saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 04/01/2004

Juara Lagu ke-18 terancang dan gemilang

REVOLUSI dunia hiburan bermula. Kebangkitan tiga pendatang baru dalam arena muzik tanah air membawakan lagu ciptaan komposer berpengalaman pada malam gilang-gemilang anugerah Juara Lagu ke-18 minggu lalu mencetus perdebatan di kalangan penggiat muzik tanah air.

Misha Omar, Waheeda dan Ezlynn telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Meletakkan lagu Bunga-Bunga Cinta (nyanyian Misha), Wassini (Waheeda) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn) pada kedudukan tertinggi dalam pertandingan berprestij itu dilihat sebagai pencapaian membanggakan industri muzik sepanjang tahun 2003.

Benar, Juara Lagu mempertaruhkan lagu-lagu ciptaan komposer tempatan, namun Juara Lagu tahun ini memperlihatkan dominasi luar biasa tiga penyanyi yang baru muncul dengan album sulung dalam tiga kategori utama.

Misha, satu-satunya penyanyi paling menonjol pada Juara Lagu kali ini. Si manis kelahiran Kelantan Darul Naim itu memberi tamparan yang hebat buat penyanyi senior seperti Ning Baizura dan Anuar Zain yang dilihat tiga persaingan terdekatnya.

Persembahan bertenaga, penuh yakin dan kawalan vokal yang konsisten melayakkan Misha dinobatkan sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik yang sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Tanpa perlu penari latar, Misha melontarkan vokal sebaik yang mungkin sehingga mengundang sebilangan penonton berdiri memberi standing ovation buatnya.

Ning Baizura turut menarik perhatian khalayak tempoh hari. Berani saya katakan, itulah persembahan paling terbaik yang pernah dipamerkan oleh Ning di mana-mana pertandingan. Anuar Zain juga dilihat paling tenang ketika mengadakan persembahan.

Namun begitu, Ning dan Anuar berdua terpaksa akur bahawa rezeki tidak berpihak kepada mereka. Misha pada malam itu turut menyumbang kepada kejayaan komposer Adnan Abu Hassan untuk meraih gelaran Juara Lagu ke-18 dan juara kategori Balada menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.

Gandingan Adnan dan Misha juga sudah tentu mengingatkan kita kepada sejarah Juara Lagu 1996 yang menyaksikan lagu Jerat Percintaan ciptaan Adnan ditabalkan sebagai juara.

Lagu berkenaan disampaikan oleh Siti Nurhaliza yang ketika itu muncul dengan album sulungnya. Kerja keras Waheeda tidak sia-sia. Wassini lagu yang berkonsepkan muzik dunia dipertaruhkan di bawah kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia.

Lagu sulung yang memasyhurkan namanya diciptakan oleh Yasin yang secara tidak langsung mengulangi kejayaan komposer berkenaan di Juara Lagu 2001 yang ketika menjulang populariti menerusi lagu Mimpi Laila.

Cuma yang kurang enaknya, kenapa perlu penari-penari latar yang seakan-akan tidak relevan dengan irama muzik yang dipertaruhkan?

Ezlynn pula mencatat namanya sebagai satu-satunya anak didik kumpulan KRU yang bijak membalas jasa. Itulah hakikat yang harus menjadi kebanggaan Ezlynn dan KRU tentunya.

Hi Hi Bye Bye juga mencatat kenangan manis buat KRU kerana lagu berkenaan merupakan satu-satunya lagu yang memberi pengiktirafan kepada KRU untuk meraih tempat di Juara Lagu.

Ezlynn juga pada malam itu dilihat bekerja keras dengan diiringi penari-penari latar. Barangkali, dia juga mahu menempatkan dirinya sebagai penyandang anugerah Persembahan Terbaik?

Walaupun begitu, Misha, Waheeda dan Ezlynn sudah membuktikan kemampuan mereka kepada khalayak bahawa mereka mempunyai potensi yang cukup besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih luas.

Menjurus tumpuan kepada Juara Lagu yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pertandingan berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada Siti Nurhaliza sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik. Dia mempertaruhkan lagu Ku Milikmu ciptaan Zuraini Khalid.

Kemunculan Siti Nurhaliza tempoh hari juga jelas menunjukkan kepada umum bahawa dia berani membuat perubahan kepada aspek tariannya.

Siti Nurhaliza nampak sudah semakin ke hadapan dalam usaha untuk menyahut cabaran baru arus industri muzik.

Bagaimanapun, untuk beberapa tahun akan datang, wajah dan vokal Siti Nurhaliza akan dirindui peminat-peminatnya kerana dia sudah mengumumkan hasratnya untuk berehat daripada menyertai Juara Lagu.

Noraniza Idris... ohhh kenapa masih mengekalkan konsep persembahan yang retorik? Pengulangan konsep sedemikian dilihat tidak begitu relevan sekali untuk Juara Lagu.

Saya bersimpati dengan Noraniza namun, pendiriannya yang teguh menyebabkan saya begitu menghormatinya.

Dalam konteks ini, kita harus memberikan kredit kepada Noraniza terhadap usaha dan kerja kerasnya mempamerkan persembahan lagu Tandang Bermadah.

Percaya atau sebaliknya, tidak ramai penyanyi lain yang bersedia membuat pelaburan sebesar itu dan Noraniza menjadikan seni keutamaan dalam dirinya berbanding populariti.

Kesemua penyanyi berkenaan telah mempamerkan persembahan yang baik dan tidak ada sebab mengapa khalayak perlu mencari silap mereka.

Yang pasti, adat pertandingan kalah dan menang sudah menjadi asam garam.

Keputusan yang diadili oleh Lukhman S., Lim Swee Tin, Manan Ngah, Juwie, Fauziah Latiff, Wishnutama, M. Nasir, Azmeer dan Ooi Eow Jin memperlihatkan kematangan acara pertandingan itu.

Semua pihak mengakui, itulah keputusan paling adil dan penuh dengan kebijaksanaan.

Juara Lagu juga melihat kegemilangan acara itu terletak di bahu pasangan personaliti Aznil Nawawi dan Sarimah yang mengendalikan acara selama dua jam setengah itu. Apa lagi yang boleh kita katakan?

Semuanya sedia maklum, Aznil dan Sarimah mewujudkan keceriaan dengan gurauan nakal mereka selain memberi penekanan kepada fakta-fakta Juara Lagu yang hampir sebahagian daripada kita terlupa atau tidak pernah terfikir untuk mengambil tahu.

TV3 membuat keputusan tepat dengan menggandingkan mereka berdua. Barangkali juga, sudah sampai waktunya pendekatan sebegini diberi perhatian dalam mana-mana program hiburan terbitan stesen tersebut.

Syabas TV3. Inilah acara hiburan yang menutup tirai 2003 dengan penuh cemerlang sekali.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.