saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 11/01/2004

Bienda - Gayanya jadi ikutan


Bienda.


CANTIK. Memang cantik anak bekas penyanyi dangdut Sheeda, Bienda ini. Tetapi dia kelihatan lebih bergaya dan menawan dengan imej ala gadis gipsi yang ingin ditonjol awal pembabitan sebagai artis solo.

Penangan gadis gipsi Bienda itu juga kelihatannya semakin popular apabila ia semakin menjadi ikutan ramai wanita yang bertudung sejak kebelakangan ini.

Jika dulu kita popular dengan tudung gaya Wardina dan pada tahun lepas tudung Waheeda kemungkinan besar tahun ini gaya ikatan kepala gadis gipsi daripada Bienda akan mengambil tempat.

Baju kemeja T berleher tinggi atau turtle neck yang digayakan bersama skirt kembang melengkapkan gaya tersebut. Bienda memang gembira dan sedikit berbangga apabila mengetahui gayanya menjadi ikutan apatah lagi ia adalah sesuatu yang baik seperti itu.

``Idea untuk imej ini dihasilkan oleh pereka fesyen Amir Kadir bersama Attitude Skin Care.

``Sejak mula lagi saya suka dengan imej ini kerana ia dapat menampilkan sesuatu yang baru tentang diri saya tanpa mengubah penampilan sebenar saya yang bertudung dan artis remaja,'' kata artis yang berusia 19 tahun itu.

Keriangan juga selalu menyertai hatinya sejak kebelakangan apabila kerja keras dan penantian selama ini membuahkan hasil. Album Bienda Unik yang berkonsepkan Arabic Groove daripada kelas etnik kreatif itu berjaya menyemarakkan dunia muzik tanah air.

``Penantian saya menemui hasilnya juga, `' kata Bienda yang mengakui terpaksa menunggu dua tahun sebelum album itu diterbitkan sepenuhnya.

Sememangnya perubahan imej tersebut selari dengan perpindahan Bienda daripada artis nasyid berkumpulan kepada solo. Bienda sebelum ini pernah mengukir nama semuda usia 12 tahun bersama kumpulan nasyid remaja Solehah.

Seunik penampilannya sebagai artis solo, Bienda kini mempertaruhkan album Bienda Unik yang sudah berada di pasaran sejak Disember tahun lepas.

Single pertama Bienda iaitu Penantian daripada komposer muda Yasin yang mempunyai elemen lagu rap juga semakin meraih perhatian di saluran radio tempatan.

Strategi muzik Arab yang menggabungkan corak muzik bertenaga dalam balutan Latin menjadikan ia begitu popular sejak kebelakangan ini.

Perkara yang sama dipertaruhkan dalam album unik tersebut. Bienda Unik lahir daripada kolaborasi tiga komposer yang mempunyai latar berbeza iaitu Yasin, Eddie Hamid dan Asri daripada kumpulan nasyid Rabbani.

Memang bukan mudah untuk menyanyikan lagu Arab sebab lenggok dan sebutannya berbeza tetapi komposer album banyak memberi tunjuk ajar, akui Bienda.

``Saya juga banyak berlatih dengan mendengar banyak lagu Arab termasuk lagu Hindi dan dangdut bagi mengenal pasti teknik vokal menyanyikan lagu itu.

``Dulu ketika menyanyikan lagu nasyid biasa suara lembut-lembut saja tetapi apabila menyanyikan lagu Arab sebutan harus jadi lebih bertenaga, `' kata artis A.O.E Records itu.

Kehadiran Bienda dengan irama seperti itu tentu sekali mengaitkan dirinya dengan penyanyi Waheeda yang turut mempertaruhkan konsep yang hampir sama.

Kata Bienda, persoalan persamaan itu tidak seharusnya dipandang dari sudut negatif tetapi positif memandangkan masing-masing mempunyai misi yang sama iaitu mewarnai dunia hiburan tanah air.

Begitu juga kata Bienda, dia tidak terkilan jika dikatakan sebagai pengikut aliran muzik tersebut selepas Waheeda mahupun klon Waheeda.

``Saya percaya masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Begitu juga dengan rezeki,'' kata Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli.

Bersama kumpulan Solehah sebelum ini Bienda pernah menghasilkan lima album iaitu 25 Nabi (1997), Nikmat Allah (1998), Solehah Alaf Baru (2000), Nikmat Allah 2 (2001), The Best Of Solehah (2002)

Sebagai penyanyi solo, ia buah yang matang daripada pohon yang berbekalkan pengalaman selama enam tahun berkecimpung dalam dunia nasyid, kata artis itu.

Pengalaman itu, bagi Bienda menjadikan dia lebih tenang dan matang dalam dunia seni kompetitif dan penuh cubaan pada masa ini.

Sememangnya ada risiko apabila anda ingin berubah ia mungkin tidak digemari oleh orang yang anda kenali.

Perkara yang sama dilalui oleh Bienda di awal pembabitannya sebagai artis solo apatah lagi dengan imejnya itu.

``Saya sedia menerima apa saja kritik jika ia bersifat membina. Apa pun saya percaya untuk setiap apa yang kita lakukan jika ia datang daripada hati yang ikhlas akan lebih berjaya,'' harapnya.

Sebagai penyanyi solo, artis itu mengakui dia akan memberikan komitmen sepenuhnya apatah lagi apabila ia juga menjadi sumber rezekinya untuk menampung kehidupan dirinya dan keluarga.

Pada usia belasan tahun itu, kata Bienda, dia tetap gembira walaupun terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan sendiri.

Apatah lagi kerjaya itu adalah bidang seni yang dicintainya sejak dulu lagi.

``Setelah meninggalkan bangku sekolah di tingkatan lima saya memang nekad untuk menjayakan bidang ini dan menjadikan ia sebagai sumber rezeki saya.

``Apa yang penting saya dapat mencari dan mengumpul wang sendiri untuk masa depan,'' kata anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.

Begitu juga pada usia masih muda itu dia mengandaikan masih terlalu banyak yang harus dipelajari dan ditempuhi oleh dirinya. Hari-hari seterusnya gadis berkulit putih kuning itu semakin sibuk dan dia semakin banyak bernyanyi dan mempromosikan albumnya.

Selain itu Bienda juga sibuk berlakon dalam telefilem cakera padat dan bakal mengacara sebuah rancangan TV remaja di saluran TV2.

``Saya cuma ingin mempergunakan sepenuhnya bakat yang ada pada saya dan menyerlahkan apa yang saya rasa saya mampu lakukan,'' akuinya.

Kata-kata itu mengingatkan penulis kepada kata-kata jelitawan Sophia Loren. Katanya, ada sumber tertentu dalam diri anda yang menjadi rahsia kepada keremajaan. Ia daripada fikiran, bakat dan kreativiti yang anda bawa dalam kehidupan anda dan orang yang anda sayangi. Apabila anda berjaya mempergunakan sepenuhnya sumber tersebut anda mampu mengekalkan keremajaan itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.