saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/01/2004

Ibu panggil saya permaisuri

MUKADIMAH
TARIKH 9 Januari 2004 mencatat sejarah buat Tuanku Sultanah Haminah Hamidun apabila baginda dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, Kedah Darul Aman dalam majlis gilang-gemilang penuh adat-istiadat.

Anak perempuan keempat kepada pasangan suami isteri Hamidun Taib dan Isma Mohamad ini telah berkahwin dengan Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah pada 25 Disember 1975.

Tidak banyak yang diketahui tentang baginda sebelum ini walaupun baginda sering mengiringi keberangkatan Tuanku Sultan ke majlis-majlis rasmi.

Tiga hari selepas istiadat pemasyhuran, baginda berkenan untuk ditemu bual. Pertemuan sejam di Istana Pelangi, Taman Lumba Kuda, Jalan Sultanah Bahiyah bakal mendekatkan rakyat negeri Kedah Darul Aman dengan Tuanku Sultanah Haminah. Inilah temu bual pertama baginda dengan media.

Ikuti temu bual Normala Hamzah dengan Sultanah Haminah yang ramah bercerita tentang dirinya.

MINGGUAN: Bagaimana perasaan Tuanku setelah istiadat pemasyhuran selesai disempurnakan?

SULTANAH HAMINAH: Saya bersyukur kepada Allah kerana istiadat ini berjalan seperti dirancang. Syukur tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya bersyukur dengan takdir dan rezeki yang Allah berikan kepada saya dan sejarah yang tercatat di negeri Kedah Darul Aman pada 9 Januari 2004, tarikh saya dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah.

Saya telah lama berkahwin dengan Tuanku Sultan dan saya anggap pemasyhuran ini sebagai sesuatu yang cukup bernilai kenangan seumur hidup. Alhamdulillah dengan segala rahmat yang Allah berikan untuk saya.

Apakah persediaan Tuanku sebelum berangkat ke balai penghadapan untuk istiadat tersebut.

SULTANAH HAMINAH: Saya menghabiskan masa bersolat dan melakukan sembahyang hajat memohon ke hadrat Allah agar dipermudahkan segala urusan yang akan berjalan. Saya juga membaca surah Yasin bagi mencari ketenangan dan dihadiahkan kepada mereka yang telah pergi.

Adakah Tuanku sedih kerana bonda Tuanku tidak dapat bersama. Sekurang-kurangnya ayahanda Tuanku dan adinda-adinda turut hadir.

SULTANAH HAMINAH: Memang terasa sangat, sebak dan gembira bercampur-campur. Sepatutnya di saat begini bonda saya ada bersama menyaksikan detik bersejarah itu, sayangnya dia telah pergi terlebih dahulu.

Bonda saya meninggal pada 17 Ogos 2003. Saya amat terasa kehilangan bonda saya sebab saya amat rapat dengannya. Sejak saya berkahwin dengan Tuanku Sultan, saya jarang berpisah dengan bonda saya. Jika pergi ke mana-mana saya selalu membawa bonda saya bersama. Saya juga setiap tahun menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung dengan kebenaran Tuanku Sultan.

Pun begitu saya amat gembira kerana ayahanda saya dan adinda-adinda saya dapat hadir ke istiadat tersebut.

Boleh Tuanku ceritakan sedikit latar belakang Tuanku.

SULTANAH HAMINAH: Saya dilahir dan dibesarkan di Bagan Serai, Perak pada 15 Julai 1953. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong, Bagan Serai dan Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai. Saya anak keempat daripada tujuh beradik. Saya berkahwin dengan Tuanku Sultan pada 25 Disember 1975, kini telah 28 tahun usia perkahwinan saya dengan Tuanku.

Saya memang berasal dari Bagan Serai kerana nenek moyang saya berasal dari sana. Pendek kata, keluarga saya adalah dari sempadan Perak dan Kedah.

Apakah kenangan zaman persekolahan Tuanku?

SULTANAH HAMINAH: Kenangan manis zaman persekolahan merupakan sesuatu yang cukup indah dikenang. Seronoknya sampai hari ini masih terbayang di mata.

Saya pernah mengayuh basikal dari Bagan Serai ke Bukit Merah. Saja jalan-jalan dengan kawan-kawan. Masa tu remaja, lasak lebih sikit, penat pun tidak terasa, seronok sungguh kalau dikenang-kenang kan.

Saya gemar bersukan. Semua jenis sukan saya suka termasuk acara trek atau padang. Saya juga berlari untuk sekolah. Saya juga bermain bola jaring dan bergiat cergas dalam persatuan Pandu Puteri.

Dengar khabar Tuanku boleh bertutur dalam bahasa Mandarin?

SULTANAH HAMINAH: (Tersenyum). Ya boleh sikit-sikit. Kawan-kawan saya terdiri daripada pelbagai bangsa. Kebanyakannya orang kita dan juga Cina. Saya belajar daripada mereka. Sehari sedikit, lama-lama pandailah.

Setiap insan diberi gerak rasa untuk menjadi terkenal dan sebagainya. Tuanku pula bagaimana, pernahkah Tuanku bermimpi atau sebagainya sebelum mendapat kedudukan hari ini?

SULTANAH HAMINAH: (Tersenyum). Adalah. Itu pun masa saya remaja. Bonda saya selalu merungut sebab saya malas buat kerja - manjalah konon. Saya selalu lambat bangun tidur dan tengah hari masih di atas katil. Selalu dia panggil saya permaisuri. Kalau bonda menegur, dia kerap panggil saya permaisuri.

Apabila saya bertemu jodoh dengan Tuanku Sultan pada 1975, saya mula nampak kata-kata bonda saya sebenarnya telah menjadi. Kata orang, masin mulut.

Saya berpegang kepada pendapat orang tua-tua yang mengatakan apa-apa sahaja yang baik disebutkan oleh orang yang melahirkan kita adalah satu doa. Saya bersyukur ia menjadi kenyataan. Kata-kata bonda saya yang pada mulutnya dengan niat bergurau untuk mengajar saya akhirnya menjadikan saya seperti hari ini.

Sedihnya bonda saya tidak ada bersama untuk menikmati saat-saat manis ini. Tapi saya tahu dia mendengar suara hati saya dan sejarah yang telah berlaku ke atas diri saya. Apa pun saya anggap gurauan itu hanya secara kebetulan. Sebenarnya sudah ketentuan Ilahi.

Matlamat Tuanku terhadap kebajikan wanita dan kanak-kanak.

SULTANAH HAMINAH: Saya amat suka kepada kanak-kanak. Mungkin saya akan menumpukan perhatian kepada aktiviti berkaitan mereka. Saya selalu juga menerima jemputan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kedah (LKPIK) yang mengadakan majlis bantuan untuk fakir miskin.

Kadang-kadang saya melawat Sik, Kuala Nerang dan Baling untuk meninjau kehidupan rakyat di sana. Pada saya mereka seperti saudara sendiri. Orang tua-tua khususnya wanita ramah dan mesra, saya rasa macam ibu sendiri.

Apa yang Tuanku rasa boleh Tuanku lakukan dalam memberi kesedaran kepada golongan miskin dan buta huruf di pedalaman.

SULTANAH HAMINAH: Di Kedah saya nampak masih ada orang susah khususnya di kawasan pedalaman. Susah maksudnya di segi taraf hidup, pendidikan dan ekonomi. Saya berpendapat mereka patut diberi pendedahan terhadap kemajuan negara masa kini. Beri mereka maklumat dan adakan seminar atau bengkel untuk mereka ikut sama. Gunakan persatuan atau kelab-kelab di daerah-daerah yang ada. Saya selalu juga ikut Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melawat dan memberi sumbangan.

Hati saya tersentuh melihat wanita dan kanak-kanak yang daif dan amat memerlukan bantuan. Saya harap kerajaan Kedah akan melakukan sesuatu untuk membela nasib mereka.

Minat Tuanku amat mendalam dalam bidang sukan, boleh Tuanku jelaskan.

SULTANAH HAMINAH: Oh ya, sejak zaman sekolah sampai sekarang itulah minat saya yang utama. Tidak lengkap jika tidak bersukan. Kalau tidak, saya rasa boring. Saya minat skuash, badminton, tenis dan golf. Ada masa saya main badminton dengan kawan-kawan, ada masa pula saya main tenis. Sejak kebelakangan ini tumpuan saya kepada golf. Kalau tenis saya lebih suka main waktu malam dengan kawan-kawan, sejuk sikit. Kalau jemu tenis saya main skuasy, tetapi masa lebih banyak ditumpukan kepada golf.

Walaupun 20 tahun telah berlalu, minat saya tidak pernah berubah. Masih seperti dulu, stamina boleh tahan lagi (ketawa). Saya juga pernah memenangi pertandingan golf anjuran Kelab Diraja Kedah, Yayasan Sultanah Bahiyah dan yang terkini menang Ladies of The Ladies Champion di The Mines. Penuh satu almari piala yang saya dapat, ada juga wang tunai, alat elektrik dan sebagainya.

Tuanku juga difahamkan minat muzik, sejak bila?

SULTANAH HAMINAH: Sejak remaja lagi. Secara serius saya mula belajar bermain organ pada 1977. Saya mengambil lesen untuk bermain organ pada 1981. Saya gemar fast muzik dan sentimental. Lagu-lagu penyanyi sekarang pun saya suka kerana pada saya penyanyi sekarang berbakat besar.

Komen Tuanku mengenai kejayaan wanita masa kini.

SULTANAH HAMINAH: Saya cukup terharu dan berbangga dengan kejayaan wanita hari ini. Saya akan terus menyokong wanita dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Saya berbangga dengan kemampuan Datuk Seri Rafidah Aziz Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Tan Sri Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara.

Di negeri Kedah, tiga orang wakil rakyat wanita, Rosnah Majid, Marlia Abdul Latiff dan Barishah Saad, mereka ini pada saya agresif dan mampu meningkatkan taraf kehidupan wanita di negeri ini. Semangat dan kegigihan mereka patut dicontohi.

Seperkara lagi, saya gembira melihat ramai wanita Kedah bergiat cergas dalam bidang perniagaan. Di Bandaraya Alor Star sekarang ini sudah ramai wanita yang berniaga. Itu satu petanda baik. Saya harap ramai lagi akan menyahut cabaran untuk terus maju.

Komen mengenai gejala sosial masa kini. Apakah ia berpunca daripada ibu bapa?

SULTANAH HAMINAH: Saya rasa tidak juga. Apa yang perlu ibu bapa lakukan, jangan seratus peratus mengharapkan anak-anak mereka dijaga oleh sekolah dan pembantu rumah. Di mana pun berada ibu bapa mesti memantau anak-anak tengok apa mereka buat, tanya siapa kawan-kawan mereka dan ke mana mereka pergi. Yang penting sekali didikan agama. Ini mustahak untuk membina jati diri dan rohani mereka. Budak-budak jika kita semai dengan benih yang baik insya-Allah akan jadi baiklah mereka.

Apa pandangan Tuanku mengenai khidmat negara untuk remaja yang bakal dilaksanakan.

SULTANAH HAMINAH: Saya setuju dengan program tersebut. Ia membantu membentuk remaja supaya lebih berdisiplin, bertanggungjawab bukan sahaja kepada agama, negara, masyarakat keluarga tetapi juga diri sendiri. Program yang bakal dilaksanakan kelak akan memberi mereka pendedahan ke arah membina jati diri dan berdikari ke arah kehidupan berwawasan dan berwibawa.

Kelebihan program ini.

SULTANAH HAMINAH: Ada ketika ibu bapa tidak ada masa untuk anak-anak mereka kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing atau hal-hal lain. Kebanyakan anak-anak lebih kenal makanan segera, menghabiskan masa di luar, menghadap TV atau bermain game. Daripada mereka membuang masa, latihan selama tiga bulan di kem Khidmat Negara yang akan mereka lalui cukup baik untuk membentuk diri mereka. Itulah kelebihannya. Kepada anak-anak yang bakal melalui program tersebut saya mengucapkan selamat berjaya.

Cadangan Tuanku untuk meningkatkan kualiti hidup dan institusi keluarga masa kini.

SULTANAH HAMINAH: Persefahaman antara suami isteri mainkan peranan. Kalau ibu bapa tidak sehaluan bagaimana anak-anak akan hidup sempurna. Saya menyeru semua masyarakat Malaysia khususnya di Kedah supaya saling bekerjasama antara satu sama lain.

Amalkan sikap tolong-menolong. Pergaulan cukup penting dalam kehidupan berjiran. Zaman ini hidup berjiran memerlukan setiap orang mengambil berat hal masing-masing, bukan niat menjaga tepi kain tetapi mengambil tahu. Sakit demam contohnya.

Saya juga mencadangkan supaya penduduk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilakukan di tempat masing-masing. Cara tersebut turut membantu.

Yang lelakinya boleh buat gotong royong yang perempuan pula buatlah ceramah agama, kelas masak atau kraf tangan. Sesuai dengan keadaan semasa, elok tambah kelas komputer supaya mereka juga celik IT.

Cara ini membantu membuka minda mereka khususnya wanita yang tidak bekerja. Sekurang-kurangnya mereka turut menikmati kemajuan yang telah dicapai negara.

Nasihat Tuanku untuk wanita Kedah.

SULTANAH HAMINAH: Saya mengharapkan wanita di Kedah khususnya di kawasan pedalaman sanggup menerima perubahan. Maksud saya sikap dan penampilan mereka. Jangan malu untuk ke depan. Negara kita sudah maju. Kedah juga sedang maju. Kita ambil contoh negeri-negeri lain yang mana kaum wanitanya telah berjaya.

Di Kedah pun sudah ada perubahan. Kedah mempunyai ramai wanita berjawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan. Kita mesti ubah pemikiran agar tidak ketinggalan.

Mari kita bergerak selari dengan wawasan Kedah Maju 2010. Alor Star pun sudah menjadi bandar raya. Jadilah wanita cemerlang di rumah, di tempat kerja dan juga di dalam masyarakat.

Sebaik dimasyhurkan, apa yang ingin Tuanku lakukan?

SULTANAH HAMINAH: (Tersenyum). Saya teringin sekali untuk berangkat melakukan lawatan ke daerah-daerah di negeri Kedah bagi mendekatkan diri dengan rakyat. Selama ini rakyat tahu kehadiran saya tetapi mereka tidak pernah mendekati saya.

Inilah masa terbaik untuk saya mendekati mereka dan bertanya khabar. Saya harap ini dapat dilakukan secepat mungkin, mungkin setelah sambutan hari keputeraan Tuanku selesai.

Masalah kesihatan barah, buah pinggang, jantung menjadi musuh utama wanita. Boleh Tuanku berikan pandangan tentang pentingnya kesihatan kepada wanita.

SULTANAH HAMINAH: Sebagai wanita kesihatan amat penting.

Kalau dalam sebuah rumah seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri tidak sihat macam mana hendak menguruskan isi rumah yang lain. Oleh itu saya menasihatkan kaum wanita supaya jangan malu untuk mendapatkan pemeriksaan doktor dari semasa ke semasa.

Banyakkan membaca buku tentang kesihatan khususnya penyakit yang selalu menyerang wanita seperti barah, jantung dan buah pinggang. Jangan makan sembarangan, di tepi-tepi jalan dan di kawasan yang tidak bersih. Kalau ada masa pergi joging atau buat senaman. Kalau terasa ada tanda-tanda sakit atau tidak sihat cepat-cepat jumpa doktor.

Boleh berkongsi rahsia mengekalkan kecantikan dan kesihatan.

SULTANAH HAMINAH: Seperti yang saya katakan tadi, saya gemar bersukan sejak remaja sehingga sekarang. Saya juga mengamalkan pemakanan yang sihat dan berzat. Saya tidak mengambil makanan yang manis-manis. Tentang penampilan saya rasa ala kadar dan sederhana. Baju kurung dan kebaya masih menjadi keutamaan kerana ia sesuai ke mana sahaja untuk apa majlis. Saya mengikuti perkembangan fesyen, suka yang up-to-date dan sederhana bersesuaian dengan majlis dan tempat. Yang lain-lain itu macam biasa, sama seperti wanita lain. Pada saya yang penting kesihatan elok, penampilan disukai dan rupa paras disenangi. Pesanan saya kalau bersenam buat sungguh-sungguh jangan macam melepas batuk di tangga. Mesti terus-menerus, baru berhasil.

Minuman dan makanan kegemaran Tuanku

SULTANAH HAMINAH: Saya minum air suam dan air suling. Untuk sarapan saya minum teh atau milo. Tapi saya lebihkan air suam dan air suling pada waktu makan tengah hari dan malam. Saya juga suka sayur-sayuran dan buah-buahan. Kuih-muih saya suka juga.

Dengan kedudukan Tuanku sekarang, apakah Tuanku akan kehilangan kawan-kawan dan saudara-mara?

SULTANAH HAMINAH: Saya harap tidak. Saya tetap seperti dahulu masih boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Yang memisahkan saya hanya protokol. Yang lain pada saya masih tidak berubah. Saya suka jika orang ramai (rakyat Kedah) berjumpa saya terutama pada majlis-majlis di kawasan pedalaman. Itu yang saya inginkan. Saya harap saya dapat melaksanakan hajat saya itu.

Tentang keluarga pula saya rasa tidak. Saya rapat dengan semua ahli keluarga dekat dan jauh. Adik-adik saya sejak dulu memang bersama saya. Anak-anak saudara pun ada. Saya rasa terhibur dengan kehadiran mereka. Keluarga yang susah dan perlukan bantuan tidak saya lupakan. Bukan saudaramara sahaja tetapi juga jiran-jiran di kampung jika ada. Saya tidak akan melupakan mereka semua. Mudah-mudahan saya akan kekal seperti ini. Insya-Allah

Harapan Tuanku dengan gelaran Sultanah Kedah.

SULTANAH HAMINAH: Saya akan melaksanakan tanggungjawab saya seperti yang dimahukan. Saya sentiasa akan berada di samping Tuanku Sultan Kedah dalam apa juga keadaan khususnya apabila Tuanku Sultan berangkat melakukan lawatan rasmi di seluruh negeri Kedah. Saya berdoa kepada Tuhan agar saya diberi kekuatan untuk memikul tanggungjawab ini dengan baik. Saya menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah kerana menganugerahkan gelaran ini kepada saya. Doa dan harapan saya semoga saya akan selalu dekat dengan rakyat Kedah. Insya-Allah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.