semua rakyat Malaysia agar bangkit untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang dan memikul tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Jika kita melaksanakannya, maka tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat terus mengecapi kejayaan dan menjadi negara yang ingin dicontohi oleh dunia. Malaysia Boleh.

Tuan Yang DiPertua, saya mohon mencadangkan.

Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA

www.pmo.gov.my

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.