saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/02/2004

Khidmat Negara bermula -- 26,000 belia cipta sejarah sebagai kumpulan pertama sertai program

SIAP SEDIA... Peserta Program Latihan Khidmat Negara (dari kiri) Ahmad Abdullah Hafiizh, Mohamad Zawawi Yazid, Tengku Md. Kashfullah, Chua Soon Hor dan R. Tamotiran memasukkan barangan keperluan masing-masing ke dalam ruang bagasi bas sebelum bertolak ke Kem Beringin Beach Resort (BBR) Langkawi dari Kota Bharu, semalam. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.


KOTA BHARU 15 Feb. - Seramai 26,000 belia berusia 18 tahun akan mencipta sejarah baru negara mulai esok apabila menjadi perintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), bagi melahirkan generasi mantap Malaysia, di 41 kem seluruh negara.

Kumpulan pertama itu merupakan sebahagian daripada 85,000 peserta daripada 450,000 belia yang telah dipilih secara rawak pada 8 Disember lalu.

Semua peserta berkenaan akan ditempatkan selama sebulan bagi latihan peringkat pertama di kem-kem sebelum dipindahkan ke kampus-kampus institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) bagi mengikuti latihan peringkat kelas.

Latihan di kem merupakan latihan di bawah modul fizikal manakala di IPT melibatkan tiga modul iaitu kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.

PLKN yang bermatlamatkan membentuk belia unggul, berdisiplin dan mempunyai keyakinan diri tinggi akan dilaksanakan dalam tiga peringkat.

Peringkat pertama melibatkan 26,000 peserta bermula esok. Peringkat kedua dan ketiga melibatkan baki 59,000 peserta akan bermula pada 22 Mac dan 19 April ini.

Bagi memudahkan peserta, sebanyak 123 lokasi di seluruh negara telah dijadikan sebagai Pusat Pengumpulan (PP) bagi membawa peserta tersebut ke kem latihan.

Majlis pelancaran pengangkutan peserta akan diadakan esok di pekarangan Stadium Sultan Mohammad IV di sini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bermula pukul 9 pagi.

Ia akan diikuti dengan majlis perasmian PLKN pada 22 Februari ini di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bahru, Selangor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Esok, pergerakan awal peserta PLKN adalah pada pukul 5.30 pagi melibatkan peserta dari Semenanjung Malaysia yang akan berlatih di Kem Junaco Park, Sibu, Sarawak.

Bermula pukul 9 pagi sebanyak 800 buah bas dijangka berada di jalan raya di seluruh negara bagi membawa peserta PLKN ke kem-kem latihan.

Dalam perkembangan berkaitan, proses pengangkutan peserta PLKN di beberapa lokasi PP yang bermula hari ini berjalan lancar.

Di pekarangan Stadium Sultan Mohammad IV di sini seramai 74 peserta tampil mendaftar diri untuk dibawa ke kem latihan Beringin Beach Resort (BBR), di Pulau Langkawi. Mereka yang hadir bersama keluarga tiba seawal 3 petang.

Suasana kelam-kabut berlaku seketika apabila ibu bapa menyerbu kaunter pendaftaran dan bertanyakan pelbagai persoalan mengenai PLKN kepada pegawai bertugas.

Dua buah bas digunakan bagi membawa peserta tersebut.

Di Kuala Krai pula sebuah bas digunakan bagi membawa 17 peserta ke BBR.

Jurucakap syarikat pengangkutan yang bertanggungjawab membawa peserta PLKN dari Kelantan dan Terengganu ke BBR, Mohd. Asri Khalid berkata, bas tersebut akan singgah di Medan Selera Perhentian Timur-Barat untuk makan malam. Bas tersebut dijangka tiba di jeti Kuala Kedah awal pagi esok dan semua peserta kemudiannya akan dibawa ke BBR menaiki feri pada pukul 7.30 pagi.

Cadangan untuk menganjurkan Kerahan Tenaga ala Malaysia kali pertama diutarakan pada sesi dialog Kongres Patriotisme Negara anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pada pertengahan Oktober 2002.

Ia dibangkitkan oleh aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Gelang Patah, Chang See Ten.

Cadangan itu mendapat reaksi positif daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

Kabinet pada mesyuarat 30 Oktober 2002 kemudian bersetuju memperkenalkan kerahan tenaga wajib dan beruniform ala Malaysia yang kemudiannya dikenali sebagai PLKN dalam usaha memupuk integrasi kaum dan semangat patriotisme yang lebih kental di kalangan generasi muda.

Sebuah jawatankuasa Kabinet dianggotai oleh lima orang menteri dan dua timbalan menteri telah dibentuk bagi mengkaji segala aspek berhubung pelaksanaan kerahan tenaga itu dan membentuk modul.

Pada mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada 12 November 2002, memutuskan bahawa semua warganegara berumur 18 tahun ke atas termasuk yang berada di luar negara akan diwajibkan mengikuti PLKN selama tiga bulan bermula 2004.

Pada 8 Disember tahun lalu, proses pemilihan secara rawak menggunakan komputer dilakukan dan seramai 85,000 telah dipilih serta diwartakan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003 bagi mengikuti program tahun ini.

Serentak itu juga pelbagai persiapan termasuk menyediakan kem serta pusat latihan giat dijalankan.

Pada 7 Februari lalu, Najib mengumumkan semua 41 kem yang dipilih bagi menganjurkan latihan fizikal telah bersedia untuk menerima kemasukan secara serentak 26,000 peserta PLKN daripada kumpulan pertama.

Pecahan peserta PLKN mengikut kaum ialah bumiputera sebanyak 59,438 orang (69.93 peratus), Cina sebanyak 17,629 (20.74 peratus), India 6,257 (7.36 peratus) dan kaum lain sebanyak 1,676 (1.97 peratus).

Pembahagian mengikut jantina pula meliputi 43,350 peserta lelaki manakala perempuan adalah 41,650 orang.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.