saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/01/2004

Ekosistem tanah lembap terancam

(Wartawan Utusan)
KITA mungkin tidak dapat menikmati suasana nyaman di tepi tasik pada masa akan datang kerana sebahagian daripada keindahan alam semula jadi yang indah itu diancam oleh pencemaran.

Kolam, sungai dan tasik merupakan sebahagian daripada kumpulan tanah berair atau di kalangan para saintis dinamakan sebagai tanah lembap (wetland).

Seorang penyelidik tempatan yang banyak menjalankan kajian mengenai kawasan tanah lembap, Prof. Dr. Mashhor Mansor dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu, tanah lembap ialah sebatang kawasan tanah yang digenangi air tawar.

Di Malaysia selain tasik, kolam dan sungai, kawasan lain yang dikategorikan sebagai tanah lembap semula jadi termasuk paya air tawar, batu karang, pantai berpasir, paya tanah gambut, kawasan banjir dan kawasan berlumpur.

Kategori kedua ialah tanah lembap jenis buatan seperti sawah padi, kawasan penyimpanan air, terusan dan longkang, kolam akuakultur, bekas lombong, kolam renang dan Putrajaya Wetland.

Beliau berkata, keluasan tanah lembap di Malaysia pada masa ini ialah 31,200 kilometer persegi.

Bagi kawasan Semenanjung sahaja, kawasan sawah adalah kawasan tanah lembap yang paling luas iaitu 0.44 juta hektar diikuti hutan simpan paya gambut (0.25 juta hektar), hutan bakau (0.1 juta hektar) dan kawasan berair yang lain (0.07 juta hektar).

Katanya, meskipun kawasan tanah lembap semula jadi hanya dua atau tiga peratus daripada keseluruhan keluasan negara ini, jumlah kawasan tanah lembap jenis buatan makin bertambah kerana banyak projek pembangunan seperti taman dan kawasan rekreasi juga membabitkan pembinaan tasik atau kolam.

Mashhor berkata, antara kepentingan kawasan ini ialah ia berfungsi dalam rawatan air secara semula jadi.

Selain itu tanah lembap juga digunakan dalam aspek ekonomi seperti kolam akuakultur, pengairan tanaman dan kegunaan sosial seperti rekreasi dan berkelah.

Sebab itu, tanah lembap menjadi semakin penting pada masa ini kerana fungsi dan peranannya yang pelbagai.

Malah sudah menjadi trend bahawa mana-mana negara pasti memiliki taman tasiknya sendiri.

Dari aspek biologi dan alam sekitar, taman lembap menjadi habitat kepada pelbagai spesies. Ikan antara spesies tersebut kerana dunia ikan di dalam air.

Di Malaysia kajian mengenai tanah lembap bermula secara serius sejak 1975 yang diketuai oleh Mashhor.

``Saya berminat mengkaji evolusi dan konsep ekologi tanah lembap kerana ia mudah dikaji dan dikawal,'' katanya.

Malangnya, segelintir manusia yang mempunyai sikap tidak tahu menghargai anugerah alam ini menyebabkan tanah lembap tercemar dengan agen pencemaran.

Sekiranya masalah itu berlaku, tanah lembap akan menjadi `musuh' paling besar kepada kehidupan.

Tanah lembap yang tercemar membawa kesan buruk dan kerosakannya sukar untuk dikawal.

Menurut Mashhor, kajiannya mengenai konsep ekologi tanah lembap mendapati bahawa setiap satu spesies yang menghuni kawasan tersebut memainkan peranan sebagai indikator bagi menentukan sama ada `kesihatan' alam sekitar baik atau sebaliknya.

``Sekiranya populasi spesies kawasan tersebut tinggi, maka ia dianggap sihat,'' katanya.

Sebagai contoh, ekologi kawasan tasik yang sihat ditentukan dengan jumlah ikan dan hidupan yang terkandung di dalamnya dan perubahan kimia tasik menentukan ia sihat atau sebaliknya.

Sekiranya sebuah tasik dicampak dengan bangkai, bau busuk lama-kelamaan akan timbul bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi berlaku perubahan dalam tasik berkenaan.

Apabila bangkai berkenaan dicampak ke dalam tasik, bakteria aerobik akan menggunakan oksigen dalam tasik tersebut.

Lama-kelamaan, kandungan oksigen semakin berkurangan dan kadar permintaan biologi oksigen (BOD) meningkat.

Biasanya apabila kepekatan oksigen hanya tinggal 2 mg/liter, hidupan dalam tasik berkenaan terutama ikan akan mati.

Fenomena ini yang dikenali sebagai potensi redoks yang kali pertama ditemui oleh Mashhor.

Potensi redoks merupakan satu konsep untuk menerangkan proses kimia yang terjadi di dalam ekosistem berair seperti tasik atau kolam. Biasanya di dalam ekosistem perairan terdapat kandungan gas oksigen terlarut (DO) yang akan mencapai tahap tepu bergantung kepada suhu.

Sebagai contoh, di dalam perairan yang bersih tahap keterlarutan tepu ialah 7 mg/l (miligram perliter).

Pada kandungan oksigen begini, proses kehidupan organisma berjalan dengan baik dan lancar. Kandungan oksigen datang dari udara atau proses fotosintesis berlaku pada tumbuhan waktu siang. Sebaliknya pada tahap oksigen terlarut jatuh terlalu rendah sehingga 1 mg/l dan ke bawah, maka seluruh ekosistem berada di dalam keadaan reduksi.

``Di sini kita boleh menggunakan hanya alat redox potentail meter untuk melihat nilai oksigen terlarut,'' katanya.

Sekiranya, kandungan oksigen terlarut di bawah nilai 0 mg/l, proses reduksi akan berlaku.

Pada ketika ini, unsur nitrat di dalam kolam akan bertukar kepada gas ammonia, unsur sulfat akan bertukar menjadi hidrogen sulfid. Gas-gas ini akan menyebabkan perairan itu berbau busuk dan kehidupannya yang banyak akan musnah.

Kata beliau, masalah itu berlaku sebahagian besarnya daripada sikap masyarakat yang mengabaikan kebersihan dan tidak menghargai keindahan alam sekitar. Tabiat membuang sampah dan bangkai binatang ke dalam sungai atau tasik harus dielakkan.

Selain penemuan itu beliau juga mendapati satu lagi masalah yang dihadapi oleh tanah lembap ialah ancaman spesies penakluk.

Tiga spesies penakluk tersebut merupakan tumbuhan akuatik yang banyak hidup di kawasan tasik.

Tiga spesies tumbuhan tersebut ialah Hydrilla verticulata (pokok same), Eichhornia crassipes (keladi bunting dan Mimosa pigra (keman gergasi).

Kehadiran ketiga-tiga spesies akuatik ini telah menjejaskan ekosistem tanah lembap.

Spesies penakluk akan menyerang satu ekosistem, seperti sel kanser menyerang seluruh badan manusia.

Mereka akan merosak keseimbangan ekosistem di kawasan tersebut, bersaing dengan spesies asli di kawasan tersebut dan mengakibatkan banyak spesies asli akan pupus. Proses ini juga dikenali sebagai pencemaran biologi.

Kata beliau, sekiranya tidak ada kaedah pengawalan seperti kawalan biologi, ekosistem kawasan yang ditakluk akan terjejas.

Selain tasik, spesies ini yang dipercayai dibawa oleh haiwan yang berpindah-randah seperti burung juga menjejaskan kawasan pengairan, terusan atau sungai.

Berikut ialah beberapa kawasan tanah lembap yang dikatakan menghadapi ancaman

i. Hutan paya Sedeli Kechil

ii. Pulau Ketam di Klang

iii. Hutan Simpan Kapar

iv. Hutan paya Selangor Utara

v. Marintaman Mengalong

vii. Tempasuk

viii. Hutan bakau Limbang

ix. Hutan Simpan Paya Bakau Sarawak

Ancaman spesies penakluk ini sama ada dalam bentuk persaingan (fotosintesis dan makanan) dengan spesies asal dan mengganggu pembiakan.

Menurut Mashhor, ancaman ini sudah mendapat perhatian serius saintis kerana menjadi masalah di seluruh dunia.

-- e-mel: [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.